Kebenaran Itu Pahit

Mohd Riduan b Khairi

Lasau-Podi-Kota-Belud3aKebenaran itu pahit. Kalaulah yang dikatakan paling pahit dalam dunia ini ialah sayur peria katak, sehingga peria katak tidak di masak bersama sayur yang lain. Pahit peria lazimnya akan menjalar dan meresapi sayuran yang lain. Namun menyantap peria jauh lebih lebih mudah dari menelan hakikat sebuah kebenaran. Kerana kebenaran jauh lebih pahit dari itu.

Berapa ramai manusia tidak mahu menerima kebenaran dari sebuah nasihat atau teguran? Jawabnya, sungguh ramai. Seringkali manusia itu khilaf menentukan apa yang baik dan mana yang buruk untuk dirinya. Dan lazim juga akal manusia terpedaya dengan godaan nafsu dan pujuk-rayu syaitan dalam membuat suatu pilihan. Maka jatuhlah manusia kepada sebuah kesalahan yang disangka sebagai sebuah kebenaran.

Justeru Allah mengingatkan dalam al Qur’an, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (surah al-Baqarah, ayat 216)

Itulah yang dipegang kukuh oleh ibu Nabi Musa Alaihissalam ketika Allah memberi ilham agar anak kecil itu dihanyutkan arus Sungai Nil. Walaupun pada akal waras, menghanyutkan anak di Sungai Nil yang luas dan deras itu tidaklah lebih baik dari menyerahkannya kepada tentera Firaun untuk dibunuh. Namun Allah tidak pernah memungkiri janjinya untuk mengembalikan Musa kepangkuan ibunya dengan selamat.

Namun berapa ramai manusia yang sanggup meniru jejak ibu Musa untuk taat perintah Allah. Sedangkan sejumlah besar umat Nabi Nuh Alaihissalam kufur kepada ajaran nabinya dan enggan naik ke atas bahtera yang dibina. Walaupun ketika itu jelas di depan mata mereka Allah memerintahkan air keluar dari segenap pelusuk bumi untuk menenggelamkan mereka. Hanya sebilangan kecil sahaja akur dan tunduk pada perintah Allah lewat rasul-Nya Nuh Alaihisalam.

Tepat sekali apa yang Allah firmankan dalam banyak ayat dalam kitab-Nya bahawa kebanyakan manusia tidak mengetahui, kebanyakan manusia tidak beriman, kebanyakan manusia tidak bersyukur dan kebanyakan manusia itu fasiq. Kebanyakan manusia menolak sebuah kebenaran akibat bodoh dan sombong.

Andai menelan sebuah kebenaran sahaja sudah seperti menelan bara berduri, bagaimana pula orang yang meluahkan dan menyampaikan kebenaran itu? Sudah barang tentu ia jauh berganda lebih sukar dan lebih pahit. Tidak perlu pergi terlalu jauh, lihat sahaja apakah yang menimpa para Nabi dan para Rasul dari umat mereka yang ingkar.

Semua Nabi dan Rasul tidak diperselisihkan mereka semua membawa risalah kebenaran dari Yang Maha Esa. Bukankan mereka diusir dari kampung halamannya sebagaimana yang dikisahkan oleh Waraqah binti Naufal kepada Nabi Muhammad selepas menerima wahyu pertama. Kata Waraqah, “Andainya aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu, nescaya aku akan membantumu.”

Ternyata kebenaran itu tidak hanya pahit ketika ditelan, bahkan ia lebih pahit ketika ingin diluahkan. Sehinggakan Nabi mengingatkan,  “Katakan yang benar walaupun pahit dan jangan kamu gentar cercaan orang yang mencerca.” (riwayat Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman dari shahabat Abu Dzar)

Besar dan tinggi kedudukan orang yang sanggup dan mampu mengucapkan kebenaran sehingga Nabi menggolongkan ia sebagai jihad yang paling utama. Sebagaimana disebutkan dalam hadis yang maksudnya, “Jihad yang paling utama adalah mengucapkan kebenaran di hadapan penguasa zalim.”(riwayat Ibn Majah dan an-Nasa’i)

Dalam Kitab al-Mustadrak, Imam al-Hakim meriwayatkan sepotong hadis dari Jabir r.a., bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, “Penghulu orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan juga seorang pemuda yang bangkit menegur dan menasihati pemerintah yang zalim, sehingga ia dibunuh oleh pemerintah tersebut.

Antara Nasihat dan Umpat

Ya, memang benar tidak sedikit orang melaungkan hadis ini dan kononnya cuba melaksanakan apa yang disebutkan oleh Nabi ini. Namun hakikatnya sangat sedikit yang mampu melaksanakannya dengan erti-kata yang sebenar-benarnya. Jangankan menasihat pemerintah yang zalim, kemungkaran kaum keluarga dan tetangga sendiri tidak tercegah.  Yang dimaksud jihad itu ialah nasihat secara berdepan. Manakala yang banyak dilakukan sebahagian orang Islam ialah mengumpat dengan mencerca dan membuka aib di belakang.

Dengan itu Imam al-Syafie menyatakan, “Tujukanlah kepadaku nasihatmu secara bersendirian dan elakkanlah memberi nasihat kepadaku di dalam jemaah. Sesungguhnya memberi nasihat semasa di dalam jemaah adalah sejenis penghinaan, yang telingaku ini tidak mampu mendengarnya. Sekiranya kamu tidak dengar kataku maka jangan pelik sekiranya engkau tidak ditaat oleh aku.”

Sungguh benar nasihat dan menyampaikan kebenaran ini satu amanah yang sangat berat. Berapa ramai yang sanggup memberitahu kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri sahabatnya secara sendirian. Lebih ramai yang memilih diam dan rela melihat sahabatnya itu dalam kekurangan tanpa dibaiki. Berapa ramai yang mampu menyatakan, ‘Wahai sahababatku, adakah kamu sedar bahawa mulutmu mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.” Ada yang memilih menjauhkan diri dari sadudaranya itu dan membiarkan dia dipersenda oleh orang lain.

Saling nasihat-menasihati dan tegur-menegur merupakan satu tanggungjawab orang-orang Islam. Di dalam satu hadith Nabi bersabda maksudnya, “Sekiranya dia meminta nasihat daripadamu, maka nasihatkanlah dia.” (riwayat Imam Muslim)

Bukan sahaja kita diperintah untuk menasihati saudara kita yang lain, namun agama juga mensyariatkan agar kita tidak hanya menuggu nasihat, sebaliknya minta dinasihatkan.

Fitrah manusia sering leka, lalai dan lupa.  Seringkali kita terjatuh dalam melakukan kesalahan dan kesilapan.  Kita merindukan teman dan saudara yang sanggup menasihati dan menegur kita dengan cara yang benar dan tidak melukakan hati kita. Mereka mengetahui cela dan aib kita, namun berusaha sedaya-upaya menutupnya dari diketahui orang lain. Dalam masa yang sama menunaikan amanah menyampaikan nasihat dengan cara yang diajar oleh Nabi.

Menyatakan Kebenaran/ Nasihat kepada Pemimpin

Demikian juga pemimpin-pemimpin kita yang amat dikasihi. Kerana mereka manusia, maka pasti mereka pernah terjatuh dalam kesalahan dan kesilapan. Sebagaimana kita menginginkan kesalahan kita dinasihati dengan cara yang paling baik, demikian juga mereka.

Lihat teladan anak didik Rasulullah ketika membudayakan amalan nasihat-menasihati di kalangan mereka termasuk pemimpin-pemimpin mereka. Daripada Usamah bin Zaid, beliau berkata – Seseorang berkata kepadanya, “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?” Maka Usamah menjawab: “Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku perlu memperdengarkannya (memberitahu) kepadamu? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.” (riwayat  Imam Muslim)

Kontradik dengan apa yang diamalkan sebilangan orang hari ini. Teguran dibuat secara terang-terangan di dalam akhbar, pentas terbuka dan hebahan internet. Ini bukan lagi teguran dan nasihat yang syar’ie, sebaliknya ia termasuk mendedahkan aib dan mencemar maruah. Sebahagian orang berlasakan, “saya tidak ada akses pada pemerintah, jadi saya terpaksa menasihati melalui facebook”. Maka kita balas, jika tiada akses dan tiada kemampuan, maka kita sudah tidak wajib untuk menegurnya. Siapa yang mempunyai akses itulah yang wajib. Tetapi kita mempunyai akses lain yakni berdoa kepada Allah agar memberikan kebaikan kepadanya. Imam Ahmad pernah menyebutkan, “Sekiranya saya mempunyai doa yang mustajab, saya akan jadikan doa itu untuk pemerintah.”

Maka amat beruntung mereka yang Allah berikan teman dan sahabat yang tidak pernah lupa untuk menegur, menasihati dan terus-menerus mendoakan kebaikan kita. Sekalipun mungkin perkataan mereka itu adakalanya menyakitkan, selagi mana ia dilakukan secara bersendirian, maka yakinlah bahawa dia menginginkan kebaikan untuk kita.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 16 Februari 2013

http://ilmuanmalaysia.com/penulis/riduan-khairi/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: