Filem : Los Dan Faun (2008)

By Riduan Khairi

Sutradara : Afdlin Shauki
Pelakon : Adlin Aman Ramli, Hans Isaac, Erra Fazira

losnfaun1

Katanya ini filem Afdlin paling sewel.

Carlos Gunting ialah sahabat baik Mohd Faun b Dollah. Sesuai dengan namanya Los dan Faun menubuhkan konsultan cari-mencari barang yang hilang. Ini rentetan dari bakat dan kebolehan Faun mengesan barang yang hilang. Tugasan besar yang dilalui oleh Los dan Faun dalam filem ini ialah ketika mahu mencari jam tangan seorang orang kaya, Tuan Sofaruddin al-Sogod yang hilang selepas meninggal dunia. Pelbagai teori digunakan untuk merungkai punca kematian Tuan Sofar dan misteri kehilangan jam tangan berliannya yang bernilai 30 juta.

Selain dari watak-watak utama, LnF memberi ruang kepada watak-watak pembantu untuk menghidupkan cerita ini. Watak Serina Misterina (Ida Nerina) sebagai perempuan simpanan-yang-suka-bermain-silap-mata dilakonkan dengan berkesan. Begitu juga ex-lans koperal (Sofi Jikan) dan pembantu rumah (Noor Khiriah).

Antara watak yang saya minati dalam LnF ialah pembantu rumah (Noor Khiriah) ala-ala drama latin. Juga penyiasat insuran (Khir Rahman).

Genius

Saya melihat Adflin sebagai pembikin yang bukan sekadar unik (kerana sememangnya semua orang unik), bahkan beliau seringkali dilihat berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Baru bukan sekadar dari sudut produksi, bahkan baru dari sudut idea, cerita dan cara penyampaian. Bermula dari Bak Punya Cilok yang pintar bermain dengan teka-teka terus kepada LnF yang jauh lebih mencabar.

Walaupun ‘trick?Afdlin sudah biasa untuk filem-filem luar. Benar apabila ’sang pengarah yang juga empunya cerita menegaskan bahawa terdapat unsur-unsur Sherlock Holmes. Bukan sesuatu yang mudah menggarap fiksyen yang mempunyai ‘twist’berkali-kali seperti yang dilakukan oleh Afdlin dalam LnF. Ini mengingatkan saya kepada filem-filem M. Night Shyamalan seperti The Village dan The Sixth Sense.

Kritik sosial

Saya meletakan Afdlin satu kategori bersama pengarah yang baru memenangi festival filem Malaysia, Mamat Khalid. Dalam gaya santai dan humor, mereka berdua menyampaikan banyak makna, nasihat dan kritikan. Secara sinis, Mamat banyak sekali menyindir banyak pihak dalam naskah-naskah filemnya. Begitu juga Afdlin.

Menerusi LnF, Afdlin menyelitkan komentar tentang rakan kongsi dalam perniagaan versus persahabatan. Bagaimana Los dan Faun menghadapi konflik kepercayaan. Pertelingkahan siapa menyumbang lebih banyak dalam perniagaan. Dalam pada masa yang sama ada pihak ketiga yang ingin mengambil kesempatan.

Selain itu, secara sepintas lalu Afdlin menyentuh isu homoseksual. Dengan menunjukkan sampul dvd filem Brokeback Mountain dan perbualan Faun dan salah-sangka ayahnya.

Lof dan Faun menghiburkan. Dari aspek kompleksiti cerita Los dan Faun paling baik dari Afdlin. Namun dari sudut humor Buli dan Baik Punya Cilok lebih baik.

Saya hanya mahu lihat reaksi orang-orang akademik dan orang filem terhadap LnF. Tungguh FFM berikutnya.

Label: ,

Satu Respons bagi “Filem : Los Dan Faun (2008)”

  1. gerektua Berkata:

    waah dah lama sangat tunggu cite ni kuar… hujung minggu ni nak gi tgk ni

Tinggalkan jawapan