Lawan Syaitan dengan Iman

Mohd Riduan b Khairi

Hai Dang Gemuruh Dang Gemurih,

Gajah Berlenggang dalam dusun,

Lariku Tidak, Mara pun tidak,

Hatiku tetap seperti bumi,

Mataku tetap seperti langit,

Berkat aku memakai penggerun,

Harimau hitam beranak muda.

Gambar hiasan: Menara Kayangan, Lahad Datu. Ihsan R&R Capture 2013.

Gambar hiasan: Menara Kayangan, Lahad Datu. Ihsan R&R Capture 2013.

Ini bukan bukan syair atau gurindam. Mungkin ada yang tersenyum jika dikatakan bahawa rangkap ini merupakan sebahagian mantra dan serapah yang digunakan untuk kebal. Bahkan ramai juga yang akan kerut dahi, geleng kepala tanda ragu bahawa amalan sebegini masih dipraktikkan.

Realiti tidak selalunya seiring dengan apa yang kita ketahui dan percayai. Berapa banyak peniaga Muslim kecil mahupun besar menggantungkan tangkal dan azimat sebagai pelaris. Ada yang berbentuk tulisan yang tidak difahami, rajah-rajah yang sukar dimengerti, gambar tokoh-tokoh tertentu bahkan bermacam-macam lagi. Mereka lupa bahawa itulah penyebab paling utama mengapa perniagaan sebahagian besar orang Islam tidak maju-maju.

Pasca pencerobohan oleh tentera haram Kiram di Lahad Datu dan Semporna, muncul banyak khabar dan bukti bahawa bukan sahaja senjata moden digunakan. Bahkan mereka juga nekad mengorbankan akidah dengan bekerjasama dengan jin dan syaitan melalui azimat dan tangkal. Masyhur juga dari penduduk kampung sekitar akan kejadian-kejadian luar biasa yang berlaku sepanjang pencerobohan. Demikian juga pengalaman pihak keselamatan menembak namun seolah-olah tidak memberi kesan sehinggalah mereka diarahkan mensasarkan pada bahagian kepala penceroboh.

Sebagaimana yang disahkan oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara, pengganas yang menceroboh Sabah memakai tangkal dan  kad meramal hari, iaitu kad Kutika yang dipelajari dari Kitab Tajul Muluk. Ia sebuah kitab kuno yang mengandungi begitu banyak maklumat khurafat tentang ramalan hari, masa depan, nasib baik-buruk dan termasuk rahsia tarikh lahir.

Asal muasal sihir dirakamkan secara ringkas dalam al Qur’an maksudnya, “Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. Maka mereka  mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah.” (surah al-Baqarah, ayat 102)

Justeru di sisi Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, sihir itu benar adanya dan kita wajib beriman kewujudan sihir ini. Namun sebagaimana dijelaskan, bahawa sihir itu memberi mudarat hanya dengan izin Allah. Sekali imbas kita takut dengan kejahatan pihak musuh yang menggunakan apa sahaja cara untuk mengalahkan lawan mereka termasuk menggunakan sihir, jin dan syaitan. Ini fitrah sebagaimana Nabi Musa Alaihisalam juga pernah terkejut dan sedikit takut ketika melihat banyaknya ular-ular ahli sihir Fir’aun yang merayap dengan cepat.

Namun janji Allah Maha Benar bahawa selama-lamanya mereka yang bersekutu dengan dukun, bomoh, pawang dan ahli sihir tidak akan menang. Firman Allah kepada Nabi Musa maksudnya “Dan lemparkanlah apa yang ada ditangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka lakukan. “Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya ahli sihir (belaka). Dan tidak akan menang ahli sihir itu, dari mana saja ia datang.” (surah Taha, ayat 69)

Jika benar kekuatan dan perlindungan yang diberikan oleh jin dan syaitan kepada pasukan Kiram, mengapa akhirnya puluhan tenteranya terbunuh. Walhal di tubuh mereka masih terlekat tangkal. Itulah kemuncak kejayaan dan kepuasan iblis dan syaitan; melihat manusia terbunuh dalam kesyirikan.

Ini persis janji yang dilafazkan oleh syaitan untuk melindungi pasukan musyrikin ketika menentang umat Islam dalam perang Badar dalam ayat yang maksudnya, “Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusiapun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu.” Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat-melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang sambil berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat lihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah.” (surah a-Anfal, ayat 48)

Oleh itu, apakah senjata yang lebih tajam dari peluru dan lebih laju dari mortar untuk menewaskan sekutu syaitan begini. Imam Muslim meriwayatkan kisah Ashabul Ukhdud tentang seorang pemuda beriman yang dibunuh oleh raja yang zalim. Berbagai-bagai cara digunakan termasuk cubaan mencampakkan dari gunung yang tinggi dan menenggelamkannya di laut namun tidak juga berjaya membunuhnya. Akhirnya dengan syarat yang diberikan oleh pemuda ini baharulah nyawanya dapat dipisahkan dari jasadnya yakni dengan lafas bismillah. Dan tentunya ia dibaca dengan iman yang kukuh dan teguh. Kerana Allah telah berjanji dalam al Qur’an pada banyak ayat bahawa Dia pasti akan menjaga da melindungi orang-orang yang beriman.

Satu sumber dan wahana kekuatan para sahabat Nabi yang dilalaikan oleh sebahagian besar umat Islam akhir zaman ialah solat berjemaah. Dengan solat jemaah hati-hati makmum disatukan, dan perselisihan di antara mereka dihapuskan. Sabda Nabi maksudnya, “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan).”(riwayat Abu Dawud)

Kepentingan solat berjemaah ini ditunjukkan hatta sampai ke medan perang diajarkan disebut sebagai solat khauf. Sahabat Nabi Abdullah bin Abbas menyatakan, “Allah mewajibkan solat atas Nabi saw di waktu bermukim 4 rakaat, di waktu musafir 2 rakaat dan di waktu perang satu rakaat.” (riwayat Muslim) Terdapat sekurang-kurangnya 6 atau 7 hadis secara khusus menjelaskan cara-cara dan kaedah solat khauf sebagaimana disebutkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Qayyim al Jawziyah.

Demikian juga kemudahan dalam wudhu dengan hanya sekadar mengusap khuf atau kasut sebagai gantu membasuh kedua kaki. Diriwayatkan pensyariatan menyapu khuf berlaku ketika Perang Tabuk. Dari Shafwan bin ‘Assal dia berkata:“Jika kami sedang bermusafir, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar kami tidak membuka kasut-kasut kami selama tiga hari tiga malam kecuali ketika kami junub. Dan tetap boleh untuk menyapu kasut kerana buang air besar, buang air kecil, dan tidur.” (riwayat At-Tirmizi)

Sungguh banyak kelebihan dan keutamaan mereka yang ikhlas berjuang di sempadan negara. Tidak ada harga yang mampu kita bayar untuk membalas budi dan bakti pahlawan negara. Namun jika ada satu permintaan atau saranan yang boleh kita kemukakan kepada pihak kerajaan, maka kami dengan rendah hati mengutip apa yang pernah diminta oleh ulama’ besar Atha bin Abi Robah ketika menemui khalifah Hisyam bin Abdul Malik.

Beliau yang mendapat gelaran Pemimpin Ahli Fiqh di Mekah dan Madinah berkata, “Wahai amirul mukminin, ahluts tsugur (yang ribath fii sabililah di sempadan) mereka berdiri menjaga dari musuh, mereka membunuh siapapun yang membawa keburukan kepada kaum muslimin, hendaklah dikirim rezeki (ganjaran & imbuhan) kepada mereka. Kerana jika mereka terbunuh nescaya akan lenyaplah sempadan.”

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 06/04/2013

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: