Posts Tagged ‘Syiah’

Belajar Yang Salah Untuk Tahu Yang Betul

Januari 10, 2011

Buku-buku Berkaitan Syiah

Ada orang berpendapat dakwah perlu menceritakan perkara yang baik-baik sahaja. Ajak orang solat, ajak orang senyum, ajak orang sedekah dan kempen perkara-perkara baik yang lain. Pokoknya kempen yang baik-baik sahaja.

Dan keyakinan ini juga menyatakan menceritakan perkara yang salah dan buruk akan membuatkan manusia lari dari dakwah. Ini berlaku bukan sahaja pada individu Muslim, sebaliknya turut menjangkiti kelompok-kelompok kaum Muslimin. Sedangkan mereka menyandarkan kelompok mereka kepada Islam dan dakwah.

Dilaporkan seorang tokoh dari sebuah kelompok dikenakan tindakan bahkan dipecat kerana melakukan ‘nahi mungkar’ (mencegah kemungkaran). Ini kerana kelompok tersebut hanya menyeru kepada perkara yang makruf sahaja dan semata-mata.

Kesalahan begini berlaku juga dalam metod pendidikan. Ada orang yang mengaku pakar pendidikan atau pakar psikologi mendakwa bahawa anak-anak tidak boleh dilarang-larang. Kerana, menurut mereka semakin ‘semakin dilarang, semakin dibuat’. Ini merupakan satu jarum halus untuk meruntuhkan sistem pendidikan yang diajar dalam Al-Qur’an dan ditunjukkan oleh Nabi melalui sunnahnya. Di dalam bukunya (terjemahan) Mendakwahi Anak (Dasar dan Tahapannya), Dr Fadhl Ilahi menyenaraikan metod pendidikan yang diajarkan oleh Nabi. Beliau bukan sahaja membawakan contoh-contoh perintah yang diberikan oleh Nabi kepada anak-anak, bahkan beliau juga membawakan banyak contoh larangan dan cegahan Nabi kepada anak-anak kecil yang berada disampingnya.

Prinsip menyatakan yang betul sahaja, jelas bertentangan dengan perintah Allah untuk ‘seru yang baik, cegah yang mungkar’.

Amar Makruf Nahi Mungkar Dalam Akidah

Dalam akidah umat Islam umumnya banyak diajar dengan perkara-perkara yang betul sahaja. Seperti rukun iman 6 perkara, rukun Islam 5 perkara dan rincian-rinciannya (walaupun rincian dan perbahasannya masih banyak boleh dibaiki).

Manakala yang salah dalam akidah tidak diajarkan. Sebagai contoh mudah ada puak yang mengaku Islam mendakwa rukun iman mereka berbeza dengan rukun iman yang diajarkan oleh Jibril (salam keatasnya) kepada Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau). Orang-orang Syiah memasukkan ‘taqiyah’ (berpura-pura) dan ‘imam dua belas sebahagian dari perkara imam yang wajib dipercayai.

Kesan dari mengajarkan hanya perkara yang betul maka kita lihat muncul dan berkembangnya perkara-perkara salah dalam agama. Dalam akidah perkara salah ialah firqah-firqah sesat dalam Islam. Justeru, tidak hairan di kalangan orang-orang yang ditangkap dan terdakwa menganut ajaran sesat, ada di kalangan mereka punya latar belakang agama (pendidikan formal) yang tidak kalah tinggi. Bahkan ada yang menyandang gelar pensyarah, doktoral dan professor.

Sebagai contoh yang paling hampir dengan kita ialah kes penangkapan lebih 200 penganut ajaran Syiah di Gombak baru-baru ini. Yang ditahan bukan sembarangan orang. Ada yang berpendidikan tinggi. Senario ini sama dengan ajaran-ajaran sesat lain yang berkembang.

Faisal Tehrani dan Syiah

Polemik penangkapan penganut ajaran sesat Syiah menjadi panas dan berlanjutan. Ia menarik perhatian massa untuk memahami dan mengetahui apakah sebenarnya ajaran Syiah. Di tambah pula beberapa figur dalam masyarakat terkait dengan fahaman Syiah ini. Salah seorang yang lantang dan menggelejat seperti cacing kepanasan ialah penulis novel Faisal Tehrani. Beberapa institusi agama dan institusi awam sudah mengambil langkah berhati-hati dengan melarang FT terlibat dengan kegiatan di premis mereka. Dan sudah ada kenyataan dari badan berotoriti dalam agama yang menegaskan betapa kuatnya pengaruh Syiah dalam karya-karya Faisal Tehrani. Dan yang terbaru FT melanjutkan dakyahnya lewat cerpen yang disiarkan  dalam akhbar Mingguan Malaysia dengan tajuk Wikifiqh. Insya Allah bantahan dan pendedahan kerancuan cerpen Wikifiqh akan menyusul kemudian.

Dalam dana kehairanan umat Islam terpinga-pinga tertanya, “mengapa akhir-akhir ini banyak ajaran sesat muncul berleluasa?”

Dan ada juga yang mengeluh, “mengapa ada orang-orang yang terpelajar terpengaruh dengan ajaran sesat seperti Syiah?”

Jawapannya sudah disebutkan oleh nabi dan sudah pun dijelaskan oleh para ulama’ sepanjang zaman.

Di dalam bukunya al-Irsyaad Ila Sahihi Iktiqad (terj. Sudah Benarkah Akidah Kita), Syaikh Dr Soleh Fauzan al-Fauzan menjelaskan, antara tanda-tanda dekatnya kiamat ialah “munculnya golongan yang sesat seperti Khawarij dan Rafidhah.”

Buku-Buku Yang Menjelaskan Syiah dan Akidah Sesat Yang Lain

Buat pencinta ilmu dan orang-orang yang ikhlas mencari kebenaran saya senaraikan beberapa buku-buku yang bermanfaat untuk mengkaji firqah dan golongan sesat dalam Islam.

1. Al-Milal Wa Al-Nihal karangan Muhammad bin Abdul Karim Al-Syahrastani (469-548 H/ 1076-1153M). Terjemahan oleh Prof Asywadie Syukur, PT Bina Ilmu Surabaya.

Tidak keterlaluan jika saya katakan buku ini merupakan teks wajib untuk mengkaji kelompok-kelompok pemikiran dalam Islam. Bahkan lebih dari itu ia juga memuatkan kajian terhadap agama dan aliran falsahah yang lain seperti Yahudi, Nasrani, Majusi, Yunani, Brahma dan banyak lagi.

Karangan Syahrastani ini diiktirf sebagai karya yang pertama menyusun kajian agama dan falsafah secara sistematik. UNESCO telah menaja terjemahan buku ini ke dalam bahasa Perancis dengan judul Livre des religions et des sects.

Bab Syiah dibincangkan dalam 40 halaman.

2. Aqaid Firaq Dhallah wa Aqidah Firqah Najiyah (Menyingkap Aliran dan Paham Sesat) karangan Ummu Tamim Izzah binti Rasyad. Terjemahan oleh Sufyan Zaidin Sinaga, Pustaka Imam Ahmad Jakarta.

Ini buku kontemporari. Bab Syiah dibincangkan sebanyak 18 halaman. Pengarang buku ini merupakan anak murid sarjana hadis Syaikh Mustafa al-Adawi dari Mesir.

Baca rebiu : http://encikbaca.wordpress.com/2010/12/06/menyingkap-aliran-dan-paham-sesat/

3. Mulia Dengan Manhaj Salaf. Karanga Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawwas, Pustaka At-Taqwa, Jakarta.

Buku ini memberi fokus kepada manhaj salaf. Pada bahagian akhir buku ini dimuatkan beberapa contoh golongan yang sesat seperti Khawarij, Jaringan Islam Liberal, Jamaah Al-Arqam, Syiah, Ahmadiyah, Hizbut Tahrir, Jamaa’h Tabligh dan beberapa lagi.

Yang bagusnya buku ini ialah, pengarang membawakh beberapa syubuhat atau kekeliruan yang sering ditimbulkan oleh golongan sesat. Kemudian pengarang membawakan pula jawapan dan bantahan terhadpa syubbat tersebut.

4. Kemudian antara buku-buku khusus yang menjelaskan tentang Syiah yang dituliskan oleh Maulana Muhammad Asri Yusof. Beliau ditokohkan antara orang yang pakar dan sering dirujuk dalam isu Syiah. Buku beliau ialah Pengaruh Syiah dalam Tasawuf dan Tarikat dan Syiah Rafidhah : Di Antara Kecuaian Ulama; dan Kebingunan Umah. Keduanya terbitan Pustaka Basyirah, Kelantan.

Ada beberapa lagi naskah yang menjelaskan tentang golongan sesat dalam Islam khususnya Syiah. Namun, saya masih belum sempat membaca dan menelitinya. Atas dasar amanah ilmu, saya perlu membaca dan menyemak terlebih dahulu kandungannya sebelum dipanjang atau direkomenkan kepada orang lain. Ini kerana kata nabi yang maksudnya seseorang itu sudah dianggap berdusta apabila menyampaikan setiap apa yang dia dengar atau tahu sebelum menyemaknya.

Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada pembaca. Wallahuaklam.

Imam As-Syafi’i dan Syiah Rafidhah

Disember 27, 2010

Seorang anak murid kanan Imam Syafi’i bernama al-Buwaithi pernah bertanya kepada Imam Syafi’i,

“Adakah saya boleh solat di belakang Rofidhah?”

Beliau menjawab,

“Jangan solat di belakang Rafidhah, Qadariyah dan Murjiah.”

Tanya al-Buwaithi lagi,

“Jelaskan sifat mereka kepada kami.”

Jawab Imam Syafi’i,

“Barang siapa mengatakan bahawa iman itu sekadar ucapan maka iala adalah murjiah. Barang siapa mengatakan bahawa Abu Bakar dan Umar bukan imam maka dia adalah Rofidhah. Barang siapa menjadikan kehendak pada dirinya, maka dirirnya adalah Qadariyah.

(Siyar A’lam an-Nubala karangan Adz-Dzahabi)

Imam Ibnu Abi Hatim menukilkan dalam kitabnya Adab Asy-Syafi’i, bahawa Imam Asy-Syafi’i berkata,

“Aku tidak mendapati seorang pun pengikut hawa nafsu yang lebih pendusta daripada kaum Rafidhah”.

Disarikan dari kertas kerja Prinsip Imam Asy-Syafi’i dalam Beragama yang dibentangkan oleh Dr Muhammad Nur Ihsan baru-baru ini di kampus Universiti Madinah Antarabangsa.

Menurut beliau makalah yang beliau bentang merupakan ringkasan dari buku Manhaj Salafi Imam As-Syafi’i karangan Ustaz Abu Ubaidah Yusuf bin Mukhtar As-Sidawi. Buku ini sedang dicetak.

Dr Muhammad Nur Ihsan lahir pada tahun 1973. Beliau menghabiskan masa 17 tahun di Universiti Madinah, Arab Saudi menyiapkan pengajian sejak ijazah pertama sehingga peringkat Phd dalam jurusan akidah.

Antara guru-guru beliau termasuk Syaikh Muhsin Abbad Al-Badr, Syaikh Muhammad Khalifa At-Taimi (kini rektor Universiti Madinah Antarabangsa) dan Dr Muhammad bin Abdul Wahhab al-Aql (pengarang buku Manhaj Akidah Imam As-Syafi’i).

Beberapa Respon Kepada Artikel ‘Tidak Wajar Ungkit Peristiwa Memali’

Disember 3, 2010

Secara peribadi ianya ditulis atas prinsip berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran, dari Surah Al-Asr. Kebenaran yang tiada sangsi dan ragu ialah Kitab dan Sunnah yang sahih. Dan manusia beramal dengan apa yang mereka ketahui dan yakini.

Atas prinsip dan rasa kasih dan cinta kepada sesama umat Islam maka artikel itu ditulis. Penulis membawakan peri buruknya sikap orang-orang Syiah meraikan pembunuh Umar dan meratap-ratap kematian kematian Hussein bin Ali (semoga Allah redha kepada mereka berdua). Hasratnya supaya kita tidak mencontohi tindak tanduk mereka, dalam mengingati kematian. Kerana sejarah mencatatkan sikap ‘ghuluw‘ umat Islam terhadap sesuatu perkara boleh membawa kepada kesesatan. Sebelum tindakan PAS menuju kearah itu, maka adalah lebih baik mereka dinasihati.

Mungkin sahaja atas sifat sebagai manusia biasa, rencana itu punya kesilapan dan kekurangan. Penulis sentiasa bersedia dan berlapang dada untuk meralat mana-mana bahagian yang bertentang dengan ajaran Islam. Islam yang disumberkan kepada Kitab dan Sunnah yang sahih berdasarkan pemahaman para sahabat (semoga Allah redha kepada mereka semua).

Respon dan Komentar

Daripada beberapa respon dan komentar yang dibuat, saya kepilkan beberapa respon yang boleh diberi perhatian.Saya memilih beberapa respon ini berdasarkan beberapa kriteria : ditulis dengan bahasa dan tatabahasa yang agak baik. Ini menunjukkan kesungguhan dan perhatian yang diberikan oleh pemberi komen, membawakan beberapa poin yang layak dibincangkan.

  1. My Argument
  2. Chegu Zul : Dewan Ulama Pahang
  3. Tanpa pengenalan
  4. Komentar ABUAYMAN dalam forum Al-Fikrah.net

Sekali lagi saya tegas, selaku manusia biasa yang terdedah kepada salah dan silap tulisan saya itu mungkin sahaja mengandungi kesalahan dan kesilapan. Saya sedia meralatnya jika ada bahagian yang bertentangan dengan ajaran Kitab dan Sunnah.

Seminar Bahaya Syiah

Ogos 7, 2009

Seminar Setengahari Perkembangan Pemikiran Islam Semasa

Balai Ilmu, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

07 Ogos 2009 – Jumaat

Seminar ringkas ini khusus membincangkan bahaya syiah dan ancamannya kepada umat Islam.

Prof Madya Dr Mohd Kamil Abdul Majid

Prof Madya Dr Mohd Kamil Abdul Majid

3 orang pakar hadir membentangkan kertas kerja kajian mereka. Prof Madya Dr Mohd Kamil Abdul Majid, pensyarah Akademi Pengajian Islam UM memberikan latar belakang Syiah secara umum dan perkembangan Syiah mutakhir. Beliau menyentuh sejarah revolusi Iran.

Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh

Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh

Sessi kedua pula diteruskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh. Beliau berpengalaman luas dalam kajian Sunni-Syiah. Beliau turut terlibat dalam Seminar Sunni-Syiah pada tahun 1995.

Panelis ketiga ialah seorang ilmuan muda yang banyak membuat kajian tentang Syiah, Ustaz Nasim Bdul Rauf. Beliau merupakan anak murid Maulana Asri Yusof yang merupakan pakar rujuk hal ehwal Syiah.

Antara isi penting yang sempat dibincangkan :

1. Mengapa Syiah dilarang disebarkan berbanding ajarah agama. Ini kerana, ajaran agama lain tidak memudaratkan ajaran Islam-Sunni secara langsung. Sebaliknya ajaran Syiah meruntuhkan dan menjejaskan ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Ini dibuktikan seterusnya.

2. Antara beberapa ajaran pokok Syiah yang bertentangan dengan faham Sunni ialah : Syiah mengkafikrn sebahagian besar para sahabat nabi. Yang tinggal beriman tidak lebih dari 10 orang menurut mereka. Hal ini disebutkan dalam kitab-kitab besar ulama mereka. Ulama Syiah menukilkan doa khusus pada setiap kali selepas solat untuk  melaknat 4 sahabat lelaki dan 4 sahabat wanita. Mereka ialah Abu Bakar, Umar, Uthman Aishah, Hafshah dan beberapa lagi. Syiah juga turut menuduh para isteri Nabi terutamanya Aisyah, sebagai perempuan lacur.

3. Syiah mendakwa Al-Quran yang dimiliki oleh umat Islam hari ini adalah versi yang tidak lengkap.

4. Syiah mengangkat para Imam 12 pada tahap nabi. Mereka dimaksumkan.

Secara kesimpulan, Syiah dan Sunni mempunyai jurang perbezaan asas dan prinsip yang sangat besar. Sejak zaman Sultan Salahuddin lagi ulama Sunni sudah berusaha berulangkali mendamaikan kedua-dua mazhab ini. Namun pada setiap kali itulah juga Syiah mendustai dan mengkhianati usaha ini. Ini kerana kepura-puraan merupakan sebahagian dari isi dasar ajaran Syiah. Namanya taqiyyah.

Justeru itu sebahagian besar dari ulama Sunni tegas menolak sebarang usaha mendamaikan dua mazha ini.

Sepanjang sejarah Islam, belum pernah Syiah menewaskan pihak kafir membela kaum Muslimin. Sebaliknya pada setiap kejatuhan kerajaan umat Islam, nescaya disebalik kuasa kafir itu akan ada bayang-bayang Syiah. Ini yang berlaku di Iraq.


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.