Archive for the ‘Politik’ Category

Pencerobohan Haram & Tindakan Kejam Pasukan Kiram

Mei 31, 2013

Oleh: MOHD RIDUAN KHAIRI

Gambar hiasan: Tuaran, Sabah. Ihsan R&R Capture 2013.

Gambar hiasan: Tuaran, Sabah. Ihsan R&R Capture 2013.

KALAU takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Demikian juga adat berjuang. Cedera, luka atau terkorban adalah sunnahnya orang yang berjuang. Bahkan ia adalah cita-cita dan impian tertinggi orang yang beriman untuk terkorban. Rasulullah SAW bersabda maksudnya “Barangsiapa yang meninggal dan belum berperang serta belum berniat untuk berperang, maka ia meninggal berada di atas cabang kemunafikan.” (riwayat Abu Daud)

Agama Islam mengatur urusan umatnya meliputi segenap hal. Dari ceruk dapur, dalam kelambu ke urusan pentadbiran negara hinggalah ke aturan di medan perang. Firman Allah SWT, “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-Baqarah: 190)

Adab dan aturan perang dijelaskan dalam banyak ayat Al-Quran. Demikian juga dalam kitab-kitab hadis. Kita akan temui sebuah bab khusus membicarakan tentang jihad dan peperangan. Bab Jihad ada dalam Sahih Al-Bukhari, Muwatta Imam Malik, Sunan Abu Dawud, Bulughul Maram Ibnu Hajar Al-Asqalani dan beberapa kitab hadis yang lain. Imam Muslim mencantumkan bab Jihad wa Siyar (Ekpedisi Ketenteraan). Manakala Imam al Bukhari mengkhususkan sebuah bab lain memuatkan kisah-kisah peperangan yang disertai Rasulullah SAW dalam bab ‘maghaazi’.

Ketika menerima berita beberapa aggota keselamatan gugur di Lahad Datu dan Semporna, tentunya kita bersedih. Namun atas iman kepada qada dan qadar Allah SWT yang menetapkan bahawa ajal mereka tertulis untuk mati di situ pada hari itu. Ini sudah dijelaskan oleh Allah SWT, “Katakanlah: “Sekiranya kamu berada di rumahmu, nescaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh.” Dan Allah (berbuat demikian) untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hatimu. Allah Maha Mengetahui isi hati.” (Surah Ali Imran: 154)

Namun yang membangkitkan kemarahan dan bertambah kebencian kita ialah cara mereka memperlakukan mangsa dan mayat aggota yang terkorban. Yang masih hidup diseksa bahkan yang telah mati dianiaya dengan perbuatan yang tidak dapat kita gambarkan. Sehingga tidak sanggup dituliskan.

Dalam sebuah hadis dikisahkan Rasulullah SAW,  jika mengangkat komandan tentera atau angkatan perang, Baginda memberikan wasiat khusus agar bertaqwa kepada Allah SWT dan berbuat baik kepada kaum muslimin yang menyertainya. Kemudian Baginda bersabda: “Berperanglah atas nama Allah, di jalan Allah, perangilah orang yang kufur kepada Allah. Berperanglah, jangan berkhianat, jangan mengingkari janji, jangan memotong anggota badan (mayat), jangan membunuh anak-anak.(Riwayat Muslim sebagaimana disebutkan dalam Bulughul Maram, Hadits No. 1295, Ibn Hajar al Asqalani)

Nampaknya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih dekat kepada sunnah Nabi SAW dan teladan para sahabat. Perang dan serang bukanlah pilihan pertama dalam ajaran Islam. Firman Allah SWT: “Sekiranya ada dua golongan dari orang-orang mukmin yang berperang maka hendaklah kamu damaikan di antara keduanya. Tetapi sekiranya salah satu dari keduanya bersikap melampau terhadap yang lain, maka perangilah golongan yang melampau itu sampai ia kembali kepada perintah Allah.” (Surah Al-Hujurat: 9)

Sebelum melancarkan serangan demi mempertahankan rakyat dan tanah air, beberapa tawaran rundingan dibuat kepada pihak penceroboh. Bahkan pihak keselamatan telah menggugurkan surat-surat tawaran dari udara menggunakan pesawat. Surat-surat ini ditulis dalam bahasa Sulu. Mungkin ada yang tidak perasan bahawa tindakan mengutus surat sebegini pernah dilakukan oleh kerajaan Nabi Sulaiman Alaihisalam sebelum menakluk Kota Saba. Baginda memerintahkan burung untuk menghantar surat sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al Qu’an, “Pergilah dengan membawa suratku ini, lalu jatuhkan kepada mereka. Kemudian berpalinglah dari mereka lalu perhatikan apa yang mereka lakukan. ” (Surah an-Namlu, ayat 28)

Sehinggalah akhirnya peluang, hemat dan diplomasi pihak keselamatan dimanipulasi sehingga ada yang dibunuh secara tragik. Sungguh tindakan penceroboh itu bacul dan tidak bermaruah. Untuk mengekang keganasan merebak sehingga ke orang awam, akhirnya tindakan tegas diambil dengan menggempur penceroboh dari udara dan darat setelah dikepung dari darat dan lautan.

Sehingga semalam lebih 50 orang telah berjaya ditumpaskan. Namun kita tidak mendapati mayat dan jenazah penceroboh itu diperlakukan sebagaimana mereka memperlakukan jenazah pihak keselamatan kita yang terkorban. Walaupun hakikatnya kelompok yang mengganas dan memberontak iaitu kelompok khawarij dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai iblis, anjing neraka dan seburuk-buruk makhluk yang terbunuh sebagaimana disebutkan dalam sabda Baginda: “Mereka adalah sejelek-jelek bangkai di bawah naungan langit, dan sebaik-baik orang yang terbunuh adalah orang yang dibunuh oleh mereka.”(Hadits hasan, diriwayatkan oleh Al-Ajurri dalam Asy-Syari’ah)

Tindakan mengaib dan menzalimi mayat pihak keselamatan oleh penceroboh mengingatkan kita kepada mangsa keganasan pemberontakan di Mesir, Iraq dan Libya. Juga kekejaman pihak Syiah ke atas Ahlus Sunnah di Syria dan Iran. Bahkan mungkin lebih kejam dari itu sebagaimana kejamnya ahli sihir bernama Mona Fendi suatu ketika dahulu. Juga Itulah adalah adat dan tradisi orang Jahiliyah, mundur dan tidak bertamadun.

Sejarah Keganasan Kelompok Sesat dalam Islam

Namun sisi sejarah Islam punyai versi dan edisi tersendiri. Sejarah perkembangan Islam merakamkan munculnya kelompok sesat yang bertindak ganas dan melampau terhadap sesama umat Islam. Kejadian pembunuhan secara kejam sudah dicatat sejak zaman Khalifah Uthman Affan RA. Bahkan beliau sendiri wafat akibat tindakan kejam dari kelompok pemberontak dan pelampau Islam.

Ibnu Asakir meriwayatkan bahawa Kinanah Bisyr memukul rusuk dan ubun-ubun Uthman dengan tiang besi sehingga beliau tersungkur di sebelahnya. Lalu Saudan Humran Al-Murady memberikan pukulan lagi dan beliau pun terbunuh. Adapun Amr Hamiq melompat ke dada Uthman dan pada saat itu beliau menghembuskan nafas yang terakhir lalu ia menikam sembilan kali tikaman sambil berkata berkata: “Ada pun tiga tikaman aku lakukan kerana Allah SWT. Dan enam tikaman aku lakukan kerana dendam yang ada di dadaku.”

Yang dibunuh secara kejam sedemikian rupa bukan sembarangan manusia. Itu Uthman Affan yang terkenal di kalangan para sahabat sebagai seorang yang lemah-lembut dan amat pemalu. Bahkan para malaikat dan Rasulullah SAW sendiri malu dengan Uthman Affan. Beliau termasuk sahabat yang Nabi SAW janjikan syurga, yang menginfakkan sejumlah harta yang sangat banyak kepada agama, yang menghabiskan seluruh hartanya untuk negara kaum Muslimin. Manusia sebaik ini diperlakukan sedemikian rupa. Justeru apa harapan yang tersisa kepada pemimpin umat Islam pada hari ini?

Justeru selayaknya golongan yang memberontak dan mengganas ini ketika di atas dunia dilabel sebagai seburuk-buruk makhluk yang terbunuh di bawah naungan langit. Manakala nasib mereka di akhirat dikhabarkan menjadi anjing-anjing dalam neraka. Dan sebaik-baik orang yang terbunuh ialah yang dibunuh oleh mereka.

Disiarkan

1. http://www.mysuara.net

2. http://www.ilmuanmalaysia.com

Advertisements

Pandemik Kafir-Mengkafir

Mei 29, 2013

Mohd Riduan b Khairi

Gambar hiasa: Pulau Maiga, Semporna. Foto: R&R Capture 2013

Gambar hiasa: Pulau Maiga, Semporna. Foto: R&R Capture 2013

Allah swt mengutus semua rasul demi mengajarkan Islam. Termasuk pokok penting ajaran itu ialah membezakan iman dan kufur. Rujukan dan sandaran untuk menentukan seseorang itu beriman atau kafir, tidak lain tidak bukan ialah dengan nas al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw. Hukum mengkafirkan seseorang merupakan hak Allah dan Rasul-Nya. Seseorang sehebat apapun dia, sebesar manapun gelarnya, tidak boleh berijtihad dengan akalnya atau menghukum dengan hawa nafsunya. Sebagaimana juga seseorang tidak boleh menentukan suatu amalan sebagai ketaatan dan kemaksiatan, atau halal dan haram tanpa dasar nas syari’at.

Syaikh Prof. Dr. Ibrahim bin Amir ar-Ruhaili, mahaguru akidah di Madinah menyusun sebuah kitab khusus membahaskan prinsip dan kaedah menjatuhkan hukum kafir berjudul Dhawabith fit-Takfir. 

Gejala kafir-mengkafir merupakan amalan bid’ah pertama dalam Islam. Ia muncul pada akhir masa khulafa ar-rasyidin. Ia ditandai dengan muculnya puak Khawarij yang melakukan pemberontakan terhadap Khalifah Ali bin Abi Thalib, setelah peristiwa tahkim dalam perang Siffin. Puak Khawarij menentang dan mengkafirkan Ali, Abu Musa al Asy’ari, Amru bin al ‘Ash dan orang yang menyetujui tahkim tersebut.

Ibn Kathir rhm menjelaskan dalam  al Bidayah wan-Nihayah, ketika Ali ra mengutus Abu Musa ra dan beberapa tenteranya ke daerah Daumatul Jandal. Tatkala itu puak Khawarij semakin mengganas, semakin kuat menentang Ali ra, dan secara jelas mengkafirkan Khalifah. Penentangan ini membawa kepada tindakan Ali memerangi mereka.

Perbuatan Ali ra ini merupakan realisasi perintah Rasulullah saw untuk memerangi mereka, sebagaimana dijelaskan dalam sabda beliau maksudnya, “Di mana sahaja kalian menemui mereka, maka bunuhlah mereka, kerana membunuh mereka adalah pahala pada hari Kiamat bagi yang membunuhnya.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pandemik kafir-mengkafir

Dari satu generasi ke generasi gejala ini menular ke dalam puak lain. Yang paling ketara mengkafirkan kaum Muslimin secara semberono ialah  Syi’ah Rafidhah yang diasaskan oleh lelaki Yahudi bernama Abdullah binSaba’. Mereka telah mengkafirkan generasi terbaik umat ini dan yakin bahawa semua sahabat Nabi saw telah murtad, kecuali beberapa orang sahaja.

Disebutkan dalam kitab yang mereka sanjung dan anggap paling sahih Ar-Raudhah minal-Kafi, Abu Ja’far berkata: “Seluruh manusia (Sahabat Nabi) murtad setelah Nabi wafat, kecuali tiga orang,” aku bertanya: “Siapakah tiga orang tersebut?” Ia menjawab: “Al Miqdad bin al Aswad, Abu Dzar al Ghifari dan Salman al Farisi.”

Demikian juga wabak berbahaya ini berjangkit ke dalam puak sesat yang lain seperti Qadariyah diasaskan oleh Ma’ba al-Juhany, Mu’tazilah dan kemudiannya Jahmiyah.Hal ini diungkapkan oleh Abdul-Qahir al Baghdadi: “Tidaklah ada satu puak-puak sesat yang menyelisihi (Islam), kecuali pada diri mereka terdapat sikap saling mengkafirkan di antara mereka dan saling berlepas diri, seperti halnya Khawarij, Rafidhah dan al Qadariyah.  Sehinggakan apabila berkumpul tujuh orang dari mereka dalam satu majlis, lalu berpisah dalam keadaan saling mengkafirkan di antara mereka.” (lihat: Al-Farqu Bainal Firaq)

Demikianlah gejala kafir-mengkafir tanpa dasar menular secara viral pada majoriti puak ahli bid’ah sejak dahulu sampai sekarang. Yang pada zaman kini pemikiran takfir seperti ini sudah berkembang di masyarakat dan di tengah-tengah kaum Muslimin. Sehingga akibat buruk dari pengkafiran ini telah dirasakan. Tidak seorang ketua negara umat Islam dikafirkan secara paksa, dan tidak sedikit masyarakat Islam dimurtadkan tanpa rela. Terkini dilaporkan Presiden Mesir Dr. Morsi dikafirkan (tentunya tuduhan ini batil) oleh seorang yang pernah dipenjarakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Demikian juga pandemik kafir-mengkafir pernah membarahi sebahagian individu yang ghairah kepada agama namun jahil terhadap dalil. Tidak sedikit talak terjatuhi dan tidak sebuah keluarga berhamburan akibat fatwa dan fitnah takfir ini. Munculnya masjid-masjid baharu tanda protes kepada imam lantikan majlis agama bahkan munculnya imam tak sah taraf dalam drama solat dua imam.

Setelah ditelusuri asal-muasal sirah-surih pemikiran takfir di zaman ini, rupa-rupanya ia bersambung sanad dengan seorang tokoh yang tidak sedikit pemuda mengkaguminya. Sehinggakan Dr Yusuf al-Qardhawi, salah seorang sarjana pembela Ikhwanul Muslimin terpaksa menerima hakikat takfir dalam pemikirannya. Tertulis, “Pada peringkat ini, muncul buku-buku Ustaz Syed Qutb yang merupakan kemuncak pemikirannya dan yang mengkafirkan masyarakat…dan menyatakan jihad menentang semua manusia.”(lihat: Aulawiyat al-Harakah al-Islamiyah, Bank Al Taqwa hal 110 Yusuf al-Qaradhawi))

Hal ini didukung dan dikuatkan lagi dengan kenyataan Ahmad Farid Abdul Khaliq, “Syed Qutub telah memperlekeh Nabi Musa as, mencela Khalifah Uthman ra, mencela sahabat Nabi, meninggalkan tauhid uluhiyah, berakidah Asy’ariyah dalam mentakwil sifat-sifat Allah, menyebarkan pemikiran kafir-mengkafir dan sebagainya.” 

Wabak ini jugalah yang meracuni pemikiran beberapa tokoh mutakhir seperti Abu Muhammad al-Maqdisy, Abu Qatadah al-Falestiniy dan Abu Basyir at-Turtusiy untuk mengkafirkan pemimpin dan umat Islam. Dan tidak keterlaluan fenomena  “Amanat Haji Hadi” bersambung sanad dengan Syed Qutb, kerana semua makruf beliau dilatih secara khusus dari kelompok yang sama. 

Refleks dari itu melahirkan dua kelompok ekstrim terhadap Syed Qutb. Satu pihak mencela secara berlebihan, bahkan sampai ada yang mengkafirkan beliau dengan gelar seperti ‘Imam Takfir’. Kita berlindung kepada Allah dari perkataan seperti ini. Golongan ini disebutkan sebagai Ahbash yang bermuara kepada pemikiran Abdullah al-Harari dari Lubnan.

Kelompok satu lagi pula membela habis-habisan Syed Qutb dengan memberikan bermacam-macam takwilan dan rukhsah terhadap perkataan yang digunakan oleh Syed Qutb. Mereka belajar dan mengajar ‘Ma’alim fit Tariq’ dan ‘Fi Zilal al-Qur’an’ tanpa sebarang nota kaki akan kesilapan yang berlaku di dalamnya. Kononnya Syed Qutb menulis dengan perasaannya, menulis dengan ungkapan-ungkapan sastera dan metafora.

Kalam dan pemikiran Syed Qutb ditelan bulat-bulat dan dipegang ibarat menggigit dengan geraham. Pantang sahaja sesiapa mengoreksi kesilapan Syed Qutb, maka terjelirlah lidah mereka membela. Orang yang tidak sehaluan dinista dan dicerca dengan gelar yang pelbagai seperti ‘Madkhalis’ dan ‘literalis’. Ini yang menimpa kepada Syaikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali hafidzahullah dan juga Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wad’ie rahimahullah apabila menulis secara khusus dan ilmiah akan kesalahan dalam kitab-kitab Syed Qutb.

Amat disayangkan lisan penista dan percerca ini terjulur lewat lidah segelintir individu di dalam negara kita. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa pihak yang melabel ini tidak ada hari dalam hidup mereka melainkan mereka hidup dengan namimah dan melaga-lagakan fatwa dan ulama’. Ini terlihat melalui laman-laman web dan blog yang mereka asaskan. Walhal para ulama’ terdahulu sering mengingatkan ‘kalam aqran yutra wa la yurwa’ maksudnya kalam orang yang tersaingi itu biarlah dilipat, usah diriwayat.

Ahlus Sunnah Menilai dengan Adil

Ditengah-tengah dua sikap ekstrim ini Ahlus Sunnah Wal Jamaah meletakkan pertimbangan yang adil dan wasatiyah. Melihat kepada pengaruh dan tersebarnya idea dan pemikiran Syed Qutb, maka para ulama Ahlus Sunnah bangkit menjelaskan letak duduk hakikat yang sebenar. Ia dilakukan dengan adil lagi ilmiah. Setiap perkataan yang dilihat bermasalah dinukil bersama rujukan, kemudian dibandingkan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah. Ia tidak dilakukan atas pemikiran peribadi atau hawa nafsu.

Namun para ulama tidak pernah mengkafirkan Syed Qutb bahkan Syaikh Dr. Rabi’ sendiri tidak pernah menyatakan demikian. Beliau memetik perkataan Syeikh Hammad al-Ansari, “Jika dia (Syed Qutb) masih hidup maka sewajarnya dia bertaubat, jika tidak bertaubat dia dikenakan hukuman mati kerana telah murtad. Oleh kerana dia telah meninggal maka perlu dijelaskan kepada umat bahawa perkataannya itu batil, namun kita tidak mengkafirkannya kerana kita belum menegakkan hujjah ke atasnya.” (Lihat: al-Awasim Mimma fi Kutubi Sayyid Qutub Minal Qawasim, Hlm. 24, Rabi’ bin Hadi)

Inilah keadilan dan kesaksamaan Ahlus Sunnah, baik kepada pihak kawan mahupun pihak lawan. Maka salahlah siapa yang mengkafirkan Syed Qutb dan juga salah orang yang membiarkan kesilapan itu tanpa dibaiki.

siaran akhbar 2013

Saudara Anak Semua Bangsa (tribute to Lahad Datu)

Mac 2, 2013

Saudara Anak Semua Bangsa

Mohd Riduan b Khairi, @riduankhairi

Ketua Biro Bite Pertubuhan Ilmuan Malaysia.

Copy of IMG_3342Benar dan sungguh bahawa semua manusia itu adalah satu umat sekiranya mereka beriman kepada Allah Yang Esa, ikhlas mentauhidkan-Nya dan tidak berbuat syirik dengan suatu apapun. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Para Nabi adalah saudara ‘sebapa’, ‘ibu’ mereka berbeda-beda, akan tetapi agama mereka satu, dan aku adalah orang yang paling berhak kepada Ibnu Maryam, karena tidak ada Nabi di antaraku dengannya, dan sesungguhnya dia akan turun… lalu Allah akan membinasakan al-Masih ad-Dajjal, dan suasana di muka bumi menjadi aman, sehingga singa dapat hidup bersama unta, harimau dengan lembu, serigala dengan kambing, demikian pula anak-anak kecil dapat bermain dengan ular tanpa membahayakan mereka.” (Musnad Ahmad)

Makna saudara sebapa, ibu berbeza-beza ialah sesungguhnya keimanan para Nabi adalah satu walaupun syari’at mereka berbeda-beda. (Lihat an-Nihaayah fii Ghariibil Hadiits (III/291), dan Tafsiir ath-Thabari (VI/460) ta’liq Mahmud Syakir, dan takhrij Ahmad Syakir)

Disebutkan dari sumber yang sahih, bahawa jumlah Rasul itu itu sekitar 313 orang, manakala lebih 124,000 nabi. Ajaran pokok mereka satu yakni mentauhidkan Allah, yang sedikit berbeda ialah syariat dan praktis harian.

Justeru kalam Allah paling tepat memerikan hal ini maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (surah al Hujurat, ayat 10)

Ini formula paling utuh dan ampuh kearah mewujudkan sebuah bumi sebagai kediaman yang aman, makmur dan sejahtera sebagaimana Allah telah memberi kemakmuran kepada beberapa zaman terdahulu. Siapa pernah terfikir seorang anak kecil tetap aman dan sejahtera walaupun di sisinya seekor ular berbisa. Mungkinkah kita tergambarkan limpahan susu dari perut kambing yang mampu mengenyangkan sekariah kampung atau butiran padi sebesar biji kurma seperti mana ditemukan di dalam gudang zaman khalifah Bani Umaiyah?

Dengan berdamainya dua saudara mahupun kelompok orang beriman yang takut kepada Allah, maka rahmat akan turun. Sebagaimana Allah telah menurunkan rahmat itu kepada umat terdahulu. Firman Allah maksudnya, “Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu.” (ad-Dukhan, ayat 5-6)

Syaitan Menyemarakkan Permusuhan

Nah! Ini merupakan perkara yang paling dihasadkan oleh syaitan laknatullah alaihi. Rencana dan agenda harian syaitan ialah menimbulkan perselisihan dan kalangan orang beriman. Kemudian memercikkan kebencian dan permusuhan.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan Rasulullah bersabda maksudnya, “Apabila Iblis memasuki waktu pagi di memanggil tenteranya dan berkata, “Barangsiapa yang hari ini dapat menyesatkan seorang Muslim, maka aku akan memakaikannya mahkota….Datang satu syaitan berkata, “Aku menggodanya sampai dia berzina.” Iblis menjawab, “Kamu adalah kamu.” Datang syaitan yang lain berkata,”Aku menggodanya sampai dia membunuh.” Iblis pun menjawab, “Kamu adalah kamu.” Lalu memakaikannya mahkota.” (riwayat Ibnu Hibban)

Dalam beberapa penjelasan yang lain dapat diketahui bahawa iblis dan bala tentera syaitannya tidak pernah akan pernah berhenti berusaha dan bekerja untuk menciptan permusuhan di antara orang beriman sehingga mereka saling berbunuhan. Ini dijelaskan oleh Rasulullah yang maksudnya “Sesungguhnya syaitan teah putus asa untuk disembah oleh orang yang melaksanakan solat dari penduduk Jazirah Arab, akan tetapi tetap berusaha untuk mengadakan permusuhan di antara mereka.” (riwayat Imam Muslim)

Ingatkah kita bagaimana syaitan merosakkan hubungan antara Nabi Yusuf  Alaihissalam dan adik-beradiknya? Allah Ta’ala berfirman mengenai perkataan Nabi Yusuf‘alaihissalam yang maksudya “Setelah syaitan merosakkan (hubungan) antara aku dan adik-beradikku” (surah Yusuf, ayat 100)

Sekalipun syaitan itu bergerak dalam arteri, vena, dan kapiler; namun tidaklah pula manusia mampu melihat makhluk bertanduk dua ini menerpa atau menjelma di depan kita. Satu hal yang harus disedari ialah syaitan itu bukan sahaja dari bangsa jin yang Allah ciptakan dari lidah api. Sebaliknya terdapat juga syaitan dari kalangan manusia yang setiap hari membisikkan kebencian dan permusuhan sesama manusia.

Firman Allah maksudnya, “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh, yaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).” (surah al-An’am, ayat 112)

Syaitan inilah yang saban malam mengetik keyboard menaipkan kata penuh amarah dan benci lalu disodorkan. Syaitan ini juga yang setiap hari menjelirkan lidah memuntahkan kata hasutan, merobek maruah insan dan meratah bangkai saudaranya dengan umpatan serta makian. Ironinya mereka membela kebebasan.

Terpelanting ke dalam kelompok syaitan itu ialah mereka yang terburu-buru menyebarkan berita dan perkembangan situasi di Kampung Tanduo, Lahad Datu. Lebih buruk lagi sebilangan pengguna internet sewenang-wenang membuat andaian dan hipotesis tidak berasas lalu disebarkan. Ia disambut dengan cercaan saling berbalas dari kedua belah pihak. Adakah tindakan ini dapat membantu untuk membaiki keadaan? Ia tidak lain hanya memburukkan lagi keadaan dan memberikan tekanan kepada pihak yang sedang berusaha mendamaikan dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

Firman Allah maksudnya, “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”(surah al-Isra’, ayat 53)

Al Hafidz Ibn Kathir Rahumahullah menjelaskan ayat ini menyatakan bahawa; Allah Subhanahu Wa Ta’ala memerintahkan hamba dan Rasul-Nya supaya menasihati hamba-hamba Allah yang beriman untuk mengucapkan kata-kata yang lebih baik dan sopan dalam perbicangan mereka. Kerana, jika tidak maka sesungguhnya syaitan itu akan menimbulkan perselisihan di antara mereka dan mendorong untuk melakukan tindakan anarkis dan pertikaian. Ia juga boleh membawa kepada kejahatan dan pergaduhan. (Lihat Tafsir al Qur’an al Azim oleh Ibnu Kathir)

Menangani situasi di Kampung Tanduo, Lahad Datu tidak semudah sangkaan pihak pembangkang. Adalah kurang cerdas dan tidak cerdik membandingkan isu ini dengan campur tangan seorang Senator dari Australia yang dihantar pulang. Isu Kg Tanduo membabitkan sejumlah tuntutan, melibatkan sebuah pasukan yang tidak kecil dan punya susur-galur sejarah yang panjang. Yang lebih penting ialah pihak penceroboh juga seagama dengan kita, yakni Islam.

Harta, Darah dan Kehormatan Muslim

Bukankan darah kaum Muslimin itu haram ditumpahkan. Lupakah bahawa maruah mereka haram dicemarkan. Abu Bakrah Radiyallahuanhu meriwayatkan sebuah hadis Nabi Nabi Sallallahu ‘alaihiwasalam maksudnya;

“Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban

Kemudian Baginda bertanya: Bulan apakah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain.

Baginda bertanya: Bukankah ia bulan Zulhijah? Kami menjawab: Benar. Baginda bertanya lagi: Negeri apakah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama yang lain.

Baginda bersabda: Bukankah ia negeri Baldah? kami menjawab: Benar.

Baginda bertanya: Hari apa kah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda diam saja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain.

Baginda s.a.w bersabda lagi: Tidakkah itu hari An-Nahr? (hari perayaan) Kami menjawab: Benar, wahai Rasulullah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya darahmu, harta bendamu (Kata Muhammad Aku menyangka baginda bersabda pula) dan kehormatanmu adalah haram ke atas dirimu, seperti haramnya harimu yang sekarang ini, di negerimu ini dan di bulanmu ini. Kamu akan bertemu dengan tuhanmu. Dia akan bertanya kepadamu mengenai semua amalan kamu. Maka selepasku nanti janganlah kamu kembali kepada kekufuran atau kesesatan, di mana kamu akan berkelahi antara satu sama lain.

Ingat, hendaklah orang yang hadir pada saat ini mesti menyampaikan kepada orang yang tidak ada pada waktu ini. Boleh jadi sebahagian dari mereka yang mendengar dari mulut orang kedua lebih dapat menjaga daripada orang yang mendengarnya secara langsung. Kemudian baginda bersabda: Ingat, bukankah aku telah menyampaikannya?” (riwayat Imam Muslim)

Sedangkan menumpahkan darah seorang kafir muahad itu mengakibatkan tidak dapat mencium bau syurga, masakan jiwa orang beriman lebih rendah dari itu? Dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam bersabda,

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيْحَهَا تُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ أَرْبَعِيْنَ عَامًا

“Siapa yang membunuh kafir Mu’ahad ia tak akan mencium bau surga & sesungguhnya bau surga itu tercium dari perjalanan empat puluh tahun”(riwayat al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah berpendapat bahwa kata Mu’ahad dlm hadits di atas mempunyai cakupan yang lebih luas. Beliau berkata, “Dan yang diinginkan dgn (Mu’ahad) adalah setiap yang mempunyai perjanjian dgn kaum muslimin, baik dgn akad jizyah, perjanjian dari penguasa, atau jaminan keamanan dari seorang muslim.” (lihat: Fathul Bari Syarah Sahih al Bukhari)

Islam Agama Kasih Sayang dan Penuh Rahmat

Di manakah hilangnya sifat toleransi, diplomasi dan kasih sayang yang Allah turunkan dalam rahmat-Nya kepada orang beriman. Justeru tindakan kerajaan Malaysia bersama pihak keselamatan mempertahankan diplomasi hingga saat akhir amat wajar diberikan pujian dan penghargaan. Ini tidak jauh dari maksud rahmat dan kasih sayang yang Allah berikan kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Abu Hurairah Radiyallahuanhu meriwayatkan, “Dikatakan, ‘Wahai Rasulullah! berdoalah kepada Allah untuk (kehancuran) orang-orang musyrik.’ Nabi menjawab, ‘Sesungguhnya aku tidak diutus sebagai orang yang melaknat, tetapi aku diutus sebagai pembawa kasih sayang.” (Sahih Adabul Mufrad Imam al Bukhari)

Sikap yang benar bagi orang beriman ialah berusaha mendamaikan dua saudaranya yang berseteru dan meredakan permusuhan antara dua pihak yang sedang bertelingkah. Firman Allah yang bermaksud, “Tidak ada gunanya pada kebanyakkan dari bisikan-bisikan mereka, melainkan sesiapa yang menyuruh memberi sedekah atau berbuat baik ataupun mengadakan perdamaian antara bangsa manusia.” (surah an-Nisa’, 114) 

Selain itu tidak ada suatu apa yang lebih layak dilakukan oleh orang beriman selain dari mengirimkan doa agar Allah melapangkan dada pihak yang berseteru untuk menerima perdamaian dan keamanan. Semoga Allah menjaga saudara-mara dan sahabat handai kita di Lahad Datu dan juga Filiphina. Amin.

Majlis Iftar iLMU 2012

Ogos 14, 2012

1. Kami dari iLMU mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir ke Majlis Iftar iLMU yang julung kali diadakan pada hari Ahad 12 Ogos 2012 bersamaan 24 Ramadhan.

2. Semestinya kami amat berterima kasih kepada tuan rumah yang amat bermurah hati menawarkan teratak istimewanya sebagai “hamparan” istimewa buat para tetamu iLMU khususnya Y.B. Dato’ Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri serta tetamu-tetamu yang lain. Moga Allah menjanjikan pahala yang berlipat ganda sempena bulan yang penuh barakah dan rahmah ini.

3. Kami di iLMU menghargai sokongan semua pihak secara langsung atau tidak langsung sepanjang penubuhan iLMU dalam medan dakwah dan arena politik. Semoga usaha iLMU untuk melakukan “islah” dan penambah baikan terhadap masyarakat di luar sana mendapat sokongan dari semua pihak.

4. Kami juga begitu mengharapkan nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat di luar sana agar kami boleh memperbaiki kelemahan dan kekurangan dari semasa ke semasa.

5. Akhir sekali, kami mewakili pihak tuan rumah memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan sepanjang majlis yang diadakan, moga Allah mengampuni kami dan meredhai usaha dalam merapatkan ukhuwwah ini.

6. Doakan kami agar terus istiqamah dalam dakwah yang penuh “fitnah” ini. Jazakumullah khairal jaza’.

Ahmad Fauzan Yahaya, COO iLMU

Video majlis: http://www.youtube.com/watch?v=i6Yygi4pHLg&feature=player_embedded

Balada Sarjana Hilang Karya (dedikasi untuk Pena Minang)

Mei 9, 2012

Mungkin ada yang bertanya, mengapa banyak buku karya Ibnu Qayyim yang hilang, demikian juga buku-buku karya gurunya, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah?

Jawabnya:

Ibnu Qayyim rahimahullah menghadapi permusuhan  yang sengit semasa hidupnya dan setelah wafatnya masih terdapat orang-orang yang tidak suka jika pandangan cemerlang Ibnu Qayyim tetap bertahan. Akibatnya buku-buku karyanya dan karya gurunya, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dikumpulkan dan dibakari oleh musuh-musuh dakwah kepada manhaj Salaf ini.

Salah seorang yang berperanan besar dalam pembakaran buku-buku tersebut adalah Amir Abdulqadir bin Muhyidin al-Husaini al-Jazairi (w. 1300H) ketika di Damaskus.

Di dalam “Muqaddimah al-Kalimut Tayyib), Syaikh al-Albani rahimahullah mencatatkan;

“Salah seorang amir yang tinggal di Damsyik pada abad lalu, seorang yang memiliki kekuasaan dan harta yang banyak, mengumpulkan buku-buku karya Syaikhul Islam dan anak muridnya, Ibnu Qayyim, lantas membakarnya. Jika ia tidak berjaya meyakinkan pemiliknya akan bahaya buku itu dan membakar buku tersebut, maka ia membelinya atau memintanya. Kadang-kadang, ia menggunakan cara lain untuk memusnahkannya, kerana pembelaannya terhadap mazhab hulul dan ittihad (wihdatul wujud). Pandangan ini telah diibongkar kepalsuannya oleh Ibnu Qayyim dengan hujah-hujah dari Allah yang sangat kuat.”

(lihat: Biografi Ibnu Qayyim dalam Iqhatsatul Lahfan min Masoidis Syaitan, edisi terjemahan terbitan al-Qowam, Solo, cet IV, Disember 2011). Klik ilmusunnah.com untuk beli.

dedikasi buat mereka yang hilang karya; sama ada dicuri, terbakar, atau dihack! penaminang.blogspot.com telah dihack sehingga tidka dapat diakses lagi. Blog ini memuat hujatan dan bongkaran demi bongkaran terhadap Syiah, khawarij, muktazilah dan musush-musih Islam lainnya.

Innalillahi ilaihi rojiun. Semoga Allah memberi ganti yang lebih baik.

Fatwa dan Mufti

Januari 25, 2012

Fatwa memiliki kedudukan yang agung, orang yang memberi fatwa mencurahkan fikiran untuk menjelaskan apa yang samar bagi umat tentang urusan agama mereka dan membimbing mereka ke jalan yang lurus. Oleh kerana itu, kedudukan ini tidak mampu disandang melainkan ahlinya.

Lantaran itu Ibnu Manzhur mendefinisikan bahawa fatwa ialah suatu kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti mengenai suatu hukum atau satu keputusan yang dikeluarkan oleh seorang yang faqih iaitu seorang yang berpengetahuan luas dan mendalam di dalam perundangan Islam. (Lisanul Arab)

Ramai ulama’ silam yang masyhur mengarang kitab yang membicarakan dengan panjang lebar mengenai fatwa dan kepentingannya dalam Islam. Ibnu Qayyim al-Jawziyah sendiri menulis I’lam al-Muwaqqi’in ‘An Rabb al-’Alamin sebanyak 4 jilid besar. Antara lain yang menulis subjek yang sama termasuk Imam Qarrafi al-Maliki ; Tamyiz al-Fatawa ‘An al-Ahkam Wa Tasarrufat al-Qadhi, Imam Jamaluddin al-Qasimi ; Fatawa Fil Islam, Ibnu Hamdan al-Hambali ; Sifat al-Fatwa Wa al-Mufti Wa al-Mustafti, Abu Khatib al-Baghdadi ; Al-Faqih Wa al-Mutafaqqih dan banyak lagi.

Dek kerana detil dan terperincinya sesebuat perkara itu difatwakan, adalah tidak adil bagi orang awam dan rakyat biasa untuk menolak dan mengabaikan fatwa itu tanpa sebarang argumen yang wajar. Terlebih lagi apabila fatwa itu dikeluarkan secara rasmi oleh individu atau organisasi yang diberikan otoriti oleh pemerintah.

Isu Wang Zakat dan Saman

Ini merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengenai isu penyalahgunaan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Pihak pembangkang seperti membakul-sampahkan fatwa ini. Terlebih lagi fatwa ini bukanlah dari akal dan pandangan peribadi Datuk mufti melainkan ia didasari dengan dalil dan dijelaskan oleh ulama’ yang terkemuka.

Oleh kerana suara ulama’ dan agamawan sudah mula dipinggirkan dalam Pas, maka elok juga kita ingatkan sebuah hadis dari sahabat Abu Said al-Khudri,

“Zakat itu tidak halal bagi orang kaya kecuali untuk lima golongan ; (1) amil, (2) seseorang yang membelinya dengan harta miliknya, (3) orang yang berhutang, (4) tentera yang berperang di jalan Allah, atau (5) seorang miskin yang menerimanya lalu menghadiahkan kepada orang kaya.” (Sahih Sunan Abu Dawud)

Imam Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani ketika mensyarahkan hadis ini berkata, “Termasuk mereka juga seseorang yang bekerja untuk kepentingan orang Islam, seperti bidang pengadilan, pemberian fatwa dan pengajaran, walaupun mereka termasuk orang kaya.” (Subulus Salam Syarah Bulughul Maram)

Urusan zakat bukan alang-alang penting dalam Islam kerana termasuk satu dari 5 rukun Islam. Ia termasuk ibadah khusus yang “tawqif” memiliki tatacara yang telahbaku, bermakna ia tidak boleh ditambahi dan dikurangi tanpa berasaskan dalil.

Sesungguhnya di antara kejahatan yang terbesar dalam agama adalah seseorang mengatakan tentang sesuatu bahawa ini halal padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu. Atau berkata tentang sesuatu bahawa ini haram padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu. Sesuai dengan firman Allah,

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebutkan oleh lidah secara dusta ini halal dan ini haram untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengadakan-adakah pembohongan terhadap Nama Allah tidak akan beruntung.” (Surah An-Nahl, ayat 116)

Bukan itu sahaja, Nabi sendiri dalam beberapa hadis mengancam seseorang itu mengeluarkan pendapat tentang Al-Qur’an sesuka hati berdasarkan akal dan nafsu semata-mata. Di dalam Musnad Abdun Hamid, Nabi diriwayatkan berkata,

“Barangsiapa berpendapat berdasarkan pendapatnya dalam masalah yang ada kaitannya dengan Al-Qur’an, maka tempatnya kembalinya adalah neraka.” (I’lamul Muwaqqi’in An Rabbil Alamin)

Begitu juga semulia-mulia dan seutama-utama manusia selepas Nabi Muhammad, sahabat dan mertuanya yang dicintai Abu Bakar As-Siddiq (semoga Allah redha kepadanya) mengatakan, “Langit mana yang akan menaungiku dan bumi mana yang akan membawaku, apabila aku berbicara tentang Kitab Allah tanpa ilmu.” (Jamii Bayaanil Ilmi wa Fadhlihi) 

Justeru kita merasa sangat hairan dengan sikap mereka yang mendakwa diri  berjuang untuk Islam dan mendaulatkan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun dalam pada masa yang sama, tindakan mereka bertentangan dengan apa yang mereka ucapkan. Al-Qur’an yang mereka baca tidak lebih dari sekadar bunyi-bunyi indah dari kerongkongan mereka sahaja. Manakala tindakan dan amalan mereka meluncur dan melencong tidak ubah seperti anak panah yang keluar dari busurnya. 

Sikap Pembangkang Terhadap Mufti dan Fatwa

Sikap meminggirkan fatwa bukan sekali ini sahaja berlaku, bahkan sudah berlarutan dan menjadi tabiat yang sukar dikikis.

Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah menceritakan bahawa pihak pembangkang banyak kali tidak menerima fatwa yang dikeluarkan. Ini beliau ceritakan dalam sebuah wacana beberapa bulan yang lalu. Kenyataan beliau itu terbukti serta-merta apabila disambut cercaan “boo” dari majoriti penyokong pembangkang yang hadir. Sudahlah pemimpinnya angkuh menolak fatwa, ahli dan penyokongnya pula tidak berakhlak pada mufti dan orang yang lebih tua. Ibarat kata, “guru kecing berdiri, anak murid berak melompat”.

Bukankah dahulu mereka juga yang melaungkan kalam Allah,

“Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”. (Surah Al-Baqarah, ayat 85)

Hari ini sepertinya ada yang lupa bahawa di dalam kalam Allah juga memesankan supaya taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan ulil amri. Dan para ulama menjelaskan salah satu dari tafsiran ulil amri ialah ulama’. Dan ulama’ telah berfatwa sesuai dengan ayat Allah, sesuai dengan hadis Nabi dan tafsirannya benar mengikut pandangan ulama yang muktabar.

Benarlah apa yang dijelaskan oleh pengarang kitab Dar’ut Ta’arudh An-Naqli Wal Aqli,

“Setiap kali ahli batil berhujjah dengan dalil dari Al-Kitab mahupun As-Sunnah yang sahih untuk membela kebatilan mereka, maka dalil yang mereka gunakan tersebut akan berbalik menyerang mereka.”

Begitulah manusia dan resam dunia. Ia bergulung laksana ombak. Seringkali juga kita melupakan apa yang telah kita perkatakan kepada orang lain. Dan akhirnya akibat kelupaan dan keseronokan kita menunding jari akan kesalahan kepada orang lain, ternyata empat jari yang lainnya berbalik menunding kita.

Kita akhiri dengan merenungkan perkataan Imam Ibnu Qayyim tentang manusia,

“Manusia itu ada empat macam ; yang terbaik di antara mereka adalah yang diberi ilmu dan sikap santun, yang terburuk di antara mereka adalah yang tidak memiliki ilmu dan tidak memiliki sikap santu, …. Maka, sikap santun adalah hiasan ilmu sekaligus menjadi kecantikannya. Lawan dari sikap ini adalah kurang akal, tergesa-gesa, dan tidak memiliki kemantapan.”

Semoga kita semua termasuk dalam golongan manusia yang terbaik itu.

disiarkan dalam Utusan Malaysia Isnin 23 Januari 2012, halaman 9.

dipetik juga oleh : Luahan Hati Melayu

Perlaksanaan Hudud oleh Syaikh Soleh Fauzan al-Fauzan

Oktober 11, 2011

Ada jamaah yang berdakwah kepada perbaikan hukum, politik dan meminta penegakan hukum had dan penerapan syariat Islam dalam menghukumi manusia. Ini memang masalah penting, tetapi bukan yang terpenting. Kerana bagaimana bisa dituntut penerapan hukum Allah terhadap seorang pencuri dan penzina sebelum diterapkan hukum Allah terhadap orang musyrik?

Bagaimana mungkin akan dituntut penerapan hukum Allah di antara dua orang yang berselisih dalam masalah kambing dan untan, sebelu diterapkan hukum Allah terhadap para penyembah berhala dan kuburan? Juga penerapan hukum Allah terhadap orang-orang yang menyimpaang dalam memahami nama Allah dan sifat-Nya, sehingga menolak makna yang ditunjukkan oleh dalil serta mengubah kalimatnya? Apakah mereka itu lebih berdosa ataukah orang-orang yang berbuat zina, minum arak dan mencuri? Sesungguhnya dosa-dosa ini merupakan perbuatan jelek terhadap para hamba.  Sedangkan syirik, meniadakan nama dan sifat Allah adalah perbuatan jelek terhadap al-Khaliq (Allah). Padahal hak Al-Khaliq haruslah didahulukan daripada hak-hak makhluk.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah dalam kitabnya Al-Istiqamah (1/466) berkata ; “Dosa-dosa seperti ini bila disertai tauhid yang benar, lebih baik daripada kerusakan tauhid yang disertai dosa-dosa seperti ini.”

Demikianlah, ada pula jamaah lain yang menisbatkan diri kepada dakwah, namun berjalan di atas manhaj lain yang menyelisihi manhaj para rasul. Jamaah ini tidak memandang urgensi aqidah, namun hanya mementingkan sisi ritual ibadah dan membiasakan zikir-zikir di atas manhaj Sufi. Mereka mengutamakan ‘khuruj’ (keluar berdakwah dalam jangka waktu tertentu) dan siyahah (pengembaraan). Yang mereka pentingkan adalah mengumpulkan manusia bersama mereka, tanpa memperhatikan aqidah mereka.

Syaikh Dr Soleh Fauzan al-Fauzan, Kata Pengantar Kitab ‘Manhajul Anbiya fid Dakwah ilallah fihil Hikmah wal Aql’ oleh Syaik Prof. Dr. Rabi’ bin Hadi al-Madkhali. Diterjemah oleh Muhtadin Abrari dengan judul Cara Para Nabi Berdakwah, Pustaka Sumayyah.

Nota : Syaikh Dr Soleh Fauzan al-Fauzan merupakan anggota Haiah Kibaril Ulama’, Komite Fiqh Rabitah Alam Islamiy di Mekah serta anggota Komite Pengawas Duat Haji sekaligus mengetuai Lajnah Daimah lil Buhuts wal Ifta’. Baca lagi di sini.