Amal jariah dan menyebarluas peranan YaPEIM – Siti Suriani Othman

Amal jariah dan menyebarluas peranan YaPEIM

 

dari akhbar Utusan Malaysia 20 Disember 2011
Oleh SITI SURIANI OTHMAN
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Bandar Baru Nilai.

BERSEDEKAH amalan dituntut Islam. Ia bukan hanya dapat membantu golongan memerlukan, bahkan, seperti yang diriwayatkan dalam Hadis Riwayat Muslim, adalah amalan yang tidak terputus hubungannya setelah kematian seseorang selain ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh dan sentiasa mendoakan.

Selari konsep sedekah jariah dalam Islam, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) ditubuhkan pada 1976 untuk menjana dan menyokong kemajuan umat Islam dari aspek sosio-ekonomi secara kolektif.

Antara program teras yang dianjurkan YaPEIM adalah Program Mikro Kredit Ar-Rahnu atau sistem pajak gadai Islam yang membantu golongan peniaga kecil-kecilan dari segi aliran tunai, Program Membangun Ilmu Pengurusan Islami yang merangkumi projek terjemahan buku-buku Arab ke Bahasa Melayu dan Program Kecemerlangan Komuniti yang termasuk usaha membantu anak yatim dan fakir miskin.

Tiga program teras lain adalah program membangunkan institusi Islam yang merangkumi pembinaan masjid-masjid untuk kegunaan komuniti setempat serta program pembangunan tanah wakaf dan pemangkin, iaitu program membantu mangsa bencana alam.

Dari segi sumber kewangan, YaPEIM menggalakkan individu dan institusi swasta menyumbang sama ada melalui skim potongan gaji atau skim korporat penyayang. Untuk penjawat awam misalnya, kemudahan potongan gaji boleh dibuat setiap bulan dengan potongan serendah RM5.

Syarikat korporat pula boleh menyumbang dengan memilih sendiri badan tertentu yang ingin dibantu dan membantu secara kelompok. Pilihan boleh dibuat misalnya daripada rumah-rumah anak yatim yang ada di negara ini, rumah orang tua atau sebarang bentuk badan kebajikan sukarela atau badan bukan kerajaan yang memerlukan.

Namun, fungsi YaPEIM ini tidak boleh disamakan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pusat zakat memandangkan objektif bantuan tertumpu kepada badan-badan kebajikan dengan tujuan membantu secara kolektif.

Pendek kata, YaPEIM bersedia membantu badan-badan sedia ada yang kekurangan sumber kewangan, berbanding bantuan individu kepada fakir miskin dan anak yatim. Kelebihan ini memberi YaPEIM kekuatan memfokuskan kepada bantuan berbentuk ‘bersama’ dengan harapan dapat membantu lebih ramai umat Islam khususnya untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Buat masa ini, hampir 300,000 penyumbang menyalur dana kepada YaPEIM dalam bentuk sedekah jariah. Dana yang terkumpul disalurkan kepada usaha berbentuk kolektif, yang mungkin membuatkan sesetengah berpendapat wang yang dikumpul ‘tidak menampakkan hasil’.

Namun, pernahkah kita sendiri meninjau kekurangan badan-badan kebajikan persendirian yang dibantu YaPEIM? Bagaimana pula dengan usaha kita sendiri sebagai individu untuk membantu golongan ini?

Jika dikesan usaha ini masih kurang di tahap individu, ada baiknya kita menyokong usaha YaPEIM ini agar terbentuk satu institusi yang bukan hanya membantu sesama Islam, tetapi juga memberi ruang kepada umat Islam sendiri untuk menggandakan pahala dalam menjayakan sedekah secara bersistem yang menjanjikan hasil yang istiqamah kepada yang dibantu.

Di pihak yang bersedekah, ia juga insya-Allah menjanjikan ganjaran yang berterusan. Jika objektif YaPEIM nampaknya luhur, yayasan persekutuan ini nampaknya masih kurang popular sungguhpun di kalangan umat Islam sendiri.

Usaha mengkomunikasikan yayasan ini, menurut Ahmad Tajuddin Idris, salah seorang Pengurus Pemasaran YaPEIM yang datang ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini untuk memanggil lebih ramai umat Islam membantu sesama Islam, komunikasi pemasaran YaPEIM lebih tertumpu kepada komunikasi bersemuka berbentuk ceramah.

Namun, di Semenanjung Malaysia, hanya kira-kira 20 orang pengurus pemasaran terlatih yang perlu turun padang seperti ke universiti, kementerian dan agensi kerajaan lain untuk menjana dana dan meningkatkan jumlah penjana bulanan melalui skim potongan gaji.

Selain itu, usaha mengkomunikasikan usaha murni ini juga terhad kepada penerbitan Buletin YaPEIM dengan kekerapan dua kali setahun dengan sirkulasi 20,000 naskhah setiap keluaran.

Usaha ini adalah antara lain, cuba mewujudkan imagined communities (komuniti diimaginasi) yang cuba membuatkan komunitinya berasakan bahawa mereka wujud dalam sebuah komuniti yang mengkomunikasikan identiti mereka sama ada sesama mereka atau secara global.

Konsep ini diperkenalkan oleh Benedict Anderson, seorang Profesor Emeritus di Cornell University yang terkenal dengan penerbitan bukunya berjudul Imagined Communities, terbit pertama kali pada 1983. Umumnya, konsep ini menyatakan bahawa sesuatu bangsa itu adalah komuniti yang dibentuk secara sosial, hasil daripada imaginasi warganya yang percaya bahawa mereka adalah sebahagian daripada bangsa berkenaan.

Konsep ini berbeza daripada konsep komuniti sebenar kerana hakikatnya, interaksi bersemuka tidak wujud antara warga komuniti tersebut. Misalnya, warga Malaysia merasakan mereka adalah rakyat Malaysia kesan daripada imaginasi kolektif yang terhasil daripada laporan berita oleh media massa.

Natijahnya, kita sendiri tidak mengenali setiap warga Malaysia, tetapi merasakan bahawa kita adalah rakyat Malaysia, kesan yang terhasil lebih berbentuk tautan mental sesama setiap rakyat yang lain. Sambutan Sukan SEA di Jakarta dan kelayakan ke sukan Olimpik adalah contoh terbaru, di mana kita dapat lihat dengan jelas bagaimana imagined communities ini terbentuk.

Dalam konteks menyebarluaskan peranan YaPEIM kepada warga Malaysia, mungkin konsep imagined communities ini boleh digunapakai, dengan mengoptimumkan peranan media massa untuk berterusan mengkomunikasikan kelebihan bersedekah secara bersistem ini yang hasilnya bukan hanya bakal mengutuhkan umat Islam sendiri, malah proses untuk mencapai kekukuhan ekonomi ini akan menjadikan umat Islam mempunyai perasaan ‘mempunyai’ yang lebih kuat sesama sendiri.

Jika imagined communities boleh wujud di kalangan kita ketika perlawanan bola sepak dan ketika temasya sukan dunia, mengapa tidak dalam konteks sedekah jariah sesama umat Islam?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: