Saf Solat Dan Saf Perpaduan Islam

Islam adalah agama yang paling pro-aktif menaja dan mempromosi perpaduan. Sejarah mencatatkan pembesar-pembesar sahabat Nabi Muhammad datang dari pelbagai lapisan masyarakat. Kita mengenali sahabat-sahabat dekat Nabi dari kalangan Quraisy seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan. Sahabat Bilal bin Robah bukan dari golongan Quraisy yang ternama dan dihormati. Bahkan beliau hanya seorang hamba berkulit hitam. Manakala sahabat Salman al-Farisi ialah golongan pendatang dari negeri jauh Parsi.  Sahabat Abdullah bin Salam pula ialah seorang Yahudi yang ikhlas mencari kebenaran, akhirnya memperakaui kenabian Nabi Muhammad. Dan Abdullah bin Ummi Maktum pula ialah lelaki yang buta matanya, namun hatinya celik untuk menerima sinaran hidayah Islam.

Sejarah tamadun dunia mencatatkan agama Islam menyatukan manusia dari berbagai golongan, rupa-paras, warna kulit dan kasta. Hanya Islam yang mampu menolak perbezaan berdasarkan kata Allah di dalam kitabnya,

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah, ialah orang yang paling bertaqw” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Para sahabat nabi tidak dikenal dari asal keturunannya, sebaliknya mereka menonjol kerana iman dan taqwanya.

Bersatu Menunaikan Ibadah Bersama

Banyak ibadah dalam Islam dilakukan secara bersama-sama yakni berjemaah. Antaranya termasuk ibadah haji di Mekah, solat Jumaat setiap minggu dan solat 5 waktu berjemaah di masjid setiap hari.

Mekanisma ibadah secara berjemaah ini memberi kesempatan kepada umat Islam untuk berkomunikasi, saling berkenalan, saling berbincang, dan tolong-menolong antara mereka. Ibadah jemaah ini memberi manfaat dan faedah yang besar kepada umat Islam. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Dr Salih bin Ghanim Sadlan ialah membantu golongan yang lemah, memberi pelajaran kepada orang yang jahil, melembutkan hati dan menampakkan kebesaran Islam.

Tegas beliau lagi dalam buku yang diterjemahkan dengan tajuk Bimbingan Lengkap Salat Berjemaah,

“Mengerjakan salat jemaah akan melahirkan persatuan, kasih sayang, persaudaraan diantara sesama muslim, akan menjadikan mereka satu barisan yang rapi dan kukuh. Akan lahir di tengah mereka sifat dermawan dan kesepakatan hati. Ini sekaligus membimbing mereka untuk hidup teratur, disiplin dan selalu menjaga waktu”.

Kedudukan solat dalam Islam merupakan wasilah yang paling ampuh dalam menghapuskan perbezaan status sosial antara kaum muslimin, menghilangkan sikap fanatik terhadap warna kulit, suku bangsa dan tempat. Lelaki Islam diperintah untuk mengerjakan solat secara berjemaah di masjid. Imam Bukhari merekodkan satu hadith menjelaskan Nabi mengancam untuk membakar rumah orang yang enggan hadir solat jemaah di masjid.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan hadith ini dalam kitab syarahnya Fathul Bari,

“Hadith ini jelas menunjukkan solat lima waktu berjema’ah hukumnya fardu ‘ain. Sekiranya hanya sunnah tentunya Nabi tidak memberi ancaman yang keras kepada orang-orang yang tertinggal, iaitu membakar rumah-rumah mereka.”

Solat Seperti Nabi Solat

Perpecahan merupakan satu bencana dan kemungkaran. Dan solat yang benar berupaya untuk mencegah kemungkaran seperti yang dikatakan oleh Allah,

“Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” (Surah Al-Ankabut, ayat 45)

Namun tidak dapat dinafikan, belum semua umat Islam yang menunaikan solat secara berjemaah itu bersatu-padu. Hati-hati sebahagian mereka masih saling berselisih walaupun berada di belakang imam yang satu dan saf yang sama.

Ini kerana solat sebahagian dari umat Islam masih belum menepati cara solantnya Nabi. Nabi sendiri sudah menegaskan, “Solatlah kamu seperti kamu lihat aku solat” (Hadith Bukhari & Muslim). Sebahagian umat Islam menyelisihi perintah Nabi. Mereka solat bukan dengan melihat contoh nabi, sebalik mereka solat dengan melihat contoh orang lain atau melihat contoh guru atau syaikh semata-mata.

Satu perkara yang paling kritikal ditegaskan oleh Nabi ketika menunaikan solat ialah perihal saf. Sekali pandang persoalan saf solat nampak seperti remeh, namun nabi menyebutkan bencana yang besar akan menimpa umat Islam yang mencuaikan saf ketika solat.

Meluruskan Saf Untuk Mengeratkan Hati

Saf yang sempurna sebahagin dari kesempurnaan solat. Saf yang bengkang-bengkok serta renggang melambangkan hati dan muafakat ahli jemaah. Ini dijelaskan oleh Nabi sendiri dalam banyak hadith. Sahabat Abdullah bin Mas’ud melaporkan dari Nabi,

“Luruskanlah saf, janganlah kalian membengkokkan saf, nanti hati-hati kamu akan berselisih.” (Hadith Muslim)

Manakala seorang lagi sahabat Nu’man bin Bashir melaporkan dari Nabi,

“Luruskan saf kamu, demi Allah hendaklah kamu meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan memalingkan wajah-wajah kamu.” (Hadith Bukhari & Muslim)

Imam Nawawi menjelaskan maksud hadith ini,

“Terjadinya permusuhan di antara kamu, perseteruan dan perselisihan, begitu juga dalam perkataanmu, ‘Ekspresi wajah si fulan berubah terhadapaku, saya melihat dari raut wajahnya dia benci terhadapku, hati dan sikapnya berubah terhadapku’. Hal ini tidak lain berpunca dari tidak lurusnya saf solat mereka sedangkan ia sebagai bentuk dan simbol perbezaan mereka secara zahir. Perbezaan yang zahir ini menjadi sebab timbulnya perbezaan secara batin.” (Syarah Sahih Muslim)

Bagaimana Meluruskan Saf Solat?

Saf yang lurus dan rapat tidak memadai dengan hanya berdiri di atas sejadah yang disusun sebaris. Urusan saf ketika solat ditunjukkan oleh Nabi Muhammad secara detil kepada sahabat-sahabatnya.

Satu darinya seperti yang dijelaskan oleh sahabat Nu’man bin Basyir,

“Saya melihat seorang lelaki menempelkan bahunya ke bahu saudaranya, menempelkan lututnya ke lutut saudaranya dan menempelkan buku lali dengan buku lali saudaranya.” (Sahih Sunan Abu Dawud)

Manakala sahabat Anas bin Malik, pembantu di rumah nabi sejak nabi tiba di Madinah sehingga nabi wafat, pula melaporkan dari nabi,

“Luruskan dan rapatkan saf-saf kamu dan rapatkan bahu-bahu kamu, demi Dzat yang diriku dalam tangan-Nya, sesungguhnya saya melihat syaitan masuk di celah-celah saf, seperti anak kambing yang berlari-lari.” (Sahih Sunan Abu Dawud)

Juga dalam satu lafaz yang lain nabi berkata,

“Luruskan barisan kalian, sejajarkan bahu dengan bahu, isilah celah yang kosong dan bersikap lembutlah kepada saudara kalian. Jangan biarkan ada celah-celah untuk syaitan. Sesiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambungkannya. Namun sebaliknya sesiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan menutuskannya.” (Sahih Sunan Abu Dawud)

Berdasarkan beberapa hadith ini Syaikh Husain bin ‘Audah Al-‘Awaisyah membuat beberapa kesimpulan tatacara yang benar melurus dan merapatkan saf,

  1. Menempelkan bahu seseorang dengan orang lain di tepinya
  2. Menempelkan kaki dengan kaki orang sebelahnya
  3. Menempelkan lutut dengan kaki orang sebelahnya
  4. Menempelkan buku lali dengan buku lali orang sebelahnya
  5. Menjaga leher dan dada supaya sejajar dengan jemaah dalam satu saf.

Bacaan Tambahan

  1. Bengkoknya Saf Solat Membawa Bencana, Syaikh Husain bin ‘Audah Al-‘Awaisyah.
  2. Bimbingan Lengkap Solat Jemaah, Dr. Soleh Ghanim bin Sadlan.

disiarkan akhbar Berita Harian 27 November 2010 dengan tajuk Berjemaah Hapus Status Sosial Antara Ummah. Juga dipetik oleh laman Portal Mukmin,

Label: , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: