Archive for the ‘Seminar & Syarahan’ Category

Syaikh Wahbah az-Zuhaili @ Masjid Shah Alam

Januari 11, 2010

Saya berkesempatan menghadiri syarahan umum oleh tokoh Maal Hijrah tahun 2008. Syarahan ini diterjemahkan oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, mantan YDP Persatuan Ulama’ Malaysia.

3 ciri utama Islam

Syaikh az-Zuhaili membincangkan 3 ciri utama agama Islam yang tidak dimiliki oleh agama dan sistem hidup yang lain.

Pertama : Alamiah

Alamiah bermaksud sejagat. Beliau membezakan antara alamiah dan globalisasi. Antara perbezaan itu ialah Islam yang ‘alamiah’ membawa rahmat ke seluruh alam. Sebaliknya globalisasi membawa penindasan kepada negara-negara lemah dan negara-negara  dunia ketiga.

Kedua : Khatamiah (penutup)

Ini bermaksud tidak ada lagi agama lain yang akan muncul dari Allah.

Ini penegasan kepada mana-mana individu yang telah @ akan mengaku di utus menjadi Nabi. Nabi Muhammad dalam satu hadith yang sahih pernah menyebut, menjelah hari kiamat akan muncul 30 orang mengaku menjadi nabi selepas beliau.

Dalam satu hadith yang lain, Nabi Muhammad menyebut Islam sebagai binaan. Namun terdapat satu ruang batu yang masih kosong, yakni belum lengkap. Dan beliau hadir sebagai batu yang akan melengkapkan bangunan itu.

Buku Dr az-Zuhaily yang sudah diterjemahkan oleh DBP dan ditaja oleh YaPEIM

Imam Muslim dan yang lainnya meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Perumpamaan saya dan para Nabi sebelum saya seperti orang yang membangun satu bangunan lalu dia membaguskan dan membuat indah bangunan itu kecuali tempat batu yang ada di salah satu sudut. Kemudian orang-orang mengelilinginya dan mereka ta’juk lalu berkata: ‘kenapa kamu tidak taruh batu ini.?’ Nabi menjawab : Sayalah batu itu dan saya penutup Nabi-nabi”.

Baca lagi hadith-hadith bukti Nabi Muhammad adalah anbi terakhir. Klik.

Ketiga : Khulud (abadi)

Laman Professor Dr Wahbah az-Zuhaili. Klik.

Qaradawi @ Masjid Shah Alam

Disember 20, 2009

Syarahan Qaradhawi kali ini diterjemah oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dengan begitu baik sekali. Hampir tidak ada perkataan Qaradhawi yang tidak beliau terjemahkan.

Qaradhawi memulakan syarahan dengan merakamkan penghargaan beliau kepada kerajaan Malaysia dan kenalan baiknya DS Anwar sendiri. Beliau menghimbau kenangan pertama kali melawat Malaysia atas jemputan DS Anwar bagi membantu mengatasi kemelut UMNO pada tahun 1978.  Sehingga kini beliau sudah datang menziarahi Malaysia 7 atau 8 kali.

Kemudian beliau menegaskan perjuangan membebaskan Masjid al-Aqsa. Syaikh Yusuf Al-Qaradawi pernah sebuah buku khas membicarakan tentang perjuangan mendapatlan Masjid al-Aqsa.

Hijrah

Dalam syarahan lebih satu jam ini (termasuk terjemahan), beliau membawakan beberapa pengajaran dari peristiwa hijrah Rasul. (Tiada satu pun dari pengajaran itu supaya kita berarak setiap tahun dan berselawat beramai-ramai atau berzanji/qasidah).

Beberapa pengajaran yang beliau sebut :

1. Sabar dalam perjuangan (beliau menulis buku :Al-Quran Menyuruh Kita Bersabar)

2. Membuat perancangan dan menyusun strategi untuk berdakwah

3. Di Madinah, Nabi mula mengasaskan masyarakat Islam. Qaradhawi tidak menggunakan istilah negara Islam, sebaliknya masyrakat. Beliau menegaskan masyarakat bermula dengan kumpulan  (beliau menggunakan istilah jamaah). Namun dalam syarahan ini beliau tidak memberi definis yang terperinci tentang jamaah.

Beliau membawakan contoh lafaz surah Al-Fatihah yang menggunakan kata ganti ‘kami’.

4. Beliau juga membawakan perbezaan pendekatan Al-Quran (ayat) fasa Mekah dan fasa Madinah.

5. Perkara pertama yang dilakukan nabi di Madinah ialah membina masjid. Fungsi masjid di zaman nabi luas. Masjid sebagai tempat ibadah, tempat menuntut ilmu dan menyelesaikan persoalan umat.

6. Kemudian nabi mengadakan pasar, tempat berniaga sebagai alternatif kepada pasar yang dikuasai oleh golongan bukan Islam. Bukan sekadar beliau mengadakan pasar, bahkan nabi sering memantau urusniaga agar sentiasa patuh kepada syara’. Syaikh Yusuf Qaradhawi membawakan contoh, satu hari nabi menyeluk tangannya ke dalam timbunan kurma dan mendapati bahagian bawah timbunan kurma itu basah. Nabi menegaskan bahan dagangan hendaklah dikelaskan dengan gred. Yang kurang berkualiti / rosak dijual dengan harga lebih murah.

7. Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar. Beliau membawakan contoh Abdurrahman Auf disaudarakan dengan Saad bin Rabi’.

Pada akhir syarahan (mungkin atas persahabatan beliau dengan DS Anwar) Qaradawi membawakan kisah fitnah yang menimpa Aishah. Isteri nabi itu dituduh curang oleh golongan munafik ketika tertinggal dalam satu perjalanan. Panjang lebar juga Shaikh Yusuf menjelaskan golongan munafik dan ciri-cirinya. ‘Mereka berada di kalangan kita, orang Islam’, tegas beliau.

Doa

Selepas selesai menyampaikan syarahan, beliau diminta oleh penganjur untuk mengetuai bacaan doa. Antara doa yang beliau bacakan termasuk doa untuk menutup aurat/aib dan doa untuk memenangkan orang Islam ke atas orang kuffar.

Antara yang hadir termasuk :

Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim (MB Selangor) , Dato Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Dato Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Ekonomi Selangor), Dato Hassan Ali (Exco agama), Datok Khusrin (Pengarah JAIS), dan Nik Nazmi (Setpol MB Selangor).

Beberapa catatan menarik

1. Syaikh Yusuf Qaradawi menjadi imam solat maghrib. Beliau membaca Surah al-Fatihah dengan membaca bismillah perlahan. Kemudian juga beliau tidak berzikir dan berdoa kuat selepas solat.

2. Selepas azan Isya’ dilaungkan beliau berdoa (doa selepas azan) tanpa menadah tangan. Saya tampilkan beberapa artikel berkaitan menandah tangan ketika berdoa. Link1, Link2.

3. Tidak pula JAIS menangkap Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi kerana mengajar tanpa tauliah atau mengajar lain dari mazhab arus perdana (meminjan istilah Uthman Muhammady). Banyak pegangan Qaradhawi yang tidak mengikut ‘arus perdana’.

4. Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi antara orang yang dikafirkan oleh golongan Ahbash. Ahbash juga mengkafirkan Ibnu Tamiyah dan Ibnu Qayyim Al-Jawziyah. Kedua tokoh ini banyak mempengaruhi Qaradhawi. Lihat laman yang membongkar aktiviti ahbash klik1. Ironinya YADIM memberikan pandangan yang kontra tentang Ahbash.

5. Sebilangan penceramah dan ustaz dipengaruhi oleh golongan Ahbash. Antara yang dikaitkan dengan Ahbash termasuk Zamihan Al-Ghari dan Mahfuz Muhamad. Dua penceramah agama ini sangat agresif, sehinggakan pihak JAKIM sendiri berlepas diri dari tindakan Zamihan, mankala JAIS sendiri berlepas diri dari sebarang kenyaatn yang dikeluarkan oleh Mahfuz. Semoga Allah memberi petunjuk kepaad mereka.

Catatan Dr. Maza tentang Syaikh Yusuf Qaradhawi klik

Catatan dari Malaysiakini. Klik.

Qaradawi @ PICC, Putrajaya

Disember 20, 2009

Kedatangan Syaikh Yusuf Qaradhawi ke Malaysia kali ini untuk menerima anugerah tokoh Maal Hijrah. Baca biografi beliau di Wikipedia klik.

Ribuan hadirin membanjiri Dewan Plenari PICC. Hampir separuh kerusi berisi.

Beliau menyampaikan syarahan berkaitan buku terbaru, Fiqh Jihad.

Dalam syarahannya beliau membahagikan umat Islam kepada 3 golongan terhadap jihad.

Golongan pertama menolak jihad mengangkat senjata sepenuhnya. Menurut mereka jihad mengangkat senjata sudah mansukh. Antara pendokong kuat faham begini ialah penganut Qadiyani yang diasas oleh Mirza Ghulam Ahmad (baca lagi di Wikipedia).

Golongan kedua pula ialah puak yang lekas dan terburu-buru mengankat senjata untuk berjihad. Saya memasukkan contoh-contoh golongan ini termasuk Usamah b Laden. Qaradhawi menjelaskan lagi termasuk dalam jenis ini ialah puak Khawarij yang senang menjatuhkan hukum mengkafir dan menyesatkan orang Islam yang lain.

Golongan ketiga ialah golongan sederhana.  Inilah golongan yang selamat.

Syaikh kemudian membawakan 13 jenis (peringkat) jihad menurut Ibnu Qayyim Al-Jawziyah (baca biografi beliau). Saya tidak berhasrat menitipkan hujah beliau satu demi satu.

Orientalis a.k.a ‘musytasyraqun

Beliau juga menjawab beberapa tohmahan golongan orientalis bahawa ‘ Islam disebarkan di bawah mata pedang’. Begitu banyak bukti, fakta, dan hujah beliau bawakan betapa Islam agama rahmat dan keamanan. Beliau membawa contoh hadis nabi mengatakan nama yang paing disuka oleh Allah ialah Abdrurahman dan Abdullah. Dan nama yang dibenci oleh Allah satu darinya ialah ‘Harbun’ yang bermaksud perang. Memberi nama anak dengan nama perang pun Islam tidak suka, masakan Islam mempromosi keganasan dan peperangan.

Kualiti terjemahan yang buruk

Syarahan Syaikh Al-Qaradhawi bertenaga, namun sangat sayang sekali terjemahan sesi ini dikendalikan dengan sangat lemah. Saya ditemani oleh rakan yang fasih dalam bahasa Arab, katanya banyak contoh dan keterangan tidak diterjemahkan. Ia juga turut diberi ‘catatan kaki’ oleh Dato’ Dr Mashitah Ibrahim dalam ucapan penutup.

Penterjemah hanya menyaring isi-isi penting dari syarahan ini. Tindakan ini menghilangkan ‘rasa’ dan semangat syarahan ini.

Antara yang hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitan Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM, dan Mufti Wilayah. Saya juga seperti terpandang Prof Izzi motivator tv dan radio.

Catatan Dr. Maza tentang Syaikh Yusuf Qaradhawi klik

Buat Mereka Yang Berfikir

Disember 13, 2009

For People Who Think

Syarahan umum setengah hari ini diadakan bersempena dengan penubuhan Islamic Renaisance Front. Juga berlangsung majlis pelancangan kitab tafsir Al-Quran karangan Muhammad Asad.

Majlis sepagi ini memberi fokus kepada sumbangan dan pemikiran Muhammad Asad, yang dipercayai melalui tafsirnya, memberi pendekatan baru untuk memahami Al-Quran.

Ucap aluan disampaikan oleh Dr Farouk Musa (Muslim Professional Forum) selaku orng kuat dibelakang IRF.

Kemudian diikuti oleh Prof Dr Kamal Hassan selaku penaung IRF.

Syarahan seterusnya disampaikan oleh seorang intelektual Islam antarabangsa, Tariq Ramadan. Sebelumnya saya tidak begitu mengenali latar belakang beliau.

Tariq Ramadan, merupakan anak kepada Dr Said Ramadan, cucu kepada Hassan Al-Banna (pengasas Ikhwanul Muslimin). Beliau pernah digelar Martin Lurter versi Islam dengan kritikan dan idea perubahan yang dibawa.

Secara peribadi beliau pernah mengenali Muhammad Asad. Justeru itu beliau dikira layak untuk bercakap tentang Muhammad Asad.

Muhammad Asad

Nama beliau saya kenal hanya melalui sebuah buku, Road To Mecca. Antara pemikiran beliau ialah:

  • menentang taqlid dalam beragama
  • mengutamakan tauhid dalam dakwah
  • memilih untuk mengutamakan teks asal agama yakni Al-Quran dan hadith mengatasi pendapat ulama’. Buktinya beliau menterjemah sendiri Al-Quran dan Kitab Sahih Bukhari

Pendekatan beliau ini layak buat beliau yang mahir dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Menurut Prof Kamal Hassan, terjemahan Al-Quran versi Muhammad Asad adalah pelengkap kepada terjemahan Al-Quran versi Abdullah Yusuf Ali.

Komentar saya

Kemunculan tokoh-tokoh intelektual seperti Muhammad Asad dan juga  Tariq Ramadan (beliau disenaraikan antara 10 intelektual dan pemikir abad ini oleh majalah Guardian UK bersama Yusuf Qaradhawi) adalah tindak balas golongan agamawan yang beku dan jumud dalam menafsirkan nas syara’.

Apa yang lebih menarik perhatian saya ialah latar belakang Muhammad Asad yang berdarah Yahudi. Tentu sahaja perspektif beliau melihat teks agama. Bukankah orang Yahudi seperti diberikan satu magik menjadi bangsa yang berkuasa walaupun jumlah mereka sangat sedikit.

Hanya sahaja dalam sesi ini saya agak tidak selesa dengan penegasan Tariq Ramadan akan ‘critical thinking’ . Berulangkali beliau menegaskan akan kepentingan ‘critical thinking’ dan ‘logical thinking’. Ini kerana persoalan saya, benarkah Islam mengajar kita untuk selalu kritikal.

Saya dari sekolah ‘lateral thinking’ yang percaya Al-Quran itu tidak semata-mata logik dan kritis semata. Di dalamnya termuat begitu banyak metod dan pola berfikir. Bahkan susun ayat Al-Quran itu sahaja tidak mengikut logik ia diturunkan. Juga bukan alfabet, juga bukan mengikut tema. Ia disusun mengikut perintah Allah melalui Jibril.

Tajdid dua sekolah

Tariq Ramadan, juga Muhammad Asad disebut-sebut dari sekolah kelompok pembaharuan. Nama-nama lain tidak terkecuali (disebut dalam syarahan) Maududi, Hasan Al-Banna, Qaradhawi, Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani. Semua mereka ini sarjana.

Namun untuk catatan, dalam senarai rujukan itu perlu dimasukkan sarjana-sarjana ‘sekolah’ lain yang turut menyumbang dalam dunia intelektual Islam semasa. Mereka termasuk Imam Muhaddith Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan Syaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimeen. Saya sebutkan 3 nama ini seperti yang beberapa kali ditegaskan oleh Dr A’idh Abdullah Al-Qarni, pengarang buku Jangan Bersedih.

Antara yang hadir termasuk Tun Dr Mahathir, Marina Mahathir dan ramai sarjana yang saya belum kenal.

Laporan Malaysian Today.

Seminar Pendidikan Tinggi Islam ke-7

November 3, 2009

DSCN2551

Antara panelis yang hadir membentangkan kertas kerja ialah ; Dr Uthman El-Muhammady, Tan Sri Professor Kamal Hassan, Professor Osman Bakar, Dato Siddiq Baba dan kata-kata aluan disampaikan oleh Dato Dr Siddiq Fadhil, Presiden Kolej Darul Hikmah.

Tema seminar kali ini ialah ‘ Melahirkan Generasi Ulul Albab’. Satu tema yang besar, bertitik-tolak dari 16 kali perkataan ulul albab disebut dalam Al-Quran. Seminar ini menekuni maksud tersirat dan tersurat seruan Al-Quran untuk melahirkan generasi ulul albab.

Tan Sri Professor Kamal Hassan

Tan Sri Prof Kamal Hassan menyenaraikan defenisi ulul albab menurut ahli-ahli tafsir. Lebih 10 definisi beliau bawakan. Ini pertama kali saya mengikuit ucapan bekas Rektor UIAM ini. Beliau lebih senang menukilkan pendapat tokoh dan sarjana terdahulu dari mengutarakan buah fikiran beliau sendiri.

Sikap ini agak tidak disenangi oleh seorang peserta dari sebuah pertubuhan pelajar universiti tempatan. Katanya, beliau tidak selesa dengan kutipan yang banyak, sebaliknya beliau mahu dengar pendapat dan buah fikir pembentang.

Inilah sikap seorang ilmuwan seperti Professor Kamal Hassan. Seperti kata pepatah Melayu, ‘resam padi semakin berisi semakin tunduk’. Seorang sarjana yang benar arif dan pakar selalu merasa rendah diri dan arif untuk melontarkan idea sendiri. Justeru beliau merasa cukup dengan kutipan dari Al-Quran, hadith dan kata-kata sarjana terdahulu.

Tidak seperti sebilangan penceramah yang memakai gelar berbagai. Kuliah mereka satu jam kadangkala penuh dengan idea dan buah fikiran sendiri sahaja. Obses dengan akal sendiri. Satu jam kuliah agama, hanya satu atau dua sahaja ayat Quran atau hadith yang dibaca, selebihnya apa?

Prof Emiritus Osman Bakar

Manakala Prof Osman Bakar menyebutkan beberapa ciri ulul albab menurut yang disebutkan oleh Al-Quran. Ciri-ciri yang beliau bawa bersandarkan 16 kali kata ulul albab disebut dalam Al-Quran.

2 pembentangan pertama ini merungkai maksud dan konsep umum tentang ulul albab. Namun momentum kedua pembentang pertama ini tidak diteruskan. Pada pembentangan kertas-kertas yang berikut tidak banyak poin yang dapat dikutip.

Dr Uthman el-Muhammady

Pembentangan Dr Uthman lebih merujuk kepada cendekia mengikut kacamata Imam Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun. Ini lantaran wacana beliau dari dulu sehingga sekarang tidak pernah berganjak dari dua tokoh itu.

Saya tidak punya masalah dengan itu, kerana kedua tokoh itu melahirkan karya besar yang sangat bermanfaat. Namun membataskan kajian dan bacaan dan terikat dengan dua tokoh ini adalah sikap yang merugikan.

Dalam khazanah ilmu Islam ada Ibn Kathir yang melahirkan tafsri dan kitab sirah Bidayah wan-Nihayah. Juga Ibnu Taimiyah (guru kepada Ibnu Kathir) dengan Majmu’ al-Fatawa yang berjumlah 18 jilid(betulkan angka jilid ini jika saya tersilap). Bahkan kitab-kitab wacana Ibn Taimiyah antara yang paling banyak dirujuk ulama kontemporari seperti Qaradhawi dan Al-Qarni. Ia meliputi bab politik kenegaraan, akidah dan pemikiran. Begitu juga nama-nama lain seperti Az-Zahabi, Ibn Qayyim, juga Imam-imam 4 mazhab dan imam-imam dari pengarang kitab hadith yang 7 (kutubus sittah).

Ulasan

Teman saya, seorang mahasiswa fakulti sains kesihatan mengadu sukar untuk mencerapbutir makna pembentangan dari para doktoral dan professor. Padahal mereka menggunakan bahasa Melayu.

Inilah yang dikatakan sebagai indeks kabus.

Para sarjana dan professor sebaiknya meneladani Al-Quran dan hadith nabi ketika berbiacara. Lenggok ayat dan patah klata dari Quran dan hadith indah bahasanya, dan dalam masa yang sama sangat mudah difahami oleh orang Arab. Baik mereka golongan bangsawan seperti Muawiyah b Abi Suffyan dan Abu Thalib, atau kanak-kanak seperti Abdullah ibn Abbas dan Zaid b Haritah juga termasuk orang asing yang merantau ke tanah Arab seperti Bilal b Rabah (Habsyah) dan Salman Al-Farisi (Iran).

Saya pesankan kepada teman saya yang kelihatan kesal, “Golongan terdahulu sanggup mengabiskan tenaga, masa dan wang yang banyak merantau semata-mata mendapatka satu hadith sahaja”. Justeru menghabiskan satu siang di semianr ini tentu sahaja ada beberapa kutipan yang bermanafaat.

Dr Mohd Asri ditahan

November 1, 2009

Saya baru kembali dari mengikuti kuliah bekas mufti kerajaan Negeri Perlis. Kira-kira jam 10 malam, beberapa minit sebelum kuliah berakhir, maljis dimaklumkan akan kehadiran pgawai penguat kuasa dari Jais.

Kuliah kali ini seputar kes memorandum yang dihantar oleh Persatuan Peguam Syarie kepada Yang Dipertuan Agong. Mereka membantah cadangan melantik Dr Mohd Asri menjadi Yang Dipertua YADIM.

Dalam ulasan beliau, juga termuat dalam sidang akhbar kelmari, beliau menegaskan adalah hak bagi persatuan atau mana-mana individu untuk membantah atau menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Namun apa yang mengecewakan ialah tuduhan berupa fitnah terhadap Dr Maza di dalam memorandum itu.

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan sangat berat seperti menolak hadith Imam Bukhari dan menolak Imam Nawawi dan Imam Ghazali. Sedangkan semua maklum Dr Maza sendiri mengajar kitab Riyadhus Solihin ketika menjawat jawatan mufti. Yang lebih mendukacitakan ialah, fitnah dan tuduhan ini dibuat oleh sebuah persatuan dari kalangan peguam syar ie. Tentu sahaja mereka faham dan arif tentang ehwal undang-undang dan hukum agama.

Beitulah rendahnya kredibiliti sebuah institusi yang disandarkan kepada agama.

Beliau juga sempat menghimbau cabaran yang dihadapi oleh Imam Bukhari ketika di Naisabur. Imam Bukhari diusir akibat selisih faham dengan gurunya Muhammad b Yahya az-Zuhli. Bahkan lebih menyayat hati, Imam Bukhari meninggal dunia dalam keadaan terusir. Namun seperti kata pepatah Arab, ‘yang terbaik akan kekal’. Nama Bukhari dipahat dalam sejaran tamadun Islam, tidak gurunya.

Begitu juga dengan cabaran yang berlaku kepada Hamka ketika berselisih faham dengan Mufti Kerajaan Negeri Johor. Ini terakam dalam buku beliau, Teguran Suci Buat Mufti Johor.

Dr Maza akhirnya dibawa ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan. Semoga Allah terus berikan beliau kekuatan, sabar dan teguh berjuang atas manhaj yang benar. Amin.

Women’s Right oleh Hussein Yee

Oktober 18, 2009

Syaraham Umum

Tajuk : Women’s Right : What Men Should Know, What Women Don’t Know
Penceramah : Sheikh Hussein Yee, Pengerusi Pertubuhan Al-Khadeem
Hadirin : 300 ++ orang
Bahasa pengantar : Bahasa Inggeris

Bahasa

Ada pro dan kontra apabila suatu syarahan itu disampaikan dalam bahasa Inggeris. Yang bagusnya, pelajar-pelajar antarabangsa yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik, tertarik untuk hadir. Pada majlis ini saya saksikan puluhan pelajar antarabangsa hadir. Termasuk pelajar Muslim dari tanah China. Mungkin sebahagiaannya bukan Muslim.

Kontranya pula, tentu ia memberi kredit yang lemah kepada dasar memartabatkan bahasa Melayu. Dan apa yang lebih malang lagi sebahagian besar orang Melayu belum menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

Kedua-duanya perlu ditimbang dengan cermat dan hati-hati. Pada saya, kedua-duanya perlu. Adakalanya bahasa menjadi penghalang untuk menyampaikan dakwah dengan baik. Dakwah Islam perlu disampaikan dalam semua bahasa.

Sheikh Hussein Yee

Beliau merupakan seorang tokoh Cina-Muslim yang aktif berdakwah. Selain beliau mungkin Dr Ridhuan Tee agak tersohor. Bahkan kerja dakwah mereka jauh lebih baik dari sebahagian besar ustaz dan orang agama bangsa Melayu. Sesuatu yang perlu direnungkan.

Hussein Yee merupakan salah seorang anak murid pakar hadith abad ini, Sheikh Nasiruddin Al-Albani.

Penyampaian beliau dalam bahasa Inggeris cemerlang, Dengan laras bahasa yang ringkas dan mudah difahami. Namun saya tetap perlu menterjemahkan isi ucapan beliau kepada beberapa teman yang duduk disisi.

Kehadiran Hussein Yee menarik sebilangan pelajar bukan Muslim dari bangsa Cina untuk turut sama mendengar. Situasi sama pernah berlaku di UTM suatu ketika dahulu ketika Dr Ridhuan Tee hadir menyampaikan syarahan.

Terbukti minat orang bukan Islam terhadap Islam sentiasa ada. Hanya sahaja sebahagian orang Islam dalam negara kita tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk menyampaikan dakwah. Sehinggakan orang Cina-bukan Muslim terpaksa menanti pendakwah dari kaunya sendiri.

Hak wanita

Syarahan ini diadakan sempena festival wanita di Universiti Malaya.

Sheikh Hussin Yee memulakan ucapan dengan menggariskan 7 hak asasi manusia menurut Islam. 7 perkara ini berhak diperolehi oleh setiap manusia tidak mengira jantina, agama, darjat dan bangsa.

1.    Hak untuk hidup
2.    Hak untuk dihormati
3.    Hak untuk mendapat bayaran pada kerja yang dilakukan
4.    Hak untuk bekerja
5.    Hak untuk belajar
6.    Hak untuk memiliki harta
7.    Hak untuk memilih

Kemudian beliau menyambung ucapan dengan beberapa lagi hak-hak wanita yang perlu diketahui oleh wanita dan lelaki juga. Adalah penting bagi wanita untuk mengetahui haknya supaya tidak dianiaya. Begitu juga lelaki mengetahui hak wanita supaya kaum lelaki dapat melindungi hak wanita itu.

Islam agama yang adil untuk semua.

Dalam banyak hal yang asas Islam memberi peruntukan sama yang rata kepada lelaki dan wanita. Namun begitu dalam beberapa hal yang lain terdapat perbezaan. Ini sesuai dengan zahir fitrah lelaki dan wanita yang Allah cipta berbeza.

Dalam bab harta dan perkahwinan sebagai contoh, Islam memberi lelaki sedikit kelebihan.

Namun begitu, terdapat juga beberapa bahagian lain, Islam memberi wanita kelebihan. Antara yang disebutkan ialah, hak ibu melebih hak bapa terhadap anak.Sabit dari hadith, nabi menjelaskan keutamaan ibu mendahului bapa sebanyak 3 kali.

Dalam perkahwinan juga wanita punya hak untuk menamatkan perkahwinan, yakni peruntukan khuluk dan fasakh.

Sebagai kesimpulan Sheikh Hussein Yee menegaskan bahawa Islam membela hak wanita dan lelaki sekaligus. Dalam Islam ada peruntukkan hak pemimpin dan hak pengikut, ada hak Muslim dan juga hak bukan Muslim dalam negara Islam.

Belum ada mana-mana sistem ciptaan manusia yang membela hak satu kelompok dalam pada masa yang sama tidak menganiaya kelompok yang lain.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.