Pandemik Kafir-Mengkafir

Mohd Riduan b Khairi

Gambar hiasa: Pulau Maiga, Semporna. Foto: R&R Capture 2013

Gambar hiasa: Pulau Maiga, Semporna. Foto: R&R Capture 2013

Allah swt mengutus semua rasul demi mengajarkan Islam. Termasuk pokok penting ajaran itu ialah membezakan iman dan kufur. Rujukan dan sandaran untuk menentukan seseorang itu beriman atau kafir, tidak lain tidak bukan ialah dengan nas al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw. Hukum mengkafirkan seseorang merupakan hak Allah dan Rasul-Nya. Seseorang sehebat apapun dia, sebesar manapun gelarnya, tidak boleh berijtihad dengan akalnya atau menghukum dengan hawa nafsunya. Sebagaimana juga seseorang tidak boleh menentukan suatu amalan sebagai ketaatan dan kemaksiatan, atau halal dan haram tanpa dasar nas syari’at.

Syaikh Prof. Dr. Ibrahim bin Amir ar-Ruhaili, mahaguru akidah di Madinah menyusun sebuah kitab khusus membahaskan prinsip dan kaedah menjatuhkan hukum kafir berjudul Dhawabith fit-Takfir. 

Gejala kafir-mengkafir merupakan amalan bid’ah pertama dalam Islam. Ia muncul pada akhir masa khulafa ar-rasyidin. Ia ditandai dengan muculnya puak Khawarij yang melakukan pemberontakan terhadap Khalifah Ali bin Abi Thalib, setelah peristiwa tahkim dalam perang Siffin. Puak Khawarij menentang dan mengkafirkan Ali, Abu Musa al Asy’ari, Amru bin al ‘Ash dan orang yang menyetujui tahkim tersebut.

Ibn Kathir rhm menjelaskan dalam  al Bidayah wan-Nihayah, ketika Ali ra mengutus Abu Musa ra dan beberapa tenteranya ke daerah Daumatul Jandal. Tatkala itu puak Khawarij semakin mengganas, semakin kuat menentang Ali ra, dan secara jelas mengkafirkan Khalifah. Penentangan ini membawa kepada tindakan Ali memerangi mereka.

Perbuatan Ali ra ini merupakan realisasi perintah Rasulullah saw untuk memerangi mereka, sebagaimana dijelaskan dalam sabda beliau maksudnya, “Di mana sahaja kalian menemui mereka, maka bunuhlah mereka, kerana membunuh mereka adalah pahala pada hari Kiamat bagi yang membunuhnya.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pandemik kafir-mengkafir

Dari satu generasi ke generasi gejala ini menular ke dalam puak lain. Yang paling ketara mengkafirkan kaum Muslimin secara semberono ialah  Syi’ah Rafidhah yang diasaskan oleh lelaki Yahudi bernama Abdullah binSaba’. Mereka telah mengkafirkan generasi terbaik umat ini dan yakin bahawa semua sahabat Nabi saw telah murtad, kecuali beberapa orang sahaja.

Disebutkan dalam kitab yang mereka sanjung dan anggap paling sahih Ar-Raudhah minal-Kafi, Abu Ja’far berkata: “Seluruh manusia (Sahabat Nabi) murtad setelah Nabi wafat, kecuali tiga orang,” aku bertanya: “Siapakah tiga orang tersebut?” Ia menjawab: “Al Miqdad bin al Aswad, Abu Dzar al Ghifari dan Salman al Farisi.”

Demikian juga wabak berbahaya ini berjangkit ke dalam puak sesat yang lain seperti Qadariyah diasaskan oleh Ma’ba al-Juhany, Mu’tazilah dan kemudiannya Jahmiyah.Hal ini diungkapkan oleh Abdul-Qahir al Baghdadi: “Tidaklah ada satu puak-puak sesat yang menyelisihi (Islam), kecuali pada diri mereka terdapat sikap saling mengkafirkan di antara mereka dan saling berlepas diri, seperti halnya Khawarij, Rafidhah dan al Qadariyah.  Sehinggakan apabila berkumpul tujuh orang dari mereka dalam satu majlis, lalu berpisah dalam keadaan saling mengkafirkan di antara mereka.” (lihat: Al-Farqu Bainal Firaq)

Demikianlah gejala kafir-mengkafir tanpa dasar menular secara viral pada majoriti puak ahli bid’ah sejak dahulu sampai sekarang. Yang pada zaman kini pemikiran takfir seperti ini sudah berkembang di masyarakat dan di tengah-tengah kaum Muslimin. Sehingga akibat buruk dari pengkafiran ini telah dirasakan. Tidak seorang ketua negara umat Islam dikafirkan secara paksa, dan tidak sedikit masyarakat Islam dimurtadkan tanpa rela. Terkini dilaporkan Presiden Mesir Dr. Morsi dikafirkan (tentunya tuduhan ini batil) oleh seorang yang pernah dipenjarakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Demikian juga pandemik kafir-mengkafir pernah membarahi sebahagian individu yang ghairah kepada agama namun jahil terhadap dalil. Tidak sedikit talak terjatuhi dan tidak sebuah keluarga berhamburan akibat fatwa dan fitnah takfir ini. Munculnya masjid-masjid baharu tanda protes kepada imam lantikan majlis agama bahkan munculnya imam tak sah taraf dalam drama solat dua imam.

Setelah ditelusuri asal-muasal sirah-surih pemikiran takfir di zaman ini, rupa-rupanya ia bersambung sanad dengan seorang tokoh yang tidak sedikit pemuda mengkaguminya. Sehinggakan Dr Yusuf al-Qardhawi, salah seorang sarjana pembela Ikhwanul Muslimin terpaksa menerima hakikat takfir dalam pemikirannya. Tertulis, “Pada peringkat ini, muncul buku-buku Ustaz Syed Qutb yang merupakan kemuncak pemikirannya dan yang mengkafirkan masyarakat…dan menyatakan jihad menentang semua manusia.”(lihat: Aulawiyat al-Harakah al-Islamiyah, Bank Al Taqwa hal 110 Yusuf al-Qaradhawi))

Hal ini didukung dan dikuatkan lagi dengan kenyataan Ahmad Farid Abdul Khaliq, “Syed Qutub telah memperlekeh Nabi Musa as, mencela Khalifah Uthman ra, mencela sahabat Nabi, meninggalkan tauhid uluhiyah, berakidah Asy’ariyah dalam mentakwil sifat-sifat Allah, menyebarkan pemikiran kafir-mengkafir dan sebagainya.” 

Wabak ini jugalah yang meracuni pemikiran beberapa tokoh mutakhir seperti Abu Muhammad al-Maqdisy, Abu Qatadah al-Falestiniy dan Abu Basyir at-Turtusiy untuk mengkafirkan pemimpin dan umat Islam. Dan tidak keterlaluan fenomena  “Amanat Haji Hadi” bersambung sanad dengan Syed Qutb, kerana semua makruf beliau dilatih secara khusus dari kelompok yang sama. 

Refleks dari itu melahirkan dua kelompok ekstrim terhadap Syed Qutb. Satu pihak mencela secara berlebihan, bahkan sampai ada yang mengkafirkan beliau dengan gelar seperti ‘Imam Takfir’. Kita berlindung kepada Allah dari perkataan seperti ini. Golongan ini disebutkan sebagai Ahbash yang bermuara kepada pemikiran Abdullah al-Harari dari Lubnan.

Kelompok satu lagi pula membela habis-habisan Syed Qutb dengan memberikan bermacam-macam takwilan dan rukhsah terhadap perkataan yang digunakan oleh Syed Qutb. Mereka belajar dan mengajar ‘Ma’alim fit Tariq’ dan ‘Fi Zilal al-Qur’an’ tanpa sebarang nota kaki akan kesilapan yang berlaku di dalamnya. Kononnya Syed Qutb menulis dengan perasaannya, menulis dengan ungkapan-ungkapan sastera dan metafora.

Kalam dan pemikiran Syed Qutb ditelan bulat-bulat dan dipegang ibarat menggigit dengan geraham. Pantang sahaja sesiapa mengoreksi kesilapan Syed Qutb, maka terjelirlah lidah mereka membela. Orang yang tidak sehaluan dinista dan dicerca dengan gelar yang pelbagai seperti ‘Madkhalis’ dan ‘literalis’. Ini yang menimpa kepada Syaikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali hafidzahullah dan juga Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wad’ie rahimahullah apabila menulis secara khusus dan ilmiah akan kesalahan dalam kitab-kitab Syed Qutb.

Amat disayangkan lisan penista dan percerca ini terjulur lewat lidah segelintir individu di dalam negara kita. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa pihak yang melabel ini tidak ada hari dalam hidup mereka melainkan mereka hidup dengan namimah dan melaga-lagakan fatwa dan ulama’. Ini terlihat melalui laman-laman web dan blog yang mereka asaskan. Walhal para ulama’ terdahulu sering mengingatkan ‘kalam aqran yutra wa la yurwa’ maksudnya kalam orang yang tersaingi itu biarlah dilipat, usah diriwayat.

Ahlus Sunnah Menilai dengan Adil

Ditengah-tengah dua sikap ekstrim ini Ahlus Sunnah Wal Jamaah meletakkan pertimbangan yang adil dan wasatiyah. Melihat kepada pengaruh dan tersebarnya idea dan pemikiran Syed Qutb, maka para ulama Ahlus Sunnah bangkit menjelaskan letak duduk hakikat yang sebenar. Ia dilakukan dengan adil lagi ilmiah. Setiap perkataan yang dilihat bermasalah dinukil bersama rujukan, kemudian dibandingkan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah. Ia tidak dilakukan atas pemikiran peribadi atau hawa nafsu.

Namun para ulama tidak pernah mengkafirkan Syed Qutb bahkan Syaikh Dr. Rabi’ sendiri tidak pernah menyatakan demikian. Beliau memetik perkataan Syeikh Hammad al-Ansari, “Jika dia (Syed Qutb) masih hidup maka sewajarnya dia bertaubat, jika tidak bertaubat dia dikenakan hukuman mati kerana telah murtad. Oleh kerana dia telah meninggal maka perlu dijelaskan kepada umat bahawa perkataannya itu batil, namun kita tidak mengkafirkannya kerana kita belum menegakkan hujjah ke atasnya.” (Lihat: al-Awasim Mimma fi Kutubi Sayyid Qutub Minal Qawasim, Hlm. 24, Rabi’ bin Hadi)

Inilah keadilan dan kesaksamaan Ahlus Sunnah, baik kepada pihak kawan mahupun pihak lawan. Maka salahlah siapa yang mengkafirkan Syed Qutb dan juga salah orang yang membiarkan kesilapan itu tanpa dibaiki.

siaran akhbar 2013

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: