Posts Tagged ‘shahnon ahmad’

Menteri (1976)

Jun 23, 2009

shahnon - menteriKlik gambar untuk baca ulasan

Buku, Penulis dan Pesta Buku

Julai 25, 2008

Sebelum subur dan segarnya generasi membaca, aktiviti penulisan perlu dibajai terlebih dahulu. Jika kita hanya mengajarkan anak-anak kemahiran mengeja dan mengatur huruf tanpa menyediakan bahan bacaan yang baik dan menarik, tentu sahaja budaya membaca tidak dapat tumbuh. Anuar Bakri Harun, dalam Seminar Penulis Pasca PRU-12 menegaskan perintah Allah pertama kepada Nabi Muhammad ialah membaca. Dan antara surah-surah awal Al-Qur’an yang diturunkan ialah surah Pena (Al-Qolam). Justeru menurut beliau, sebelum membaca perlu ada yang menulis.

Kenyataan ini disokong penuh oleh Pn Ainon Mohd Pengerusi Kumpulan PTS dalam sesi forum berikutnya. Budaya membaca masyarakat pada hemat beliau sangat berkait rapat dengan jumlah judul buku yang diterbitkan. Begitu banyak segmen fiksyen yang masih belum punya judul yang cukup, bahkan ada genre yang langsung tidak punya judul. Sebagai contoh fiksyen thriller guaman dan perubatan. Novel-novel perang ala-Tom Clancy atau novel thriller ala-John Grisham hampir tiada judul.

Pesta buku

Pesta buku juga memainkan peranan menggerakkan budaya membaca dalam masyarakat. Tidak semua judul dapat dipamerkan di kedai-kedai buku. Justeru kehadiran pesta buku antara lain dapat memuatkan judul-judul yang jarang ditemui dalam pasaran, selain menarik perhatian sesetangah orang yang tidak gemar memasuki kedai buku. Satu fungsi utama pesta buku ialah membawa buku kepada pembaca, tidak seperti kedai buku yang selalunya dianggap menunggu pembaca datang kepada buku.

Dalam negara kita tidask kurang juga pesta buku diadakan. Di peringkat kebangsaan ada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan setiap tahun di PWTC. Rangkain kedai buku Popular juga sejak beberapa tahun lalu turut menganjurkan sendiri pesta buku di KLCC. Ini belum masuk pesta-pesta buku mini yang diadakan oleh komuniti-komuniti kecil.Sedang berlangsung ialah Pesta Buku anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerja sama Perpadanan Perpustakaan. Ia merupakan aktiviti tahunan. Hari ini juga (25 Julai) adalah hari terakhir jualan buku DBP di Universiti Malaya.

Jualan buku DBP

Di sinilah bermulanya perkenalan saya dan buku. Satu yang bagusnya jualan buku DBP di kampus universiti ialah membaca buku datang kepada pelajar. Sya masih ingat (tahun 2000), betapa petugas-petugas Dewan terkejut melihat saya dan seorang sahabat berabis membrong buku. Ratusan ringgit duit PTPTN lebur dilaburkan. Hingga tidak cukup tangan. Tidakcukup tangan hari ini, esoknya saya datang lagi. Kebanyakan buku-buku yang saya beli ialah karya-karya sasterawan negara, karya agama, dan sedikit-sedikit buku budaya dan ekonomi. Walaupun di sisi yang lain, banyak pihak mengecam Dewan kerana melelong buku-buku terbitannya sendiri serendah harga RM1.

Itu ketika zaman mewah saya. Mewah saya katakana kerana saya memperoleh dua tajaan ketika itu, PTPTN dan biasiswa JPA. Tapi hari ini (tidak miskin) saya tidak mewah lagi. Semalam (24 Julai) dengan sekeping nota RM10 (hanya itu yang ada) saya memilih beberapa judul untuk dibeli. Saya memilih judul-judul yang terbit sebelum tahun 1996 yang melayakkan saya menerima diskaun 80% (ini yang Sifu Ainon marah sangat). Buku-buku tersebut :

1. Sastera ; Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya – SN Shahnon Ahmad
2. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu – Asmah Hj Omar
3. Konsep Asas Antropolgi – Norazit Selat
4. Perkembangan Sastera Nusantara Serumpun (Abad ke 7 – ke 9) – Boris Parnickel

Dan naskah-naskah ini menggamit seorang pelanggan saya bertanyakan, ‘Abang pelajar sasterakan?’

Ada dua isu disini. Pertama : Perlukan saya menjadi seorang pelajar (dalam istilah yang sempit) untuk terus membaca buku. Kalau saya pemandu teksi maka saya tidak boleh membaca buku? Bagaimana pula jika saya seorang tukang sapu?

Kedua : Perlukah saya menjadi seorang pelajar aliran sastera untuk menikmati novel-novel sasterawan negara atau menikmati indahnya puisi. Atau soalan saya yang lain, perlukan saya mengenakan jubah atau kopiah untuk menegur seseorang tentang ‘rokok itu haram’.

Kenapa dunia makin sempit huh!

(Saya sudah selesai membaca Ilham di Tepi Tasik oleh SN A Samad Said. Tunggu ulasan saya)

Buku : Catatan Hati di Setiap Sudut Sujudku (2008)

April 29, 2008

Penulis : Asma Nadia, dkk
Penerbit : Lingkaran Pena
Halaman : 191 mukasurat

Naskah ini sebenarnya dipinjamkan Wiwik (penuntut Sarjana di Univ Malaya). Beberapa hari di rak buku, akhirnya saya selak. Tarikan untuk membaca sangat kurang, kerana saya tidak kenal akan penulis ini. Saya gusar, berbaloikan menghabiskan masa bebera jam membaca karya ini. Namun setelah dibelek-belek, ternyata penulis merupakan penulis yang terkenal di negaranya (Indonesia).

Catatan Hati di Setiap Sujudku (CHdSS), judul yang paling tepat dipilih. CHdSS merupakan kompilasi tulisan beberapa penulis diterajui Asma Nadia. Mungkin sebagai satu proses memperkenalkan penulis lain. Ada 16 tulisan dan 6 darinya oleh Asma Nadia sendiri. Yang lebih menariknya saya hanya baca 6 yang itu.

CHdSS tidak dinafikan sebuah tulisan yang baik. Ia jujur, berterus terang dan menginsafkan. Tidak semua karya besar yang dianggap berjaya memaparkan kisah yang pelik-pelik dengan maklumat yang sendat. Terdapat banyak juga karya yang bercerita tentang sesuatu yang sangat simple, ternyata kemudiannya berjaya. Lihat sahaja Ranjau Sepanjang Jalan oleh SN Shahnon Ahmad. Ceritanya tentang sepasang suami isteri yang miskin menyara anak yang ramai dengan membuat sawah. Atau Perburuan oleh Pram, yang hanya punya empat bab pendek tentang pelarian seorang anak muda dari buruan pemerintah.

Justeru yang membuatkan sesuatu naskah ini ‘besar’ dan berjaya adalah perspektif. Sudut pandang penulis dan keupayaannya memindahkan apa yang dilihat, dengar dan rasa kedalam bentuk tulisan. Kejujuran adalah kata kunci yang paling penting untuk menyampaikan ‘rasa’ itu kepada pembaca. Lantas apa yang diungkapkan oleh Andrea Hirata baru-baru ini dalam Program Bedah Buku di KL ada asasnya. Dan Asma Nadia punya upaya ini. Jujur dalam menyampaikan perasaannya menurut sudut padang beliau sebagai seorang perempuan, ibu dan muslimah yang taat.

Hanya yang membuatkan ia penat dibaca; jiwa perempuan dalam tulisan Asma Nadia sangat tebal. Membacanya memerlukan saya sebagai pembaca menjadi perempuan dan ibu. Ini sangat sukar dilakukan. Selebihnya Asma Nadia wajar diberi pujian.

Sedikit pengenalan tentang Asma Nadia

Asma Nadia telah menulis sejumlah cerpen, novel, nonfiksi dan skenarioteve. Buku pertamanya terbit tahun 2000 dan sejak itu 32 karyanya telah diterbitkan.

Pemenang tiga penghargaan Adikarya Ikapi ini tahun 2005 telah dinobatkan sebagai peserta terbaik Majlis Sastera Asia Tenggara. Naskah teaternya ‘Preh’ merupakan salah satu naskah terbaik Lokakarya Perempuan Penulis Naskah Drama dan diterbitkan dalam dua bahasa oleh Dewan Kesenian Jakarta.

Tahun 2006 Asma terpilih untuk mengikuti program writers in residence dan tinggal di Korea Selatan selama 6 bulan. Masih di tahun yang sama Asma diundang untuk menjadi pembicara dalam Seoul Young Writers Festival dan The 2nd Asia Literature Forum di Gwangju.

Kata Suara 3

Mac 25, 2008

Kata orang, ‘Mahu kaya, berkawan dengan orang kaya, mahu bijak, berkawan dengan orang bijak’. Maka bagi peminat sastera dan budaya seperti saya, kesempatan mendampingi figur sastera dan budaya amat saya nanti-nantikan. Dan dalam Kata Suara 3, keinginan itu tercapai.

Kata Suara 3 membariskan Siti Zainon (Prof Dr), Zakaria Ali (Dr), Uwei Hj Shaari, Jiwarasa dan beberapa lagi (yang sebenarnya saya tidak kenal sebelum ini).

Siti Zainon (Prof Dr)
untitleddr-siti-zainon.jpg
Bacaan semasa kecil yang sangat berpengaruh. Antara pembuka kata Dr Siti Zainon, menceritakan betapa Hikayat Hang Tuah memberikan pengaruh yang besar terhadapnya selepas itu. Kerana ketika kanak-kanak itu ibarat secarik kanvas yang sangat putih, hatta setitik dakwat pun mampu meninggalkan kesan yang mendalam.

Sedari saya mula mendaftarkan memori, dua novel yang pertama saya baca ketika kanak-kanak ialah Si Puteh (tulisan Othman Salleh) dan Kumang bertelur. Ketika itu darjah lima. Minat membaca saya membuak-buak. Kemudian saya menyelongkar almari usang Pak Su saya yang memuat buku-buku teks lama zaman sekolahnya. Dari situ saya bertemu sebuah buku teks Tawarikh (sejarah dalam bahasa Melayu lama) Dunia.

Seterusnya Dr Siti Zainon bercerita tentang pengalamannya menuntut di Jogja, menjadi pelukis sketsa dan mengembara.

Zakaria Ali (Dr)

Dr Zakaria Ali

Seperti Dr Siti Zainon, nama Dr Zakaria Ali juga sering saya baca (namanya) dan dengar, namun belum ada satu naskahnya yang saya baca. Lebih-lebih lagi seni lukis dan juga puisi bukanlah genre yang saya gemar baca. Terlalu abstrak.

Dr Zakaria Ali membacakan beberapa puisi beliau dari keratan-keratan akhbar yang lama. Sangat lama hinggakan nama akhbar itu pun sudah tidak bisa didengar lagi apatahlagi dibaca.

Uwei Hj Shaari

Saya paling berdebar untuk melihat kelibat pengarah filem Perempuan, Isteri, dan,,, (yang menang FFM), Kaki Bakar, dan Jogho (filem beliau yang paling saya minat). Uwei kali ini membacakan draf storiboard sebuah drama yang akan dibikin untuk Astro. Bacaan beliau kali ini sangat unik, kerana skrip itu masih sangat mentah, dan dibentangkan untuk Kata Suara 3. Sangat ekskulisif.

Sesuatu yang menarik dari beliau tentang teknologi (memandangkan lap top beliau menghadapi masalah untuk ‘loading’).

“Ianya belum boleh dipanggil canggih, selagi mana fungsi komputer tidak semudah fungsi pen”.

Jiwarasa

Namanya Yasir Arafat. Kerana namanya terlalu komersial, maka Jiwarasa memilih untuk menggunakan nama lain sebagai nama pena. Itu luahan hati beliau ketika ditanya. Beliau seorang blogger yang banyak membuat ulasan tentang buku, dan sedikit-sedikit tentang isu semasa. Bacaan beliau luas. Menyasarkan 1000 buah buku sebelum mati,katanya.

Jiwarasa membacakan petikan dari Setitis Embun Semarak Api tulisan Shahnon Ahmad, yakni saya kira pengarang kegemaran beliau. Saya juga meminati Shahnon, bahkan sangat meminati novel dan cerpen beliau. Terutama cerpen Ungkapan dan Kelapa Nan Sebatang. Tunjukkan kepada saya siapa yang boleh menandingi Kelapa Nan Sebatang (kecuali Al-Qur’an). Hanya saja takah Shahnon selepas Shit, belum mampu saya baca.

Ada beberapa lagi tukang kata yang bersuara di Kata Suara. Namun ulasan saya terhad. Saya sempat berkenalan dengan Patrick Rasak (pelukis yang suatu hari nanti saya akan beli satu lukisan cantik beliau untuk digantung di dinding rumah), Tuan Adib (The Reader) dan Tuan Syakirin (kembarapencitanbuku.blogspot.com) .

Kata Suara diadakan setiap bulan pada hari Sabtu ketiga.

Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad

November 20, 2007

Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad.

Mesra dengan panggila Cikgu Shahnon, tetapi bergelar Professor Emiritus dan merangkul gelaran Dato’. Itulah Sasterawan Negara yang ke-2 dinobatkan selepas Keris Mas.

Pak Shahnon melahirkan lebih 100 cerpen dan menulis lebih 25 buah novel. Dan angka ini tidak termasuk naskah-naskah yang hilang sebelum sempat diterbitkan, naskah yang tidak diterbitkan dan naskah yang mungkin sedang diusahakan. Yang terkini terbit ialah Mahabbah, pemenang tempat kedua lomba penulisan sempena 50 tahun merdeka anjurna DBP. Uniknya Pak Shahnon tidak dikenali (mungkin tidak pernah sama sekali) menulis dalam genre drama mahupun puisi.

Pengarang besar

Pengarang besar adalah pengarang yang mampu mengangkat nilai sejagat (universal) dalam karya. Dari kanvas Banggul Derdap (begitu banyak novel dan cerpen Pak Shahnon mengambil latar kampung kelahirannya ini) hinggalah ke dalam usus (Shit) dan kembali bermonolog dalam diri (Lamunan Puitis dan Mahabbah). Nilai kemanusiaan, kisu kemiskian, keadilan dan kepimpinan dilorek dengan bagitu baik sekali.

Daya visualisasi Pak Shahnon sangat cemerlang dalam memberi gambaran dan perasaan. Kegilaan Jeha dan deritanya Lahuma yang busung kakinya ditulis kemas tanpa meninggalkan walau setitis nanah pun yang mengalir, melainkan itu semua dicatat oleh Pak Shahnon dalam novelnya.

Daya kepengarangan.

Satu penghormatan besar bagi Pak Shahnon apabila Seminar anjuran DBP ini turut dihadiri dua Sasterawn Negara yang lain ; Pak Arena Wati dan S Othman Kelantan. Dalam kertanya Pak S. Othman Kelantan memuji daya kepengarangan Pak Shahnon yang mampu mengembangkan satu titik menjadi titik-titik yang lain. Beliau menyebut bagaimana perjalanan dan kerenah najis yang sejengkal mahu keluar dari usus dikisahkan menjadi sebuah novel (Shit).

Cerpen

Cerpen Pak Shahnon yang paling saya ingati ialah Kelapa Nan Sebatang. Bagaimana usaha seorang tua menyeberang sebatang sungai dengan meniti sebatang pohon kelapa yang tumbang. Dari seberang sini menuju ke seberang sana cukup menjadi sebuah cerpen.

Begitu juga dalam cerpen Ungkapan. Bagaimana ungkapan-ungkapan yang terbit dari mulut seorang pemimpin dimodalkan oleh Pak Shahnon menjadi cerpen yang sinis. Ungkapan ‘potong kuku’ dipolitikkan menjadi agenda parti dan negara dan ungkapan yang lain menjadi slogan.

Seminar ini membentangkan 20 kertas kerja. Ramai sasterawan dan cendekia hadir baik sebagai peserta mahupun sebagai pembentang.

Antara pembentang :

1. A.Wahab Hamzah (Pengkritik filem)
2. Anwar Ridhwan Dr (Penulis Naratif Ogonshoto)
3. Azhar Ibrahim Alwee (Pensyarah Universiti Nanyang, Singapura)
4. Faisal Tehrani (Penulis, Malaysia)
5. Jeniri Amir (Pensyarah UMS dan penulis)
6. Mohd Daud Mohd (Ketua Bahagian Teori dan Kritika DBP)
7. Mohd Zariat Dr (Pensyarah UPM)
8. S. Othman Kelantan (Sasterawan Negara ke-9)
9. Siti Hajar Dr (Pensyarah, USM, Malaysia)

Kesemua kertas kerja yang dibentangkan berbicara tentang novel-novel dan cerpen-cerpen Pak Shahnon. Satu sessi seminar mungkin perlu diadakan lagi bagi membincangkn pula esei-esei kritikan Pak Shahnon. Selain menulis novel dan cerpen, Pak Shahnon juga giat menulis esei kritkan dan artikel. Hingga hari ini beliau masih setia menulis untuk kolum Pabila Hujan Turun, Dewan Sastera. Sesuatu yang tidak lengkap tenyang pemikiran Pak Shahnon untuk tidak membicarakan esei dan tulisan Pak Shahnon dalam genre lain.

Ulasan saya

Pak Shahnon merupakan seorang pengarang yang jujur. Bercerita dari kisah dalam diri. Menulis dari pengalaman peribadi. Beliau melihat setiap isu dari sudut sejagat (univeral). Beliau merakam budaya dan pemerhati yang teliti dan kritis.

Koleksi perpustakaan saya :

Novel

1. Ranjau Sepanjang Jalan
2. Seluang Menodak Baung
3. Tunggul-tunggul Gerigis
4. Shit
5. Srengenge
6. Menteri
7. Detik-detik Diri di Daerah Dhaif (Memoir)
8. Perjalananku Sejauh Ini (Autobiografi)
9. Lamunan Puitis
10. Nurul Anak Papaku
11. Tivi
12. Sutan Baginda

Antologi Cerpen

1. Seketul Hati Seorang Pemimpin
2. Maha-maha

Buku lain

1. Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan

Yang belum saya miliki

1. As-Syiqaq 1
2. Ummi dan Abang Syeikhul
3. Perdana
4. Mahabbah


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.