Buku, Penulis dan Pesta Buku

Sebelum subur dan segarnya generasi membaca, aktiviti penulisan perlu dibajai terlebih dahulu. Jika kita hanya mengajarkan anak-anak kemahiran mengeja dan mengatur huruf tanpa menyediakan bahan bacaan yang baik dan menarik, tentu sahaja budaya membaca tidak dapat tumbuh. Anuar Bakri Harun, dalam Seminar Penulis Pasca PRU-12 menegaskan perintah Allah pertama kepada Nabi Muhammad ialah membaca. Dan antara surah-surah awal Al-Qur’an yang diturunkan ialah surah Pena (Al-Qolam). Justeru menurut beliau, sebelum membaca perlu ada yang menulis.

Kenyataan ini disokong penuh oleh Pn Ainon Mohd Pengerusi Kumpulan PTS dalam sesi forum berikutnya. Budaya membaca masyarakat pada hemat beliau sangat berkait rapat dengan jumlah judul buku yang diterbitkan. Begitu banyak segmen fiksyen yang masih belum punya judul yang cukup, bahkan ada genre yang langsung tidak punya judul. Sebagai contoh fiksyen thriller guaman dan perubatan. Novel-novel perang ala-Tom Clancy atau novel thriller ala-John Grisham hampir tiada judul.

Pesta buku

Pesta buku juga memainkan peranan menggerakkan budaya membaca dalam masyarakat. Tidak semua judul dapat dipamerkan di kedai-kedai buku. Justeru kehadiran pesta buku antara lain dapat memuatkan judul-judul yang jarang ditemui dalam pasaran, selain menarik perhatian sesetangah orang yang tidak gemar memasuki kedai buku. Satu fungsi utama pesta buku ialah membawa buku kepada pembaca, tidak seperti kedai buku yang selalunya dianggap menunggu pembaca datang kepada buku.

Dalam negara kita tidask kurang juga pesta buku diadakan. Di peringkat kebangsaan ada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan setiap tahun di PWTC. Rangkain kedai buku Popular juga sejak beberapa tahun lalu turut menganjurkan sendiri pesta buku di KLCC. Ini belum masuk pesta-pesta buku mini yang diadakan oleh komuniti-komuniti kecil.Sedang berlangsung ialah Pesta Buku anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerja sama Perpadanan Perpustakaan. Ia merupakan aktiviti tahunan. Hari ini juga (25 Julai) adalah hari terakhir jualan buku DBP di Universiti Malaya.

Jualan buku DBP

Di sinilah bermulanya perkenalan saya dan buku. Satu yang bagusnya jualan buku DBP di kampus universiti ialah membaca buku datang kepada pelajar. Sya masih ingat (tahun 2000), betapa petugas-petugas Dewan terkejut melihat saya dan seorang sahabat berabis membrong buku. Ratusan ringgit duit PTPTN lebur dilaburkan. Hingga tidak cukup tangan. Tidakcukup tangan hari ini, esoknya saya datang lagi. Kebanyakan buku-buku yang saya beli ialah karya-karya sasterawan negara, karya agama, dan sedikit-sedikit buku budaya dan ekonomi. Walaupun di sisi yang lain, banyak pihak mengecam Dewan kerana melelong buku-buku terbitannya sendiri serendah harga RM1.

Itu ketika zaman mewah saya. Mewah saya katakana kerana saya memperoleh dua tajaan ketika itu, PTPTN dan biasiswa JPA. Tapi hari ini (tidak miskin) saya tidak mewah lagi. Semalam (24 Julai) dengan sekeping nota RM10 (hanya itu yang ada) saya memilih beberapa judul untuk dibeli. Saya memilih judul-judul yang terbit sebelum tahun 1996 yang melayakkan saya menerima diskaun 80% (ini yang Sifu Ainon marah sangat). Buku-buku tersebut :

1. Sastera ; Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya – SN Shahnon Ahmad
2. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu – Asmah Hj Omar
3. Konsep Asas Antropolgi – Norazit Selat
4. Perkembangan Sastera Nusantara Serumpun (Abad ke 7 – ke 9) – Boris Parnickel

Dan naskah-naskah ini menggamit seorang pelanggan saya bertanyakan, ‘Abang pelajar sasterakan?’

Ada dua isu disini. Pertama : Perlukan saya menjadi seorang pelajar (dalam istilah yang sempit) untuk terus membaca buku. Kalau saya pemandu teksi maka saya tidak boleh membaca buku? Bagaimana pula jika saya seorang tukang sapu?

Kedua : Perlukah saya menjadi seorang pelajar aliran sastera untuk menikmati novel-novel sasterawan negara atau menikmati indahnya puisi. Atau soalan saya yang lain, perlukan saya mengenakan jubah atau kopiah untuk menegur seseorang tentang ‘rokok itu haram’.

Kenapa dunia makin sempit huh!

(Saya sudah selesai membaca Ilham di Tepi Tasik oleh SN A Samad Said. Tunggu ulasan saya)

Label: , , , ,

3 Respons to “Buku, Penulis dan Pesta Buku”

  1. annidxam Says:

    betul2
    rokok itu haram🙂

  2. sastro Says:

    PENERBITAN
    penerbit haruslah bukan sekadar terbitkan buku untuk mengaut keuntungan semata disampin itu, sumbangan sosial dengan menerbitkan buku-buku yang baik. jangan lupa cetak balik buku lama oleh penulis-penulis vateran misalnya novel salina, masih adakah cetakan baru dengan harga berpatutan.

    HARGA
    juallah buku pada harga mampu dibeli oleh seorang pelajar jangan dikira orang yang telah bekerja dan berpendapatan tinggi. buku-buku diluar negara sesetengahnya hanya dijual pada harga beberapa dollar sahaja. tetapi bila buku di malaysia menjadi mahal semahal beras 10kg. jadi bagi masyarakat miskin dan pelajar yang belum berpendapatan, lebih baik beli beras buat masak, makan dan kenyang perut anak-anak.

    DBP
    Dewan Bahasa & Pustaka mempunyai jaringan pengedaran buku yang tidak efisien. tolong buat kerjasama dengan swasta yang cekap dan mahir dalam pengedaran buku. jarang ternampak buku-buku keluaran DBP di pasaran. mungkin juga DBP perlukan perubahan pucuk pimpinan untuk memajukan lagi penerbitan buku. banyak judul buku keluaran DBP tidak sampai kepada warganegara. jangan dakwa barang tak laku kalau strategi pasaran tidak bagus. perniagaan bermaksuk memujuk pembeli, dah tak reti pujuk memang tak makan!? pernah DBP dakwa buku puisi tidak boleh jual, lihat hasil karya FAISAL TEHRANI, iaitu MAHU JADI NASRALLAH., laris di pasaran. kalau tak cekap belajarlah dari orang yang cekap jangan saja cukup bulan dapat gaji tanpa berbuat apa-apa untuk majukan negara.

    TERJEMAHAN
    silalah syarikat penerbitan swasta terbitkan novel terjemahan. negara ini masih rendah kadar buku terjemahan yang diterbitkan kalau adapun seperti siri novel Harry Potter etc. cubalah buat terjemahan terhadap novel yang besar seperti karya DAN BROWN, etc. kekurangan ini amat dikesalkan. bahan terjemahan ke bahasa Melayu lemah dan longlai. lihat saja buku-buku terjemahan dalam Mandarin, sangat cepat diterbitkan misalnya selepas dua minggu karya Dan Brown diterbitkan, iaitu THE LOST SYMBOL, buku dalam bahasa Mandarin telah diterbitkan. di Indonesia karya yang sama juga telah dibuat terjemahannya. al-maklumlah negara yang mementingan bahasa orang dari bahasa sendiri, ibarat kata kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. kesian.

    p/s:- lebih selesa dalam bahasa ibunda. bangga dengan diri dan bahasa sendiri. salam.

  3. Riduan Khairi Says:

    Pengalaman Pts Publication dibawah teraju Puan Ainon patut dijadikan pengajaran. Dalam tempoh 10 tahun mereka telah berjaya mengeksport lebih 80 judul ke Jakarta.

    Hasil usaha penerbit ini bersama beberapa penerbit lain, buku Melayu sudah mula dipamerkan di depan pintu masuk kedai-kedai buku besar.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: