Posts Tagged ‘salafi’

Belajar Yang Salah Untuk Tahu Yang Betul

Januari 10, 2011

Buku-buku Berkaitan Syiah

Ada orang berpendapat dakwah perlu menceritakan perkara yang baik-baik sahaja. Ajak orang solat, ajak orang senyum, ajak orang sedekah dan kempen perkara-perkara baik yang lain. Pokoknya kempen yang baik-baik sahaja.

Dan keyakinan ini juga menyatakan menceritakan perkara yang salah dan buruk akan membuatkan manusia lari dari dakwah. Ini berlaku bukan sahaja pada individu Muslim, sebaliknya turut menjangkiti kelompok-kelompok kaum Muslimin. Sedangkan mereka menyandarkan kelompok mereka kepada Islam dan dakwah.

Dilaporkan seorang tokoh dari sebuah kelompok dikenakan tindakan bahkan dipecat kerana melakukan ‘nahi mungkar’ (mencegah kemungkaran). Ini kerana kelompok tersebut hanya menyeru kepada perkara yang makruf sahaja dan semata-mata.

Kesalahan begini berlaku juga dalam metod pendidikan. Ada orang yang mengaku pakar pendidikan atau pakar psikologi mendakwa bahawa anak-anak tidak boleh dilarang-larang. Kerana, menurut mereka semakin ‘semakin dilarang, semakin dibuat’. Ini merupakan satu jarum halus untuk meruntuhkan sistem pendidikan yang diajar dalam Al-Qur’an dan ditunjukkan oleh Nabi melalui sunnahnya. Di dalam bukunya (terjemahan) Mendakwahi Anak (Dasar dan Tahapannya), Dr Fadhl Ilahi menyenaraikan metod pendidikan yang diajarkan oleh Nabi. Beliau bukan sahaja membawakan contoh-contoh perintah yang diberikan oleh Nabi kepada anak-anak, bahkan beliau juga membawakan banyak contoh larangan dan cegahan Nabi kepada anak-anak kecil yang berada disampingnya.

Prinsip menyatakan yang betul sahaja, jelas bertentangan dengan perintah Allah untuk ‘seru yang baik, cegah yang mungkar’.

Amar Makruf Nahi Mungkar Dalam Akidah

Dalam akidah umat Islam umumnya banyak diajar dengan perkara-perkara yang betul sahaja. Seperti rukun iman 6 perkara, rukun Islam 5 perkara dan rincian-rinciannya (walaupun rincian dan perbahasannya masih banyak boleh dibaiki).

Manakala yang salah dalam akidah tidak diajarkan. Sebagai contoh mudah ada puak yang mengaku Islam mendakwa rukun iman mereka berbeza dengan rukun iman yang diajarkan oleh Jibril (salam keatasnya) kepada Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau). Orang-orang Syiah memasukkan ‘taqiyah’ (berpura-pura) dan ‘imam dua belas sebahagian dari perkara imam yang wajib dipercayai.

Kesan dari mengajarkan hanya perkara yang betul maka kita lihat muncul dan berkembangnya perkara-perkara salah dalam agama. Dalam akidah perkara salah ialah firqah-firqah sesat dalam Islam. Justeru, tidak hairan di kalangan orang-orang yang ditangkap dan terdakwa menganut ajaran sesat, ada di kalangan mereka punya latar belakang agama (pendidikan formal) yang tidak kalah tinggi. Bahkan ada yang menyandang gelar pensyarah, doktoral dan professor.

Sebagai contoh yang paling hampir dengan kita ialah kes penangkapan lebih 200 penganut ajaran Syiah di Gombak baru-baru ini. Yang ditahan bukan sembarangan orang. Ada yang berpendidikan tinggi. Senario ini sama dengan ajaran-ajaran sesat lain yang berkembang.

Faisal Tehrani dan Syiah

Polemik penangkapan penganut ajaran sesat Syiah menjadi panas dan berlanjutan. Ia menarik perhatian massa untuk memahami dan mengetahui apakah sebenarnya ajaran Syiah. Di tambah pula beberapa figur dalam masyarakat terkait dengan fahaman Syiah ini. Salah seorang yang lantang dan menggelejat seperti cacing kepanasan ialah penulis novel Faisal Tehrani. Beberapa institusi agama dan institusi awam sudah mengambil langkah berhati-hati dengan melarang FT terlibat dengan kegiatan di premis mereka. Dan sudah ada kenyataan dari badan berotoriti dalam agama yang menegaskan betapa kuatnya pengaruh Syiah dalam karya-karya Faisal Tehrani. Dan yang terbaru FT melanjutkan dakyahnya lewat cerpen yang disiarkan  dalam akhbar Mingguan Malaysia dengan tajuk Wikifiqh. Insya Allah bantahan dan pendedahan kerancuan cerpen Wikifiqh akan menyusul kemudian.

Dalam dana kehairanan umat Islam terpinga-pinga tertanya, “mengapa akhir-akhir ini banyak ajaran sesat muncul berleluasa?”

Dan ada juga yang mengeluh, “mengapa ada orang-orang yang terpelajar terpengaruh dengan ajaran sesat seperti Syiah?”

Jawapannya sudah disebutkan oleh nabi dan sudah pun dijelaskan oleh para ulama’ sepanjang zaman.

Di dalam bukunya al-Irsyaad Ila Sahihi Iktiqad (terj. Sudah Benarkah Akidah Kita), Syaikh Dr Soleh Fauzan al-Fauzan menjelaskan, antara tanda-tanda dekatnya kiamat ialah “munculnya golongan yang sesat seperti Khawarij dan Rafidhah.”

Buku-Buku Yang Menjelaskan Syiah dan Akidah Sesat Yang Lain

Buat pencinta ilmu dan orang-orang yang ikhlas mencari kebenaran saya senaraikan beberapa buku-buku yang bermanfaat untuk mengkaji firqah dan golongan sesat dalam Islam.

1. Al-Milal Wa Al-Nihal karangan Muhammad bin Abdul Karim Al-Syahrastani (469-548 H/ 1076-1153M). Terjemahan oleh Prof Asywadie Syukur, PT Bina Ilmu Surabaya.

Tidak keterlaluan jika saya katakan buku ini merupakan teks wajib untuk mengkaji kelompok-kelompok pemikiran dalam Islam. Bahkan lebih dari itu ia juga memuatkan kajian terhadap agama dan aliran falsahah yang lain seperti Yahudi, Nasrani, Majusi, Yunani, Brahma dan banyak lagi.

Karangan Syahrastani ini diiktirf sebagai karya yang pertama menyusun kajian agama dan falsafah secara sistematik. UNESCO telah menaja terjemahan buku ini ke dalam bahasa Perancis dengan judul Livre des religions et des sects.

Bab Syiah dibincangkan dalam 40 halaman.

2. Aqaid Firaq Dhallah wa Aqidah Firqah Najiyah (Menyingkap Aliran dan Paham Sesat) karangan Ummu Tamim Izzah binti Rasyad. Terjemahan oleh Sufyan Zaidin Sinaga, Pustaka Imam Ahmad Jakarta.

Ini buku kontemporari. Bab Syiah dibincangkan sebanyak 18 halaman. Pengarang buku ini merupakan anak murid sarjana hadis Syaikh Mustafa al-Adawi dari Mesir.

Baca rebiu : http://encikbaca.wordpress.com/2010/12/06/menyingkap-aliran-dan-paham-sesat/

3. Mulia Dengan Manhaj Salaf. Karanga Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawwas, Pustaka At-Taqwa, Jakarta.

Buku ini memberi fokus kepada manhaj salaf. Pada bahagian akhir buku ini dimuatkan beberapa contoh golongan yang sesat seperti Khawarij, Jaringan Islam Liberal, Jamaah Al-Arqam, Syiah, Ahmadiyah, Hizbut Tahrir, Jamaa’h Tabligh dan beberapa lagi.

Yang bagusnya buku ini ialah, pengarang membawakh beberapa syubuhat atau kekeliruan yang sering ditimbulkan oleh golongan sesat. Kemudian pengarang membawakan pula jawapan dan bantahan terhadpa syubbat tersebut.

4. Kemudian antara buku-buku khusus yang menjelaskan tentang Syiah yang dituliskan oleh Maulana Muhammad Asri Yusof. Beliau ditokohkan antara orang yang pakar dan sering dirujuk dalam isu Syiah. Buku beliau ialah Pengaruh Syiah dalam Tasawuf dan Tarikat dan Syiah Rafidhah : Di Antara Kecuaian Ulama; dan Kebingunan Umah. Keduanya terbitan Pustaka Basyirah, Kelantan.

Ada beberapa lagi naskah yang menjelaskan tentang golongan sesat dalam Islam khususnya Syiah. Namun, saya masih belum sempat membaca dan menelitinya. Atas dasar amanah ilmu, saya perlu membaca dan menyemak terlebih dahulu kandungannya sebelum dipanjang atau direkomenkan kepada orang lain. Ini kerana kata nabi yang maksudnya seseorang itu sudah dianggap berdusta apabila menyampaikan setiap apa yang dia dengar atau tahu sebelum menyemaknya.

Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada pembaca. Wallahuaklam.

Advertisements

Kegiatan

Julai 8, 2010

Hi-Tea Gejala Sosial


Dr Abdullah Yassin

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam)

Sabtu 31 Julai 2010

2.00-5.30 petang

PICC Putra Jaya

.

.

Majlis Hi-Tea Darul Qur’an Al-Wildan


Ahad 08 Ogos 2020

27 Syaaban 1431 H

2.00-6.00 petang

Dewan Merdeka, PWTC

Seminar : Ta’lim asSunnah kali ke-3

Ogos 30, 2009

Seminar sehari ini menampilkan 3 pembentang muda yang bertenaga dan bersemangat. Jika sebelum ini program agama membariskan penceramah yang sudah berusia, kali ini suasanya berbeza. Mereka terdiri dari Ustaz Fadhlan Othman (UKM), Ustaz Khairil Anwar (UIA) dan Ustaz Noor Effendy (Maahad Tahfiz An-Nur, Johor).

Ustaz Fadhlan merupakan pensyarah Al-Quran dan hadits di UKM. Beliau megupas tajuk Kewajipan Ikhlas dalama Beribadat. Ikhlas ialah melakukan sesuatu hanya kerana Allah, semata-mata mengharapkan balasan pahala dan syurga dari Allah. Saya terlepas sesi pertama ini. Namun saya teringat sebuah buku yang dikarang oleh sarjana Islam kontemporari, Dr yusuf Qaradhawi. Tajuknya Ikhlas dalam Ibadah dan Perjuangan. Ia dapat membantu.

Persaudaraan Islam

Sesi kedua pula membicarakan Persaudaraan Islam yang Sebenar. Ustaz Khairil Anwar ialah pensyarah bidang hadits di UIA, Gombak. Antara kandungan perbincangan beliau termasuklah sikap sekelompok pendakwah yang membataskan konsep saudara kepada kumpulan mereka sahaja. Wujud diskriminasi terhadap ‘orang kita’ atau ‘bukan orang kita’.

Menurut beliau lagi, Islam hanya membezakan manusia dengan garisan iman dan kufur. Apabila seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah dan melaksanakan tuntutan asas Islam, maka mereka adalah saudara umat Islam. Ia melewati batas geografi, parti politk atau label kelompok yang mereka wakili.

Tauhid sebagai Keutamaan

Sesi ketika disampaikan oleh Ustaz Noor Effendy. Belilau merupakan lulusan Karachi, Pakistan dan kini menjadi Pengetua Maahad Tahfiz An-Nur, Johor.

Slot petang membincangkan keutaam aqidah tauhid dalam dakwah. Pendakwah ini menegaskan, dakwah perlu bermula dari mengubah keyakinan. Hanya selepas keyakinan yakni aqidah dibaiki, barulah urusan lain dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan lancar.

Arak dan aqidah

Saya mengaitkan isu ini dengan kes Kartika yang hendak dihukum sebat. Dengan memuji inisiatif Mahkamah yang menjatuhkan hukuman dan Kartika yang sanggup dihukum demi mematuhi tuntutan syara dan juga menjadi teladan kepada umat Islam yang lain.

Ara menjadi isu yang besar dalam dunia hari ini. Kongres Amerika puluhan tahun yang lalu (dalam era 1920 an) menyedari akan hakikat bahaya dan bencana yang dibawa oleh arak. Kongres ketika itu meluluskan pengharaman arak. Hukuman penjara dikenakan kepada mereka yang ingkar. Lantara itu puluhan ribu manusia warga Amerika dipenjara kerana kesalahan meminum arak. Akhirnya, dek kerana kesesakan penjara sedang kaki botol masih tegar, hukuman itu terpaksa ditarik balik.

Amerika yang menjadi tuan, teladan dan kiblat kepada banyak umat dunia hari ini telah gagal melaksanakan (hanya) undang-undang berkaitan arak.

Rasul kita Muhammad saw telah menunjukkan satu teladan dan contoh bagaimana menangani arak (dan juga masalah yang lain). Selama 13 tahun pertama diutus menjadi Rasul, beliau tidak pernah menyebut tentang arak. Begitu juga dengan gejala dapn permasalan lain seolah-olah dikesampingkan.

Fasa pertama (13 tahun) di Mekah, beliau hanya bertugas untuk membetulkan keyakinan atau aqidah penduduk Mekah. Itu sahaja. Hanya soal iman dan kepercayaan. Dan fasa ibadah dan hukum hanya berlangsung sepuluh tahun berikutknya di Madinah. Rasul mencontohkan kepada kita betapa fokus utama pembaikan umat manusia mesti lebih kepada isu iman dan keyakinan. 23 tahun lebih nabi bertugas sebagai Rasul, sebahagi besar masanya hanya untuk iman dan tauhid.

Hanya setelah imah dan tauhid itu bugar dan kukuh, semua hukum-hakam yang lain dapat dilaksanakan dengan lancar. Ahli sejarah Islam merekodkan, ketika ayat haramya arak diturunkan bumi Madinah hampir banjir dek air arak yang tumpah. Para sahabat radiallahuanhum ajmain tidak tangguh-tangguh dan ragu-ragu memecah tempayanan arak yang tersimpan didapur mereka. Itu semua hanya akan berlaku dengan iman dan aqidah yang sahih.

Tindakan Mahkamah Syariah  dan Kartika itu betul dan wajar dipuji. Namun orang-orang agama yang lain, ustaz-ustaz yang lain, mufti-mufti yang lain harus bekerja dengan lebih keras untuk menyebarkan ajaran Islam dan membersihkan aqidah umat Islam dari perkara syirik dan mungkar. Tidak hanya bersandar menyaksikan satu lagi uamt Islam dihukum, tanpa dia mendapat dakwah yang benar.

5728_262684670651_594980651_8315333_84770_n1

Wacana : Adab Menuntu Ilmu

Ogos 13, 2009

Oleh : Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas

Berikut saya titipkan bingkisan dari satu sesi Seminar dan Forum Iman Orang Asing. Seminar diadakan di Akademi Pengajian Islam UM baru-baru ini. Ia membariskan tokoh pendakwah dari dalam negara dan Indonesia.

Ustaz Yazid merupakan pendakwah sunnah yang terkenal di Indonesia. Seringkali diundang membentangkan kertas kerja dan menyampaikan kuliah di negara kita.

Beliau membahaskan wasiat ulama’ tentang adab-adab menuntu ilmu.

1. Ikhlas

Seorang penuntut ilmu seharusnya ikhlas semata-mata kerana Allah. Ikhlas merupakan asas sesuatu amal diterima. Satu perkara yang paling penting untuk dijauhi ialah riak. Tidak sedikit dari penuntut ilmu diuji dengan sikap sombong dan riak dengan ilmu yang dikurniakan.

Riak bukan perkara kecil, kerana riak adalah sebahagian dari syirik.

2. Menuntut ilmu perlu terus-menerus

Ustas Yazid menegaskan setiap Muslim wajib menuntut ilmu selagi mana ia masih hidup. Beliau menegaskan betapa seorang penuntut ilmu harus mendisiplinkan sekurang-kurangnya 4 jam pada setiap hari untuk membaca.

Dua penyakit yang boleh menghalang seseorang untuk menuntut ilmu ialah malu dan sombong.

Beliau mengutip 6 ciri penuntut ilmu yang baik.

  • Akal yang cerdas
  • Keinginan yang kuat
  • Syukur
  • Persedian bekalan yang mencukupi
  • Bimbingan guru
  • Memperuntukkan masa yang panjang

3. Berlumba-lumba untuk beramal soleh

Sebahagian dari penuntut ilmu, balajar hanya untuk menapatkan teori dan sijil semata-mata. Justeru sebanyak ilmu yang diperoleh, sedikit puntidak menambahkan amal dan rasa takut kepada Allah.

Seorang penuntu ilmu yang baik, ialah sentiasa terus beramal dengan ilmu yang dipelajari walaupun sedikit. Inilah sikap para sahabat terhadap perintah Allah dan Rasul. Mereka dengar dan taat, terus beramal dengannya tanpa tangguh.

4. Ilmu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah mengikut faham generasi awal (salaf as-salih).

Tanpa pemahaman generasi awal, maka teks wahyu dengan mudah dimanipulasi dan diseleweng maknanya mengikut nafsu dan kehendak peribadi.

5. Seru perkara baik dan cegah perkara mungkar

Ini merupakan satu tuntutan ilmu. Selepas diamalkan perlu disebarkan kepada yang lain.

6. Akhlak yang mulia

Ilmu yang sahih membentuk peribadi ang berakhlak mulia. Nabi dalam beberapa teks hadis yang sahih menyebut umat manusia paling banyak msuk syurga dengan dua perkara ; taqwa dan akhlak yang mulia.

Selain itu beliau menambah, kita perlu memperuntukkan sebahagian wang  untuk tujuan ilmu, sama ada menghadiri seminar dan kuliah, mahupun membeli bahan-bahan bacaan.

Beliau menyebutkan para ulama sebelum ini sanggup berhabis wang bergadai untuk membeli bahan-bahan ilmu. Iniyang sepatutnya dicontohi oleh golonga penuntu ilmu pada hari ini.

Buku : Selangkah Ke Arah Memahami Sunnah

Mac 31, 2008

‘Ternyata, bahawa manusia yang paling berhak untuk menjadi firqah najiyah (golongan yang selamat) ialah ahli hadis dan sunnah, yang bagi mereka tidak taksub melainkan kepada Rasul Allah (selawat dan salam buat beliau, ahli keluarga dan sahabat). Mereka adalah kaum yang paling mengetahui perkataan dan ahl-ehwal baginda. Mereka dapat membezakan antara hadis yang sahih dan hadis yang cacat.’

‘Kami tidak maksudkan ahli hadis itu terbatas kepada mereka yang mendengar, menulis dan meiwayatkan hadis. Yang kami maksudkan ialah mereka yang benar-benar menghafal, mengetahui, memahami zahir dan batin, juga mengikutnya zahir dan batin. Demikian juga ahli al-Quran. Paling kurang sifat mereka mencintai al-Quran dan hadis. Beramal dengan kewajipan yang mereka ketahui daripadanya. Maka ahli fikah hadis lebih mengetahu tentang Rasul berbanding ahli fikah lain. Kaum sufi ahli hadislebih mengikut Rasul daripada sufi yang lain. Para pemerintah ahli hadis lebih berpegang kepada sistem politik nabi daripada selain mereka’

Ibn Taimiyyah, dalam Majmu al-Fatawa dipetik oleh Mufti Perlis Darul Sunnah dalam buku kecilnya :

Judul : Selangkah Ke Arah Memahami Sunnah
Penulis : Dr Mohd Asri B Zainul Abidin
Penerbit : Karya Bestari(2005)
Halaman : 87 mukasurat

Membaca tulisan Dr Maza tidak sama membaca tulisan penulis agama yang lain. Sebelum itu ingin dinyatakan tidak ramai ustaz dan orang yang bijak agama mampu menulis dengan baik dalam bahasa Melayu. Dari sebilangan kecil yang menulis itu pula, banyak hasil tulisan mereka mempunyai ‘indeks kabus’ (fos index) yang tinggi (meminjam istilah yang diguna Sifu Ainon).

Antara penulis agama yang diberikan untuk menulis di akhbar termasuk Dr Tawfiq Al-Attas, Dr Asyraf Wajdi Dusuki (mantan Presden PKPIM dan calon Parlimen Tumpat), Dr Juanda Yahya dan termasuk Dr Maza sendiri (kolum pena mufti Mingguan Malaysia).

Sebahagian dari mereka menulis dengan indeks kabus yang sangat tinggi. Sukar bagi pembaca umum seperti saya untuk mencerap maksud yang ingin disampaikan. Ada penulis pula sengaja memutar-mutar perkataan untuk menerangkan sesuatu yang sepatutnya mudah, menjadi lebih susah untuk difahami.

Namun hal ini tidak berlaku kepada tulisan-tulisan Dr Maza. Seberapa boleh Dr Maza cuba memudahkan perbicaraan. Hujah yang beliau kemukakan ialah dalil Qur’an, hadis, pendapat ulama dengan sedikit ulasan. Tulisan beliau penuh fakta dan nampak bertanggungjawab. Tidak keterlaluan jika saya katakan, metod penulisan beliau saintifik.

Justeru saya menyarankan buku ini dibaca terutama kepada mereka yang baru hendak berkenalan dengan Dr Maza.

Beberapa naskah lagi tulisan ringkas beliau saya akan bentang kemudian.