Archive for the ‘Akhbar’ Category

Flor de la Mar & Alam Maritim Melayu

Januari 4, 2015

Oleh Mohd Riduan b Khairi

Flor-De-La-Mar-www.menaratamingsari.com_54,000 kg emas bernilai lebih USD 2.6 billion dianggarkan karam bersama kapal terbesar Portugis Flor De La Mar di perairan Selat Melaka berdekatan Acheh. Ia adalah harta ‘melanun’ terbesar dalam sejarah penaklukan Portugis. Dan tiba-tiba projek mengapungkan bangkai kapal bersejarah itu mendapat perhatian setelah tertangguh sejak 30 tahun yang lalu.

Catatan sejarah tempatan menyebutkan bahawa harta yang karam itu hanya 1/3 dari kekayaan kerajaan Melaka, selebihnya sempat diselamatkan oleh pihak istana ketika menyelamatkan diri. Memang kerajaan Melaka amat maju dan kaya suatu ketika dahulu, bahkan Tun Seri Lanang menyebutkan kekayaan Bendahara Seri Maharaja sahaja memiliki 6 bahara emas bersamaan 36 kig. Peradaban Melayu pernah melaui sebuah era gemilang. Sebelum abad ke-15 kota Melaka, kota Riau dan Acheh pernah menjadi pelabuhan bertaraf dunia setaraf Canton dan Venice. Bahkan ada penulis sejarah Eropah menyatakan jika dibandingkan dengan Melaka, sebenarnya Venice itu tiada apa-apa.

Sejak abad pertama peradaban Melayu telah menjadi hubungan perdagangan dengan dunia luar merentasi China hingga Rom. Sejarawan China abad pertama mencatatkan bahawa kapal Melayu ketika itu amat besar di beri nama kunlun bo/ po. Catatan Greek abad pertama menyebutnya bahawa orang-orang India di Ganges menyebutkan kapal Melayu dengan nama colandia dipercayai dari bahasa Sanskrit ‘kolantriopa’.  (The Periples of The Erythaen Sea) 

Kapal berukuran panjang lebih 100 meter dan muatan 500 tan inilah yang disebut dalam bahasa Jawa sebagai jong. Ia adalah jenis kapal alam Melayu yang terbesar. Saiz ini adalah yang terbesar pada zamannya sehingga disebutkan jong Melayu tidak dapat menghampiri dermaga pelabuhan di China kerana terlalu besar. Kapal China terbesar ketika itu disebut sebagai ‘chuan’. Ibn Battutah ahli pelayaran abad ke 14 menyatakan bahawa saiz jong lebih besar berbanding kapal ‘chuan’.

Jika tidak masakan ketua lanun Alfonso yang datang ke Melaka menaiki kapal  ‘nao’ terbesar  Portugis Flor De La Mar berasa terkejut dan gerun ketika melihat jong Melayu di perairan Selat Melaka. Dari catatan mereka, mereka menggelar jong Melayu sebagai ‘Penggegar Dunia’.

Jong sebagamana juga kapal-kapal moden ia diberi nama khusus seperti  Flor De La Mar, Santa Maria & The Victoria. Antara jong yang terkenal disebut dalam sumber Melayu ialah Mendam Berahi: jong yang dibina oleh Hang Tuah khusus untuk pergi meminang Puteri Majapahit bagi pihak Sultan Mansur dalam Hikayat Hang Tuah, jong Sairul A’lam; jong diraja kerajaan Acheh di dalam  Hikayat Hang Tuah, jong Chakra Dunia; jong kerajaan Acheh, jong sasana; jong kerajaan Sulawesi ketika meminang puteri Majapahit.

Berdasarkan maklumat yang sampai kepada kita setakt ini; peradaban Melayu meniti era gemilang sejak abad pertama hingga abad ke-15 yakni 1500 tahun. Setelah itu ia jatuh merudum dan salah satu dari faktornya ialah era penjajahan oleh kerajaan lanun Portugal, Sepanyol, Italy, Belanda dan beberapa lanun yang lain. Ulang kata: Mereka adalah lanun dari kerajaan lanun.

Sumber Portugis sendiri sebut ketika Flor de La Mar berlayar ke Melaka mereka menemui sebuah kapal besar yang sarat dengan harta. Apa kata ketua lanun Alfonso, “Kalaulau bukan kerana kita sedang menuju ke Melaka sebuah negeri yang lebih kaya, maka sudah tentu harta atas kapal ini akan menjadi hadiah terbaik buat raja Portugal.” (Catatan-Catatan Alfonso yang dikumpulkan oleh anaknya Baz Alburquerqe)

Alam Melayu telah berlayar jauh sejak abad pertama dengan kapal besar, demikian juga negara China. Cheng Ho melalukan pelayaran monumental dengan ratusan kapal dan ribuan pengiring; namun sejarah peradaban mereka bukanlah untuk melanun!

Menyingkap sejarah khususnya sejarah teknologi maritim bukan semata-mata nostalgia. Ia adalah ibrah (pengajaran) yang perlu diinsafi. Bahkan teknologi maritim termasuk ilmu pengetahuan yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Qur’an sekurang-kurangnya puluhan kali. Firman Allah maksudnya,

Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahan-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.” (Surah Luqman 31: 31) dan di dalam ayat yang lain, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kapal-kapal (yang berlayar di laut seperti gunung-gunung).” (Surah Syuura 42: 32)

Jumlah harta Flor de la Mar bukan sedikit. Namun yang kita semua terlepas pandang ialah yang jauh lebih mahal dan berharga dari emas itu ialah pengetahuan dan teknologi maritim yang pernah orang Melayu juarai suatu ketika dahulu.

Sejak zaman Melaka lagi laluan Selat Melaka menjadi laluan perdagangan paling sibuk dalam dunia. Pada tahun 2006 sahaja, direkodkan 65,000 kapal melalui Selat Melaka. Kerajaan klasik alam Melayu seperti Acheh, Majapahit, Srivijaya, Demak, Pasai dan banyak lagi direkodkan masing-masing memiliki armada laut yang mencecah ratusan dan ribuan kapal besar ‘jong.’ Itu tidak termasuk kapal-kapal kecil seperti lancaran layar tiga, kapal dendang, kapal banting, kapal pilau, dan ratusan jenis kapal lain yang pernah digunakan. Dan disyaki bahawa semunya bersemadi di dasar lautan sepanjang Selat Melaka dan lautan yang lain.

Justeru ekspedisi mencari Flor De La Mar akan menelan belanja yang besar, masa yang lama dan kebarangkalian untuk itu seperti tidak sepadan dengan usaha yang dilakukan. Adalah lebih berhemat jika kos itu dialihkan kepada pembangunan teknologi maritim. Malaysia bahkan negara-negara Asean lain masih ketinggalaan dalam teknologi maritim. Dari 100 universiti ‘top-ranking’ di dunia maritim, sayang sekali kerana tiada satu pun dari Asia Tenggara.

Walhal keperluan dan desakan untuk menjuarai teknologi maritim amat tinggi. Pencarian pesawat MH 370 amat bergantung kepada teknologi maritim negara luar. Kita perlukan institut kajian bertaraf university dan mereka yang serius serta komited untuk melaksanakannya. Pencarian Flor de la Mar dijadikan hanya sebagai agenda sampingan atau jangka masa panjang. Sekali pun ia tidak akan pernah dijumpai, paling tidak melalui institusi itu pengetahuan dan teknologi maritim dapat dibangunkan semula. Dengan teknologi itu, bukan sahaja Flor de la Mar berjaya dijejaki dan diapungkan, bahkan ratusan dan ribuan kapal lain juga akan dapat diapungkan.

Jong Melayu hilang dari lautan selepas selama 1500 tahun merajai lautan. Prof. Manguin sarjana keturunan Italy antara yang banyak membuat kajian berkajian jong dan sejarah Asia Tenggara menyebutkan, menjelang akhir abad ke-16 dan abad ke-17 jong-jong besar Melayu mulai hilang dari lautan. Mangui menyifatkan kehilangannya itu berlaku dengan secara amat misteri.

Sebenarnya orang Melayu bukan kehilangan jong dari permukaan laut, bahkan lebih tragik apabila Melayu juga hampir kehilangan perkataan jong itu sendiri kepada bangsa China. Ia adalah akibat kecuaian segelintir ahli sejarah. Dan tragedi yang paling tragedi di antara semua musibah itu ialah bangsa Melayu bukan sahaja hilang jong, juga bukan hampir kehilangan perkataan jong; dan yang paling menyeram dan mengerikan ialah ketika bangsa Melayu hilang ingatan terhadap jong. Artifak kuno yang paling lama dan paling signifikan sehingga Alfonso sebut ‘Penggegar Lautan’, dikagumi dunia maritim seluruh dunia dari seluruh zaman. Dan Melayu hilang ingatan tentangnya.

Meteor dan Ilmu Perbintangan

Disember 18, 2013

Meteor dan Ilmu Perbintangan

Mohd Riduan b Khairi, Skuad Iman Sabah

Dengan tidak semena-mena, tiba-tiba umat manusia teruja menanti gelap. Bukan mencari lailatulqadar sebaliknya mendongak ke langit menyaksikan fenomena ‘hujan tahi bintang’ atau disebut sebagai ‘pancuran meteor’. Peristiwa ini disebut oleh ahli astronomi moden sebagai hujan meteor Perseid daripada buruj Perseus.

Meteor ialah objek batu atau logam yang terbakar membentuk gas bercahaya. Ia juga disebut sebagai tahi bintang. Manakala buruj pula ialah gugusan bintang. Meteor Perseid ialah meteor yang datang dari gugusan buruj Perseus. Yang menamakan gugusan bintang ini sebagai Perseus ialah seorang ahli geografi dan ahli astronomi Rom bernama Claudius Ptolemaeus. Di dalam buku sejarah namanya disebut sebagai Ptolemy, pelukis peta dunia pertama dan menggagaskan teori geosentrik yakni matahari mengelingi bumi.

Ilmu tentang bintang dan cakerawala turut dikaji dalam tamadun dan peradaban lain di seluruh dunia baik tamadun Cina, India bahkan termasuk di nusantara. Dari budaya Jawa lahir nama buruj seperti Kartika, Lintang Waluku dan istilah bimasakti.

Yang paling beruntung ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Ini lantaran di sisi mereka ada jawapan dan penjelasan menjelaskan rahsia alam langit. Yang memang diturunkan dari langit pada bulan yang penuh barokah yakni Al-Qur’an. Di dalamnya berisi kisah dan ayat berkaitan bulan, bintang, matahari dan lebih dari itu. Bahkan ada surah yang diberi nama An-Najm (Bintang) dan Al-Buruj (Gugusan Bintang).

Tidak ada suatupun yang Allah ciptakan melainkan semuanya itu dengan tujuan dan hikmah. Firman Allah maksudnya,

“Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui.” (Al-An’am: 97)

Tokoh tafsir generasi tabi’in Imam Qatadah menjelaskan,

“Allah menciptakan bintang-bintang dengan 3 (hikmah): sebagai hiasan langit, sebagai alat melontar syaitan, dan sebagai tanda penunjuk (arah). Oleh kerana itu, barangsiapa yang berpendapat dengan selain hal tersebut dalam masalah ini, sungguh dia telah salah dan menyia-nyiakan bahagiannya serta membebani diri dengan hal yang dia tiada ilmu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Penjelasan ini rentetan dari banyak kesesatan dan kebatilan yang muncul akibat kepercayaan karut lagi tidak berasas tentang bintang dan yang berkait dengannya. Satu darinya dijelaskan dalam Al-Qur’an dan hadith bahawa golongan jahiliyah ketika dahulu mengaitkan turunnya hujan dengan bintang-bintang tertentu yang muncul di langit.

Dari Ibnu Abbas bahwa orang-orang Ansar pada suatu hari, ketika duduk bersama nabi Muhammad saw, tiba-tiba mereka melihat bintang atau meteor yang bergeser, kemudian Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat Anshar yang ada di situ: “ Bagaimana keyakinan kalian pada masa Jahiliyah , ketika melihat kejadian seperti ini? Mereka menjawab : “ Kami dahulu berkeyakinan bahwa bergesernya bintang atau jatuhnya meteor merupakan tanda lahir atau meninggalnya seorang pembesar. Mendengar jawaban itu, Rasulullah saw bersabda maksudnya,

“Sesungguhnya bergesernya bintang atau jatuhnya meteor, tidaklah menunjukan kematian atau kehidupan seseorang, akan tetapi jika Allah memutuskan sesuatu, maka para pembawa Arsy ( para malaikat ) pada bertasbih.” (Riwayat Muslim)

Benar Al-Qur’an dan hadith Nabi diucapkan lebih 1000 tahun yang lalu, namun hakikatnya ia sah dan valid sehingga hari ini hatta hingga akhir zaman. Jika tidak masakan penceroboh-penceroboh di Lahad Datu tempoh hari membawa Kad Kuitika yang dipetik dari kitab nujum (ramalan berdasarkan bintang) Tajul Muluk. Ia merupakan kitab yang paling popular di kalangan bomoh, tukang ramal bahkan termasuk juga pakar motivasi!

Berapa juta bahkan lebih dari jumlah itu dari kalangan umat Islam yang masih membaca ramalan bintang-bintang horoskop dalam akhbar dan majalah? Yang lebih pelik dan menakjubkan ialah tidak sedikit dari kalangan umat yang sanggup berhabis wang yang banyak untuk menghadiri majlis-majlis dan seminar-seminar meramal masa depan dengan ilmu nujum (bintang). Atas nama mengembangkan potensi diri atau motivasi, maka tiba-tiba ia menjadi halal?

Imam Qatadah menjelaskan, “Sesungguhnya orang- orang yang bodoh akan ajaran Allah, telah menyelewengkan keberadaan bintang- bintang tersebut dari fungsi yang sebenarnya, mereka menjadikannya sebagai alat perdukunan, mereka mengatakan barang siapa yang mengadakan acara pernikahan pada waktu bintang si fulan (Gemini, umpamanya), maka akan terjadi peristiwa tertentu, dan barang siapa yang melakukan perjalanan pada waktu bintang si fulan ( Leo, umpamanya ), maka akan terjadi peristiwa tertentu, dan seterusnya.., Sungguh tiada satu bintang pun yang muncul, kecuali pada waktu itu lahir anak berwarna merah dan hitam, pendek dan panjang, cantik dan jelek. Bintang- bintang tersebut, begitu juga binatang- binatang yang melata dan burung-burung yang ada , semua itu sekali- kali tidak mengetahui sesuatu yang ghaib. Kalau seandainya ada seseorang yang boleh mengetahui yang ghoib, maka Adam-lah yang paling berhak mengetahuinya, karena Allah menciptakannya langsung dengan tangan-Nya , dan memerintahkan para Malaikat untuk sujud kepadanya, serta mengajarkan kepadanya segala sesuatu.”

Ilmu Nujum (Ramalan Berdasarkan Bintang)

Banyak sekali hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan kebatilan ilmu nujum. Di antaranya ialah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Barangsiapa mempelajari satu cabang dari ilmu nujum, ia telah mempelajari satu cabang dari ilmu sihir.” (Riwayat Abu Dawud)

Syaikh ‘Aburrahman bin Nashir as-Sa’di rahimahullaah mengatakan bahwa Ilmu Perbintangan ada dua macam: (1) Ilmu perbintangan yang diistilahkan dengan Ilmu Ta’tsir. (2) Ilmu perbintangan yang diistilahkan dengan Ilmu Taisiir.

Ilmu Ta’tsir adalah ilmu yang menyandarkan setiap peristiwa yang terjadi di alam raya ini kepada bintang-bintang. Ini adalah kebatilan dan salah satu bentuk mempersekutukan Allah dalam perkara ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh-Nya, atau membenarkan orang yang mengaku-ngaku tahu perkara ghaib.

Keyakinan ini juga menafikan tauhid karena mengandung pengakuan batil dan unsur bergantung kepada selain Allah, serta kerusakan akal. Sebab menempuh metode-metode yang salah dan membenarkannya termasuk perkara yang merusak akal dan agama.

Ilmu Taisiir adalah ilmu yang mempelajari matahari, bulan dan bintang-bintang untuk dijadikan dasar dalam menetapkan waktu dan arah. Ilmu perbintangan jenis ini tidaklah mengapa. Bahkan banyak darinya yang sangat berguna sehingga dianjurkan oleh syariat. Maka dalam perkara ini, wajib dibezakan antara ilmu perbintangan yang dilarang oleh Syariat, dan ilmu perbintangan yang dibolehkan, atau dianjurkan atau bahkan diwajibkan oleh syariat.

Memadai Al-Qur’an menjelaskan 3 fungsi bintang. Ia tetap kekal di langit sehingga suatu masa yang Allah tentukan. Yang benar telah turun dari langit untuk umat sekelian alam ialah Al-Qur’an dan Sunnah Nabi untuk dipelajari dan diikuti. Keduanya itu diwariskan kepada generasi terbaik dari umat ini yakni para sahabat Nabi. Dalam sebuah hadith Nabi menyebutkan yang maksudnya,

“Bintang adalah amanah untuk langit, apabila bintang telah pergi maka datang kepada langit apa yang telah dijanjikan kepadanya, aku adalah amanah untuk para sahabatku, apabila aku telah pergi datang kepada sahabatku apa yang dijanjikan kepada mereka, dan sahabatku adalah amanah untuk umatku, apabila sahabat-sahabat ku telah pergi datang kepada umatku apa yang dijanjikan kepada mereka.” (Hadith Riwayat Muslim)

Di dalam hadith ini Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam menyebutkan bahawa bintang adalah amanah untuk langit, lalu menyebutkan dirinya dan para sahabatnya bagaikan bintang. Di dalam Al-Quran, bintang memiliki 3 fungsi; penunjuk jalan, penghias langit dan pelempar syaitan. Maka para sahabat nabi adalah penunjuk jalan bagi umat Islam, mereka adalah hiasan bagi umat Islam, dan pelempar syubhat syaitan yang merosakkan akidah dan pemikiran umat Islam.

Maka sebenar-benarnya para sahabat itulah bintang atau pedoman yang harus kita cari, kaji dan ikuti.

terbit juga di

1. Akhbar Utusan Malaysia

2. Akhbar Sinar Harian

3. Web http://www.ilmuanmalaysia.com

Lawan Syaitan dengan Iman

Jun 2, 2013

Mohd Riduan b Khairi

Hai Dang Gemuruh Dang Gemurih,

Gajah Berlenggang dalam dusun,

Lariku Tidak, Mara pun tidak,

Hatiku tetap seperti bumi,

Mataku tetap seperti langit,

Berkat aku memakai penggerun,

Harimau hitam beranak muda.

Gambar hiasan: Menara Kayangan, Lahad Datu. Ihsan R&R Capture 2013.

Gambar hiasan: Menara Kayangan, Lahad Datu. Ihsan R&R Capture 2013.

Ini bukan bukan syair atau gurindam. Mungkin ada yang tersenyum jika dikatakan bahawa rangkap ini merupakan sebahagian mantra dan serapah yang digunakan untuk kebal. Bahkan ramai juga yang akan kerut dahi, geleng kepala tanda ragu bahawa amalan sebegini masih dipraktikkan.

Realiti tidak selalunya seiring dengan apa yang kita ketahui dan percayai. Berapa banyak peniaga Muslim kecil mahupun besar menggantungkan tangkal dan azimat sebagai pelaris. Ada yang berbentuk tulisan yang tidak difahami, rajah-rajah yang sukar dimengerti, gambar tokoh-tokoh tertentu bahkan bermacam-macam lagi. Mereka lupa bahawa itulah penyebab paling utama mengapa perniagaan sebahagian besar orang Islam tidak maju-maju.

Pasca pencerobohan oleh tentera haram Kiram di Lahad Datu dan Semporna, muncul banyak khabar dan bukti bahawa bukan sahaja senjata moden digunakan. Bahkan mereka juga nekad mengorbankan akidah dengan bekerjasama dengan jin dan syaitan melalui azimat dan tangkal. Masyhur juga dari penduduk kampung sekitar akan kejadian-kejadian luar biasa yang berlaku sepanjang pencerobohan. Demikian juga pengalaman pihak keselamatan menembak namun seolah-olah tidak memberi kesan sehinggalah mereka diarahkan mensasarkan pada bahagian kepala penceroboh.

Sebagaimana yang disahkan oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara, pengganas yang menceroboh Sabah memakai tangkal dan  kad meramal hari, iaitu kad Kutika yang dipelajari dari Kitab Tajul Muluk. Ia sebuah kitab kuno yang mengandungi begitu banyak maklumat khurafat tentang ramalan hari, masa depan, nasib baik-buruk dan termasuk rahsia tarikh lahir.

Asal muasal sihir dirakamkan secara ringkas dalam al Qur’an maksudnya, “Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. Maka mereka  mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah.” (surah al-Baqarah, ayat 102)

Justeru di sisi Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, sihir itu benar adanya dan kita wajib beriman kewujudan sihir ini. Namun sebagaimana dijelaskan, bahawa sihir itu memberi mudarat hanya dengan izin Allah. Sekali imbas kita takut dengan kejahatan pihak musuh yang menggunakan apa sahaja cara untuk mengalahkan lawan mereka termasuk menggunakan sihir, jin dan syaitan. Ini fitrah sebagaimana Nabi Musa Alaihisalam juga pernah terkejut dan sedikit takut ketika melihat banyaknya ular-ular ahli sihir Fir’aun yang merayap dengan cepat.

Namun janji Allah Maha Benar bahawa selama-lamanya mereka yang bersekutu dengan dukun, bomoh, pawang dan ahli sihir tidak akan menang. Firman Allah kepada Nabi Musa maksudnya “Dan lemparkanlah apa yang ada ditangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka lakukan. “Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya ahli sihir (belaka). Dan tidak akan menang ahli sihir itu, dari mana saja ia datang.” (surah Taha, ayat 69)

Jika benar kekuatan dan perlindungan yang diberikan oleh jin dan syaitan kepada pasukan Kiram, mengapa akhirnya puluhan tenteranya terbunuh. Walhal di tubuh mereka masih terlekat tangkal. Itulah kemuncak kejayaan dan kepuasan iblis dan syaitan; melihat manusia terbunuh dalam kesyirikan.

Ini persis janji yang dilafazkan oleh syaitan untuk melindungi pasukan musyrikin ketika menentang umat Islam dalam perang Badar dalam ayat yang maksudnya, “Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusiapun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu.” Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat-melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang sambil berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat lihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah.” (surah a-Anfal, ayat 48)

Oleh itu, apakah senjata yang lebih tajam dari peluru dan lebih laju dari mortar untuk menewaskan sekutu syaitan begini. Imam Muslim meriwayatkan kisah Ashabul Ukhdud tentang seorang pemuda beriman yang dibunuh oleh raja yang zalim. Berbagai-bagai cara digunakan termasuk cubaan mencampakkan dari gunung yang tinggi dan menenggelamkannya di laut namun tidak juga berjaya membunuhnya. Akhirnya dengan syarat yang diberikan oleh pemuda ini baharulah nyawanya dapat dipisahkan dari jasadnya yakni dengan lafas bismillah. Dan tentunya ia dibaca dengan iman yang kukuh dan teguh. Kerana Allah telah berjanji dalam al Qur’an pada banyak ayat bahawa Dia pasti akan menjaga da melindungi orang-orang yang beriman.

Satu sumber dan wahana kekuatan para sahabat Nabi yang dilalaikan oleh sebahagian besar umat Islam akhir zaman ialah solat berjemaah. Dengan solat jemaah hati-hati makmum disatukan, dan perselisihan di antara mereka dihapuskan. Sabda Nabi maksudnya, “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan).”(riwayat Abu Dawud)

Kepentingan solat berjemaah ini ditunjukkan hatta sampai ke medan perang diajarkan disebut sebagai solat khauf. Sahabat Nabi Abdullah bin Abbas menyatakan, “Allah mewajibkan solat atas Nabi saw di waktu bermukim 4 rakaat, di waktu musafir 2 rakaat dan di waktu perang satu rakaat.” (riwayat Muslim) Terdapat sekurang-kurangnya 6 atau 7 hadis secara khusus menjelaskan cara-cara dan kaedah solat khauf sebagaimana disebutkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Qayyim al Jawziyah.

Demikian juga kemudahan dalam wudhu dengan hanya sekadar mengusap khuf atau kasut sebagai gantu membasuh kedua kaki. Diriwayatkan pensyariatan menyapu khuf berlaku ketika Perang Tabuk. Dari Shafwan bin ‘Assal dia berkata:“Jika kami sedang bermusafir, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar kami tidak membuka kasut-kasut kami selama tiga hari tiga malam kecuali ketika kami junub. Dan tetap boleh untuk menyapu kasut kerana buang air besar, buang air kecil, dan tidur.” (riwayat At-Tirmizi)

Sungguh banyak kelebihan dan keutamaan mereka yang ikhlas berjuang di sempadan negara. Tidak ada harga yang mampu kita bayar untuk membalas budi dan bakti pahlawan negara. Namun jika ada satu permintaan atau saranan yang boleh kita kemukakan kepada pihak kerajaan, maka kami dengan rendah hati mengutip apa yang pernah diminta oleh ulama’ besar Atha bin Abi Robah ketika menemui khalifah Hisyam bin Abdul Malik.

Beliau yang mendapat gelaran Pemimpin Ahli Fiqh di Mekah dan Madinah berkata, “Wahai amirul mukminin, ahluts tsugur (yang ribath fii sabililah di sempadan) mereka berdiri menjaga dari musuh, mereka membunuh siapapun yang membawa keburukan kepada kaum muslimin, hendaklah dikirim rezeki (ganjaran & imbuhan) kepada mereka. Kerana jika mereka terbunuh nescaya akan lenyaplah sempadan.”

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 06/04/2013

 

Pandemik Kafir-Mengkafir

Mei 29, 2013

Mohd Riduan b Khairi

Gambar hiasa: Pulau Maiga, Semporna. Foto: R&R Capture 2013

Gambar hiasa: Pulau Maiga, Semporna. Foto: R&R Capture 2013

Allah swt mengutus semua rasul demi mengajarkan Islam. Termasuk pokok penting ajaran itu ialah membezakan iman dan kufur. Rujukan dan sandaran untuk menentukan seseorang itu beriman atau kafir, tidak lain tidak bukan ialah dengan nas al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw. Hukum mengkafirkan seseorang merupakan hak Allah dan Rasul-Nya. Seseorang sehebat apapun dia, sebesar manapun gelarnya, tidak boleh berijtihad dengan akalnya atau menghukum dengan hawa nafsunya. Sebagaimana juga seseorang tidak boleh menentukan suatu amalan sebagai ketaatan dan kemaksiatan, atau halal dan haram tanpa dasar nas syari’at.

Syaikh Prof. Dr. Ibrahim bin Amir ar-Ruhaili, mahaguru akidah di Madinah menyusun sebuah kitab khusus membahaskan prinsip dan kaedah menjatuhkan hukum kafir berjudul Dhawabith fit-Takfir. 

Gejala kafir-mengkafir merupakan amalan bid’ah pertama dalam Islam. Ia muncul pada akhir masa khulafa ar-rasyidin. Ia ditandai dengan muculnya puak Khawarij yang melakukan pemberontakan terhadap Khalifah Ali bin Abi Thalib, setelah peristiwa tahkim dalam perang Siffin. Puak Khawarij menentang dan mengkafirkan Ali, Abu Musa al Asy’ari, Amru bin al ‘Ash dan orang yang menyetujui tahkim tersebut.

Ibn Kathir rhm menjelaskan dalam  al Bidayah wan-Nihayah, ketika Ali ra mengutus Abu Musa ra dan beberapa tenteranya ke daerah Daumatul Jandal. Tatkala itu puak Khawarij semakin mengganas, semakin kuat menentang Ali ra, dan secara jelas mengkafirkan Khalifah. Penentangan ini membawa kepada tindakan Ali memerangi mereka.

Perbuatan Ali ra ini merupakan realisasi perintah Rasulullah saw untuk memerangi mereka, sebagaimana dijelaskan dalam sabda beliau maksudnya, “Di mana sahaja kalian menemui mereka, maka bunuhlah mereka, kerana membunuh mereka adalah pahala pada hari Kiamat bagi yang membunuhnya.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pandemik kafir-mengkafir

Dari satu generasi ke generasi gejala ini menular ke dalam puak lain. Yang paling ketara mengkafirkan kaum Muslimin secara semberono ialah  Syi’ah Rafidhah yang diasaskan oleh lelaki Yahudi bernama Abdullah binSaba’. Mereka telah mengkafirkan generasi terbaik umat ini dan yakin bahawa semua sahabat Nabi saw telah murtad, kecuali beberapa orang sahaja.

Disebutkan dalam kitab yang mereka sanjung dan anggap paling sahih Ar-Raudhah minal-Kafi, Abu Ja’far berkata: “Seluruh manusia (Sahabat Nabi) murtad setelah Nabi wafat, kecuali tiga orang,” aku bertanya: “Siapakah tiga orang tersebut?” Ia menjawab: “Al Miqdad bin al Aswad, Abu Dzar al Ghifari dan Salman al Farisi.”

Demikian juga wabak berbahaya ini berjangkit ke dalam puak sesat yang lain seperti Qadariyah diasaskan oleh Ma’ba al-Juhany, Mu’tazilah dan kemudiannya Jahmiyah.Hal ini diungkapkan oleh Abdul-Qahir al Baghdadi: “Tidaklah ada satu puak-puak sesat yang menyelisihi (Islam), kecuali pada diri mereka terdapat sikap saling mengkafirkan di antara mereka dan saling berlepas diri, seperti halnya Khawarij, Rafidhah dan al Qadariyah.  Sehinggakan apabila berkumpul tujuh orang dari mereka dalam satu majlis, lalu berpisah dalam keadaan saling mengkafirkan di antara mereka.” (lihat: Al-Farqu Bainal Firaq)

Demikianlah gejala kafir-mengkafir tanpa dasar menular secara viral pada majoriti puak ahli bid’ah sejak dahulu sampai sekarang. Yang pada zaman kini pemikiran takfir seperti ini sudah berkembang di masyarakat dan di tengah-tengah kaum Muslimin. Sehingga akibat buruk dari pengkafiran ini telah dirasakan. Tidak seorang ketua negara umat Islam dikafirkan secara paksa, dan tidak sedikit masyarakat Islam dimurtadkan tanpa rela. Terkini dilaporkan Presiden Mesir Dr. Morsi dikafirkan (tentunya tuduhan ini batil) oleh seorang yang pernah dipenjarakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Demikian juga pandemik kafir-mengkafir pernah membarahi sebahagian individu yang ghairah kepada agama namun jahil terhadap dalil. Tidak sedikit talak terjatuhi dan tidak sebuah keluarga berhamburan akibat fatwa dan fitnah takfir ini. Munculnya masjid-masjid baharu tanda protes kepada imam lantikan majlis agama bahkan munculnya imam tak sah taraf dalam drama solat dua imam.

Setelah ditelusuri asal-muasal sirah-surih pemikiran takfir di zaman ini, rupa-rupanya ia bersambung sanad dengan seorang tokoh yang tidak sedikit pemuda mengkaguminya. Sehinggakan Dr Yusuf al-Qardhawi, salah seorang sarjana pembela Ikhwanul Muslimin terpaksa menerima hakikat takfir dalam pemikirannya. Tertulis, “Pada peringkat ini, muncul buku-buku Ustaz Syed Qutb yang merupakan kemuncak pemikirannya dan yang mengkafirkan masyarakat…dan menyatakan jihad menentang semua manusia.”(lihat: Aulawiyat al-Harakah al-Islamiyah, Bank Al Taqwa hal 110 Yusuf al-Qaradhawi))

Hal ini didukung dan dikuatkan lagi dengan kenyataan Ahmad Farid Abdul Khaliq, “Syed Qutub telah memperlekeh Nabi Musa as, mencela Khalifah Uthman ra, mencela sahabat Nabi, meninggalkan tauhid uluhiyah, berakidah Asy’ariyah dalam mentakwil sifat-sifat Allah, menyebarkan pemikiran kafir-mengkafir dan sebagainya.” 

Wabak ini jugalah yang meracuni pemikiran beberapa tokoh mutakhir seperti Abu Muhammad al-Maqdisy, Abu Qatadah al-Falestiniy dan Abu Basyir at-Turtusiy untuk mengkafirkan pemimpin dan umat Islam. Dan tidak keterlaluan fenomena  “Amanat Haji Hadi” bersambung sanad dengan Syed Qutb, kerana semua makruf beliau dilatih secara khusus dari kelompok yang sama. 

Refleks dari itu melahirkan dua kelompok ekstrim terhadap Syed Qutb. Satu pihak mencela secara berlebihan, bahkan sampai ada yang mengkafirkan beliau dengan gelar seperti ‘Imam Takfir’. Kita berlindung kepada Allah dari perkataan seperti ini. Golongan ini disebutkan sebagai Ahbash yang bermuara kepada pemikiran Abdullah al-Harari dari Lubnan.

Kelompok satu lagi pula membela habis-habisan Syed Qutb dengan memberikan bermacam-macam takwilan dan rukhsah terhadap perkataan yang digunakan oleh Syed Qutb. Mereka belajar dan mengajar ‘Ma’alim fit Tariq’ dan ‘Fi Zilal al-Qur’an’ tanpa sebarang nota kaki akan kesilapan yang berlaku di dalamnya. Kononnya Syed Qutb menulis dengan perasaannya, menulis dengan ungkapan-ungkapan sastera dan metafora.

Kalam dan pemikiran Syed Qutb ditelan bulat-bulat dan dipegang ibarat menggigit dengan geraham. Pantang sahaja sesiapa mengoreksi kesilapan Syed Qutb, maka terjelirlah lidah mereka membela. Orang yang tidak sehaluan dinista dan dicerca dengan gelar yang pelbagai seperti ‘Madkhalis’ dan ‘literalis’. Ini yang menimpa kepada Syaikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali hafidzahullah dan juga Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wad’ie rahimahullah apabila menulis secara khusus dan ilmiah akan kesalahan dalam kitab-kitab Syed Qutb.

Amat disayangkan lisan penista dan percerca ini terjulur lewat lidah segelintir individu di dalam negara kita. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa pihak yang melabel ini tidak ada hari dalam hidup mereka melainkan mereka hidup dengan namimah dan melaga-lagakan fatwa dan ulama’. Ini terlihat melalui laman-laman web dan blog yang mereka asaskan. Walhal para ulama’ terdahulu sering mengingatkan ‘kalam aqran yutra wa la yurwa’ maksudnya kalam orang yang tersaingi itu biarlah dilipat, usah diriwayat.

Ahlus Sunnah Menilai dengan Adil

Ditengah-tengah dua sikap ekstrim ini Ahlus Sunnah Wal Jamaah meletakkan pertimbangan yang adil dan wasatiyah. Melihat kepada pengaruh dan tersebarnya idea dan pemikiran Syed Qutb, maka para ulama Ahlus Sunnah bangkit menjelaskan letak duduk hakikat yang sebenar. Ia dilakukan dengan adil lagi ilmiah. Setiap perkataan yang dilihat bermasalah dinukil bersama rujukan, kemudian dibandingkan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah. Ia tidak dilakukan atas pemikiran peribadi atau hawa nafsu.

Namun para ulama tidak pernah mengkafirkan Syed Qutb bahkan Syaikh Dr. Rabi’ sendiri tidak pernah menyatakan demikian. Beliau memetik perkataan Syeikh Hammad al-Ansari, “Jika dia (Syed Qutb) masih hidup maka sewajarnya dia bertaubat, jika tidak bertaubat dia dikenakan hukuman mati kerana telah murtad. Oleh kerana dia telah meninggal maka perlu dijelaskan kepada umat bahawa perkataannya itu batil, namun kita tidak mengkafirkannya kerana kita belum menegakkan hujjah ke atasnya.” (Lihat: al-Awasim Mimma fi Kutubi Sayyid Qutub Minal Qawasim, Hlm. 24, Rabi’ bin Hadi)

Inilah keadilan dan kesaksamaan Ahlus Sunnah, baik kepada pihak kawan mahupun pihak lawan. Maka salahlah siapa yang mengkafirkan Syed Qutb dan juga salah orang yang membiarkan kesilapan itu tanpa dibaiki.

siaran akhbar 2013

Talhah bin Ubaidillah: Potret Orang Kaya Bertaqwa

Januari 2, 2013

Talhah bin Ubaidillah : Potret Orang Kaya Bertaqwa

Mohd Riduan b Khairi

Jabatan Penerbitan, Ilmuan Malaysia (iLMU) 

Ayahnya seorang hartawan manakala ibunya pula dermawan. Talhah bin Ubaidillah mewarisi akhlak mulia dan sifat-sifat terpuji dari kedua orang tuanya. Walaupun lahir dalam keluarga yang berharta, namun Talhah memilih untuk mencari pendapatan sendiri melalui perniagaan. Dia dikenali di pasar Basrah dan Syam sebagai saudagar yang amanah dan berhati-lapang. Talhah seorang yang komited dan sungguh-sungguh dalam kerja yang dilakukan.

Imam Al Humaidi meriwayatkan di dalam kitab Al Fawa’id dari riwayat Qais bin Abi Hatim, dia berkata, “Aku pernah menemani Thalhah bin Ubaidillah. Aku belum pernah melihat seseorang yang lebih banyak mengumpulkan harta tanpa meminta-minta melebihi dia.”

Talhah bukan sahaja menahan dirinya dari meminta-minta, bahkan dia juga sedaya-upaya menyembunyikan kesusahan yang sedang ia alami. Kaki Talhah pincang akibat cedera semasa peperangan. Namun begitu dia tetap berusaha untuk berjalan normal terutama ketika bersama-sama dengan Nabi. Ia dilakukan agar Nabi tidak merasa sedih atau simpati kepadanya. Akhirnya Allah sembuhkan kakinya dan dapat berjalan dengan normal. (rujuk: Ashabu Ar-Rasul, Syaikh Mahmud Misri) 

Justeru tidak hairan jika bisnes Talhah berkembang maju sehingga disebutkan perolehan bisnes Talhah di Iraq sejumlah 1000 dinar setiap hari (bersamaan RM600, 000). Ini disebutkan oleh Ibnu Khaldun dalam kitab Muqaddimahnya. Belum lagi termasuk bisnesnya di tempat lain serta hasil ladang-ladang yang dimilikinya di Madinah.

Sifat meminta-minta dan bergantung harap kepada orang lain seakan-akan tidak pernah wujud dalam kamus seorang peniaga dan usahawan yang berjaya. Budaya meminta adalah sinonim dengan kemiskinan. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Nabi sendiri.

Dari Abdurrahman bin Auf bahawa Rasulullah bersabda,

“Tiga perkara, demi Zat yang jiwaku berada di TanganNya, benar-benar aku bersumpah atasnya: Harta tidak akan pernah berkurang kerana sedekah, maka lakukan sedekah. Dia tidak seorang hamba memaafkan sesuatu kezaliman (atas dirinya) kecuali dengannya Allah menambahkan kemuliaan kepadanya pada Hari Kiamat. Dan tidaklah seorang hamba membuka pintu meminta-minta, kecuali Allah akan membuka untuknya pintu kemiskinan.” (riwayat Tirmidzi dalam Sahih Targhib wa Tarhib)

Lihat siapa pula yang meriwayatkan hadith tentang larangan meminta-minta ini? Bukankah Abdurrahman bin Auf termasuk dalam kelas sahabat-sahabat Nabi yang berharta dan kaya seperti Talhah bin Ubaidillah.

Rezeki dan Kemiskinan Dari Arah Yang Tidak Disangka-sangka

Dalam sebuah hadis yang lain sekali lagi Nabi menceritakan tentang buruknya akibat mereka yang suka meminta-minta. Sabda Nabi maksudnya,

“Barangsiapa membuka pintu meminta-minta untuk dirinya bukan kerana kesulitan yang menimpanya atau tanggungan keluarga yang tidak mampu dia pikul, maka Allah akan membuka untuknya pintu kemiskinan dari jalan yang tidak dia sangka-sangka.” (riwayat Baihaqi dalam Sahih Targhib wa Tarhib)

Lihat, angkara sifat buruk yang suka meminta-minta maka Allah memberikan sesuatu yamg paling ia tidak ingini yakni kemiskinan dari jalan yang tidak disangka-sangka. Walhal orang yang sering meminta-minta itu yang paling berlari sepantas-pantasnya dari kemiskinan.

Minta Kepada Allah

Solusinya bagaimana? Alihkan permintaan itu dari ditujukan kepada manusia yang tidak punya apa-apa, kepada Sang Pemilik Kekayaan yakni Allah Azza wa Jalla. Sabda Nabi maksudnya, “Jika kamu minta, mintalah kepada Allah. Jika kamu minta tolong, mintalah tolong juga kepada Allah.” (riwayat Tirmidzi dengan sanad hasan)

Firman Allah maksudnya,

“Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kamilah khazanahnya.” (Surah Al Hijr: 21)

Ibn Qayyim al Jawziyah menjelaskan dalam Al Fawaid segala sesuatu adalah berasal dari Allah dan segala sesuatu tidak diminta kecuali dari Allah yang memiliki segala harta simpanan dan menguasai kunci-kuncinya. Jika seseorang meminta kepada selain-Nya, bererti ia meminta kepada orang yang tidak memiliki apa-apa dan tidak mampu mengabulkan permintaan.

Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata,

“Mintalah kepada Allah segala sesuatu, sampai-sampai tali sandal, karena sesuatu yang tidak diberi kemudahan oleh Allah tidaklah berjalan dengan mudah.” (riwayat Abu Ya’la) 

Dari Hakim bin Hizam meriwayatkan dari Rasulullah,

“Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Mulailah dengan orang yang menjadi tanggung jawabmu. Dan sebaik-baik sedekah adalah yang diberikan dari kelebihan keperluan. Barangsiapa berusaha menahan diri, maka Allah membuatnya mampu menahan diri, dan barangsiapa yang merasa cukup, maka Allah membuatnya cukup.” (riwayat al Bukhari & Muslim)

Lihat bagaimana Talhah berusaha menutup kepincangan kakinya di depan Rasulullah dan akhirnya Allah sembuhkan kakinya dan dia dapat berjalan seperti sedia kala.

Diriwayatkan dari Sahabat ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda maksudnya

“Barang siapa yang ditimpa suatu kesulitan lalu ia mengadukannya kepada manusia, maka tidak akan tertutup kefakirannya. Dan barangsiapa yang mengadukan kesulitannya itu kepada Allah, maka Allah akan memberikannya salah satu diantara dua kecukupan: kematian yang cepat atau kecukupan yang cepat”. (riwayat Abu Dawud,sahih)

Meminta kepada manusia mengundangan kemiskinan dari jalan tanpa disangka-sangka. Namun meminta kepada Allah dan menjalankan perintah taqwa akan mengundang pula rezeki dari sumber-sumber yang tidak disangka-sangka. Firman Allah maksudnya,

“dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak dia sangka-sangka.” (Surah At-Talaaq: 2-3).

Demikian juga sikap para Nabi sebagaimana yang Allah ceritakan tentang Nabi Ya’kub,

 “Dia (Ya’kub) berkata, ‘Hanya kepada Allah, aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku.’” (Surah Yusuf: 86) 

Demikian prinsip dan peribadi sahabat semulia Talhah bin Ubaidillah yang tetap bekerja dan beramal sendiri sehingga akhir hayatnya. Walaupun namanya beberapa kali disebut oleh Nabi sebagai penghuni syurga, namun Talhah tidak pernah meninggalkan amal dan jihad. Bahkan wafatnya Talhah itu di dalam peperangan pada usia tua dan anggota tubuhnya cacat akibat kecederaan perang semasa zama mudanya. Namun Talhah tetap ingin berusaha dan beramal. Hanya satu sahaja yang beliau kesalkan tidak sempat meminta kepada Rasulullah. 

Permintaan Talhah kepada Rasulullah Yang tidak sempat diucapkan

Yahya bin Talhah mnceritakan bahawa ibunya Su’da al Muriyyah berkata; Suatu hari Umar al Khattab melewati Talhah selepas kewafatan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Dia berkata, “Apa yang membuatkan kamu nampak begitu sedih? Adakah kamu sedih kerana sepupu kamu dilantik menjadi pemimpin?”Talhah berkata, “Tidak. Akan tetapi aku mendengar Rasulullah bersabda: Aku mengetahui suatu perkataan yang tidak ada sesiapa yang mengucapkannya di saat kematian melainkan ia menjadi cahaya serta jasad dan jiwanya akan tenang ketika kematian. – akan tetapi aku (Talhah) tidak sempat memintanya sebelum baginda wafat.”

Umar berkata, “Aku tahu apakah perkataan itu. Itulah perkataan yang baginda mahu bapa saudaranya (Abu Talib) katakana dan seandainya baginda mengetahui apa-apa yang dapat menyelamatkannya bapa saudaranya, maka sudah tentu baginda meminta dia mengucapkannya.” (Riwayat Ibn Majah, sahih)

Sifat yang mulia (mandiri/ berdikari)  ini dimiliki dengan sempurna oleh para sahabat Rasulullah. Dan inilah yang menjadikan mereka lebih utama dan mulia di sisi Allah Ta’ala dibandingkan generasi yang  datang setelah mereka. Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata, “Kalian lebih banyak berpuasa, (mengerjakan) shalat, dan lebih bersungguh-sungguh (dalam beribadah) dibandingkan para sahabat Rasulullah, tapi mereka lebih baik (lebih utama di sisi Allah Ta’ala) daripada kalian”. Ada yang bertanya: Kenapa (bisa demikian), wahai Abu Abdirrahman? Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata: “Karena mereka lebih zuhud dalam (kehidupan) dunia dan lebih cinta kepada akhirat.”

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 23.11.2013

DSC_0439

Menolak Politik Fitnah dan Politik Persepsi

Disember 25, 2012

Menolak Politik Fitnah dan Politik Persepsi

Mohd Riduan b Khairi

tumblr_ltm0dh1Xin1ql9wl2o1_500Perkataan fitnah selalu ditafsirkan oleh masyarakat Melayu sebagai ‘menuduh secara dusta’. Ini sesuai dengan definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan sebagai, “tuduhan (khabar, kisah dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.” Namun perkataan fitnah di dalam al-Quran dan Sunnah membawa maksud yang lebih luas mencakup maksud syirik, maksiat, ujian atau bala, melakukan kerosakan, pembunuhan, kesakitan, peperangan dan lain-lain.

Menuduh secara dusta tanpa bukti dan menyebarkan persepsi serong untuk menimbulkan huru-hara juga termasuk dalam skop luas fitnah yang dimaksudkan oleh agama Islam. Ini kerana hujung-hujungnya tuduhan dusta dan persepsi serong akan membawa kepada yang bencana dan bala yang lebih besar.

Lihat kepada tuduhan dusta yang disemarakkah oleh kaum munafik kepada Ummul Mukminin Aisyah bt Abu Bakar dalam peristiwa yang disebut sebagai ‘hadis Ifk’. Begitu juga tuduhan bahawa kononnya bahawa Abu Hurairah banyak memalsukan hadis Nabi. Tidak lepas juga Muawiyah b Abu Suffyan ra, antara susuk sahabat Nabi yang paling banyak dicerca, dicela dan ditohmah dengan pelbagai tuduhan palsu. Walhal Syaikhul Islam Ibn Taimiyah menyebutkan beliau sebagai raja yang paling mulia dalam Islam. Bahkan ada yang memasukkan beliau sebagai salah seorang khulafa’ ar-Rasyidin.

Awalnya ia merupakan sebuah tuduhan dusta atau fitnah. Sekilas pandang ia hanya bersifat peribadi. Yang dituduh dan ditohmah itu hanyalah keperibadian mereka. Namun lihat ke mana arus fitnah ini bermuara. Apa yang dikendong di sebalik watak mulia seperti Aisyah, Abu Hurairah  dan Muawiyah b Abu Suffyan?

Muawiyah bin Abu Suffyan merupakan penulis wahyu. Ibn Qayyim menuliskan dalam Zaadul Maad bahawa beliau merupakan penulis wahyu yang paling setia dan istimewa. Justeru memfitnah dan memburuk-burukkan Muawiyah b Abu Suffyan merupakan satu usaha untuk meragui keabsahan satu dari riwayat al-Qur’an yang dicatat oleh Muawiyah.

Abu Hurairah dan Aisyah bt Abu Bakar ra pula termasuk sahabat Nabi yang paling banyak meriwayatkan hadis. Imam al-Hakim di dalam kitab Mustadrak menyebutkan bahawa ¼ dari pada ajaran Islam yang diterima itu disampaikan melalui riwayat Aisyah bt Abu Bakar ra. (Rujuk: Aisyah Mengoreksi Para Sahabat, Imam Badruddin az-Zarkasyi)

Tercalarnya peribadi mereka berdua, pada akhirnya akan meruntuhkan sumber-sumber utama periwayatan ajaran Islam. Setelah memahami hal ini baharulah kita dapat faham apa motif dan maksud terselindung di sebalik tuduhan dusta yang dilemparkan keatas seseorang tokoh. Dan inilah yang dicanang dana rencana oleh musuh-musuh Islam baik di dalam mahupun dari luar. Yang paling sering mencanang fitnah terhadap peribadi dan tokoh utama Islam ini ialah puak Syiah Rafidah. Sehingga hari ini kita dapat menemui banyak rakaman video, rencana dan buku dari kelompok sesat ini untuk memburuk-burukkan tokoh seperti Aisyah dan Abu Hurairah. Apa yang lebih membimbangkan anasir durjana ini telah mula menyerap masuk ke dalam sebilangan organisasi, pertubuhan termasuk juga parti politik khususnya yang kononnya berwajahkan Islam.

Hal yang sama juga berlaku sejarah panjang negara kita. Kota Melaka itu tidak dibina dalam sehari. Ia juga tidak diruntuhkan dalam satu malam. Ia melalui sejarah yang panjang; dari kembara Parameswara di Temasek melewati Biawak Busuk, Sening Ujung sebelum sampai ke sebuah kampung nelayan di muara Sungai Bertam (nama lama Sungai Melaka). Selebihnya sudah menjadi sejarah. Jatuh-bangunnya sebuah kota peradaban melalui proses yang tidak sekejap.

Sepanjang sejarah itu juga fitnah tidak pernah berhenti berhamburan. Laksamana Hang Tuah difitnah berzina dengan gundik raja yang akhirnya mengakibatkan pertempuran saudara di Melaka. Begitu juga fitnah ke atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang dituduh berzina dengan seorang pemuda di Temasik. Akhirnya ia membawa pergelutan antara dua kuasa dan menyebabkan penjajahan Majapahit ke atas Singapura. Demikian tercatat dalam Sejarah Melayu yang mengikut cerita; ditulis oleh Tun Seri Lanang, bendahara diraja kerajaan Johor pada 1612 atas perintah Sultan Alaudin Riayat Shah.

Demikian sejarah bergulir, dan sejarah itu akan terus berulang dan dengan watak yang berbeza. Namun hakikatnya, skrip dan rencananya masih sama.

Bahaya fitnah menurut Islam

Fitnah memberi mudarat kepada hati dan peribadi umat Islam. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya, “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara bersulaman satu sama lain. Hati yang dihinggapi fitnah, bintik-bintik hitam akan melekat padanya, sehingga akhirnya hati tersebut terbahagi menjadi dua. Sebahagian menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Dan sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak melarang kemungkaran, dia hanya mengikuti keinginan hawa nafsunya.” (riwayat Muslim dari Huzaifah) 

Penyebar fitnah juga akan diazab oleh Allah di dalam kubur. Rasulullah saw melalui dua kubur kemudian bersabda maksudnya, ”Sesungguhnya mereka berdua sedang diazab, dan mereka tidak diazab karena hal yang besar,… salah seorang darinya  kerana dia jalan menyebarkan fitnah (namimah atau adu domba).” (riwayat al-Bukhari dari Ibnu Abbas)

Fitnah juga memberi kesan yang buruk kepada umat dan masyarakat secara keseluruhan. Firman Allah yang maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.” (Surah al-Hujurat, 49: 6)

Berapa banyak tamadun manusia yang besar-besar diranapkan oleh Allah kerana ujian fitnah yang mereka lakukan. Dua anak Adam pernah berbunuhan lantaran merebutkan seorang wanita. Dikatakan dua kerajaan besar Greek dan Sparta pernah berperang selama 9 tahun berpunca dari seorang wanita. Allah juga pernah menimpakan azab yang sangat berat kepada kaum Sadum yang melakukan homoseksual.

Demikian juga berita-berita palsu dan persepsi yang diseleweng pernah mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan kesejahteraan umat. Tuduhan palsu terhadap Aisyah bt Abu Bakar telah mengakibatkan Nabi berdukacita dan umat Islam gundah-gulana. Begitu juga tuduhan dan provokasi terhadap pemerintahan Khalifah Uthman b Affan membawa kepada demonstrasi pertama di dalam sejarah Islam.  Akhirnya dalam peristiwa itu Uthman bin Affan terbunuh dan kerajaan umat Islam bergolak.

Hari ini, terlebih lagi menjelang PRU 13, hampir setiap hari akan muncul sebuah tuduhan baharu untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan kredibeliti pihak lawan. Walhal benar atau tidak sesuatu berita itu masuh belum dapat dipastikan. Semua pihak berusaha menjadi orang pertama dan paling awal untuk melaporkan sesuatu berita. Baik melalui ‘tweet’, ‘status’ mahupun entri blog. Berita terkini dan terbaharu kononnya panas, namun ketahuilah bahawa azab Allah di neraka jauh lebih panas dari itu. Demikian juga manipulasi berita dan kejadian untuk mempengaruhi pandangan dan persepsi umum.

Sabda Nabi saw maksudnya, “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu seorang pembohong akan dianggap benar, dan orang jujur tidak dipercayai. Ketika itu seorang pengkhianat akan diberikan amanah, dan orang yang amanah dianggap pengkhianat, lalu Ruwaibidhah pun berbicara”. Para sahabat bertanya: “Siapakah Ruwaibidhah ya Rasulullah?”, “Dialah orang lekeh (tidak ada ilmu) yang berbicara tentang urusan umat.” (Musnad Imam Ahmad) 

Justeru solusi ampuh bagi menangangi fitnah dan tersebarnya persepsi serong ialah kembali berpegang kepada prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam agama Islam. Setiap berita yang diterima itu harus disemak terlebih dahulu adakah ia benar atau palsu. Setelah dipastikan kebenarannya, harus pula ditimbang adakah perlu disebarkan atau tidak. Memang semua perkara layak untuk diberikan pendapat dan komentar, namun tidak semua pendapat dan komentar itu layak dilontar kepada tatapan umum.

Kempen 1 Malaysia Tolak Fitnah telah dicadangkanUst. Dr. Fathul Bari yang bercakap mewakili bahagian Arau pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Sewajarnya ia disambut baik dan digembleng ke seluruh negara.

IMG1

 

Lembaran baharu perjalanan dakwah kami

Oktober 24, 2012