Archive for the ‘Ihya Ramadan’ Category

Forum: Welcome Ramadan

Julai 10, 2012

Advertisements

Ramadan Bulan Kesabaran

Ogos 23, 2011

Sahabat Nabi bernama Abu Sa’id al-Khudri (semoga Allah redha kepada beliau) melaporkan dari Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau)’“Barangsiapa sungguh-sungguh berusaha untuk sabar, nescaya Allah akan memudahkan kesabaran baginya. Dan tidaklah seseorang dianugerahi pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sifat sabar.” (Bukhari dan Muslim)

Ramadan juga dikenali sebagai “bulan kesabaran” seperti yang dilaporkan dalam kitab Silsilah Hadis Sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (semoga Allah merahmatinya).

Ibadah puasa dalam bulan Ramadan dan sifat sabar mempunyai kaitan yang sangat erat. Jika makna puasa ialah menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, demikian juga definisi sabar.

Allah berkata dalam kitabnya tentang sabar,

“Maka bersabarlah kamu dengan kesabaran yang indah.” (Al-Ma’arij ayat 5)

Di dalam kitab tafsirnya Fathul Qadir,  Imam Syaukani (semoga Allah merahmatinya) menjelaskan makna kesabaran yang indah sebagai; menahan diri dari berputus asa, dan menahan lisan dari keluh-kesah, serta menahan anggota badan dari perbuatan yang dilarang oleh Allah.

Dalam hadis yang lain nabi pernah berkata, “Seandainya seorang memaki engkau atau mengatakan kamu bodoh, maka katakanlah ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa’. (Sahih Al-Jami As-Saghir)

Nabi tidak berkata sesuatu melainkan ia merupakan wahyu atau petunjuk dari Allah.

Dari hadis ini dapat difahami, orang-orang yang berpuasa akan selalu diuji oleh Allah. Ujian-ujian berbentuk makanan dan minuman yang lazat lazimnya dapat ditempuh dengan baik. Selain itu, orang-orang yang berpuasa akan diuji dengan cacian dan makian dari orang lain. Termasuk juga berdasarkan hadis ini ujian dipanggil dengan ‘jahil’ dan ‘bodoh’.

Bagi menangani situasi ini, Nabi menyarankan kita memberitahu, “Saya berpuasa, saya berpuasa”. Tujuan pertamanya bukanlah untuk memberitahu orang yang mencaci kita, sebaliknya ialah untuk memberitahu diri kita sendiri, demi menjaga kualiti pahala puasa kita.

Hubungan Ibadah Puasa dan Ibadah Sabar

Ibadah puasa dan ibadah sabar punya hubungan yang erat. Allah menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada orang-orang yang sabar di dalam Al-Qur’an,

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas.” (Surah az-Zumar, ayat10)

Ini senada dengan ganjaran yang Allah janjikan kepada orang-orang yang berpuasa. Allah menentukan jumlah ganjaran yang akan diperolehi untuk kebanyakan amal ibadah. Sebagai contoh 10 ganjaran pahala untuk setiap huruf bacaan Al-Qur’an. Begitu juga ganjaran sehingga 700 kali ganda pada orang-orang yang ikhlas bersedekah.

Sebaliknya untuk ibadah puasa, Allah merahsiakan ganjaran yang akan diberikan. Kata nabi dalam satu hadis, Semua amal (saleh yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan (pahalanya), satu kebaikan (diberi ganjaran) sepuluh sampai tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman: “Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas), karena sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya.” (Hadis Bukhari & Muslim)

Seorang sarjana Islam Imam Ibnu Rajab al-Hambali (semoga Allah merahmatinya) menjelaskan eratnya hubungan puasa dengan sifat sabar dalam ucapan beliau, “Sabar itu ada tiga macam: (1) sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, (2) sabar dalam meninggalkan hal-hal yang diharamkan-Nya, dan(3) sabar dalam menghadapi ketentuan-ketentuan-Nya yang tidak sesuai dengan keinginan. Ketiga bentuk sabar ini  terkumpul dalam ibadah puasa, kerana (dengan) berpuasa (kita harus) bersabar dalam (menjalankan) ketaatan kepada Allah, dan bersabar dari semua keinginan syahwat yang diharamkan-Nya bagi orang yang berpuasa, serta bersabar dalam (menghadapi) beratnya (rasa) lapar, haus, dan lemahnya badan yang dialami orang yang berpuasa”(Lataif Ma’arif)

Rukun sabar ada 3. Ini dijelaskan oleh Imam Ibnu Qayyim (semoga Allah merahmatinya) iaitu menahan diri dari sikap murka terhadap ketentuan Allah, menahan lisan dari keluh-kesah, dan menahan anggota badan dari perbuatan yang dilarang oleh Allah.

Salah satu dari dimensi sabar yang dituntut ketika berpuasa ialah menahan lisan dari keluh-kesah, berkata-kata kotor dan kosong, dan juga mencaci-maki sesame Muslim ataupun mencaci-maki pemerintah Muslim.

Adasebuah anekdot menarik direkodkan oleh Ibnu Abi Dunya dalam kitabnya Ash-Sham wa Adab Lisan.

Zaidah bin Qudamah bertanya kepada Mansyur bin Muktamar, “Apabila saya berpuasa, bolehkah saya mencela penguasa?” Beliau menjawab, “Tidak.”

Zaidah bertanya lagi, “Kalau begitu, bolehkah saya mencela hamba hawa nafsu (orang yang mencela penguasa).” Beliau menjawab, “Ya! Boleh.” (juga direkod dalam Al-Hilya oleh Abu Nu’im)

 

Ihya Ramadan :Sedekah pada Bulan Ramadan

Ogos 16, 2011

Nabi Muhammad merupakan orang yang sangat pemurah. Sifat pemurah Nabi menyerlah ketika datangnya Ramadan. Sahabat Abdullah bin Abbas menceritakan perihal Nabi Muhammad ketika berada di dalam bulan Ramadan. Katanya,

“Nabi Muhammad  adalah manusia yang paling pemurah dalam kebaikan. Beliau juga adalah manusia yang paling pemurah pada bulan Ramadhan lebih-lebih lagi ketika bertemu malaikat Jibril. Malaikat Jibril mengunjungi Nabi Muhammad pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan. Mereka berdua bertadarus Al-Qur’an bersama-sama. Sifat pemurah Nabi Muhammad ketika bertemu Jibril laksana angin yang berhembus.”(Hadis Imam Bukhari & Muslim)

Sikap pemurah Nabi ini menjadi teladan kepada para sahabat beliau. Sejarah mencatatkan perjalanan awal dakwah Islam ditaja harta isteri Nabi, Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan banyak sahabat lain (semoga Allah redha kepada mereka semua).

Sahabat Abdurrahman bin Samurah menceritakan satu perisitiwa yang berlaku pada bulan Ramadan. Ketika itu umat Islam sedang bersiap-siap untuk Perang Tabuk. Sahabat Uthman Affan datang membawa 1000 dinar untuk persiapa Perang Tabuk yang juga dikenali sebagai Jaisyu ‘Usrah. 1000 dinar pada ketika ini bernilai lebih setengah juta ringgit pada hari ini. Uthman kemudiannya meletakkan semua wang itu di pangkuan Nabi.

Kemudian Nabi berkata,

“Tidak ada apa-apa yang akan membahayakan Uthman walau apapun yang dilakukannya selepas hari ini.” (Hadis Imam Tirmidzi & al-Hakim)

Kisah sifat dermawan Uthman ini sangat diketahui umum dan dihargai oleh para sahabat-sahabat Nabi yang lain. Seorang tabi’in Muhammad bin Hathib pernah bertanya kepada Ali bin Abi Talib tentang Uthman. Kata Ali, “Beliau termasuk orang yang beriman kemudian bertakwa kemudian beriman kemudian bertakwa.” (Fadailus Sahabat, Imam Ahmad)

Tidak Pernah Mengatakan ‘Tidak’

“Apabila orang datang meminta, Nabi tidak pernah berkata, “tidak”, jelas sahabat muda yang sering mendampingi Nabi iaitu Jabir bin Abdullah. (Hadis Imam Muslim)

Dalam satu peristiwa, selepas memenangi Perang Hunain, Nabi memberi hadiah 100 ekor kambing kepada seorang lelaki bernama Safwan bin Umayyah. Ketika itu beliau masih belum masuk Islam. Kemudian Nabi menambah 100 ekor kambing lagi dan 100 ekor kambing lagi. Tindakan Nabi itu telah berjaya menambat hati Sofwan bin Umayyah untuk memeluk Islam.

Seperti mana yang disebutkan oleh seorang tabi’in bernama Said bin Musayyab, Sofwan membuat pengakuan, “Demi Allah, Nabi telah memberi aku dengan banyak sekali. Dahulu beliau adalah orang yang paling aku benci, namun beliau selali memberi kepadaku sehingga sekarang beliau adalah orang yang paling aku sayangi.”(Hadis Imam Muslim)

Beberapa Adab Sedekah

1. Sedekah dengan Harta Yang Paling Disukai

Firman Allah dalam Al-Qur’an maksudnya,

“Kamu tidak akan peroleh kebajikan sebelum kamu membelanjakan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 92)

2. Merahsiakan Sedekah dan Tidak Mengumumkannya Kecuali Ada Tujuan Yang Baik

“Jika kamu menampakkan sedekah, itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang kafir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahan kamu. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 271)

4. Segera Melakukan Sedekah Ketika Masih Sihat dan Masih Hidup

“Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, maka ia (pada saat itu) akan merayu : ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau tangguhkan ajalku sebentar sahaja, supaya aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk dari orang-orang yang soleh.” (Surah Al-Munafiqun, ayat 10)

5. Tidak Menarik Balik Sedekahnya (Buruk Siku) 

Meminta balik sedekah yang telah diberi merupakan amalan yang dicela dalam Islam. Ini berdasarkan berita yang diterima dari sahabat Abdullah bin Abbas bahawa nabi pernah berkata, “Perumpamaan orang yang mengambil kembali sedekahnya ialah seperti anjing yang muntah lalu memakan kembali muntahnya.” (Hadis Imam Muslim)

6. Tidak Meremehkan Sedekah Meskipun Sedikit

Sahabat Adi bin Hatim melaporkan hadis dari Nabi, “Lindungilah diri kalian dari Neraka meskipun dengan (bersedekah) sebutir kurma. Jika tidak ada maka dengan kata-kata yang baik.” (Hadis Imam Bukhari & Muslim)

disiarkan dalam Utusan Malaysia, sisipan Mega Selasa 16 Ogos 2011 atas nama Ahmad Tajudin Idris, Biro Belia dan Cinta Rakyat.

Ihya Ramadan : Ramadan Mendidik Akhlak Mulia

Ogos 12, 2011

Ramadan Mendidik Akhlak Mulia 

“Berapa banyak orang yang berpuasa hanya mendapatkan rasa haus dan lapar?” (Sahih, Hadis Ibnu Majah)

Pertanyaan ini dimajukan oleh Nabi kepada para sahabatnya dan kepada umat Islam umumnya. Ini menunjukkan tidak sedikit dari kalangan orang Islam yang menahan makan dan minum pada bulan Ramadan, namun tidak mendapat apa-apa faedah dan pahala dari lapar dan dahaga.

Mulut yang berpuasa bukan sekadar tidak makan atau minum serta tidak memasukkan sesuatu yang membatalkan puasa. Puasa juga menuntut kita menahan mulut dari perkara-perkara yang akan menghilangkan pahala puasa. 

Selain merehatkan jasad dan anggota badan, Ramadan juga medan melatih akhlak mulia. Imam Bukhari merekodkan hadis dari Nabi, “Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.”

Perintah menjaga pendengaran, penglihatan dan lidah atau ringkasnya menjaga adab dan akhlak tidak hanya khusus pada bulan Ramadan sahaja. Namun penekanan diberi pada bulan Ramadan ketika umat Islam berpuasa. Ini kerana orang-orang yang lapar berpuasa cenderung gagal mengawal emosi dan bertindak diluar kawalan. Sehingga lahir ungkapan ‘bangsa yang pemarah adalah bangsa yang rakyatnya lapar.’ 

Banyak pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia menyarankan untuk mengatasi amarah dengan makanan yang mengandung glukosa atau makanan peningkat suasana hati untuk mencegah rasa lapar. Salah satu makanan yang kaya dengan glukosa ialah makanan pilihan Nabi ketika berbuka puasa iaitu buah kurma.

Antara akhlak yang dituntut oleh Nabi ketika berpuasa termasuklah meninggalkan kata-kata dusta. Ia termasuk hal yang membatalkan pahala puasa.

Ini dijelaskan dalam hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, “Siapa yang puasanya tidak mencegah dari bercakap dusta dan melakukan kedustaan, maka Allah merasakan dia tidaklah perlu menahan makan dan minumnya (puasa).”

Demikian juga meninggalkan hal yang tidak berfaedah dan sia-sia, “Bukanlah puasa itu dengan semata-mata menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa itu ialah dengan menahan diri dari hal yang sia-sia dan perkataan yang keji.” (Sahih Al-Jami As-Saghir) 

Puasa itu perisai, maka apabila seseorang berpuasa, hendaklah dia tidak berbuat lucah (perbuatan yang menjurus kepada hubungan seksual), tidak berbuat fasik, tidak berbuat suatu yang bodoh. Apabila seseorang mencaci makinya, hendaklah dia mengatakan: Saya sedang berpuasa!” (Hadis Bukhari dan Muslim)

Hal yang sia-sia paling banyak dilakukan oleh orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan. Antara kegiatan yang selalu dilakukan untuk menghabiskan masa di siang hari Ramadan ialah menonton televisyen, mendengar rancangan radio dan muzik-muzik di radio.

Secara umumnya kedua media ini menyajikan kandungan yang tidak berfaedah dan sia-sia. Bahkan ada kandungan khusus disiapkan untuk siaran Ramadan seperti drama sinetron. Manakala bulan puasa adalah bulan yang paling banyak rancangan bertemakan makan, baik makan bersahur, makan berbuka dan makananan hari raya. Makanya Ramadan sudah bertukar menjadi pesta makanan. Sungguh-sungguh ia tidak mengiltizami semangat menahan lapar dan dahaga. Benarlah apa yang dikatakan oleh masyarakat Barat suatu ketika dahulu tentang televisyen sebagai ‘idiot box’.

Banyak lagi hal lain yang tidak dilakukan secara berlebihan melainkan pada bulan Ramadan. Demi menunggu waktu berbuka ramai yang memilih untuk ‘window shoping’ di pasar raya dan pasar Ramadan. Ada juga yang bersiar-siar menaiki kereta pusing kota atau menunggang motosikal pusing kampung. Sedang umat Islam digalakkan perbanyak doa pada bulan Ramadan terutama menjelang waktu berbuka puasa.

Keutamaan Akhlak Mulia

Imam Ibnu Qudamah menyebutkan dalam Mukhtahsar Minhaj Al-Qashidin, bahwa akhlak merupakan ungkapan tentang kondisi jiwa, yang begitu mudah menghasilkan perbuatan, tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan. Jika perbuatan itu baik, maka disebut akhlak yang baik jika buruk disebut akhlak yang buruk.

Akhlak juga bererti din (agama) sebagaimana Allah berkata, “Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung.” (Al-Qalam: 4) 

Akhlak memiliki beberapa keutamaan dan kelebihan yang sangat tinggi dalam agama. Ia termasuk dalam perkara yang memiliki timbangan yang paling berat atas neraca Allah. Nabi berkata, “Tiada suatu amalan seorang hamba yang paling berat timbangannya pada hari kiamat melebihi akhlak yang baik.” (Hadis Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sahabat Abu Hurairah menceritakan bahawa Nabi pernah ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk surga? Beliau menjawab, “Takwa kepada Allah dan akhlak mulia.” Beliau juga ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk neraka, maka beliau menjawab, “Mulut dan kemaluan.” (Hasan sahih, Hadis Tirmidzi)

Dek penting dan utamanya kedudukan akhlak dalam timbangan amal manusia, maka Nabi mengajarkan satu doa untuk membaiki akhlak. Imam Muslim merekodkannya dalam kitab Sahihnya,  “Dan berikanlah hidayah padaku agar baik akhlakku. Tidak ada yang mampu memberi hidayah untuk memperbaikinya kecuali Engkau.”

disiarkan dengan beberapa suntingan oleh Utusan Malaysia dalam sisipan Mega 12 Ogos 2011.

dipetik :

1. Gambar Pelik.

2. Fantastic Rulez.

3. NSkini.com.

Ihya Ramadan : Amalan Sunat vs Fardu

Ogos 10, 2011

Oleh MOHD. RIDUAN KHAIRI

Dalam Islam amalan wajib harus lebih didahulukan daripada amalan sunnah. – Gambar hiasan

BULAN Ramadan adalah musim menuai keuntungan. Begitu banyak hadiah dan ganjaran yang Allah tawarkan khusus pada bulan ini. Kata seorang sarjana Islam abad ke-8 Ibnu Rajab al-Hanbali: “Barang siapa yang pada bulan Ramadan ini tidak beruntung, maka bila lagi dia akan beruntung? Barang siapa yang pada bulan suci ini tidak dapat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka sungguh dia sangat rugi.”

Antara amalan-amalan sunnah yang banyak Nabi lakukan pada bulan Ramadan termasuklah memperbanyakkan bacaan al-Quran, bersedekah, menghidupkan malam dengan solat terawih, menjamu orang berbuka puasa dan beberapa amalan lain yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih.

Namun, dalam ghairah umat Islam mengerjakan amalan sunat, ada juga yang memandang sepi amalan-amalan wajib. Kadang-kala dek kerana ghairah bersedekah di masjid atau di surau, ada juga yang terlepas pandang kepada sedekah yang wajib kepada isteri, anak-anak dan kedua orang tua.

Dalam Islam amalan wajib harus lebih didahulukan daripada amalan sunnah. Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan, “Wajib mendekatkan diri pada Allah dengan melakukan hal-hal wajib sebelum yang sunnah. Mendekatkan diri pada Allah dengan perkara yang sunnah bisalah dianggap sebagai ibadah jika yang wajib dilakukan.” (Majmu’ul Fatawa 17/133)

Mengabaikan solat fardu dan mengutamakan solat terawih

Prof Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili dalam sebuah khutbah di Masjid Dzun Nurrain membawakan penjelasan yang tuntas.

Masalah lain yang perlu diperhatikan, iaitu amalan fardu. Amalan yang paling wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan ialah: mendirikan solat lima waktu dengan berjemaah di masjid (bagi laki-laki), dan berusaha sekuat tenaga tidak tertinggal takbiratul ihram.

Telah dihuraikan dalam suatu hadis yang sahih, barang siapa yang melaksanakan solat 40 hari bersama imam dan sempat mendapat takbiratul ihram, ditulis baginya dua jaminan surat kebebasan, (iaitu) bebas daripada api neraka dan munafik.

Seandainya kita, ternyata termasuk orang-orang mufarrith, iaitu amalannya tidak banyak pada bulan puasa, maka setidaknya kita memelihara solat lima waktu dengan baik, dikerjakan secara berjemaah di masjid, serta berusaha sesegera mungkin berangkat ke masjid sebelum tiba waktunya. Sesungguhnya, menjaga amalan fardu pada bulan Ramadan merupakan ibadah dan taqarrub yang paling agung kepada Allah.

Tambah beliau lagi, sungguh sangat mengharukan, tatkala kita mendapati orang yang bersemangat melaksanakan solat tarawih, bahkan hampir-hampir tidak pernah tinggal, namun pada saat yang sama, ternyata dia tidak menjaga solat lima waktu dengan berjemaah. Terkadang lebih memilih tidur, sehingga melewatkan solat wajib, dengan dalih persiapan untuk solat terawih?! Demikian ini merupakan kebodohan dan pelecehan terhadap kewajipan!

Menurut Dr. Ibrahim, mendirikan solat lima waktu bersama imam lebih baik daripada mengerjakan solat terawih.

Bukan bererti kita memandang remeh terhadap solat terawih. Tetapi, seorang Muslim itu seharusnya menggabungkan kedua-duanya. Iaitu memberikan perhatian khusus terhadap hal-hal yang fardu (solat lima waktu) terlebih dahlu, baru kemudian melangkah menuju amalan sunat seperti solat terawih.

Mengejar jumlah ayat

Satu contoh lain yang ketara tergesa-gesa dalam beramal ialah ketika membaca al-Quran. Umat Islam berlumba-lumba membaca al-Quran dengan banyak pada bulan Ramadan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian ketika membaca al-Quran, ini kerana tuntutan membaca al-Quran bukan sekadar membaca sahaja, sebaliknya dibaca dengan tartil. Seperti kata Allah dalam al-Quran yang bermaksud: dan bacalah al-Quran itu dengan tartil. (Muzammil: 4).

Syaikh Soleh Fauzan al-Fauzan, seorang ulama besar semasa ketika ditanya tentang maksud tartil menjawab, “Membaca al-Quran dengan tartil tidak cepat dan tidak pula terlalu memanjangkan madnya, seperti yang dilakukan oleh orang-orang yang berlagak menjadi ulama dan yang mengaku pandai tajwid, ini bukan tajwid, ini bukan tajwid! Ini seperti menyanyi.”

Pendapat ini senada dengan apa yang disebutkan oleh Imam Nawawi rahimahullah, “Ulama sepakat makruh membaca al-Quran dengan cepat dan berlebih-lebihan. Mereka mengatakan membaca satu juz al-Quran dengan tartil lebih utama daripada membaca dua juz al-Quran dengan waktu yang sama tanpa tartil.”

Ini merupakan beberapa contoh kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh orang yang ghairah beramal. Namun sayangnya amal tanpa ilmu dan tanpa mengikut petunjuk Nabi akan menjadi sia-sia dan tidak mendapat pahala daripada Allah SWT.

Semoga Allah selalu memberi petunjuk, bimbingan, taufik dan hidayah kepada orang-orang yang ikhlas menuntut ilmu dan beramal kerana Allah SWT.

disiarkan oleh Utusan Malaysia dalam sisipan Mega 10 Ogos 2011.

Ihya Ramadan : Ar-Rayyan Untuk Orang Yang Berpuasa

Ogos 4, 2011

Allah tidak mensyariatkan puasa dengan tujuan yang sia-sia. Hasil kajian sains moden menunjukkan bahawa puasa memberi faedah yang banyak kepada kesihatan tubuh badan. Salah seorang dari sarjana moden yang membuat kajian tentang puasa ialah, Allan Cott, M.D. Beliau telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu memuatnya dalam sebuah buku Why Fast iaitu berbagai hikmah puasa.

Puasa adalah amalan universal. Bukan umat Nabi Muhammad sahaja disyariatkan berpuasa. Bahkan umat-umat Nabi terdahulu dengan tata cara yang berbeza. Begitu juga dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, adakalanya mereka menahan diri dari untuk makan dan minum apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu.

Pun begitu ia tidak bermakna darjat dan status puasa orang Islam setaraf dengan puasa-puasa yang lain. Puasa yang benar menurut perintah Allah dan aturan Nabi memiliki banyak keutamaan dan kelebihan.

1. Dalam sebuah hadis Nabi menjelaskanlimakelebihan bulan Ramadan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu,

“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”. (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

2. Sebagai dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi berkata lagi,

 “Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”. (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa’d.)

3. Allah juga menjanjikan pahala yang sangat banyak bahkan tanpa batas kepada orang-orang yang ikhlas dan menjaga kualiti puasa mereka. Sahabat Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi s.a.w bersabda bahawa Allah SWT berfirman,

“Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus.”

Dalam hadis Qudsi yang lain pula Allah berfirman,

“Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Hadis Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai daripada sahabat Abi Hurairah dan Abi Sa’id).

Hadis ini juga memberi isyarat bahawa puasa juga berfungsi sebagai sebagai terapi jiwa. Allah menjanjijan rasa gembira sebanyak dua kali kepada orang-orang yang berpuasa. Kali pertama ialah ketika berbuka puasa dan kali kedua ialah ketika bertemu dengan Allah.

4. Antara keutamaan puasa yang besar dan bermakna ialah, ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Ini seperti yang disampaikan oleh sahabat Abu Hurairah r.a dari Nabi,

”Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Imam Bukhari dan Muslim).

Dalam teks yang lain pula Nabi menyebut, “Solat limawaktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (Hadis Imam Muslim).

5. Puasa adalah perisai buat membenteng diri dari melakukan dosa dan api neraka. Nabi pernah berkata,

“Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”. (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Mendokong makna yang hamper senada dalam hadis yang lain Nabi menyebutkan,

“Sesiapa yang berpuasa sehari di jalah Allah, nescaya Allah akan jauhkan neraka Jahannam sejauh perjalanan 100 tahun.” (Hadis Imam Nasa’i disahihkah oleh Syaikh al-Albani).

Pernah suatu ketika seorang pemuda yang mahu menikah dating bertemu dengan Nabi. Dek kerana kekurangan upaya nafkah untuk menikah, maka Nabi menyuruh lelaki ini berpuasa buat mengekang nafsunya.

Ustaz Abdullah al-Qari Haji Salleh pernah menulis sebuah buku khsusus menghimpunkan kelebihan puasa sunat dan puasa secara umum. Buku beliau diberi judul Kelebihan dan Rahsia Puasa Sunat Menurut Sunnah Nabi s.a.w.

disiarkan dalam kolum Ihya Ramadan Utusan Malaysia 04 Ogos 2011, sisipan Mega.

dipetik juga oleh halaman.

  1. Pemuda UMNO Online.
  2. Gambarpelik.
  3. Lamiafamilia.
  4. Kata Lukman al-Hakim.

Ihya Ramadan : Selamat Datang Ramadan

Ogos 2, 2011

Mohd Riduan b Khairi

Ramadan adalah bulan penuh berkat yang dinanti-nanti oleh setiap orang Islam. Di dalamnya ibadah diberi ganjaran pahala berlipat-kali ganda. Di dalamnya juga ada malam yang diberi keutamaan melebihi 1000 bulan yang lain. Dan di dalamnya juga Al-Qur’an diturunkan. Berjumpa dengan bulan Ramadhan merupakan kenikmatan yang sangat besar. Ia ibarat bazaar yang menyediakan jualan dengan tawaran yang sangat menakjubkan.

Ibnu Rajab al-Hanbali berkata,”Barangsiapa yang pada bulan Ramadan ini tidak beruntung, maka bila lagi dia akan beruntung? Barangsiapa yang pada bulan suci ini tidak dapat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka sungguh dia sangat rugi.”

Maka tidak hairanlah mengapa orang-orang soleh terdahulu selalu mendambakan supaya dapat bertemu dengan bulan Ramadhan. Salah satu teladan dari ulama Salaf, mereka tekun berdoa dan memohon kepada Allah, agar dapat menjumpai bulan Ramadan.

Mu’alla bin Al Fadhl berkata, “Mereka (para salaf terdahulu) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan”. Ini merupakan salah satu cerminan berserah diri kepada Allah.

Bulan Kesabaran dan Bulan Al-Qur’an

Selain dikenali sebagai bulan puasa, Ramadan juga dikenal dengan beberapa nama lain sesuai dengan keutamaannya. Satu darinya ialah “bulan kesabaran” seperti yang dilaporkan dalam kitab Silsilah Hadis Sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (semoga Allah merahmatinya).

Imam Malik bin Anas, yang selalu dipanggil Imam Darul Hijrah pula berkata bahawa Ramadan ialah “bulan Al-Qur’an”. Al-Qur’an adalah kalam Allah diturunkan dari Luh Mahfudz ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar di bulan Ramadhan.

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 185)

Adab Menyambut Ramadan

Secara khusus tiada amalan atau ritual yang tertentu disyariatkan untuk menyambut bulan yang agung ini. Hanya sahaja sarjana dan intelektual Islam terdahulu menasihatkan beberapa panduan sebagai persedian menyambut bulan yang penuh berkat ini. Syaikh Dr. Ibrahim bin ‘Amir Ar Ruhaili dalam sebuah nasihatnya menyebutkan beberapa perkara darinya.

Pertama, beliau memetik Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah (semoga Allah merahmatinya) yang mengingatkan, dalam menyambut datangnya musim-musim ibadah, seorang hamba sangat memerlukan bimbingan, bantuan dan taufiq dari Allah. Caranya, ialah dengan bertawakkal kepada Allah.

Apapun ibadah yang dilakukan pada bulan ini perlu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan rahmat dari Allah. Jangan berpuasa untuk diet atau sihat, tidak juga solat terawih untuk bersosial dengan tetangga sekampung atau mengkhatam Al-Qur’an demi meraikan majlis khatam Al-Qur’an hujung Ramadan.

Kemudian, ketika melakukan ibadah, maka yang perlu diperhatikan seorang hamba ialah ikhlas dalam beramal dan ittiba’ (mengikuti petunjuk) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Puasa adalah ibadah khusus yang termasuk satu dari rukun Islam yang lima. Mengikut petunjuk Nabi dalam berpuasa termasuk tata cara berpuasa seperti Nabi. Baik cara bersahur, cara berbuka, menahan lapar-dahaga, menundukkan pandangan, menjaga lidah dan telinga dari hal yang di larang dan beberapa tata cara yang lain.

Selepas melaksanakan ibadah, yang harus dikerjakan ialah memperbanyak istighfar (meminta ampun) atas kesalahan dalam melaksanakan ibadah. Disamping itu, juga harus memperbanyak pujian kepada Allah yang telah memberikan taufiq.

Kedua : Sebelum Ramadan tiba, hal lain yang harus dilakukan seorang hamba ialah bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah Azza wa Jalla,

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Rabb kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai”. (At Tahrim : 8).

Mudah-mudahan beberapa wasiat dan nasihat dari ulama’ ini dapat menyiapkan kita untuk bertemu dengan Ramadan yang bakal menjelma.

(disiarkan dalam kolum Ihya Ramadan sisipan Mega akhbar Utusan Malaysia 2 Ogos 2011)

dipetik oleh laman

  1. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.
  2. Pemuda UMNO.
  3. Kedahlanie.
  4. Myadha.
  5. Adamayu.
  6. epondok.
  7. Umno Online.
  8. Anak Kampung.