Fatwa dan Mufti

Fatwa memiliki kedudukan yang agung, orang yang memberi fatwa mencurahkan fikiran untuk menjelaskan apa yang samar bagi umat tentang urusan agama mereka dan membimbing mereka ke jalan yang lurus. Oleh kerana itu, kedudukan ini tidak mampu disandang melainkan ahlinya.

Lantaran itu Ibnu Manzhur mendefinisikan bahawa fatwa ialah suatu kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti mengenai suatu hukum atau satu keputusan yang dikeluarkan oleh seorang yang faqih iaitu seorang yang berpengetahuan luas dan mendalam di dalam perundangan Islam. (Lisanul Arab)

Ramai ulama’ silam yang masyhur mengarang kitab yang membicarakan dengan panjang lebar mengenai fatwa dan kepentingannya dalam Islam. Ibnu Qayyim al-Jawziyah sendiri menulis I’lam al-Muwaqqi’in ‘An Rabb al-’Alamin sebanyak 4 jilid besar. Antara lain yang menulis subjek yang sama termasuk Imam Qarrafi al-Maliki ; Tamyiz al-Fatawa ‘An al-Ahkam Wa Tasarrufat al-Qadhi, Imam Jamaluddin al-Qasimi ; Fatawa Fil Islam, Ibnu Hamdan al-Hambali ; Sifat al-Fatwa Wa al-Mufti Wa al-Mustafti, Abu Khatib al-Baghdadi ; Al-Faqih Wa al-Mutafaqqih dan banyak lagi.

Dek kerana detil dan terperincinya sesebuat perkara itu difatwakan, adalah tidak adil bagi orang awam dan rakyat biasa untuk menolak dan mengabaikan fatwa itu tanpa sebarang argumen yang wajar. Terlebih lagi apabila fatwa itu dikeluarkan secara rasmi oleh individu atau organisasi yang diberikan otoriti oleh pemerintah.

Isu Wang Zakat dan Saman

Ini merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengenai isu penyalahgunaan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Pihak pembangkang seperti membakul-sampahkan fatwa ini. Terlebih lagi fatwa ini bukanlah dari akal dan pandangan peribadi Datuk mufti melainkan ia didasari dengan dalil dan dijelaskan oleh ulama’ yang terkemuka.

Oleh kerana suara ulama’ dan agamawan sudah mula dipinggirkan dalam Pas, maka elok juga kita ingatkan sebuah hadis dari sahabat Abu Said al-Khudri,

“Zakat itu tidak halal bagi orang kaya kecuali untuk lima golongan ; (1) amil, (2) seseorang yang membelinya dengan harta miliknya, (3) orang yang berhutang, (4) tentera yang berperang di jalan Allah, atau (5) seorang miskin yang menerimanya lalu menghadiahkan kepada orang kaya.” (Sahih Sunan Abu Dawud)

Imam Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani ketika mensyarahkan hadis ini berkata, “Termasuk mereka juga seseorang yang bekerja untuk kepentingan orang Islam, seperti bidang pengadilan, pemberian fatwa dan pengajaran, walaupun mereka termasuk orang kaya.” (Subulus Salam Syarah Bulughul Maram)

Urusan zakat bukan alang-alang penting dalam Islam kerana termasuk satu dari 5 rukun Islam. Ia termasuk ibadah khusus yang “tawqif” memiliki tatacara yang telahbaku, bermakna ia tidak boleh ditambahi dan dikurangi tanpa berasaskan dalil.

Sesungguhnya di antara kejahatan yang terbesar dalam agama adalah seseorang mengatakan tentang sesuatu bahawa ini halal padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu. Atau berkata tentang sesuatu bahawa ini haram padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu. Sesuai dengan firman Allah,

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebutkan oleh lidah secara dusta ini halal dan ini haram untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengadakan-adakah pembohongan terhadap Nama Allah tidak akan beruntung.” (Surah An-Nahl, ayat 116)

Bukan itu sahaja, Nabi sendiri dalam beberapa hadis mengancam seseorang itu mengeluarkan pendapat tentang Al-Qur’an sesuka hati berdasarkan akal dan nafsu semata-mata. Di dalam Musnad Abdun Hamid, Nabi diriwayatkan berkata,

“Barangsiapa berpendapat berdasarkan pendapatnya dalam masalah yang ada kaitannya dengan Al-Qur’an, maka tempatnya kembalinya adalah neraka.” (I’lamul Muwaqqi’in An Rabbil Alamin)

Begitu juga semulia-mulia dan seutama-utama manusia selepas Nabi Muhammad, sahabat dan mertuanya yang dicintai Abu Bakar As-Siddiq (semoga Allah redha kepadanya) mengatakan, “Langit mana yang akan menaungiku dan bumi mana yang akan membawaku, apabila aku berbicara tentang Kitab Allah tanpa ilmu.” (Jamii Bayaanil Ilmi wa Fadhlihi) 

Justeru kita merasa sangat hairan dengan sikap mereka yang mendakwa diri  berjuang untuk Islam dan mendaulatkan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun dalam pada masa yang sama, tindakan mereka bertentangan dengan apa yang mereka ucapkan. Al-Qur’an yang mereka baca tidak lebih dari sekadar bunyi-bunyi indah dari kerongkongan mereka sahaja. Manakala tindakan dan amalan mereka meluncur dan melencong tidak ubah seperti anak panah yang keluar dari busurnya. 

Sikap Pembangkang Terhadap Mufti dan Fatwa

Sikap meminggirkan fatwa bukan sekali ini sahaja berlaku, bahkan sudah berlarutan dan menjadi tabiat yang sukar dikikis.

Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah menceritakan bahawa pihak pembangkang banyak kali tidak menerima fatwa yang dikeluarkan. Ini beliau ceritakan dalam sebuah wacana beberapa bulan yang lalu. Kenyataan beliau itu terbukti serta-merta apabila disambut cercaan “boo” dari majoriti penyokong pembangkang yang hadir. Sudahlah pemimpinnya angkuh menolak fatwa, ahli dan penyokongnya pula tidak berakhlak pada mufti dan orang yang lebih tua. Ibarat kata, “guru kecing berdiri, anak murid berak melompat”.

Bukankah dahulu mereka juga yang melaungkan kalam Allah,

“Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”. (Surah Al-Baqarah, ayat 85)

Hari ini sepertinya ada yang lupa bahawa di dalam kalam Allah juga memesankan supaya taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan ulil amri. Dan para ulama menjelaskan salah satu dari tafsiran ulil amri ialah ulama’. Dan ulama’ telah berfatwa sesuai dengan ayat Allah, sesuai dengan hadis Nabi dan tafsirannya benar mengikut pandangan ulama yang muktabar.

Benarlah apa yang dijelaskan oleh pengarang kitab Dar’ut Ta’arudh An-Naqli Wal Aqli,

“Setiap kali ahli batil berhujjah dengan dalil dari Al-Kitab mahupun As-Sunnah yang sahih untuk membela kebatilan mereka, maka dalil yang mereka gunakan tersebut akan berbalik menyerang mereka.”

Begitulah manusia dan resam dunia. Ia bergulung laksana ombak. Seringkali juga kita melupakan apa yang telah kita perkatakan kepada orang lain. Dan akhirnya akibat kelupaan dan keseronokan kita menunding jari akan kesalahan kepada orang lain, ternyata empat jari yang lainnya berbalik menunding kita.

Kita akhiri dengan merenungkan perkataan Imam Ibnu Qayyim tentang manusia,

“Manusia itu ada empat macam ; yang terbaik di antara mereka adalah yang diberi ilmu dan sikap santun, yang terburuk di antara mereka adalah yang tidak memiliki ilmu dan tidak memiliki sikap santu, …. Maka, sikap santun adalah hiasan ilmu sekaligus menjadi kecantikannya. Lawan dari sikap ini adalah kurang akal, tergesa-gesa, dan tidak memiliki kemantapan.”

Semoga kita semua termasuk dalam golongan manusia yang terbaik itu.

disiarkan dalam Utusan Malaysia Isnin 23 Januari 2012, halaman 9.

dipetik juga oleh : Luahan Hati Melayu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: