Pengarah : M. Subash
Pelakon : M. Subash, Maimun Mutalib, Khatijah Tan, Ruminah Sidek
‘Kebendaan tidak penting untuk mereka yang dahagakan kasih sayang’
Pelakon
Saya mulakan dengan barisan pelakon. Kerana pada saya sebuah filem yang membariskan pelakon hebat, inilah dianya. Mula dengan Mak Mah (Ruminah Sidek) sebagai nenek Badrul (kanak-kanak cacat lakonan M Subash sendiri). Mak Mah tidak jadi nenek kebayan seperti dalam PGL atau wanita yang dirasuk dalam Jangan Pandang Belakang. Tetapi Mak Mah menjadi dirinya sendiri, seorang nenek yang menyayanyi cucunya. Dialog-dialognya original dan mengalir lancar. Begitu juga dengan watak-watak lain. Fadz kata mesti beri Pelakon Wanita Terbaik untuk FFM.
Maimon Mutalib dan Khatijah Tan
Kemudian Maimon Mutalib dan Khatijah Tan, dua beradik yang jahat. Membuak-buak perasaan saya marahkan sikap jengkel ibu angkat Badrul dan adiknya. Lakonan Maimon sebagai ibu yang punya perasaan belas pada anak angkatnya, Badrul bercampur rasa dendam, marah dan benci kerana menganggap Badrul sebagai pembawa sial dalam keluarga dan hidupnya. Lakonan yang berbaur-baur itu sungguh berkesan. Manakala Khatijah Tan pula, masya Allah rasa hendak tarik-tarik sahaja rambutnya. Harap-harap ketiga-tiga wanita dalam filem ini tercalon untuk anugerah lakonan FFM.
Jalil Hamid
Sememangnya Jalil Hamid versatile. Bukan mudah menjadi orang gila yang nampak tidak gila. Saya teringat lakonan berkesan Jalil dalam Buli Balik, dalam babak ‘bapak kepada bapak kepada bapak aku dulu…’. Ini momen paling kelakar dalam filem itu. Manakala dalam Pensil, Jalil obsess dengan warna merah, akibat peristiwa bapanya yang merogol dan membunuh adik perempuannya. Semua padanya merah macam darah.
M. Subash
Sebagai pengarah, penulis dan teraju utama. Tidak ramai yang sanggup memikul tangungjawab sebesar ini. Yang boleh saya ‘recall’ ialah P. Ramlee dan Afdlin Syauki. Dan kini M Subash. Tidak mudah melakonkan watak cacat dan konsisten dengan kecacatan yang dibuat-buat itu. Namun M Subash saya kira berjaya menghidupkan watak Badrul. Saya kira mungkin M Subash sendiri punya pengalaman hidup berdekatan dengan orang-orang cacat.
Sinopsis
Pensil ialah kisah seorang anak cacat, Badrul yang dibesarkan oleh ibu tiri yang tidak menyukainya. Badrul seorang anak yang baik, bekerja menjual kerepek buat membantu ibu tirinya. Seisi kampong menyenangi dan menyayangi Badrul melainkan ibu tiri dan ibu saudaranya. Dia dianggap pembawa sial dan malang dalam keluarga. Satu kegemaran badrul ialah melukis. Dalam hidupnya wang hanya diperlukan untuk membeli pensel dan kerta buat melukis. Selebihnya tidak apa yang diperlukan. Filem ini mengisahkan Badrul menghadapi hari-hari dalam hidupnya bersama ibu tiri yang membencinya.
‘Allah beri rezeki macam hujan. Semua orang dapat’.
Saya kagum dengan M Subash kerana mengangkat persoalan rezeki dengan baik. Orang seperti Badrul, yang cacat, berjalan pun pengkor pun berusaha untuk mencari rezeki. ‘Allah beri rezeki macam hujan. Semua orang dapat’. Hanya saja kita manusia perlu berusaha. Kadang-kadang rezeki itu terhalang hanya satu langkah di depan kita. M Subash mengkritik masyarakat hari ini, ada yang malas bekerja. Mereka lebih senang meminta-minta. Namun bekerja tetap malas. Badrul dalam filem ini, demi mencari rezeki sanggup menjual kerepek, kemudian mengutip tin kosong untuk dijual. Realitinya kita selalu terserempak dengan apek atau nyonya yang memunggah-munggah ton sampah mengutip tin kosong dan kotak untuk dijual. Ya apek dan nyonya. Walau sebangsat mana pun mereka, meminta-minta itu sangat jauh dari senarai ikhtiar mereka. Itulah orang Cina.
Tidak banyak filem mengangkat tema orang cacat, lebih-lebih lagi cacat mental. Sebuah filem yang paling saya ingat tentang orang cacat mental ialah I Am Sam lakonan Seann Penn. Sama seperti Pensil, ia menelusiri kisah manusia-manusia yang kekurangan.
Namun sebenarnya anak cacat adalah anugerah Tuhan. Khalayak mungkin hanya menonton. Namun saya punya pengalaman peribadi mempunyai seorang kakak yang cacat.Akibat demam panas pada usia 10 bulan pemkembangan mentalnya terencat. Kakak saya hanya boleh merangkak untuk bergerak. Tidak boleh bercakap. Makan pakainya diurus.
Pengalaman peribadi
Pada awalnya, saya merasakan kakak saya ini satu beban kepada keluarga. Namun setelah mengingat dewasa barulah saya mengerti. Kakak saya ibarat anak yang sentiasa kecil dan tidak pernah membesar. Perangainya keanak-anakan. Sering mahu dimanjakan. Dia menjadi cahaya di dalam rumah kecil kami. Dialah sumber ketawa dan gembira kami tatkala melayan karenah dan telatahnya. Syukur sekali anak istimewa ini dianugerahkan kepada wanita yang paling baik. Itulah emak. Bagaiman emak sangat menyayanginya sungguh-sungguh. Dan emak juga mendidik saya dan adik-adik yang lain untuk menyayangi lebih dari diri kami sendiri. Kalau ke pasar malam kami tahu apa makanan kegemaran kakak. Kalau ke pasa raya, kami tahu baju warna apa yang paling kakak suka pakai. Kalau berziarah, kami tahu rumah siapa yang kakak paling suka kunjungi. Iya walaupun kakak tidak seperti orang lain, tapi kakak tetap manusia. Walaupun tidak bercakap, namun banyak perkataan harian yang dia fahami. Perkataan ‘jom’ dan ‘makan’ adalah yang paling dia cerap.
Apa yang meyakinkan saya tentang berbuat baik kepada orang cacat ialah pegangan agama. Dengan amalan yang terbatas, saya mengharapkan ‘huluran tangan’ kakak di akhirat nanti. Manusia seperti kakat tentu beroleh pass mudah untuk ke syurga. Kami adik beradik diajar emak supaya sayang kakak sungguh-sungguh, hinggakan kadang-kadang saya merindui kakak lebih dari merindui emak dan abah.
Justeru menonton Pensil mengingatkan saya kepada kakak saya. Dan juga kepada anak-anak cacat yang lain. Entah kenapa ulasan Pensil menjadi sangat peribadi. Kalian pernah dengar cerita Tempayan Yang Retak? Ia cerinta tentang kekurangan yang lebih. ‘ Sometimes less is more’. Tempayan Yang Retak adalah modal verbal saya untuk mengubat hati kawan-kawan saya yang sering merasa kekurangan. Saya ikhtiarkan edisi bertulisnya.
Label: Filem Malaysia, filem melayu, m subash, ruminah sidek, jalil hamid, maimun mutalib

Jun 25, 2008 at 10:09 am
[...] dalam karya mereka. Menyelitkan babak solat pun sudah tidak mahu, bimbang dikritik. Ya, mungkin Pensil memberi takrif nilai Islam yang sangat baik tentang usaha, takdir dan rezeki namun ia tidak [...]
Ogos 10, 2009 at 10:54 am
respek spring 4 u M. Subash… Saye really love karya u. Cantik susunan iadea yang disampaikan. Moral dan nilai kehidupan yang walllah….. sekarang susah nak cari cerita macam nie…
September 17, 2009 at 6:42 pm
i’ve watched ‘pensil’ juz now..
it is such a touching story..
i’ve never cried like this b4..
congarate 2 mr.subash..
u did a good job,man!!
keep it up..
Oktober 14, 2009 at 5:25 pm
tak perlu saya menonton Pensil tapi saya dapat memahami bagaimana mempunyai adik seperti Badrul. Adik saya pernah di hina oleh kawan2nya yang masih tak mengerti kekurangannya. Masyarakat masih di hantui dengan bida’ah yang memandang serong terhadap mereka yang kurang upaya. Malah neneknya sendiri pernah menganggapnya anak yang ‘tidak cerdik’ tapi dia yang akan dapat menolong saya di akhirat nanti.
Riduan Khairi : Mereka adalah jambatan kita ke syurga.