SN S. Othman Kelantan meloncat ke satu lagi takah hidupnya, mendahului kita. Saya mengenali beliau lewat novel Juara / Jogho yang kemudiannya difilemkan oleh U-wei Hj Shaari. Kali terakhir saya mengikuti pembentangan kertas kerja beliau ialah dalam Seminar SN Shahnon Ahmad tahun lepas. Saya sempat menikmati keramahan budi dan akhlak beliau tatkal berbual di luar dewan. Sepatutnya beliau hadir dalam Seminar Pasca Penulis Pasca PRU 12 baru-baru ini, namun digantikan atas sebab kesihatan.
Antara novel beliau yang saya baca ialah Juara dan Naghogho Astono. Beliau telah pergi, namun karya-karya beliau akan terus kekal mekar dan segar dalam sanubari kita.
Al-fatihah.
Label: S. Othman Kelantan, sasterawan negara

September 15, 2008 at 5:59 am
Terima kasih di atas segala doa dan ucapan takziah untuk Almarhum Prof Dr. Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan). Sebagai isterinya yang menjaga segala keperluan dirinya selama 14 hari beliau di hospital, tiada lagi air mata yang bisa mengalir dan tiada lagi kata-kata yang bisa diungkapkan. Saya cukup gembira kerana setiap malam saya berada disampingnya dan dia menggenggam erat tangan saya ketika dia tidur. Ketika lapar, saya menyuapkannya dan segala kebersihannya saya yang bersihkan dengan penuh kasih sayang serta memandikannya setiap pagi. Tiap petang pula saya akan mendukungnya dan meletakkannya di atas kerusi roda dan berjalan-jalan disekitar wad. Saya lakukan sendiri semuanya tanpa bantuan Jururawat. Kini dia telah pergi bersama Tuhannya. Saya sungguh sepi. Dan kebetulan pula filem terakhir yang kami tonton bersama sebelum beliau sakit bersama puteri kami yang berusia 6 tahun, berjudul “Sepi”. Dan kami juga sempat menonton teater “Dejavu Seorang Wanita” di DBP bersama puteri kami. Di kala ini saya merasaka dia masih di sisi saya. Saya masih melihatnya di meja tulis dan komputernya, tekun menyelak lembaran pelbagai buku. Dan saya masih ingat waktu makannya yang 6 kali setiap hari. Saya masih menyimpan baju kali terakhir dipakainya. Sejadahnya, air mineralnya, al-Quran yang dibaca setiap subuh dan selepas menunaikan solat 5 waktu masih ditempat yang sama. Kerja-kerjanya yang terakhir masih ditempat yang sama. Semuanya tidak berubah. Roti yang dimakannya pada kali terakhir sebelum saya membawanya dihospital Az Zahrah pada pukul 6 petang, 17 Julai 2008 masih ada dan berada di dalam bakul dan di tempat yang sama. Air tehnya masih ada. Saya tidak membuangnya. Dia tetap hidup di jiwa saya dan puteri saya. Tiap kali azan di Tv 9, puteri saya akan berteriak “Abah Azan”. Dan dia akan termenung sambil berkata. “Kak Pah lupa… abah dah tak ada. Abah dengan Allah dan malaikat Nungkar dan Nangkir katanya. Dan di dalam komputer riba ini segala gambarnya semasa berada di hospital akan saya lihat dan puteri saya akan menanggis apabila menatap gambar itu kerana pilu kerana terlalu banyak wayar dan tiub berada di badan Abahnya. Puteri saya berasa kehilangannya kerana tiada lagi Abah yang akan menghantarnya ke sekolah dan akan menemankannya bermain di taman pada waktu petang, menonton wayang bersama pada hari Ahad di Metro Kajang atau di Alamanda Putrajaya, balik ke Kelantan serta tiada lagi insan yang bergelar Abah yang bergurau senda dan sentiasa memanggilnya “kakak cerdik dan anak bertuah Abah”. Saya begitu sayu apabila saya bertanya kepada kak Pah (pangilan untuk anak saya) ketika kami berada di kampung Abahnya yang berhadapan dengan sungai selepas seminggu Abahnya bersemadi bersama Allah untuk kenduri tahlil di sana. Saya tanya “Best tak balik Kelantan Abah naik Kapal Terbang.”? Dia menjawab ” Tak best sebab Abah tak ada. Kalau Abah ada lagi best”. Saudara mara yang mendengarnya tidak berkata apa-apa. Hanya memandang kak pah yang tekun memandang lembu yang di tambat di bawah pokok mangga di hadapan rumah Abahnya. Dan kini dalam setiap solat saya, saya hanya mampu berdoa dan membacakan Yassin untuk suami tercinta serta tiap-tiap malam bertahlil untuknya. 8 tahun bersamanya adalah moment yang indah dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata dan saya gembira menjadi suri hati seorang insan bernama Syed Othman Syed Omar Al Yahya sehingga ke akhir hayatnya. Almarhum seorang lelaki yang sangat ideal dan sempurna. Dan dia hanya ada satu dalam jutaan manusia.
Ikhlas,
Pn. Dian
(ranofla@cempaka.edu.my)