Filem : Eliana, Eliana (2002)

By Riduan Khairi

eliana_eliana

Saya bukan pengulas filem yang baik. Jauh sekali memasang angan-angan mahu menjadi pengkritik filem. Yang penting saya suka membaca ulasan @ kritikan dari Johan Jaafar, A Wahab Hamzah, Hassan Mutalid dan beberapa blogger lain. Itu benar. Saya suka.

Saya sekadar berkongsi apa perasaan saya pada setiap kali menonton sesebuah filem.

Eliana, Eliana, bak kata pengarahnya Riri Reza, ia seakan sebuah eksperimen terhadap gagasan dogma. Entah, apapun saya tidak mengerti. Saya berkeras untuk memahami apa-apa pun teori tentang filem dan cara bikinannya. Saya mahu kekal sebagai penonton.

Saya melihat Eliana, Eliana sebagai sebuah filem yang ringkas jalan ceritanya (kurang dari 12 jam tempoh ceritanya). Namun melalui peristiwa satu malam itu, ia mengungkap kisah puluhan tahun. Bermula dari kenangan Bunda (Jajang C. Noer) berkahwin pada usia muda, detik Eliana dibesarkan oleh Bunda dalam kemewahan, hingga ke peristiwa Eliana dinikahi secara paksa dan lari meninggalkan kota Padang ke kota Jakarta.

Jiwanya sangat besar. Melewati konflik pertentangan pendapat dua generasi, ibu dan anak. Ini merupakan luahan hati pengarah terhadap pertentangan generasi muda dan generasi tua.

Filem ini mengingatkan saya kepada sebuah novel kecil yang ber’isi’ besar, Perburuan oleh Pramoedya Anantra Toer. Karya kecil penulis besar ini hanya mengandungi 4 bab, setiap bab untuk satu babak. Walaupun hanya empat babak, namun novel pertama Pram ini mampu mengungkap persoalan merentasi cinta, pengkhianatan, sejarah bangsa dan perjuangan. Elian, Eliana juga punya ciri yang sama.

Label: , , ,

Tinggalkan jawapan