Menasihati Pemimpin Dengan Cara Yang Islami

Forum Menasihati Pemimpin Berdasarkan Al-Qur’an, As-Sunnah dan Pendapat Ulama’ Muktabar

Latar Belakang

Forum ini dicadangkan rentetan ucapan Ustaz Fathul Bari di Perhimpunan Agung UMNO tentang metod menasihati pemimpin. Respon kepada hal itu, sebuah buku Menasihati Pemimpin Berdasarkan Maqasid Syar’iyah diluncurkan. Buku ini ditulis oleh Ustaz Wan Ji Wan Hussin, seorang ahli dan aktivis PAS.

Dua panel ini bersetuju untuk duduk semeja membincangkan metod yang benar menasihati pemimpin. Skop perbincangan difokuskan kepada sumber-sumber rujukan berdasarkan Al-Qur’an, as-sunnah dan pendapat ulama’ yang muktabar.

Sebelumnya, Ustaz Fathul Bari menegaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO bahawa secara umumnya menasihati pemimpin itu tidak boleh dilakukan secara terbuka. Manakala Ustaz Wan Ji pula menjelaskan melalui bukunya, bahawa menasihati pemimpin tidak semestinya dilakukan secara sembunyi dan boleh dilakukan secara terbuka.

Forum ini berusaha mencari titik temu antara dua pandangan berbeza ini dan mencari metod yang paling hampir dengan kehendak Kitab dan Sunnah nabi.

Hujah Ustaz Wan Ji

Setiap panel diberikan 20 minit untuk membentangkan hujahnya. Ustaz Wan Ji memulakan hujah dengan membawakan tugas dan tanggungjawan pemimpin. Beliau menukilkan beberapa pendapat dari sarjana Islam seperti Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim al-Jawziyah.

Selepas itu beliau melanjutkan lagi beberapa kriteria pemimpin yang boleh digugurkan dari pemerintahan. Antara yang sempat saya catat ialah pemimpin yang murtad, hilang kelayakan (seperti gila dsb), meninggalkan solat dan beberapa ciri lagi.

Ustaz Wan Ji mengambil masa yang agak panjang untuk menjelaskan dua perkara ini. Dan pada akhir sesi yang pertama ini beliau mengkiaskan bahawa jika ada pemimpin itu boleh digugurkan, maka tentunya boleh ditegur secara terbuka.

Hujah Ustaz Fathul Bari

Beliau memulakan pembentangan dengan menegaskan bahawa beliau bersetuju dengan definisi dan butir-butir hujah Ustaz Wan Ji tentang tanggungjawab pemimpin dan pengguguran pemimpin. Menurut beliau, Ustaz Wan Ji lari dari topik asal forum iaitu kaedah menasihati pemimpin. Pada beberapa ayat terakhir hujah Ustaz Wan Ji sahaja beliau sempat melakukan kias jika menggugurkan pemerintah dibenarkan, maka tentunya menegur secara terbuka juga dibenarkan.

Menegur Pemimpin Tidak Boleh Dilakukan Secara Terbuka

Ustaz Fathul Bari memulakan hujah dengan membawakan kaedah yang benar untuk memahami perintah dan larangan agama. Asas Islam ialah Al-Qur’an dan Sunnah. Dan untuk memahami dua asas ini perlulah kembali kepada kaedah para sahabat memahahinya.

Ustaz Fathul Bari membawakan beberapa hadis tentang larangan menasihati pemimpin secara terbuka.

Hadis ‘Iyadh bin Ghanm

Hadis pertama ialah dari ‘Iyadh B. Ghanm. Beliau berkata, “wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau tidak (belum) mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemimpin) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya.

(Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 14792. Ibnu Abi ‘Ashim, 3/102, no. 910. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Zhilalil Jannah, no. 1096. Begitu juga di dalam Mu’amalatul Hukkam fi Dhauil Kitab was Sunnah, Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas turut menjelaskan kesahihan hadis ini dengan membawakan beberapa jalan periwayatan dan penguat serta turut menukilkan pensahihan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawa’id, 5/229)

Di dalam Kitab Dzilalil Jannah (Takhrij as-Sunnah Ibn Abi ‘Ashim), hadis ini diletakkan di dalam bab:Bagaimana rakyat menasihati penguasa.

Hadis Usamah bin Zaid

Daripada Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Seseorang berkata kepadanya: “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?”. Maka Usamah menjawab:

“Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku harus memperdengarkannya (memberitahu) kepadamu? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.”

(Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 14/261, no. 5305)

Dalam sesi soal jawab Ustaz Wan Ji membantah beberapa dalil yang dibawakan oleh Ustaz Fathul Bari. Beliau membawakan beberapa perkataan ulama tentang kedudukan hadis Iyadh bin Ghanm. Beliau membacakan beberapa jalan riwayat hadis itu dan melemahkan kesemua jalan (istilah ilmu hadis : turuq).

Hal ini kemudian dijawab semula oleh Ustaz Fathul Bari. Beliau mengakui terdapat beberapa sarjana Islam yang melemahkan beberapa orang perawi dalam hadis ini. Namun begitu beliau cenderung kepada hujah Albani tentang kesahihan hadis ini. Bahkan tambah beliau lagi, Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wad’ie juga sependapat dengan Albani mensahihkan hadis ini.

Hadis ini juga dianggap sahih kerana maknanya disokong oleh hadis lain yang sahih seperti hadis Usamah bin Zaid.

Hadis Abu Said Al-Khudri menasihati pemimpin secara terbuka.

Ustaz Wan Ji kemudiannya juga membawakan hadis sahabat Abu Said Al-Khudri yang menasihati khalifah yang mahu membaca khutbah hari raya sebelum solat. Hal ini dilakukan secara terang-terangan. Ustaz Wan Ji menegaskan bahawa berdasarkan hadis ini, dapat difahami menasihati pemimpin boleh dilakukan secara terbuka.

Ustaz Fathul Bari menegaskan bahawa prinsip ahlu sunnah dalam mengeluarkan hukum ialah dengan mengumpulkan semua dalil. Kemudia dari semua dalil itu barulah kesimpulan hukum dapat dibuat. Adalah sesuatu yang fatal dan keliru jika hanya mengambil satu hadis yang terus mengambil hukum darinya.

Hadis Abu Said al-Khudri perlu didudukkan bersama hadis Iyadh bin Ghanm dan hadish Usamah bin Zaid. Apabila semua dalil ini dikumpulkan barulah kita dapat memahami bahawa secara umumnya menasihati pemimpin itu dilakukan secara sembunyi ‘empat mata’. Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis Abu Said Al-Khudri menyatakan beberapa syarat dan situasi pemimpin boleh dinasihati secara terbuka. Antaranya :

-         dalam hal yang tidak boleh tangguh seperti urusan solat dalam kes ini

-         dilakukan oleh individu yang punya autoriti. Dalam kes ini Abu Said Al-Khudri merupakan sahabat Nabi yang dihormati.

Beginilah kaedah yang benar memahami dalil Kitab dan Sunnah.

Komentar

Pembentangan dan jawapan dari Ustaz Fathul Bari tersusun, dan konsisten. Walaupun beberapa kali provokasi dilakukan oleh Ustaz Wan Ji menyebabkan beliau sekali sekala tersasar. Ditambah juga dengan ‘pukul curi’ yang dilakukan oleh moderator terutama pada ucapan penutup majlis dengan menyindir ahli keluarga pemimpin negara dan yang lebih menyayat hati ialah ucapan kesimpulan (yang tiba-tiba masuk dalam agenda) oleh seorang doktor dalam bidang falsafah. Beliau mengatakan puka khawarij sudah tiada lagi selepas zaman Ali bin Abi Talib. Mungkin beliau belum habis baca Sunan An-Nasa’i yang menyatakan bahawa Dajjal akan keluar dari golongan Khawarij pada akhir zaman.

Tidak dapat dinafikan ucapan Ustaz Wan Ji kuat berbau khawarij. Beliau cuba menunjukkan bahawa pemerintah hari ini telah melakukan kekufuran dan wajib dijatuhkan. Ketika Ustaz Fathul menyebutkan beberapa kali tentang amar makruf nahi mungkar, Ustaz Wan Ji menyebutkan, “bukan mahu cegah mungkar, sebaliknya mahu kuasa”.

Saya menghargai kesungguhan Ustaz Wan Ji membawakan perkataan ulama muktabar seperti Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim. Begitu juga beliau membawakan hadis Abu Said al-Khudri.

Seperti dijelaskan oleh Ibnu Qayyim, kesesatan umat Islam berpunda dari dua hal iaitu “niat yang buruk” dan “kaedah memahami yang buruk”.

Kita bersangka baik kepada saudara sesama muslim seperti Ustaz Wan Ji, bahawa niat beliau ikhlas dan murni. Namun tidak dapat dinafikan kesalahan beliau banyak berlaku pada metod atau kaedah memahami dalil. Ahlu Sunnah mengumpulkan kesemua dalil dan membuat kesimpulan dari semua dalil. Ironinya metod ini tidak diikuti oleh Ustaz Wan Ji, saya percaya beliau telah membaca banyak dalil dan perkataan ulama’, namun beliau hanya mengemukakan dalil yang sepakat dengan objektif dan kehendak beliau dan parti yang beliau dokongi.

Dalam kes ini beliau membawakan hujah dari Ibnu Qayyim dan Ibnu Taimiyah. Namun saya ragu-ragu beliau mengutip pandangan Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim dalam hal-hal dan kes-kes yang lain.

Label: , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: