Posts Tagged ‘maszlee malek’

Astaka Minda : Penulis dan Blog ; Trend Masa Kini

Mac 23, 2008

Pengerusi : Encik Shamsuddin Osman
Panel 1 : Puan Nisah Harun annyss.blogspot.com
Panel 2 : Sdr. Jiwa Rasa jiwarasa.blogspot.com

Kata Tok Rimau, dalam satu pertemuan Malam Baca Puisi Sindiket Soljah, katanya ‘Tali yang baik ialah tali yang panjang. Ucapan yang baik ialah ucapan yang pendek’. Tok Rimau sebenarnya memetik pepatah. Tapi entah dari mana saya kurang cerap.

Jiwarasa 

Mem’blog’ adalah trend masa kini. Berdasarkan statistik yang dikemukakan oleh Jiwarasa, 13 juta rakyat Malaysia mempunyai akses internet pada tahun 2007. 13 juta adalah separuh dari jumlah penduduk Malaysia. Terlalu banyak maklumat yang ingin disumbat oleh Jiwarasa dalam pembentangan satu jam itu. Terasa padat. Ucapan Jiwarasa tersa panjang. Namun sangat informatif.

Sebelumya, saya sudah pun berkenalan dengan Jiwarasa dalam satu majlis berasingan. Suara Kata-3, Cuma saja saya belum sempat mencatat perkara-pekara yang berlaku. Namun dalam Astaka Minda, yang khalayaknya agak besar (cukup besar bagi sebuah program anjura DBP, dewan separuh penuh! Ajaib) tidak sempat saya bersapa mesra, lebih-lebih Jiwarasa adalah orang yang diraikan pada hari itu.

Jiwarasa bercerita tentang pengalaman ‘berbuku’, mengembara mendapatkan buku, berkongsi pendapa tentang sesebuah buku dan penulis, dan banyak cerita menarik terutama pengalaman ber’blog’.

Nisah Harun.

Seorang dari latar belakang undang-undang. Dan kini terjun sepenuh masa ke dalam dunia penulisan. Sikit-sikit perniagaan buku melalui ujanailmu.com. Nisah Harun lebih dikenali sebagai penulis konvensional yang professional berbanding blogger.

Pembentangan Nisah mengujakan saya. Mungkin pengalaman beliau sebagai penceramah radio dan latar belakang undang-undangnya banyak membantu. Pemilihan diksi beliau buat saya termangu. Mutakhir ini, agak sukar untuk saya menemui penceramah yang dapat mengawal perkataan denga baik. (Atau saya yang kurang mengikuti aktiviti sastera?). Kawalan perkataan yang sangat cemerlang. Lidahnya selancar mata penanya menari.

Mungkin lantaran itu, saya akan mula menyelak karya-karya Nisah yang sebelum ini saya abaikan. Antara pengarang besar yang paling banyak bukunya saya miliki ialah Arena Wati, dan tiada satu pun naskah Pak Arena saya selesai baca. Belum menerima petunjuk agaknya. Ia terjadi kepada banyak penulis yang lain juga. Contohnya, penulis agama terkenal, Ustaz Maszlee Malek. Setelah beberapa tahun menyelak majalah dan akhbar yang terpapar tulisan beliau, hanya beberapa minggu belakangan ini sahaja hati saya terbuka untuk membaca tulisan beliau. Yang rugi ialah saya yang tidak membaca.

Apapun kedua-dua penulis blog ; Jiwarasa dan Nisah Harun telah melaksanakan sebahagian dari tanggungjawab mereka untuk menyampaikan ilm pengetahuan mengikut kemampuan yang mereka miliki. Walau satu ayat, ianya mendapat jaminan ganjaran dari Allah. Syaratnya ikhlas dan patuh kepada petunjuk baginda nabi Muhammad (selawat dan salam buat Rasul Junjungan).