Khutbah Jumaat : Jatuh-Bangunnya Sebuah Peradaban

Sidang Jumaat yang budiman dan dirahmati Allah Subhanahu  wa Ta’ala sekalian,

Imam Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadis, bahawa Nabi pernah bersabda: 

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala di mana sahaja kamu berada. Dan susulilah keburukan-keburukan yang kamu lakukan dengan kebaikan, kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan yang kamu lakukan. Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.”

Generasi umat Islam pertama (salaful ummah) mampu meraih predikat tertinggi dalam pendidikan akhlak. Sehingga manusia berbondong-bondong memeluk agama Islam saat melihat perilaku mulia dan perlakuan baik mereka. Jangan terkejut tatkala itu jumlah mereka yang masuk Islam kerana akhlak para sahabat lebih banyak daripada jumlah mereka yang masuk Islam dengan cara berdebat atau diskusi.

Mereka yakni para sahabat memiliki sifat tauladan yang lebih kuat daripada kekuatan penjelasan. Lebih-lebih lagi saat berdakwah kepada orang-orang awam yang tidak memiliki pemahaman yang baik. Akan tetapi generasi tersebut mampu memotivasi dan mendorong orang-orang kafir memeluk agama Allah lama sebelum mereka mengenal teori Aristotles mahupun falsafah Yunani.

Bandingkan, saat falsafah dan ilmu kalam mulai masuk ke dalam ajaran Islam, ketika itu mulailah pendidikan akhlak berkurang, sedang ilmu logik, rasional dan mantik tumbuh berkembang.

Akhlak Mulia sebagai Agen Penyatuan Umat Manusia

Sidang Jumaat yang budiman dan dirahmati Allah Subhanahu  wa Ta’ala sekalian,

Syaikh Khumais As-Sa’id menjelaskan kepentingan adab dan akhlak mulia dalam masyarakat:

“Apabila berbicara tentang pemikiran, kita akan dapati banyaknya perbezaan sesuai dengan perbezaan sumber dan cara memahaminya. Dan ketika berbicara tentang permasalah fikah, kita cenderung tenggelam dalam perbezaan mazhab fikah, dan kita banyak berbeza dalam hal yang rajih (pendapat yang kuat) dan marjuh (pendapat yang lemah), pendapat yang muktabar (dianggap sah) dan yang tidak muktabar.

Begitu juga tatkala memerikan masalah akidah, maka pasti kita tidak akan terlepas dari perbicaraan kelompok-kelompok, agama, keyakinan, kefasikan, pembid’ahan, atau pengkafiran.

Akan tetapi saat kita mengupas tentang adab dan akhlak, hampir semua akal manusia sepakat mana yang dianggap sebagai akhlak yang baik, dan mana yang dianggap akhlak yang buruk. Ruang perbezaan yang ada sangat kecil, baik di kalangan umat Islam sendiri ataupun interaksi dengan orang yang bukan Islam.

Orang yang paling mencintaimu akan lari saat kamu berhati batu. Manakala orang yang paling membencimu pasti akan berhukum kepadamu saat kamu bersikap jujur dan terpercaya.”

Sidang Jumaat yang budiman dan dirahmati Allah Subhanahu  wa Ta’ala sekalian,

Adab dan akhlak mulia merupakan asas yang sangat penting dalam masyarakat. Tidak ada suatu masyarakat pun yang dapat berdiri utuh dan kukuh tanpa dilandasi dengan akhlak yang mulia.

Hanya agama Islam sahaja yang membahas secara lengkap adab dan akhlak bermasyarakat bermula adab kepada kedua ibu bapa, adab suami-isteri, adab berjiran, adab jalan raya, sehinggalah kepada adab dengan pemerintah negara.

Paraimam ahlus sunnah memasukkan adab dan akhlak sebagai ciri utama yang membezakan seorang ahlus sunnah wal jamaah dengan golongan lain yang sesat menyimpang. Ini dapat dilihat dalam sebuah teks klasik akidah bertajuk Akidah Wasitiyah. Pengarang menyebutkan:

“Mereka (ahlus sunnah) mengajak kepada kemualiaan akhlak, kebaikan amal perbuatan, mereka meyakini makna sabda Nabi, ‘Orang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya.’ Mereka menganjurkan agar kamu menyambung perhubungan orang yang memutuskanmu, memberi kepada orang yang tidak memberi kepadamu, dan memaafkan orang yang menzalimimu.

Mereka (ahlus sunnah) memerintahkan berbuat baik kepada orang tua, menjaga silaturrahim, berbuat baik kepada jiran tetangga, berbuat baik kepada anak yatim, orang-orang miskin, ibnu sabil (musafir yang kehabisan bekal), serta mengasihi hamba atau haiwan yang dimiliki.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,

Keruntuhan Akhlak dan Kerosakan Adab Petanda Jatuhnya Sebuah Tamadun

Akhlak yang baik adalah penghubung penyatuan antara sesama anggota masyarakat. Apabila ia hilang, nescaya anggota masyarakat bercerai-berai, saling bertikai dan merampas hak satu sama lain, yang mana hujung-hujungnya akan menghantarkan mereka menuju keruntuhan dan kebinasaan.

Pengalaman manusia dan catatan sejarah peradaban insan membuktikan bahawa kekuatan dan martabat suatu umat akan meningkat seiring dengan akhlak mulia yang mereka miliki. Sebaliknya kekuatan dan martabat suatu bangsa akan merosot selari dengan kehancuran akhlak.

Elok juga kita renungkan apa yang dijelaskan oleh bijak pandai Melayu Pendita Za’ba dalam sebuah makalahnya : “Beberapa banyak umat yang besar-besar dan tinggi-tinggi tamadunnya pada zaman dahulu kala, telah jatuh, hancur lebur dan hapus tamadunnya itu, hanya tinggal bekas-bekas sahaja lagi di dalam liputan kitab-kitab sejarah atau dibaca-baca bandingan dan peringatan kepada orang-orang kemudian.

Kerajaan Babylon dan tamadun, kerajaan Mesir di zaman Firaun dan tamadunnya, kerajaan Greek tua dan tamadunnya, kerajaan Rom dan tamadunnya. KerajaanChinadahulu kala dan tamadunnya, kerajaan Parsi dahulu kala dan tamadunnya dan akhirnya kerajaan umat Islam dahulu kala dengan tamadunnya pula – semuanya itu telah jatuh, lebur, dan lenyap. Yang tinggal hanya puing-puing dan kenangan.

Apakah sebabnya? Tiada lain melainkan sebab jatuhnya akhlak orang-orangnya, terutama orang-orang yang tingkat atasnya yang diikuti pula oleh orang-orang bawahan sebagai teladan” 

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.

Sidang Jumaat yang baik hati lagi dicintai kerana Allah,

Bagaimanakah caranya membina dan memupuk adab dan akhlak yang mulia di kalangan umat? Kata Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari dalam kitab sahihnya, ‘al-ilmu qobla qaul wal amal.”

Pertama, dengan membaca al-Qur’an. Dalam ertian bukan sahaja dibaca dengan makhraj, tajwid, taranum dan musabaqah semata-mata. Bahkan tanggungjawab orang beriman terhadap Kitab Suci ini bukan sekadar itu.

Ibunda Aisyah binti Abu Bakar radhiyallahu ‘anhuma ketika didatangi para sahabat yang bertanyakan akhlak suaminya yang tercinta Nabi SAW, beliau berkata,

Maksudnya: “Akhlaknya seperti akhlak Al-Quran.” (riwayat Imam Muslim no. 746)

Al-Qur’an itu tuntutannya dibaca, difahami, diamalkan dan disebarkan. Adalah tidak wajar di bawah bumbung-bumbung rumah umat Islam, mampu memiliki radio, televisyen, komputer serta mesin yang mahal-mahal dan mewah-mewah. Namun dalam masa yang sama di bawah bumbung-bumbung itu juga tidak memiliki al-Qur’an dan kitab-kitab yang menjelaskan kandungan al-Qur’an. Innalillahi ilaihirojiun, ini musibah. Setiap rumah orang-orang yang beriman amat perlu memiliki sekurang-kurangnya sebuah terjemahan al-Qur’an dan sebuah kitab tafsir yang muktabar.

Dan kitab tafsir yang terbaik pernah lahir dalam dunia intelektual Islam tidak lain dan tidak bukan Tafsir Al-Qur’an karangan al-Hafidz Ibn Kathir rahimahullah yang dikenali sebagai Tafsir Ibnu Kathir.

Yang boleh berbahasa Arab, tentunya itu yang terbaik. Namun kepada yang tidak mahir berbahasa Arab, belilah edisi terjemahannya baik bahasa Melayu mahupu bahasa Inggeris. Bak kata pepatah Melayu, “daripada cempedak eloklah nangka, daripada tidak baiklah ada.”

Kedua, adab dan akhlak juga perlu digali dari kitab-kitab hadis.Para imam ahlus hadis ketika menghimpunkan hadis, tidak pernah lupa membuatkan sebuah bab khusus berkaitan adab. Bukalah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan As-Nasa’i dan kitab-kitab hadis yang lainnya. Tentu sekali kita akan menemui banyak hadis-hadis merakamkan adab dan akhlak Nabi dan para sahabat.

Tidak lupa juga dengan syarah dan penjelasan bagi kitab-kitab hadis ini seperti kitab Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari, kitab al-Minhaj Syarah Sahih Muslim dan seterusnya.

Secara khususnya pula Imam al-Bukhari menyusun sebuah kitab adab dan akhlak yang diberi Judul Adabul Mufrad. Ia adalah sebuah kitab yang sangat berharga yang tidak boleh tidak naik ke atas rak buku di setiap perpustakaan.

Dan yang ketiga, ialah melazimi menghadiri majlis ilmu dan berteman dengan orang-orang yang soleh.

Imam Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181 H) mengatakan, “Aku mempelajari adab selama 30 tahun kemudian aku menuntut ilmu selam 20 tahun. Mereka mempelajari adab sebelum menuntut ilmu.”

Beliau juga mengatakan, “Adab itu 2/3 daripada ilmu.”

Manakala Imam Muhammad bin Sirin (wafat 110 H) rahimahullah berkata, “Mereka (salafussoleh) mempelajari petunjuk Nabi (tentang adab) sebagaimana mereka belajar ilmu.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: