Filem : Haru Biru

By ikatkata

Panel Diskusi :
1. Shadan
2. Budi Hasmi
3. Faisal Tehrani
4. Uwie Hj Shaari (moderator)

Sinopsis (dari tontonfilem.blogspot.com)

Kid (QUE HAIDAR) seorang eksekutif muda, Ariyana (DYNAZ) seorang model, dan Dani (IJOY AZHARI) seorang fotografer bebas, adalah tiga remaja yang bersahabat. Hubungan ini kemudiannya dibebani oleh perasaan cinta yang tersembunyi, lantas menimbulkan konflik yang meruntuhkan persahabatan mereka. Dalam diam Kid menjalinkan hubungan cinta dengan Ariyana dan membelakangi Dani.Kepura-puraan ini terbongkar apabila Suzi (BETTY BANAFE), perempuan simpanan Big Daddy, yang juga bekas kekasih Kid muncul kembali menagih harapan dari Kid. Suzi menghalang perhubungan Kid dan Ariyana kerana dia juga mahu Kid membantunya melarikan diri dari Big Daddy. Ariyana kecewa dengan tindak-tanduk Kid, lantas memutuskan perhubungan mereka berdua. Kini Dani pula menghilangkan diri setelah rasa dikhianati dan diperbodohkan oleh Kid, malah Ariyana sendiri.Atas tekanan dan godaan Suzi, Kid terpaksa juga membantu Suzi melarikan diri. Namun tidak semudah itu. Abang Kecik (EMAN MANAN), orang paling kanan Big Daddy mula menjejaki mereka. Keadaan semakin genting apabila tindakan-tindakan mereka menjadi haru biru dan di luar kawalan.

Diskusi

Saya berasa sangat teruja apabila tahu Faisal Tehrani sudi hadir.Beliau antara orang yang lantang mengkritik kehadiran filem-filem seperti Haru Biru (Anak Halal dan Akhirat). Manakala sepatutnya Shadan tidak berada di atas kerusi panel. Mungkin tidak cukup korum agaknya. Jika saya menjadi pengarah, saya lebih bersedia untuk mendengar komen dan kritikan. Shadan mengambil sikap yang betul apabila mengemukakan fakta tentang proses pembikinan Haru Biru. Seperti kata Uwei, ‘bahkan Shadan sendiri tidak berupaya menyelamatkan Suzy’, kerana Shadan hanyalah seorang pengarah. Namun kerja-keja Shadan sebagai pengarah, secara teknikal saya anggap bagus berbanding kebanyakan filem-filem Melayu yang ada.

Budi Hasmi pula membangkitkan soal pemberontakan pasca 1998. Menurut beliau, bukan hanya politik dan ekonomi yang mengalami kesan gelombang 1998. Bahkan bidang seni dan filem turut merasai gejolak pemberontakan itu. Pembentangan Budi tidak memuaskan hati saya. Beliau hanya memperihalkan situasi, kenapa dan bagaimana lahirnya sebuah filem seperti Hari Biru. Beliau sungguh-sungguh memperjuangkan ‘kebebasan’ dan ‘hak’ berkarya. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu dibincangkan tentang Haru-Biru yang sungguh-sungguh haru-biru. Beliau mahukan lessen supaya pengkarya bebas menuangkan idea dan gagasannya ke dalam karya.

Hanya sekali ini saya sangat bersetuju dengan apa yang dihujahkan oleh Faisal Tehrani. Nampaknya beliau melakukan ‘homework’ yang baik. Lebih-lebih lagi beliau tidak punya latar belakang perfileman yang baik berbanding panel yang lain. Silap gaya beliau boleh dicap bercakap tentang sesuatu yang beliau sendiri tidak tahu. Faisal Tehrani ialah orang sastera bandingan. Kerjanya membandingkan teks-teks sastera. Beliau juga membandingkan sastera dalam medium teks dan medium yang lain termasuk filem. Justeru layaklah kiranya beliau bercakap soal filem.

Faisal banyak menyentuh soal naratif. Inilah perkara yang paling asas dalam sesebuah naskah seni/sastera. Beliau turut menambah sebuah filem yang baik perlu menyeru kepada perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara mungkar (kejahatan). Merujuk kepada Haru Biru tentu sekali jauh berbeza. Budi Hasmi senada dengan kebanyakan pembikin filem yang lain, hanya memetingkan realism dalam berkarya. Pusing-pusing kong kali kong inilah hujah mereka. Realism.

Pada saya tidak ada apa salahnya menampilkan realism dalam naskah. Namun saya bersetuju dengan Puan Ainon Mohd (Pts Publication), bahawa realiti yang ingin ditonjolkan itu perlulah dipilih. Tidak semua perkara yang berlaku di sekeliling kita perlu dipertontonkan kepada khalayak.

Saya secara peribadi tidakpernah mahu menafikan hak sesiapa untuk berkarya apa sahaja. Buatlah filem apa saja tentang apa saja. Berlakonlah tunggang dan tungging berbaju atau tidak. Kamera mereka dan duit mereka. Namun apabila naskah yang sudah siap itu ingin dipertontonkan kepada khalayak dan diperlihatkan kepada masyarakat yang berlapis-lapis aras kebijaksanaanya, maka dengan itu filem itu perlu dinilai terlebih dahulu.

Saudara hendak mandi bogel dalam bilik mandikah. Atau hendak berbikini sahaja di dalam rumah. Hendak telanjang 24 jam sehari di dalam rumah pun itu hak kalian. Tetapi apabila keluar dari rumah, bertemu dengan khalayak lain, maka ada peraturan-peraturannya. Tidak boleh berbuat sesuka hati. Kerana sesuka hati kita itu nanti akan melukakan hati orang lain. Hanya kerana mahukan hak kita, adakah kita perlu merampas hak orang lain.

Saya hanya berhasrat ingin hadir dalam sesi diskusi, malang sekali terperangkap dalam tayangannya sekali. Sofi Jikan kata, dia tidak merasa lebih dekat dengan neraka selepas menonton filem ini. Tetapi tidaklah apa yang beliau kata itu semestinya betul. Hanya Tuhan yang lebih tahu.

Apapun tabik kepada Shadan. Pengarah muda. Berbakat. Dan sanggup hadir dalam majlis diskusi. Walaupun dikritik. Tidak mengapa. Saudara hanya pengarah. Bukan penerbit ataupun penulis skrip.

Label: , , , , , ,

2 Respons bagi “Filem : Haru Biru”

  1. Hanip Berkata:

    In this film, I believe the makers lost their focus. The story’s narrative is not strong enough in order to vividly portray the central ideas, which eventually creates a mess leading to misunderstanding, especially “his right” and “others’ right”.

  2. SifuPTS Berkata:

    Hantar artikel ini ke Dewan Budaya!

Tinggalkan jawapan