Bahasa Jiwa Bangsa

Oleh : Abu Abdillah Riduan Khairi

Tubuh yang sihat bergantung kepada  hati yang sihat. Demikian juga, bangsa yang sihat tergantung kepada jiwa yang sihat. Ironinya, manusia lebih banyak membelanjakan wang untuk rambut, muka dan pakaian berbanding hati. Begitu juga, banyak bangsa dari kaum manusia lebih mementingkan zahir dan fizikal bangsa berbanding jiwanya sendiri yakni bahasa. Diciptakan baju yang cantik-cantik dari fabrik yang mahal-mahal. Dibedakkan wajah dengan serbuk dan segala macam bedak berwarna-warni. Namun tatkala sampai ke urusan hati, dibiarkan berdenyut-denyut dan berdarah-darah begitu sahaj. Fenomena ini  tidak hanya berlaku kepada Bahasa Melayu, bahkan bahasa-bahasa lain juga. Bukan zaman ini bahkan zaman-zaman yang telah berlalu juga.

Rencana ini sengaja dibuka dengan membawakan perumpamaan hati manusia – jiwa bangsa. Ini kerana perumpamaan semakin kering dari lidah lisan dan tulisan orang Melayu. Walaupun Allah sendiri mentakdirkan tidak semua orang yang akan memahami perumpamaan seperti katanya yang bermaksud,

“Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia; dam tiada orang-orang yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu”. (Surah Labah-Labah, 26 : 40)

Belajar Bahasa Sedari Usia Dini

Sejarah Islam mencatatkan tradisi orang-orang Arab membesarkan anak-anak mereka di kawasan pedalaman kampung. Selain untuk mendapatkan persekitaran yang lebih segar, anak-anak mereka akan dapat belajar bertutur dengan bahasa yang lebih fasih.

‘Sunnah’ ini turut berlaku kepada Nabi Muhammad. Beliau dihantar ke kawasan pedalaman. Datuknya Abdul Mutalib sengaja memilih ibu susuan Halimatun Sa’diah dari perkampunga Bani Sa’ad kerana mereka terkenal dengan kefasihan bahasa.

Sehingga kesannya membawa ke dewasa, Nabi Muhammad dikenali sebagai peribadi yang memiliki persona dalam tutur dan bicaranya. Ketetapan ini tidak berlaku melainkan sebagai persiapan menjadi nabi yang membawa risalah dakwah, seperti yang dijelaskan,

Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki, dan Dia-lah Tuhan Yang Mahakuasa lagi Mahabijaksana” (Surah Ibrahim, 14: 4)

Bahasa dan Intelektual

Dunia sarjana dan intelektual tidak dapat dipisahkan dari penguasaan bahasa. Mungkin kita tidak perlu jejerkan lanjut senarai panjang sarjana Islam yang mahir dalam bahasa. Nama-nama ahli bahasa seperti Sibawaih dan gurunya Khalil bin Ahmad serta Fairuz Abadi yang terkenal dengan kamus Arabnya Al-Muhit, tentu tidak perlu diperkenalkan lagi.

Sejarah intektual Islam juga mencatatkan sejumlah ulama atau sarjana memiliki kemahiran berbahasa. Contoh yang paling hampir dengan umat Islam di negara kita ialah Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi’I pendiri mazhab Syafi’i. Menurut anak muridnya yang tersohor, Ahmad bin Hanbal, “Asy-Syafi`i adalah manusia yang paling fasih di zamannya”.

Beliau yang berketuruan Quraisy belajar bahasa sejak kecil di dusun Badwi Bani Hundail selama beberapa tahun. Suku Quraisy terkenal dengan kepetahan dan kefasihan bahasanya. Ahli sejarah merakamkan, “semua bangsa Arab mengakui nasab Quraisy, ketinggian bahasa mereka, keberanian dan ketinggian budi pekerti Quraisy” (Sirah Nabawiyah, Abul Hassan Ali An-Nadwi).

Begitu juga sejumlah tokoh Islam lain seperti Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim dan Ibnu Kathir. Membaca karya mereka bukan sahaja sarat ilmu dan wacana, bahkan turut mengasyikkan kerana ditulis dengan bahasa yang mengalir lancar dan menarik.

Bahasa dan Genius

Hal ini tidak hanya berlaku dalam tradisi Arab-Islam. Kemahiran bahasa membantu seseorang menjadi bijak dan cerdas turut berlaku dalam masyarakat Inggeris dan Melayu. Siapa yang tidak kenal Shakespeare. Beliau digelar genius yang tidak ada tolok bandingnya dalam senarai panjang penulis Inggeris. Tulisan beliau diterjemah kesemua bahasa utama dunia.

Di tanah air kita pula ada Za’ba. Sumbangan Za’ba bukan sahaja dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu. Bahkan lebih jauh dari itu beliau meniup pembaharuan sikap dan pengertian dalam Islam. Hal ini dapat dilihat dalam buku beliau, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Begitu juga dalam bidang politik. Beliau antara aktivis dan pemikir yang menghimpun pertubuhan-pertubuhan Melayu pada tahun 1946 di Kuala Lumpur untuk bersatu menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan memperjuang kepentingan orang Melayu yang lebih adil.

Berdasarkan beberapa contoh ini, dapatlah kita buat kesimpulan awal bahawa belajar bahasa bukan sesuatu yang merugikan. Bahkan sebaliknya, sejarah merakamkan mereka yang menguasai bahasa dengan baik pada awal usianya punya kecenderungan yang lebih tinggi untuk berjaya dalam bidang-bidang yang mereka ceburi apabila dewasa.

Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan

Bahasa bukan sekadar alat komunikasi dan seni-sastera. Bahasa juga memainkan peranan penting sebagai alat pendidikan, alat teknologi, alat kebudayaan bahkan termasuk alat politik dan ekonomi.

Justeru kempen kerajaan ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’ tidak boleh dianggap kempen kerajaan dan agensi-agensinya sahaja. Setiap warga negara boleh memainkan peranan berkadaran dengan kemampuan dan kapasiti. Pihak media termasuk akhbar, majalah, radio dan tv boleh menyumbang dengan memberi keutamaan kepada pengisian yang menggunakan bahasa Melayu ragam tinggi. Banyak sisi indah bahasa Melayu ragam tinggi yang belum diketengahkan untuk menarik perhatian khalayak seperti menggunakan peribahasa, bidalan, perumpaan, kiasan, pantun dan beberapa bentuk lain.

Sebaliknya kandungan yang menunggang-langgangkan bahasa kebangsaan elok disuruh diam. Mengambil pengertian dari hadith nabi,

Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam”. (Bukhari dan Muslim).

Ini kerana tidaka ada kebaikan pada perkataan, ayat dan pengisian yang mengabaikan contoh dari nabi, menyeru umat dalam bahasa yang fasih.

Pujangga Melayu Buya Hamka pernah meninggalkan pesan,

Dengan bahasa kita yang diperindah, kita perkukuh bangsa kita dan dengan kebangsaaan yang kukuh itu, kita turut membentuk dunia baru, yang tidak ada bersifat Timur lagi dan bersifat Barat, sentiasa berkelip-kelip cahayanya, walaupun tidak disinggung api; cahaya di atas cahaya; dan diberikan Allah petunjuk dengan cahayanya itu kepada barang siapa dikehendaki-Nya daripada hamba-Nya

Saya berkeyakinan bahawa pujangga yang sejati tidaklah pernah dan tidak mahu terlepas dari perkembangan bahasa jiwa bangsanya”. (Kenang-Kengangan Hidup. Pustaka Antara 1982)

Tinggalkan komen