Seadanya…

Menerima manusia seadanya, senang diungkap, namun sukar ditangkap.

Sedapnya menghirup kopi kerana pahitnya. Secawan kecil espresso di kafe Dome ataupun Coffebean rasanya sungguh pahit dan kelat. Lagi pahit lagi sedap kata pengemar kopi. Kalau tidak pahit bukan kopi namanya. Maka terbukti tidak semua yang pahit itu tidak enak. Andai ada yang mengomel kopi tidak sedap, yang sebenarnya bukan kopi itu yang tidak sedap, sebaliknya seleranya berbeza. Kopi itu kopi itu juga. Hanya tanggapan dan selera itu saja tidak sama.

‘Kamu ingat Tuhan hendak menjaga tekak kamu sahaja?’, satu bait dialog dari drama bersiri Romeo n Juliet arahan Mohd Noor Kadir (Kuasatek Pitcures).

Ada orang tidak suka makan kambing kerana baunya. Jangan dipaksakan kambing itu berkubang setiap petang seperti kerbau atau badak air, kerana itu bukan sifatnya kambing. Ada orang suka makan kambing kerana baunya. Lagi ketara aroma ke’kambing’an itu menusuk hidung lagi sedap dan menyelerakan. (Amaran Kementerian Kesihatan : Memakan kambing membahayakan kesihatan penghidap darah tinggi!).

Itulah keadilan Tuhan Allah (yakni Tuhan yang sebenar untuk semua manusia dan semua makhluk di dunia ini). Meletakkan ‘sedap’ dan ‘enak’ itu bukan pada makanan, sebaliknya tekak. Tidak semua orang mampu memiliki makanan yang mahal-mahal (info : sekilo daging ostrich ialah RM 40.00, manakalan sekilo daging ayam hanya RM, 6.00) dan pelik-pelik (contoh : shark fin dan oyster). Tapi semua orang punya anak tekak masing-masing untuk merasa. Tidak semestinya makanan itu mahal, maka ianya sedap untuk semua orang. Ada orang hanya berlaukkan telur masin, seleranya (mak ai) dua pinggan tak cukup tambah. Ada orang lauk setalam penuh meja, namun yang dijamah hanya beberapa suap. Dan sesungguhnya Tuhan Allah itu Maha Adil.

Justru manusia itu terlebih sulit (lebih sulit dari fail sulit AF) dan kompleks sebanding kopi pahit yang panas, daging kambing, ataupun daging itik serati yang menyudu sisa makanan dilimbah.

Bahkan Tuhan Allah dengan serius dan jelas menyebut tentang manusia, bagaimana hidup dan urusannya di dalam manual hidup manusia itu sendiri (yakni Al-Qur’an). Memang pernah direkodkan dalam sejarah manusia berperang (dan bermusuh) kerana seekor kambing. Seekor kambing yang menceroboh kebun orang lain, dan digantungkan selipar di tengkoknya. Orang Arab sebelum datangnya Muhammad (selawat dan salam buat beliau dan ahli keluarganya) antara masyarakat yang gemar bermusuh. Hanya seekor unta sanggup berparang (istilah Melayunya, mungkin istilah Arabnya ‘berlembing’ ataupun ‘berpedang’) puluhan tahun. Itu sebelum lagi senjata menjadi bahan komoditi.

Namun intipati dari kisah kambing dan unta itu bukanlah ekor kambing dan bonggol unta itu sendiri. Yang menjadi pangkal isu ialah, bagaimana menanggapi. Unta dan kambing hanya menjadi simbolik. Ia berkait dengan hati.

Apabila kita berkenalan dengan seseorang, lebih-lebih lagi apabila kita berkenan dengan seseorang, maka lekas-lekas mencari kekurangan dan kelemahannya. Agar kita lekas marah dan lekas benci. Sementara ghairah itu masih ada agar mudah marah dan benci itu lekas luntur dan dimaafi. Dan yang lebih bermakna lagi ialah kekurangan dan kelemahan itu sedia diterima seadanya. Sementara kelemahan dan kekurangan itu diperbaiki, bukan (dan jangan) dibiarkan sahaja.

Perhubungan antara dua manusia menghendaki kita menerima yang satu lagi seadanya.

‘Bad thing can’t change overnight’, pepatah Inggeris yang pernah disebut mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad. Membaiki kenderaan tergantung rosaknya di mana. Sekadar mengepam tayar atau menukar minyak hitam, tidaklah memakan masa berjam. Namun jika yang mahu diperbaiki itu melibatkan ehwal enjin, gear ataupun klutch (lebih-lebih lagi kereta kancil, sebab perlu ‘turunkan’ enjin dahulu). Maka pembaikan itu menelan waktu dan tempoh.

Label: , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: