Bersatu-Padu Atas Satu Akidah Yang Benar

Allah mengutus Nabi Muhammad untuk membawa rahmat. Bukan sahaja kepada sukunya Quraisy, juga bukan kepada bangsanya sahaja Arab. Beliau diutus membawa rahmat ke seluruh alam. Ia meliputi semua bangsa manusia melewati tumbuh-tumbuhan, haiwan bahkan jin.

Rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad menjangkau batasan masa. Tidak hanya sekadar untuk zamannya sahaja, bahkan mengunjur sehingga zaman-zaman berikutnya entah berapa lama hingga hari kiamat. Tidak sedikit berita yang nabi bawakan tentang hal-hal yang belum terjadi termasuk berita dan fitnah akhir zaman.

Dalam kekabutan umat manusia membuat jangkaan dan ramalan tentang masa akan datang, Nabi Muhammad yang mulia telah lama memberikan perkhabaran sahih tentang akhir zaman.

Nabi Akhir Zaman Membawa Berita Akhir Zaman

Salah satu dari berita besar tentang hari kiamat yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad ialah seperti yang dilaporkan oleh sahabat Hudzaifah bin Usaid al-Ghifari. Beliau menceritakan bahawa nabi pernah berkata,

“Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi sebelum kalian melihat sepuluh tanda. Beliau menyebutkan ; Asap, Dajjal, haiwan melata, terbitnya matahari dari barat, turunnya Isa bin Maryam, Yakjuj dan Makjuj, tiga gerhana matahari iaitu gerhana timur, gerhana di barat dan gerhana di jazirah Arab dan akhir dari semua itu adalah api yang keluar dari Yaman yang menghalau manusia ke Padang Mahsyar.” (Hadith Muslim)

Banyak lagi hadith lain yang menceritakan tentang akhir zaman. Sebahagiannya sudah terasa kemunculannya seperti peristiwa gempa bumi yang melanda, segolongan umat Islam yang menghalalkan sutera, arak dan muzik, ibu yang melahirkan tuannya dan banyak lagi tanda-tanda akhir zaman yang lain.

Hudzaifah bin Yaman merupakan seorang sahabat yang paling banyak mengetahui tentang peristiwa fitnah yakni kekacauan yang berlaku kepada umat Islam. Beliau menceritakan bahawa pada satu hari Nabi Muhammad naik ke atas mimbar dan bercerita tentang akhir zaman. Beliau memulakan khutbah awal pagi dan berlangsung sehingga hampir maghrib. Nabi bercerita dengan terperinci. Kata Hudzaifah, “Ingatlah siapa yang ingat, lupalah siapa yang lupa”.

Apabila peristiwa yang disebutkan oleh nabi itu benar-benar berlaku, barulah Hudzaifah teringat semula apa yang telah disebutkan oleh nabi ketika beliau masih hidup.

Rahmat  Bersatu Untuk Menyembah Tuhan Yang Esa

Satu dari bentuk rahmat itu ialah mengajak manusia untuk bersatu mentauhidkan Allah dan tidak berpecah-belah mencari tempat pergantungan lain selain dari Tuhan Yang Esa. Mesej menyeru umat manusia untuk bersatu dalam mentauhidkan Allah bukan mesej Nabi Muhammad sahaja selaku nabi terakhir. Ia bukan mesej baharu, sebaliknya agenda menyeru manusia untuk mentauhidkan Allah adalah agenda semua nabi dan rasul seperti yang ditegaskan dalam Al-Qur’an,

“Dan Kami tidak mengutus sebelum rasul sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, ‘Bahawasanya tidak Tuhan (yang layak disembah) melainkan Aku, maka kamu semua sembahlah aku.” (Surah al-Anbiya’, ayat 25)

Dan dalam ayat yang lain sekali lagi Allah menegaskan,

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), ‘Sembahlah Allah, dan jauhilah Thaghut.’ ” (Surah an-Nahl, ayat 36)

Sarjana Islam menjelaskan thaghut di sini bermaksud, segala perbuatan seorang hamba Allah yang telah melanggar batas agama, baik berkaitan sesuatu yang disembah seperti menyembah patung, atau orang yang diikuti seperti tukang sihir, dan ulama suu (ulama yang tidak konsisten dengan ajaran agama), atau seseorang yang ditaati seperti penguasa yang menyimpang dari ketaatan kepada Allah. Hal ini dijelaskan oleh Syaikh Muhammad At-Tuwaijiri di dalam bukunya yang diterjemahkan dengan judul Ensiklopedia Islam Al-Kamil.

Islam Juara Perpaduan

Seruan Al-Qur’an kepada perpaduan bukanlah agenda retorik. Akhlak Al-Qur’an telah direalisasikan oleh Nabi Muhammad dalam lipatan sejarah. Awal dakwahnya, Nabi Muhammad meratakan status para sahabatnya tanpa mengira warna kulit, hamba atau merdeka, berharta dan papa-kedana. Bilal bin Robah, walaupun dari kelas hamba, berkulit hitam, tidak berharta dan tidak berupa, kedudukannya di sisi Nabi tidak kalah berbanding sahabat-sahabat lain yang kaya, berharta dan ternama.

Setibanya di Madinah, antara perkara awal yang Nabi lakukan ialah menyatukan (mempersaudarakan) orang-orang Madinah yang dikenal sebagai Ansar (membawa maksud penolong) dan orang-orang yang berhijrah dari Mekah yang digelar Muhajirin. Mereka bekerja-sama bahu membahu menyebarkan dakwah Islam membangunkan Kota Madinah.

Belum ada sebuah ideologi atau sistem kepercayaan yang menyusun manusia seperti Islam. Dari hal ekonomi dan negara hingga kepada hal yang remeh dan detil, semuanya diatur dengan baik. Umat Islam dianjur menebar ucapan salam yang bermaksud ‘keselamatan dan kesejahteraan’ kepada orang Islam yang dikenali mahupun yang tidak dikenali. Islam mengajar supaya meminta izin sebelum masuk rumah orang lain, dan Islam juga memberi ganjaran yang besar kepada orang yang menghilangkan gangguan di jalan seperti kata Nabi,

“Sungguh aku telah melihat seseorang yang berulang-alik di syurga disebabkan dia memotong dahan pokok yang mengganggu jalan.” (Hadith al-Bukhari dan Muslim)

Maha Suci Allah! Benar Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Setiap aturan dan perintahNya ternyata manfaatnya kembali kepada manusia juga.

Umat Islam Terpecah Kerana Tidak Kembali Kepada Akidah Yang Benar

Berdasarkan bukti-bukti yang dibawakan, kita dapat membuat kesimpulan adalah mustahil ajaran Islam yang benar merestui perpecahan berlaku. Pun begitu tidak dapat dipungkiri umat Islam akhir zaman akan tetap terpecah kepada banyak golongan.

Bukankah Nabi sendiri pernah mewasiatkan bahawa umatnya akan terpecah kepada 73 golongan, hanya satu sahaja yang selamat masuk syurga, manakala selebihnya di neraka? Yang selamat menurut Nabi ialah mereka yang mengikuti jalan yang dilalui oleh Baginda dan sahabat-sahabatnya. (Maksud Hadith Tirmidzi)

Ada yang bergerak atas parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan dakwah dan medium yang lain. Sebilangan dari mereka mendakwa merekalah yang paling benar dan paling tepat. Secara zahir perbezaan golongan-golongan ini berlegar sekitar pendekatan, aliran pemikiran dan medium dakwah. Namun jika dicermati akhirnya perbezaan-perbezaan ini kembali berlingkar seputar akidah.

Akidah ialah set-set kepercayaan dan keyakinan. Termasuk di dalamnya ialah kepercayaan kepada alam ghaib, hari akhirat, dosa, pahala, berita-berita terdahulu dan akan datang yang dilaporkan dalam Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Kitab-kitab akidah klasik karangan sarjana Islam muktabar memasukkan kepercayaan kepada pemimpin sebagai sub-set akidah Islam. Ia dinamakan sebagai wala’. Perbincangan wala’ ini haruslah dibincang dengan penuh ilmiah berlandaskan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Sahabat Auf bin Malik melaporkan dari Nabi,

“Wahai Rasulullah! Bolehkah kami memerangi mereka (pemimpin yang jahat) dengan senjata? Nabi menjawab, “Jangan, selagi mereka mendirikan solat. Dan jika kalian melihat sesuatu yang tidak baik dari pemimpin-pemimpin kalian, maka bencilah perbuatan tersebut. Akan tetapi janganlah kamu keluar dari ketaatan kepadanya.”  (Hadith Muslim)

Bacaan Tambahan :

  1. Ensiklopedia Islam Kamil, Syaikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdullah At-Tuwaijiri
  2. Bimbingan Islam Untuk Peribadi dan Masyarakat, Muhammad Jamil Zainu

Mohd Riduan b Khairi

disiarkan akhbar Sinar Harian pada Sabtu 01 Januari 2011 ruangan Renungan Hujung Minggu.

Label: ,

Satu Respons to “Bersatu-Padu Atas Satu Akidah Yang Benar”

  1. Ben Othman Says:

    Orang Melayu Islam negara ini terlalu banyak berpolitik.Memang ahli ahli UMNO,PAS PKR adalah pakar dalam permainan politik.Alangkah baik sekiranya bakat bakat tersebut digunakan bukan untuk politik cari makan tapi untuk menceburi bidang ekonomi dan da’wah dalam dan luar negara.

Komentar ditutup.


%d bloggers like this: