Archive for the ‘Epiloge’ Category

Harakahdaily

Februari 20, 2009

Saya buka orang yang obses dengan diri sendiri. Mudah-mudahan begitu. Setelah dua bulan barulah saya perasan semasa bersiar-siar dalam google.

Laporan ini memetik saya.

Advertisements

Kesempurnaan vs Kemaafan

September 25, 2008

‘Imperfection makes us human’, kata Nisah Haron , seorang pengarang muda yang sedang meningkat naik. Maksudnya (bagi pembaca yang kurang pandai bahasa Inggeris) ‘ketidaksempurnaan menjadikan kita lebih manusia’. Itu coretan Nisah ketika membuat kueh raya.

Ada orang tidak meminati penyanyi Celine Dion kerana ‘dia telalu sempurna’. Jimi mencatit perihal ini beberapa catatan yang lalu. Begitu juga saya yang agak sukar meminati Datuk Siti kerana ‘dia seakan sempurna’. Baik dari nyanyiannya, peribadinya atau rupa parasnya. Saya tidak nafikan kualiti suara dan nyanyiannya.

‘No body is perfect, so be nobody’. Sukar saya hendak terjemahkan kata-kata ini kedalam bahasa melayu dengan mengekalkan ritmanya.

Sebelum ini saya sangat obses dengan sesuatu yang sempurna. ‘Perfectionist’ adalah istilah yang mungkin sesuai. Ingat watak Bree Van Der Kamp dalam drama Desperate Housewives.

Akhirnya saya memenui jawapan, bahawa kesempurnaan itu bukan milik kita, manusia. Sifat manusia itu serba kekurangan. Kalau kucing terjun dari pucuk pokok, kemudian mengeliat boleh jalan semula. Tetapi kita manusia terlecek satu anak tangga pun, mungkin beberapa hari berlajan rengkot.

Tuhan tidak perintah kita jadi sempurna. Nabi pun tidak suruh. Nabi pun sakit. Nabi pun sedih. Nabi pun menangis. Nabi pun sakit. Nabi pun luka dalam perang. Inikan pula kita. Hanya manusia biasa.

Yang Allah dan Rasul mahukan ialah sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari masa ke masa. Hari ini perlu lebih baik dari semalam. Dan esok seharusnya lebih baik dari hari ini.

Dan dari ketidaksempurnaan itu wujudnya kemaafan. Yang kurang kita redhai. Yang salah kita betulkan dan maafi. Tiada dosa yang tidak terampun. Hanya syirik yang kekal dalam hati sahaja tidak diterima ampunannya.

Dan bersempena dengan Syawal yang mulia ini, saya memulakan dengan memberi kemaafan kepada kenalan dan saudara mara, untuk salah dan silap yang dilakukan. Dan untuk itu juga saya memohon kepada Allah agar membuka pintu hati hamba-hambanya memberi kemaafan kepada saya.

Selamat Hari Raya
Maaf Zahir & Batin

Olimpik, Putrajaya dan Kg Jasa

Ogos 26, 2008

Ketika malam majlis pembukaan Sukan Olimpik baru-baru ini, berpusu-pusu pelajar warga Tanah Besar China mengerumuni dewan tayangan televisyen. Seperti ada gula-gula yang keluar melimpah dari peti berkaca itu untuk dikaut. Saya bena tak bena. Sambil bekerja sambil menjeling sahaja.

Hanya saja ketika malam majlis penutupan sempat saya tenung skrin besar yang berkelip-kelip memadan imejan dari Shanghai itu. Dek kerana kagum dengan persembahan ribuan penari yang berewang-rewang membentuk gaya dan pergerakan, maka ada yang bertepuk.

Apa-apa sahaja majlis yang melibatkan penyertaan warga antarabangsa, semahu-mahunya diadakan dengan segah yang mungkin. Penganjur semahu-mahunya meletuskan sebanyak-banyak boleh bunga api. Andai terdaya mahu saja diledak mana-mana gunung berapa berdekatan biar gegarnya terasa. Mungkin juga ada yang bercita-cita mengait bulan atau bintang buat menyuluh stadium.

Khabarnya satu temasya sukan besar sebelum ini membelanjakan lebih 200 juta hanya untuk majlis pembukaan. Sebuah syarikat perundingan ‘event management’ dari Australia dikatakan memenangi tender penganjuran majlis berprestij itu. Yang paling pasti ialah menelan belanja yang tidak sedikit.

Gah. Memang gah. China sebagai sebuah negara mewakili peratusan besar penduduk dunia. China sebagai sebuah bangsa di dunia mewakili kuasa ekonomi baru. Itu semua kita tahun. Namun menonton majlis gilang dan gemilang lagi cemerlang, ada satu rasa yang terbit.

Rasa itulah yang menjelma bagai sejuk mencengkam ketika subuh berkabus membaluti, ketika pertama kali tapak retina saya mencerap wajah Putrajaya. Dengan bangunan-bangunan indah yang saya kira lukisan jurutera nya sahaja sudah boleh membeli seluruh rumah dan isi rumah kampung kita.

Rasa itulah agaknya menusuk-nusuk baju kurung kusam Opah memembus rasa ketika berziarah ke rumah salah seorang anaknya ; besar, agam, indah, berpagar emas dan tinggi, berbumbung genting hujan-tidak-berbunyi.

Rasa itulah agaknya ; sebak.

Sampai hati anaknya berumah agam, sedang bumbung pondok ibunya bocor. Sampai hati Perdana Menteri menyuluh seluruh jengkal tanah Putrajaya membela badak, sedang rakyatnya masih ada yang berakit ke sekolah, berpelita menyiapkan kerja rumah. Dan dua ekor badak itu namyan terlentang dan berkubang.

Sampai hati. Justeru memandang ke layar kaca menyaksikan kemewahan di stadium sarang burung itu dilebur dan dibakar, begitu menyayat hati. Sampai nya hati mereka.

Persepsi

Julai 7, 2008

Dia itu dialah juga. Baik yang semalam, baik yang hari ini, dan mungkin juga esok dia adalah dia juga.

Aku, akulah juga. Sama ada yang semalam, hari ini atau esok juga.

Aku dan dia, mahupun semalam, hari ini dan semoga hari esok adalah aku dan dia yang sama.

Apa yang membezakan hanyalah tanggapan. Tanggapan ialah sudut pandang, dari tetingkap mana kita melihat. Melihat kuman kutu di balik rambut lebat, payah. Tetapi melihat kutu di balik teropong atau kanta pembesar, kesannya membeliakkan mata. Kutu itu tetap kutu. Yang membezakannya ialah bagaimana kita mengkoordinasikan cerapan pantulan di balik kanvas retina kita.

Anjing itu anjing itu juga. Ada yang takut melarikan diri. Ada yang mengusap manja kepalanya yang berbulu panjang. Anjing itu, anjing itulah juga.

Aku dan dia, aku dan dia juga lah. Yang sama. Seperti semalam.

Yang membezakan adalah perasan. Semalam aku rindu. Hari ini aku benci. Dan esok entah!

Semalam dia bilang cinta, hari ini dia bilang rindu. Esok, entah!

‘Yaumul Mahsyar’ – dedikasi

Jun 17, 2008

Tercipta

Nikmat pertama yang kita kecap dalah hidup ialah diciptakan. Dengan kudrat dan izin Tuhan yang Maha Mencipta, terciptanya kita, manusia, sangat indah ketimbang makhluk yang lain. Tanpa sayap namun tetap boleh terbang. Walaupun tanpa insang, laut yang paling dalam tetap kita selam. Namakan makhluk ciptaan yang lain yang siangnya jelajah langit membelah awan, kemudian malamnya berendam dalam laut yang suam dan dalam. Kalau bukan manusia. Diciptakan itu adalah nikmat yang paling besar diberikan oleh Tuhan kepada kita.

Hidayah

Diciptakan adalah satu nikmat. Namun hanya diciptakan sebagai makhluk paling istimewa yang dicemburui seisi langit dan bumi tidak memadai tanpa arah dan tujuan penciptaan itu. Dan awalnya Tuhan yang menciptakan itu mahu sesuatu dilakukan oleh makhluk ciptaannya. Dari situ datangnya petunjuk arah. Kita senang mendengarkan perkataan hidayah itu tanpa mengerti apakah maksud hidayah itu. Hidayah menunjuki kita sesuatu yang tidak cerap oleh mata kita. Hidayah menyelak tabir yang mengaburi penglihatan kita. Hidayah menceritakan kepada kita tentang sesuatu yang terjadi lama sebelum kita diteran keluar oleh seorang wanita dari celah kelengkang. Hidayah memberitahu kita tentang bagaimana hujungnya nyawa dunia ini. Hidayah itulah sebuah lembar kitab bernama Al-Qur’an.

Al-Qur’an. Ia turun sejak lebih 1000 tahun dahulu. Ia merakam yang telah lalu dan menceritakan apa yang akan berlaku. Menuruti Al-Quran hanya kepada yang percaya. Percaya tahap tinggi itu namanya iman. Manusia banyaknya hanya percaya apa yang dilihat dan didengar pancaindera sendiri. Ramainya percaya akan sesuatu setelah dilihatmata kepala sendiri. Sedikit sangat yang percaya untuk melihat sesuatu yang berlaku. Lihat dahulu kemudian percaya, ataupun percaya kemudian baru lihat. Iman mengajar kita untuk mempercayai sesuatu walaupun mata kita tidak pernah melihatnya. Bagaimana mahu mempercayai syurga sedang tidak ada mata dalam dunia ini yang menjadi saksi melihat syurga itu.

Maka nikmat yang tiada tandingnya selepas dihembuskan nyawa dalam jasad ialah petunjuk. Atau nama lainnya hidayah, juga namanya iman.

Syukur kepada Tuhan Maha Mencipta kerana sudi menciptakan kita dan mengizinkan kita untuk hidup berkeliaran melata di bumi ciptaannya juga. Terim kasih kita kepada manusia yang menunjukin jalan hidayah itu, yang melalui lidahnya Al-Qur’an itu sampai kepada khalayak manusia. Itulah Muhammad, selawat dan salam buat beliau, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Wanita itu ibumu

Selepas itu, tentunyalah wanita yang setia menumpangkan perutnya buat rumah kendungan seketika. Wanita yang merelakan kelengkangnya dikoyakkan demi melahirkan setelah sekian kali diteran. Wanita yang mengorbankan sedikit dari lender tulang sum-sumnya buat mengisi tekak anak kecil yang hanya tahu menangis.

Justeru inilah makna kepada sebuahhari lahir. Bukan sekadar memuja umur yang meningkat satu-satu saban tahun. Lebih dari sekadar menghembuskan lilin-lilin menyala di atas sepotong kek berkrim mewah.

Lahir adalah manifestasi cinta dari Yang Mencipta, kasih dari seorang Rasul yang airmatanya banyak tumpah kerana ummatnya yang kemudian dan sayang dari seorang wanita kemudiannya kita gelar emak.

Selamat hari lahir sahabatku, yang dinamakan oleh datukmu ‘yaumul mahsyar’.

Gumbira a.k.a Gembira

April 16, 2008

Gembira. Lagu dulu-dulu kata gumbira.

Gembira satu perasaan yang ditaksirkan secara sangat subjektif. Gembira ialah rasa seronok, suka hati.

Sesuatu yang membuatkan kita gembira belum tentu akan membuat orang lain gembira. Ada orang gembira menonton filem seram yang lazimnya menakutkan. Takut ada satu sumber gembira bagi setengah-setengah orang. Ada orang menjadikan kesedihan sebagai satu masdar gembira. Menonton filem-filem syahdan sedih Hindustan (saya menangis berbaldi-baldi menonton filem Hindustan Kabhi Kushi Kabhi Gham) ataupun novel-novel rumah ratapan (istilah Puan Ainon) sebagai contoh.

Ada orang gembira melihat orang lain derita. Bahkan melihat orang lain bahagia pula menjadi satu sumber ketidak-gembiraan. Itu hasad namanya. Yang didokong syaitan anak iblis.

Kuda tunggangan gembira apabila ditunggang-tunggang. Lagi dibentak tali pedal lagi dia gembira menghayunkan kaki melangkah lagu. Lagi dihinjak belakang tumit but ke perutnya lagi melompat-lompat dia ke-gembira-an. Semakin laju melacak langkah. Bahkan kira satu hari ia tidak ditunggang bakal mengundang gangguan emosi. Bilang seorang Ketua Unit Kuda, Jabatan Veterinar, sebuah ladang . (Itu abah saya).

Belasungkawa

Februari 6, 2008

Kematian ada di mana-mana. Di wad hospital, di atas katil rumah, si atas jalan raya, di medan perang, di dapur, di bilik mesyuarat dan di mana-mana. Ia ada menyorok di mana-mana. Hanya saja manusia tidak tahu dan sedar akan wujudnya makhluk bernama mati itu.

Di mana-mana kematian itu wujud dan bersedia memunculkan batang hidungnya tidak kira masa dan ketika. Tengah malam ketika tidur, tatkala makan, sedang ingin pergi kerja, atau pulang dari pejabat, dia ada bila-bila masa akan kewujudannya.

Dan kematian adalah satu destinasi pasti bagi semua yang hidup.

Setiap hari manusia mati dengan bebagai sebab. Di dada dan perut akhbar senak dengan berita tentang kematian. Di Iraq, di Palestin, di km 7 Lebuhraya Persekutuan, di stor rumah usang, di Sungai Choh , dan di mana-mana.

Menatapnya sama seperti menonton filem kombat tembak-tembak. Yang sedih sekira heronya mati, atau sahabat baik heroin mati sebelum majlis pernikahan, atau orang baik mati dan orang jahat hidup. Selebihnya kematian itu adalah kematian tanpa perasaan.

Hinggalah seseorang yang sangat dekat dan dekat dengan kita bertemu kematian. Seperti ular sawa lapar yang menjerut seluruh usus dan limpa. Seperti disengat ribuan tebuan garang tanpa henti. Rasanya lebih dari menelan lada pedas, ataupun tertelan susu masam.

Panaharjuna a.ka Ahmad Zafran, pengarang novel jibunsyi Tegar dan siri Sahabat Kole Kacang telah bertemu akan kematian itu. Dan tentu kita semua akan menyusul.

Saya hanya sempat duduk semeja makan dengan beliau beberapa kali. Dan sempat berbual mesra beberapa ketika. Seketika beliau meminta pengecualian dari menghadiri begkel, saya bertanya kenapa. Dah ketika itu tahulah saya bahawa beliau menghidap sakit jantung.  Sakit yang dikelilingi maut di mana-mana dan bila-bila masa.

Belasungkawa buat ahli keluarga Panaharjuna. Semoga titik-titik huruf dan garis-garis yang beliau lorekkan menjadi naskah ilmu, jadi ilmu yang dimanfaatkan buat menambah jariah amalan.

‘Sekiranya mati anak Adam, maka terputuslah semua amalan, melainka tiga ; sedekah jariah, ilmu yang dimafaatkan dan doa anak-anak yang soleh’,  Sahih Muslim.