Arkib bagi Kategori ‘Novel Indonesia’

Sastera dari Hamka

Julai 1, 2009

hamka - tenggelamnya

Klik gambar untuk baca rebiu.

Sastera : Keluarga Gelilya

Mei 31, 2009

Klik gambar untuk baca rebiu

untitled

Maryamah Karpov

Mac 1, 2009

Saya diherdik kerana mengambil masa yang lama untuk melunasi pembacaan novel ini. Jika kalian membaca kerana ingin tahu akan ceritanya, hanya satu malam diperlukan untuk menamatkan novel  setebal 500 halaman ini. Yang paling tebal dalam tertalogi Laskar Pelangi.

Ibarat memakan sepotong kek yang enak. Saya menjamah Maryamah Karpov dengan teliti dan perlahan sekali. Seperti siput berjalan layaknya. Supaya setiap denai dan tebing saya jejak habis.

‘Cerita Andrea’ tidak saya ragui sejak Laskar Pelangi. Di mana-mana ada cerita, baik besar atau kecil. Saya menjamah Maryamah bukan kerana ceritanya semata. Sebaliknya menghayati bagaimana Andrea melukis kisah peribadinya  menggunakan huruf dan perkataan.

Sinopsismaryamahkarpov1

Maryamaha Karpov : Mimpi-mimpi Lintang merupakan sinambungan kisah hidup Andrea Hirata sekembali dari Perancis. 10 sahabat laskar pelangi berkumpul semula meneruskan misi hidup mereka. Sungguh Ikal (altar ego Andrea) ditakdirkan tuhan untuk melalui begitu banyak peristiwa mencabar. Dari mencabut gigi di klinik gigi hinggalah ke misi menyelamatkan amoi di kepulauan lanun mengalahkan cerita lanun Pulau Karibean. Sungguh!

Ulasan

Ada beberapa bahagian dari novel ini berkisah secara sangat teknikal. Terutama bab Ikal dan laskar pelangi membangunkan perahu yang kemudiannya dinamakan oleh Ikal sebagai Mimpi-mimpi Lintang. Ia dibaca sangat teknikal.

Saya memetik satu rangkap puisi Ikal

Buang yang paling manis dari berani bermimpi

Adalah kejadian-kejadian menakjubkan

Dalam perjalanan menggapainya

Saya sangat merekomen tetralogi ini. Selepas tetralogi Bumi Manusia, inilah bahan yang wajib dibaca oleh pencinta kehidupan.

Maryamah Karpov

Februari 4, 2009

maryamahkarpov1Haha. Kepada peminat-peminat Andrea Hirata di Malaysia jangan marah. Saya sudah mendapatkan naskah edisi Indonesianya. lambat sangat terjemahannya dikerjakan.

Naskah ini dibeli oleh seorang teman baik saya. Jenuh saya rekomen suruh baca buku ini, namun masalah bahasa menjadi halangan. Dia yang sudah terbiasa dengan buku-buku dalam bahasa Indonedia tulen menolak untuk menikmati karya edisi terjemahan. Baru-baru ini dia pergi ke Pekan Baru, Riau. Keempat-empat siri ini dia beli.

Selamat membaca kepada saya.

Baca lagi.

Novel : Ayat-Ayat Cinta

April 1, 2008

ayat2-cinta.jpg 

Penulis  : Habiburrahman El-Shirazy, Sarjana Al-Azhar University Cairo
Editor    : Noraini Abu
Halaman : 503
Harga   : RM 22.90

Pemenang pena Award Novel Terpuji Nasional 2005
Pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favourite Book 2005

Khabarnya bestseller di Indonesia mengalahkan jualan siri novel Harry Potter.

Sinopsis

Ayat-Ayat Cinta (AAC) seperti mafhum judulnya mengangkat tema cinta 4 segi yang sangat biasa dikisahkan dalam kebanyakan novel popular. Fahri penuntul sarjana berasal dari Indonesia terperangkap godaan cinta 3 wanita. Nurul ; gadis Indonesia yang sama menuntut di Kaherah yang menjadi idaman hati Fahri, Maria : gadis Mesir Kristian Koptik yang tinggal satu tingkat atas dari rumah fahri menyewa. Aisha : wanita berpurdah berdarah Jeman, Turki dan Palestin yang akhirnya menjadi isteri pilihan Fahri. Tidak ketinggalan watak wanita keempat yang menjadikan novel ini satu cerita, Noura ; wanita malang yang didera keluarga (yang akhirnya disedari bukan keluarga kandungnya), kemudian memporakperandakan hidup Fahri akibat menolak cinta nya. (sebelum itu Fahri melalui Maria pernah menyelamatkan Nouri.

Teknik

Plot-plot cerita dibangunkan dengan baik. Dikembangkan sederhana. Penulis tidak terlalu bersusah-payah memberi gambaran lokasi yang menjadi latar cerita ini. Pun begitu ianya masih estetik dan diingati. Pengarang lebih memberi perincian dari sudut nilai, pemikiran dan ideologi dalam naskah ini. Ini terkesan melalui perbahasan-perbahan fikih yang adakalanya diperpanjangkan dengan kadar yang berpatutan. Banyak rujukan nama-dan-judul-kitab dibuat. Ini yang memancing minat saya untuk membaca buat kali yang keseterusnya. Iya , kali pertama untuk tahu cerita. Kali kedua tentunya untuk lebih meneliti ide dan inti nya. Ini yang dipesankan Pak Samad (SN A.Samad Said) kepada penulis muda berbakat besar Faisal Tehrani (tetapi kenapa akhir-akhir ini kuat benar bau syiah dalam karyanya).

Pada saya novel ini kuatnya pada analisi fiqhnya yang mendalam.

Penutup yang cemerlang

Dan novel ini ditutup dengan bab yang sangat sadis. Maria yang bermimpi merayau-rayau mahu masuk ke syurga tapi dihalang lantas bertemu dengan Maryam ibu Isa. Bab ni ditulis dengan penuh emosi dan harapan. Hampir saja saya menitiskan air mata. Tanpa bab akhir ini saya kurang pasti adakah impaknya akan sama.

Pak Samad mengkelaskan AAC bersama ‘Ateist’, ‘Bumi Manusia’, ‘Merahnya Merah’, ‘Perburuan’ dan ‘Pulang’. Saya hampir bersetuju kalau dikelaskan dari sudut kejutannya pada dunia sastera Indonesia. Tapi dari sudut kesan dan kebesaran jiwa yang ada dalam AAC saya kira mungkin belum mampu menandingi besarnya Bumi Manusia dan yang seangkatan dengannya.

Novel popular

AAC dikategorikan sebagai novel popular. Satu kerana jualannya laris. Dibeli oleh orang yang banyak. Dua, Bertemakan cinta yang sering diangkat. Tiga, penggunaan bahasa yang mudah, sedikit pasar dan pecah (broken).

Saya tidak ada masalah dengan novel itu popular atau tidak. Serius atau cinta. Selagi mana ia mengangkat nilai murni sebagai tema, mempromosikan Islam sebagai cara hidup yang terbaik, dan ditulis dengan baik. Pada saya AAC adalah novel cinta yang berkualiti dan punya nilai intelektual yang tinggi.

Novel : Edensor (2008)

Februari 12, 2008

Penulis : Andrea Hirata
Penterjemah : Noor Suraya Adnan Salehuddin
Penerbit : Pts Litera Utama (2008)

Sungguh saya terkejut, kerana terserempak dengan naskah ketiga dari tetralogi genius alaf baru ini. Tidak terjangka novel ini akan keluar sangat cepat. Tanpa hitung-hitung saya usahakan sedaya-upaya ‘by hook or by crook’ untuk memiliki novel ini.

Dalam bahagia ketiga ini, Andrea mengimbas zaman kanak-kanaknya, rahsia tarikh kelahiran, juga Andrea membongkar rahsia menemukan nama Andrea Hirata pada tubuhnya. Tiga kali namanya ditukar rupanya.

Zaman kanak-kanak Andrea sangat nostalgik. Perjalanan hidupnya tidak lurus dan rata. Oleh yang demikian Andrea berjaya menemukan banyak sekali anekdot-anekdot dirinya yang indah dan menakjubkan untuk diceritakan.

Setiap orang sebenarnya mempunyai kisah dan pengalaman yang menarik. Hanya saja kita masih belum menemukannya untuk diceritakan. Kita sangka kisah itu tidak menarik dan hambar, jauh sebelum ita menceritakannya. Bagitu yang berlaku kepada naskah pertama Laskar Pelangi, yang ditulis hanya sebagai kenangan kepada guru-guru Andrea. Ia dicuri rakan sepejabat dan dihantar kepada penerbit. Tidak disangka-sangka, ‘boom’.

Apa kalian pernah mencangkung di atas titian batang kelapa membuang air besar. Yang dibawahnya anak sungai melompat-lompat ikan-ikan keli dan anak haruan menunggu juadah? Itu cerita abah.

Kemudian Andrea melanjutkan kisah hidupnya bersama Arai di Sorbone, Perancis. Perjalanan ‘backpacking’nya sangat memberikan saya inspirasi untuk menjelajah dunia. Bukan sekadar menjelajah, namun menjelajah dunia tanpa membawa sebarang ringgit mahupun dollar. Rupiah dan bath juga tidak. Ada berani? Dan Arai dan Ikal sudah membuktikan, dengan hanya sepasang kostum ikan duyung.

Ulasan

‘Andrea bikin filem dengan kata-katanya’, itu kata seorang penulis novel yang lain. Ya, saya sangat setuju. Visualisasinya mengingatkan kepada naskah Bapak Pram dan jika di negara kita saya teringat Tulang-Tulang Berserakan (Usman Awang), ketika melukiskan : lori berjalan melenggang-lenggang.

Setiap kali menghabiskan satu mozak (baca : bab) kehidupan Andrea, setiap kali itu saya terpaksa berhenti untuk termenung dan berfikir. Termangu. Itu perkataan yang paling tepat Andrea menyudahkan setiap mozak dengan perenggan yang mengesankan dan berfalsafah.

‘Perbuatan-perbuatan kecil yang buruk tak ubah seperti bayi-bayi jantan Hyena, dia akan tumbuh sama ada cepat atau lambat, akan mengepung induknya sendiri.’
Tentang cabaran ‘backpacking’ :

‘Kami dicampakkan dalam keadaan lapar, mulut bengkak dan hati yang terluka…. Beberapa batang pohon plum tumbuh liar dekat kami. Musim berbuahnya telah berlalu, bahkan putik-putiknya tak kelihatan lagi. Kami gasak daun-daunnya. Rasanya, tak dapat kugambarkan kerana aku mengunyahnya sambil memejamkan mata, dan menahan nafas. (halaman 178).

Dan pembukaan yang tragik bagi sebuah novel inspirasi :

Aku berteriak-teriak, tapi suaraku surut dihisap sunyi semenanjung, serak ditingkah riak ombak, sayup-sayup ditelan angin, terhalau ke Laut China Selatan…. Di kuburan usang, di antara nisan para pendusta agama itu, aku sedar aku telah belajar mencintai hidupku daripada orang yang membenci hidupnya, dan Weh adalah orang pertama yang mengajarku mengenal diri.

Bacalah. Tanpa perlu saya koman apa-apa lagi.

Novel : Di bawah Lindungan Kaabah

Disember 25, 2007

Penulis : Hamka Penerbit : Pustaka Dini  Buku ini sebuah karya kecil Hamka (dari segi saiz) akan tetapi tidak kecil jiwa di dalamnya. Pada saya ini bukan karya Hamka akan tetapi sekadar catatan. Pun begitu jiwa dan nilainya tetap besar.  Kali pertama saya beli sebagai hadiah hari lahir seorang kenalan. Kali kedua saya beli baru milik saya. Kepingin sekali saya nak khatam dan hadam karya-karya tulisan Bung Hamka yang lain.  Novel ini merupakan kisah yang diceritakan semula. Kisah pengalaman hidup seorang pemuda yang bercerita kepada penulis. Seorang anak muda yang dibiaya oelh seorang hartawan hingga keperingkat universiti. Akhirnya jatuh cinta dengan anak hartawan tersebut. Namun takdir menentukan gadis yang selama ini terasa seperti darah daging sendiri, bukan jodohnya.  Kisah cinta yang dilakarkan dalam novel ini mengingatkan saya kepada sebuah lagi karya Bung Hamka ; Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk. Karya Bung Hamka lain yang sempat saya khatamkan ialah Kenang-Kenangan Hidup dan Dari Lembah Kehidupan. Pada saya karya Bung Hamka kaya dengan filsafat.