Posts Tagged ‘mansor puteh’

Satu Juta Penonton Filem Malaysia (bahagian akhir)

Mac 31, 2008

Ku Seman Ku Hussein : Media Mengeksploitasi Filem Filem Mengeksploitasi Media

Media hanya melaporkan secara jujur, bukan mempromosi. Bahkan laporan media tidak pernah mempengaruhi jumlah kutipan filem di panggung. Kerana selama ini media menceritakan yang baik-baik tentang filem Melayu namun ia tidak pernah membantu. Penonton tidak mudah dipengaruhi oleh media arus perdana pasca pilihanraya 12.

Ku Seman dikenali dengan istilah filem sampah. Tetapi Menurut Hassan Mutalib, itu lebih baik dari istilah Mansor Puteh , ‘filem jamban’. Saya kata ada benarnya, selepas keluar panggung ia terus di’flush’ dan hilang tanpa diingat atau dibicarakan.

A Wahab Hamzah : Senario Filem Luar Negara

Thailand. Filem sejarah Thai, King Narratiwat menjadi box-office. Sebelum ini kebangkitan filem Thailand bermula dengan filem seram Nang-Nak, mendapat sambutan penonton dan pujian pengkritik.

Justeru apabila filem sejarah (seperti Embun, Paloh dan Hati Malaya) tidak punya nilai komersial ternyata ia silap. Bukan silap genre kerana tidak sedikit juga filem sejarah yang berjaya. Filem-filem Thailand banyak yang mengangkat tema sejarah dan banyak juga yang berjaya menarik penonton ke panggung.

Inilah namanya kreativiti. Saya teringat Fathi Aris Omar ketika memberi definisi kreatif ; membuat suatu idea biasa menjadi popular.

Indonesia. Suatu masa dahulu Indonesia gah dengan filem-filem yang berkualiti. Kemudian datang era gerhana melahirkan begitu banyak filem semi-porno dan seram. Cetusan baru bermula dengan meletupnya Ada Apa Dengan Cinta. Ketika ini pawagan Indonesia dikuasai filem adaptasi novel terlaris Ayat-ayat Cinta. Dikhabarkan lebih 2.9 juta sudah menontonnya.

Ketika ini juga satu lagi novel terlaris Laskar Pelangi (Andrea Hirata) sedang difilemkan. Juga antologi entri blog Raditya Dika, Kambingjantan.

Saya mencadangkan industri filem dan industri buku mesti dikahwinkan secara sah dengan segera. Bukan tidak ada filem yang diadaptasi menjadi filem (Langit Petang A Samad Said, terbaru Jibam Ujang), dan bukan tidak ada filem-filem yang pernah dijadikan novel (dahulu banyak sekali filem Yusof Haslam dijadikan novel, dan sekarang langkah itu diikuti oleh KRU Production, wajar dipuji). Namun apa yang dimaksudkan ialah jalinan kerjasama industri keseluruhannya. Lebih-lebih lagi kelihatan segelintir penggiat filem yang aktif seperti kekeringan idea untuk membikin cerita yang berkualiti. Balik-balik cerita cinta tidak kesampaian, kisah korporat palsu diulang-ulang dengan kostum berbeza.

Singapura. Agak mengejutkan Singapura yang populasinya seperti Kuala Lumpur mampu mencatat kutipan filem yang membanggakan. Pada tahun 1998 filem Money Not Enough memperoleh kutipan RM 14 juta. Tahun lepas pula dua buah filem Just Follow Law dan 881, masing-masing mencatat kutipan lebih kurang RM 6 juta. Pun begitu ia masih relatif kepada harga tiket, taraf hidup dan taraf pendidikan. Faktor-faktor ini sangat penting untuk dinilai.

Apapun angka itu masih membanggakan dan mengejutkan untuk populasi kurang dari 5 juta. Tanpa pergi jauh Sivaji di Malaysia juga mencatat box-office RM 6 juta. Sungguh-sungguh karyawan Malaysia perlu bermuhasabah diri.

Tan Sri Jins Shamsuddin

Filem Melayu pernah menarik satu juta penonton ke pawagam. Namun beliau tak sebut judulnya. Hanya menyebut dengan purata harga tiket RM3, filem Melayu pernah mencatat box-office hampir dua juta ringgit. Tidak silap saya, Datuk Aziz Sattar pernah keluarkan kenyataan filem arahnnya dulu pernah mencatat kutipan hampir RM j2 juta ringgit.

Ya, tidak syak lagi filem Melayu pernah menarik satu juta penonton ke pawagam.

Ikatkata

Bolehkah penggiat-penggiat filem berhenti menyalahkan penonton kerana tidak menonton filem Malaysia.

Filem Malaysia tidak ditonton? Silap penonton atau silap pembikin filem? Atau panggung tidak mencukupi (seperti kata Norman)? Saya akan cuba kupas kemudian.

Secara kasar, saya setuju dengan kenyataan Uwei (yang mahukan setiap filemnya ditonton) ; filem yang baik mesti ditonton.

Seminar Ke Arah Sejuta Penonton Filem Malaysia ; Menjana Masa Depan Industri Perfileman Malaysia
29 Mac 2008
Balai Seni Lukis Negara
Anjuran : Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, UiTM

Satu Juta Penonton Filem Malaysia (bahagian satu)

Mac 31, 2008

Norman Abdul Halim, Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM)

1. 77 panggung dengan 79,363 kerusi.

2. Saiz pasaran RM 330 juta setahun.

3. 65 % penonton filem Hollywood, 15 % filem Cina, 10 % filem Melayu, 10 % filem asing.

4. Kawasan yang tidak punya panggung : Labuan, Perlis, Terengganu dan Kelantan. (Kelantan dan Terengganu pernah menyumbang kutipan RM 1 juta untuk filem Sembilu).

Menurut Norman lagi pecahan ini ada kaitan rapat dengan krisis identiti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. Berbanding Indonesia dan Thailand, rakyatnya sangat mementingkan bahasa ibunda berbanding, hinggakan terdapat filem luar yang terpaksa dialihbahasa ke dalam bahasa sendiri. Saya kata ini mesti rujuk dasar pendidikan negara yang sangat mengagungkan bahasa luar dan meminggirkan bahasa ibunda.

Norman banyak bercakap tentang fasiliti, bajet dan isu-isu teknikal.

Dr Anuar Nor Arai : Filem Besar Memerlukan Kanvas yang Besar

Kenyataan Norman yang sungguh-sungguh mahukan fasiliti dan bajet ditinggatkan nampaknya tidak dipersetujui oleh Dr Anuar Nor Arai (Johny Bikin Filem arahannya tidak pernah ditayangkan). Dr Anuar menyifatkan ia sebagai ‘meletakkan pedati sebelum kuda’.

Isu utama yang perlu diberi perhatian dalam membikin filem adalah kandungan filem itu sendiri. Adakah ia mengangkat tema dan persoalan yang besar. Beliau membahagikan filem kepada komersial dan paralel.

Uwei Hj Shaari : Filem dan Anugerah Antarabangsa

‘Saya pelacur tua yang dah letih, tiba-tiba mucul perempuan sundal baru masuk kampung iaitu digital.’

Uwei kata anugerah tidak mempengaruhi kutipan tiket. Tapi Hassan Mutalib membantah. Katanya filem Adik Manja contohnya hampir gagal di pawagam, namun bangkit selepas mendapat anugerah. Ini mungkin kes terpencil.

Saya tonton filem berdasarkan anugerah dan ulasan pengkritik. Mungkin saja kelompok komuniti seperti saya sangat minoriti. (Tidak mungkin mampu membentuk kerajaan, walau dengan majoriti mudah!).

Menurut Uwei, filem terbahagi kepada dua jenis. Satu filem mimpi dan satu lagi filem realiti. Filem mimpi ialah filem yang usai ditonton dan ianya tidak akan dibicarakan. Laksana mimpi, selepas bangun dari tidur ia terus dilupakan.

Filem realiti pula bercerita, usai bercerita ia seolah-olah bertanya, ‘Ini kisah aku, kamu bagaimana pula?’. Filem realiti mengajak penonton merenung. Ia seolah-olah menginginkan penonton terlibat sama dalam babak-babak seterusnya.

Tambah beliau lagi, wacana tentang filem sangat kurang di Malaysia. Yang banyak hanyalah laporan dan ulasan. Sedangkan pada beliau kritikan filem adalah sangat perlu untuk melahirkan filem yang berkualiti. Menurutnya lagi, pujian dan kritikan adalah sama merdu untuk didengar.

Seminar Ke Arah Sejuta Penonton Filem Malaysia ; Menjana Masa Depan Industri Perfileman Malaysia
29 Mac 2008
Balai Seni Lukis Negara
Anjuran : Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, UiTM