Archive for the ‘Membebel’ Category

Bicara : Hanya kerana sebuah botol kicap!

September 20, 2008

Menara Berkembar Petronas dibina dalam masa enam tahun dari 1992 hingga 1998. Beberapa tahun yakni sebelum Menara 101 dari Taipi siap, Menara Berkembar Petronas adalah bangunan paling tinggi di dunia. Kini ia menjadi takhta Buruj Dubai dengan ketinggian 688 meter. Namun Menara Berkembar Petronas masih menjadi bangunan pejabat dan menara berkembar yang paling tinggi di dunia sehingga saat ini.

Terowong Smart yang dikira antara binaan manusia tercanggih pada hari ini siap dibina dalam tempoh lebih empat tahun (2003-2007).

Membina bangunan yang tinggi-tinggi, besar-besar, dalam-dalam, dan panjang-panjang bukanlah sesuatu yang mustahil.

Hatta mendaki gunung yang paling tinggi di bumi dan mengayuh sampah mengelilingi dunia pun sudah ada orang yang buat.

Namun membina bangunan yang tinggi-tinggi, besar-besar, dalam-dalam, dan panjang-panjang ataupun mendaki gunung yang paling tinggi di bumi dan mengayuh sampah mengelilingi dunia bukanlah tugas atau tanggungjawab semua masyarakat bumi.

Manusia hanya perlu menjalankan tanggungjawabnya yang sangat sedikit. Menjadi manusia yang hari ini menjadi lebih baik dari semalam. Tujuan asas mendidik manusia ialah supaya ia menjadi manusia yang baik. Yang membuang sampah hanya ke dalam tong sampah. Yang menghormati orang lain seadanya. Tidak susah

Pun begitu ternyata membina bangunan yang tinggi-tinggi, besar-besar, dalam-dalam, dan panjang-panjang itu jauh lebih mudah berbanding merubah seseorang manusia atau sesuatu kaum itu.

Hatta mengubah jenama botol kicap di dapur atau jenama serbuk pencuci pun sangat mencabar. Ia mengambil masa beberapa generasi untuk merubah sesuatu yang sudah menjadi darah dan daging kita. Tunggu sehingga tok wan kita mati, barulah usaha itu boleh direncana sedikit- demi sedikit. Hanya kerana sebuah botol kicap!

Apatah lagi amalan yang sudah menjadi pusaka tok dan nenek kita. Dah dok dan nenek kita buat dulu. Takkan ita tak buat kot!

Alahai bangsa manusia ku.

Seadanya…

Mac 11, 2008

Menerima manusia seadanya, senang diungkap, namun sukar ditangkap.

Sedapnya menghirup kopi kerana pahitnya. Secawan kecil espresso di kafe Dome ataupun Coffebean rasanya sungguh pahit dan kelat. Lagi pahit lagi sedap kata pengemar kopi. Kalau tidak pahit bukan kopi namanya. Maka terbukti tidak semua yang pahit itu tidak enak. Andai ada yang mengomel kopi tidak sedap, yang sebenarnya bukan kopi itu yang tidak sedap, sebaliknya seleranya berbeza. Kopi itu kopi itu juga. Hanya tanggapan dan selera itu saja tidak sama.

‘Kamu ingat Tuhan hendak menjaga tekak kamu sahaja?’, satu bait dialog dari drama bersiri Romeo n Juliet arahan Mohd Noor Kadir (Kuasatek Pitcures).

Ada orang tidak suka makan kambing kerana baunya. Jangan dipaksakan kambing itu berkubang setiap petang seperti kerbau atau badak air, kerana itu bukan sifatnya kambing. Ada orang suka makan kambing kerana baunya. Lagi ketara aroma ke’kambing’an itu menusuk hidung lagi sedap dan menyelerakan. (Amaran Kementerian Kesihatan : Memakan kambing membahayakan kesihatan penghidap darah tinggi!).

Itulah keadilan Tuhan Allah (yakni Tuhan yang sebenar untuk semua manusia dan semua makhluk di dunia ini). Meletakkan ‘sedap’ dan ‘enak’ itu bukan pada makanan, sebaliknya tekak. Tidak semua orang mampu memiliki makanan yang mahal-mahal (info : sekilo daging ostrich ialah RM 40.00, manakalan sekilo daging ayam hanya RM, 6.00) dan pelik-pelik (contoh : shark fin dan oyster). Tapi semua orang punya anak tekak masing-masing untuk merasa. Tidak semestinya makanan itu mahal, maka ianya sedap untuk semua orang. Ada orang hanya berlaukkan telur masin, seleranya (mak ai) dua pinggan tak cukup tambah. Ada orang lauk setalam penuh meja, namun yang dijamah hanya beberapa suap. Dan sesungguhnya Tuhan Allah itu Maha Adil.

Justru manusia itu terlebih sulit (lebih sulit dari fail sulit AF) dan kompleks sebanding kopi pahit yang panas, daging kambing, ataupun daging itik serati yang menyudu sisa makanan dilimbah.

Bahkan Tuhan Allah dengan serius dan jelas menyebut tentang manusia, bagaimana hidup dan urusannya di dalam manual hidup manusia itu sendiri (yakni Al-Qur’an). Memang pernah direkodkan dalam sejarah manusia berperang (dan bermusuh) kerana seekor kambing. Seekor kambing yang menceroboh kebun orang lain, dan digantungkan selipar di tengkoknya. Orang Arab sebelum datangnya Muhammad (selawat dan salam buat beliau dan ahli keluarganya) antara masyarakat yang gemar bermusuh. Hanya seekor unta sanggup berparang (istilah Melayunya, mungkin istilah Arabnya ‘berlembing’ ataupun ‘berpedang’) puluhan tahun. Itu sebelum lagi senjata menjadi bahan komoditi.

Namun intipati dari kisah kambing dan unta itu bukanlah ekor kambing dan bonggol unta itu sendiri. Yang menjadi pangkal isu ialah, bagaimana menanggapi. Unta dan kambing hanya menjadi simbolik. Ia berkait dengan hati.

Apabila kita berkenalan dengan seseorang, lebih-lebih lagi apabila kita berkenan dengan seseorang, maka lekas-lekas mencari kekurangan dan kelemahannya. Agar kita lekas marah dan lekas benci. Sementara ghairah itu masih ada agar mudah marah dan benci itu lekas luntur dan dimaafi. Dan yang lebih bermakna lagi ialah kekurangan dan kelemahan itu sedia diterima seadanya. Sementara kelemahan dan kekurangan itu diperbaiki, bukan (dan jangan) dibiarkan sahaja.

Perhubungan antara dua manusia menghendaki kita menerima yang satu lagi seadanya.

‘Bad thing can’t change overnight’, pepatah Inggeris yang pernah disebut mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad. Membaiki kenderaan tergantung rosaknya di mana. Sekadar mengepam tayar atau menukar minyak hitam, tidaklah memakan masa berjam. Namun jika yang mahu diperbaiki itu melibatkan ehwal enjin, gear ataupun klutch (lebih-lebih lagi kereta kancil, sebab perlu ‘turunkan’ enjin dahulu). Maka pembaikan itu menelan waktu dan tempoh.

Perang

Mac 4, 2008

Dunia aman tanpa perang. Tapi ada kalanya untuk aman kita perlu berperang. Bukankah kempen AS memerangi keganasan juga dengan peperangan?

Perang merupakan ‘pasaraya’ bagi industri senjata. Perang adalah syurga keuntungan bagi negara-negara pengeluar senjata. Jumlah dagangan industri senjata merupakan sektor paling besar industri dunia, kemudian diikuti industri dadah. Dua bencana besar ini amat sukar dibendung. Lebih-lebih lagi apabila ia menjadi bahan dagangan.

Membendung industri cetak rompak pun belum menemui penyelesaian tuntas, apatah lagi dadah dan senjata.

Justeru, bukanlah sesuatu yang pelik apabila setiap hari akan ada bom yang diletupkan dan akan ada senapang (atau pistol) meletus. Dan pada kebanyakan letusan itu, bukanlah berlaku di tengah lautan Pasific seperti mana yang dilakukan oleh Korea Utara ketika menguji nuklearnya. Kerana kebanyakan bom dan butir peluru itu menghendaki daging dan darah. Bukan pelanduk mahupun kijang, kerana haiwan itu di kebanyakan negara sudah diwartakan menjadi makhluk terlindung. Dan yang tidak terlindung tentu sahaja manusia.

Hakikat senjata merupakan industri yang sangat besar sukar dinafikan. Dakwaan bekas TPM kepada TPM yang sedia ada, akan komisen pembelian kelengkapan perang (kapal @ pesawat) pun mencecah usd 500 juta. Atau perlu saya tulis digit lengkap, USD 500, 000, 000. 00. Itu baru komisen! Lihat betapa industri senjata ini menjanjikan kemewahan dan kekayaan. Hanya saja syaratnya perang perlu diteruskan. Mereka ini hidup dengan melihat orang lain mati. Itu pendek katanya.

Maszlee Malik dalam blog nya (entri 28 Februari) menyebut akan kes rasuah Putera Bandar Arab Saudi yang menelan Pound Sterling 1 billion (1, 000, 000, 000. 00) dimasukkan ke dalam akaun Swissbank. Hanya saja kes ini dihentikan sisatan atas arahan Tony Blair. Jumlah ini dua kali ganda dari yang didakwa diperlolehi oleh TPM kita. Berkecur air liur.

Lihatlah betapa peperangan itu menggembirakan pengeluar-pengeluar senjata. Ada kalanya untuk aman kita perlu berperang. Sama juga untuk senang kita perlu bersusah-susah dahulu. Itulah namanya perjuangan.

Akhbar web Utusan petang ini melaporkan :

BOGOTA 3 Mac – Venezuela dan Ecuador telah menggerakkan tentera mereka ke sempadan Colombia serta menutup kedutaan masing-masing di Bogota tatkala ketegangan dengan negara jiran itu semakin meningkat.

Tindakan kedua-dua negara itu dibuat selepas Colombia melakukan lintas sempadan bagi membunuh seorang pemimpin tertinggi Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang berlindung di Ecuador.

Presiden Ecuador, Rafael Correa lewat semalam berkata, beliau sudah “memutuskan pengusiran segera” Duta Colombia di Ecuador, Carlos Holguin dan mengarahkan “penempatan tentera di sempadan utara” merujuk kepada sempadan Ecuador-Colombia itu.

Terdahulu Ecuador menyatakan, ia telah memanggil pulang dutanya ke Bogota dan memberi amaran bahawa tindakan Colombia itu bakal menyebabkan “akibat buruk.”

Correa turut membatalkan lawatannya ke Cuba bagi mengendalikan krisis yang tercetus di negaranya itu.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez semalam berkata, beliau turut menghantar tentera, kereta kebal, pesawat pejuang ke sempadan Colombia, langkah yang disifatkan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai “reaksi pelik” terhadap pencerobohan tentera Colombia.

“Menteri Pertahanan (Gustavo Rangel) menghantar 10 batalion sekali gus ke sempadan dengan Colombia.

“Unit-unit kereta kebal dan tentera udara turut bergerak,” kata Chavez dalam program televisyen dan radio mingguannya, Alo Presidente.

Tindakan Colombia menggempur pemberontak FARC di dalam wilayah Ecuador bagi membunuh Raul Reyes telah mencetuskan kemarahan Correa dan Chavez.

Correa pada awalnya menyambut dengan tenang mengenai pembunuhan pemimpin kanan FARC itu semasa dimaklumkan oleh Presiden Colombia, Alvaro Uribe yang mendakwa, ia tidak menceroboh kedaulatan Ecuador kerana ia merupakan “pertahanan sah.”

Bagaimanapun Presiden Ecuador itu marah apabila mendapat laporan bahawa serangan Colombia pada Sabtu lalu itu disasarkan ke atas kem pemberontak.

“Mayat-mayat mereka hanya memakai pakaian dalam dan pijama. Dalam erti kata lain, mereka dibom dan diserang semasa sedang tidur,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Uribe menuduh Correa menyokong perjuangan FARC dan dokumen yang diperoleh dari komputer milik Reyes menunjukkan “Correa mempunyai hubungan dan komitmen dengan FARC.”

Chavez berkata, Ecuador “boleh meminta pertolongan Venezuela untuk sebarang bantuan dalam sebarang situasi.”

“Kami tidak mahu perang tetapi kami tidak akan membenarkan Empayar (Amerika Syarikat) atau anjing setianya, Presiden Uribe menjadikan kita lemah,” kata Chavez

– AFP

Ada Orang Rasa…

Mac 4, 2008

Dia perlu menjadi polis dunia. Mengatur sana dan sini. Menyerang sana dan sini. Menentukan itu dan ini. Itulah Amerika. Dia rasa tanpa dia dunia akan kucar kacir, berantakan. Angkuh. Bongkak.

Ada orang rasa kalaulah dia tidak membangunkan negara kita ini, tentu saja negara kita ini akan mundur ke belakang. Mungkin sama seperti Myanmar, Zimbabwe dan Papua New Guine. Dan ia rasa tanpa dia negara kita takkan merdekalagi sampai hari ini. Atau tidak mewah dan maju seperti hari ini. Itulah parti pemerintah. Umno dan BN yang kebetulan memerintah lebih 50 tahun. Menang pilihan raya sudah sebelas kali. Kebetulan Umno dan Bn. Kalau. Kalau parti yang lain memerintah juga ada kebarangkalian (ada kebarangkalian) dogma nya begitu juga.

Ada orang rasa semua orang salah.

Semua orang salah melainkan tiada siapa-siapa. Hatta dia pun tidak semua betul. Dia menyalahkan semua orang. Dan menyalahkan diri sendiri. Orang ini tidak percaya kepada dunia yang aman, manusia yang jujur dan pilihanraya yang adil. Maka dia mengambil keputusan untuk tidak memilih dalam pilihanraya. Kerana padanya memilih atau tidak sama sahaja. Maka dia memilih untuk tidak memilih. Walaupun sebenarnya tidak memilih itu juga satu pilihan. Dalam pilihan raya kita diberi pilihan. Menyokong parti yang sedia ada memerintah, atau memilih parti yang lain, memilih parti pundak (parti undi rosak : bak kata Mat Jan dan sekutunya) atau memilih untuk tidak memilih. Itu semua adalah pilihan.

Dunia baginya tidak ada yang betul. Semua salah. Tidak ada yang baik, melainkan semua jahat belaka. Tidak ada pemimpin yang jujur melainkan yang khianat belaka. Tidak ada yang akan masok sorga melainkan dicelupkan ke dalam neraka dahulu. Tidak ada yang halal melainkan di dalamnya setitis makna haram di dalamnya.

Justeru tidak ada gunanya kita mencari yang betul kerana semuanya sudah jadi salah. Tidak ada faedahnya mencari pemimpin yang jujur kerana yang tinggal hanya korup belaka. Tidak perlu mencari yang halal, kerana semua sudah menjadi haram. Makan ayam sudah sama saja maknanya dengan makan babi.

Ada orang rasa semua orang betul.

Mana ada orang yang salah. Premisnya, mana ada manusia ang sempurna. Jadi terpulang kepada masing-masing. Pusing sana pusing sini terpulang pada masing-masing. Masing-masing boleh fikir, masing-masing boleh buat penilaian. Kalau ada orang buat salah, tidak mengapa. Biarkan. Esok lusa dia akan sedar sendiri. Nanti tua dia kan menyesal. Kelak dia akan minta maaf dan tebus kembali dosa dan kesalahannya. Kan tiada manusia yang sempurna. Justeru semua agama adalah sama. Tujuannya sama, cuma caranya berbeza.

Takkan Tok Sami Budha yang berpuasa saban hari dan tahun, pantang itu dan ini (lembu, kambing dan semua yang berdarah), takkan kot mereka tak masuk syurga. Kan semua agama sama. Kan. Kan. Kan.

Nak Islam pun boleh. Tak hendak Islam pun boleh. Sunni pun okey. Syiah pun okey. Premisnya semua betul. Nak baca qunut pun boleh, tak hendak baca qunut pun boleh. Tak hendak solat subuh pun okey sebab boleh qadak. Nak tahlil pun ikut suka kaulah. Tak hendak tahlil pun kami tak kisah. Sebab semuanya betul. Sebab semuanya akhir nanti masok sorga.

Dan kerana semua orang betul maka dia pun betul juga. Maka apa yang dicakapkannya tidak boleh salah. Kerana semua orang betul.

Ada orang rasa semuanya patut sama.

Sama maksudya rata. Rata macam padang bola yang tidak lopak. Atau yang lebih rata macam kort bandimton. Lelaki mesti sama dengan perempuan. Ada ‘beri’ dan ‘ambil’. Sekali perempuan di atas, sekali perempuan di bawah. Walaupun hakikatnya yang kena ‘fuck’ tetap perempuan. Tapi untuk sama rata kan. Kan. Kan. Kan. Perempuan nak bekerja. Lelaki perlu turun dapur. Lelaki kena jaga anak. Perempuan nak urus negara. Perempuan nak juga jadi imam masjid negara (macam Aminah Wadud). Perempuan nak juga jadi Presiden (macam Megawati dan Hillary Clinton). Lelaki sepatutnya perlu mengandung. Nak keluar tang mana tu boleh ikhtiar kemudian. Tapi lelaki kena rasa sembilan bulan yang derita itu juga.

Untuk lebih sama rata, suka olimpik tu jangan asing kategori lelaki perempuan. Lumba lari sama-sama. Renang sama-sama. Yang paling menarik raghbi pun sama-sama. Baru maju sukan untuk negara. Semua sama-sama. Tandas pun jangan diskriminasi. Jantan betina atau khunsa (atau khunsa tak jadi) pun sekali harung. Baru ekonomik. Jimat kos. Baru sama rata, lincin macam kort badminton.

Ada orang rasa kalau dia tak ada semua benda tak jadi. Kalau dia tak ada maka tiada siapa yang akan dapatkan tender kontrak. Kalau dia tak ada tentu kompeni lingkup. Kalau dia tak ada pasti kompeni tak maju. Kalau dia tak ada siapa nak masak. Kalau dia tiada siapa lagi yang mahu proses makanan. Pendek kata semuanya kerana dia. Tanpa dia semua perkara tak jadi.

Kalau tidak kerana dia yang bagi idea, maka tentu kesudahannya lain.

Ada orang rasa begitu. Ada orang terasa. Sebab saja aku taruh garam lebih dalam tulisan ini sebab hendak bagi orang rasa. Sebab aku terasa dengan tindakan-tindakan orang yang mati rasa. Bercakap sesedap mulut, bertindak sesedap hati.

Aku rasa. Aku rasa lah. Aku rasa korang tak tahu apa yang aku rasa.

Angan-angan Dan Cita-cita

Mac 2, 2008

Oleh : mr. Episode, sanggar seri

Keinginan untuk mendapatkan sesuatu atau paling tidak, berfikir tentang memperolehi sesuatu adalah angan-angan. Boleh dinamakan impian. Tidak salah juga kalau diterjemah sebagai hasrat. Namun kesemuanya adalah bertitik tolak dari keinginan.

Keinginan ini diransang kuat oleh nafsu yang dibekalkan dalam setiap diri anak Adam yang dilahirkan di dunia ini. Tidak ada manusia yang dilahirkan ke dunia tiada bernafsu. Yang ada ialah manusia yang dilahirkan berotak tetapi tidak berfikir. Oleh yang demikian itu tidaklah dapat disangkal lagi bahawa manusia punya keinginan. Atau lebih tepat setiap insan punya impian. Sebangsat-bangsat manusia biar otaknya bebal namun tetap punya impian.

Setiap hari sejak dari zaman tok adam manusia tidak pernah berhenti untuk menanam impian. Dan hari-hari yang berlalu sejak zaman Tok Adam dengan setiap hari manusia dilahirkan, bukan kepalang sedikit impian yang dilahirkan. Impian untuk hidup senang. Impian untuk makan makanan yang sedap. Impian untuk memakai pakaian yang cantik-cantik. Impian untuk hidup bahagia dan gembira. Dan impian terus bermimpi dan bermimpi. Biarlah hari tidak malam sekalipun.

Namun tidak setiap impian yang terlintas difikiran setiap manusia dengan tidak semena-mena menjadi nyata. Tidak semua orang pernah didatangi pari-pari yang akan menunaikan tiga impian dalam sekelip mata. Dan tidak semua orang sebertuah aladdin yang menjumpai lampu ajaib. Begitu juga tidak semua jin bernasib malang disumpah dikurung dalam lampu.

Hanya impian yang sungguh-sungguh dan disusuli dengan usaha untuk menunaikannya berpeluang untuk ditunaikan tercapai. Perihal impian yang disusuli dengan usaha inilah dinamakan cita-cita. Impian hanya sekadar impian dalam hati dan fikiran tanpa usaha dan tindakan. Jadilah seperti mat jenin yang hanya berangan-angan tanpa berusaha. Mat jenin tidak bersalah dan tidak wajar dipersendakan hanya kerana dia berangan-angan. Siapa kata angan-angan mejadi satu kesalahan? Mat jenin dipersendakan sepanjang zaman kerana angan-angannya tidak dijadikan cita-cita. Mat jenin diperkadukkan kerana angan-angannya tidak disusuli dengan usaha dan tindakan.

Berangan-anganlah biar setinggi langit lazuardi. Biar seluas lautan pasifik. Taburkanlah impian sebanyak taburan bintang dilangit gelap. Hanya kerana itu tidak akan menjadikan kita hina. Setiap cita-cita datangnya dari cetusan keinginan hati. Ia mungkin impian. Ia mungkin hasrat. Ia mungkin dalam bentuk angan-angan. Dan kemudian berusahalah. Bertindaklah untuk mengarahkan keinginan menjadi cita-cita. Soal berjaya atau tidak itu bukan urusan kita. Kerana tidak semua yang bercita-cita dan berusaha itu berjaya. Akan tetapi perlu diingat setiap insan yang berjaya itu bercita-cita dan berusaha.

Maka benarlah andai dikata : benar semua orang mempunyai impian akan tetapi tidak semua orang bercita-cita. Ramai orang gemar bermimpi, tetapi tidak ramai orang bercita-cita. Orang yang tidak bercita-cita adalah orang yang mati.

Teringat sepatah kata petikan filem braveheart. ‘semua orang mati, tetapi tidak semua orang benar-benar hidup’. Ada benarnya.