Archive for Mac 2008

Satu Juta Penonton Filem Malaysia (bahagian akhir)

Mac 31, 2008

Ku Seman Ku Hussein : Media Mengeksploitasi Filem Filem Mengeksploitasi Media

Media hanya melaporkan secara jujur, bukan mempromosi. Bahkan laporan media tidak pernah mempengaruhi jumlah kutipan filem di panggung. Kerana selama ini media menceritakan yang baik-baik tentang filem Melayu namun ia tidak pernah membantu. Penonton tidak mudah dipengaruhi oleh media arus perdana pasca pilihanraya 12.

Ku Seman dikenali dengan istilah filem sampah. Tetapi Menurut Hassan Mutalib, itu lebih baik dari istilah Mansor Puteh , ‘filem jamban’. Saya kata ada benarnya, selepas keluar panggung ia terus di’flush’ dan hilang tanpa diingat atau dibicarakan.

A Wahab Hamzah : Senario Filem Luar Negara

Thailand. Filem sejarah Thai, King Narratiwat menjadi box-office. Sebelum ini kebangkitan filem Thailand bermula dengan filem seram Nang-Nak, mendapat sambutan penonton dan pujian pengkritik.

Justeru apabila filem sejarah (seperti Embun, Paloh dan Hati Malaya) tidak punya nilai komersial ternyata ia silap. Bukan silap genre kerana tidak sedikit juga filem sejarah yang berjaya. Filem-filem Thailand banyak yang mengangkat tema sejarah dan banyak juga yang berjaya menarik penonton ke panggung.

Inilah namanya kreativiti. Saya teringat Fathi Aris Omar ketika memberi definisi kreatif ; membuat suatu idea biasa menjadi popular.

Indonesia. Suatu masa dahulu Indonesia gah dengan filem-filem yang berkualiti. Kemudian datang era gerhana melahirkan begitu banyak filem semi-porno dan seram. Cetusan baru bermula dengan meletupnya Ada Apa Dengan Cinta. Ketika ini pawagan Indonesia dikuasai filem adaptasi novel terlaris Ayat-ayat Cinta. Dikhabarkan lebih 2.9 juta sudah menontonnya.

Ketika ini juga satu lagi novel terlaris Laskar Pelangi (Andrea Hirata) sedang difilemkan. Juga antologi entri blog Raditya Dika, Kambingjantan.

Saya mencadangkan industri filem dan industri buku mesti dikahwinkan secara sah dengan segera. Bukan tidak ada filem yang diadaptasi menjadi filem (Langit Petang A Samad Said, terbaru Jibam Ujang), dan bukan tidak ada filem-filem yang pernah dijadikan novel (dahulu banyak sekali filem Yusof Haslam dijadikan novel, dan sekarang langkah itu diikuti oleh KRU Production, wajar dipuji). Namun apa yang dimaksudkan ialah jalinan kerjasama industri keseluruhannya. Lebih-lebih lagi kelihatan segelintir penggiat filem yang aktif seperti kekeringan idea untuk membikin cerita yang berkualiti. Balik-balik cerita cinta tidak kesampaian, kisah korporat palsu diulang-ulang dengan kostum berbeza.

Singapura. Agak mengejutkan Singapura yang populasinya seperti Kuala Lumpur mampu mencatat kutipan filem yang membanggakan. Pada tahun 1998 filem Money Not Enough memperoleh kutipan RM 14 juta. Tahun lepas pula dua buah filem Just Follow Law dan 881, masing-masing mencatat kutipan lebih kurang RM 6 juta. Pun begitu ia masih relatif kepada harga tiket, taraf hidup dan taraf pendidikan. Faktor-faktor ini sangat penting untuk dinilai.

Apapun angka itu masih membanggakan dan mengejutkan untuk populasi kurang dari 5 juta. Tanpa pergi jauh Sivaji di Malaysia juga mencatat box-office RM 6 juta. Sungguh-sungguh karyawan Malaysia perlu bermuhasabah diri.

Tan Sri Jins Shamsuddin

Filem Melayu pernah menarik satu juta penonton ke pawagam. Namun beliau tak sebut judulnya. Hanya menyebut dengan purata harga tiket RM3, filem Melayu pernah mencatat box-office hampir dua juta ringgit. Tidak silap saya, Datuk Aziz Sattar pernah keluarkan kenyataan filem arahnnya dulu pernah mencatat kutipan hampir RM j2 juta ringgit.

Ya, tidak syak lagi filem Melayu pernah menarik satu juta penonton ke pawagam.

Ikatkata

Bolehkah penggiat-penggiat filem berhenti menyalahkan penonton kerana tidak menonton filem Malaysia.

Filem Malaysia tidak ditonton? Silap penonton atau silap pembikin filem? Atau panggung tidak mencukupi (seperti kata Norman)? Saya akan cuba kupas kemudian.

Secara kasar, saya setuju dengan kenyataan Uwei (yang mahukan setiap filemnya ditonton) ; filem yang baik mesti ditonton.

Seminar Ke Arah Sejuta Penonton Filem Malaysia ; Menjana Masa Depan Industri Perfileman Malaysia
29 Mac 2008
Balai Seni Lukis Negara
Anjuran : Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, UiTM

Satu Juta Penonton Filem Malaysia (bahagian satu)

Mac 31, 2008

Norman Abdul Halim, Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM)

1. 77 panggung dengan 79,363 kerusi.

2. Saiz pasaran RM 330 juta setahun.

3. 65 % penonton filem Hollywood, 15 % filem Cina, 10 % filem Melayu, 10 % filem asing.

4. Kawasan yang tidak punya panggung : Labuan, Perlis, Terengganu dan Kelantan. (Kelantan dan Terengganu pernah menyumbang kutipan RM 1 juta untuk filem Sembilu).

Menurut Norman lagi pecahan ini ada kaitan rapat dengan krisis identiti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. Berbanding Indonesia dan Thailand, rakyatnya sangat mementingkan bahasa ibunda berbanding, hinggakan terdapat filem luar yang terpaksa dialihbahasa ke dalam bahasa sendiri. Saya kata ini mesti rujuk dasar pendidikan negara yang sangat mengagungkan bahasa luar dan meminggirkan bahasa ibunda.

Norman banyak bercakap tentang fasiliti, bajet dan isu-isu teknikal.

Dr Anuar Nor Arai : Filem Besar Memerlukan Kanvas yang Besar

Kenyataan Norman yang sungguh-sungguh mahukan fasiliti dan bajet ditinggatkan nampaknya tidak dipersetujui oleh Dr Anuar Nor Arai (Johny Bikin Filem arahannya tidak pernah ditayangkan). Dr Anuar menyifatkan ia sebagai ‘meletakkan pedati sebelum kuda’.

Isu utama yang perlu diberi perhatian dalam membikin filem adalah kandungan filem itu sendiri. Adakah ia mengangkat tema dan persoalan yang besar. Beliau membahagikan filem kepada komersial dan paralel.

Uwei Hj Shaari : Filem dan Anugerah Antarabangsa

‘Saya pelacur tua yang dah letih, tiba-tiba mucul perempuan sundal baru masuk kampung iaitu digital.’

Uwei kata anugerah tidak mempengaruhi kutipan tiket. Tapi Hassan Mutalib membantah. Katanya filem Adik Manja contohnya hampir gagal di pawagam, namun bangkit selepas mendapat anugerah. Ini mungkin kes terpencil.

Saya tonton filem berdasarkan anugerah dan ulasan pengkritik. Mungkin saja kelompok komuniti seperti saya sangat minoriti. (Tidak mungkin mampu membentuk kerajaan, walau dengan majoriti mudah!).

Menurut Uwei, filem terbahagi kepada dua jenis. Satu filem mimpi dan satu lagi filem realiti. Filem mimpi ialah filem yang usai ditonton dan ianya tidak akan dibicarakan. Laksana mimpi, selepas bangun dari tidur ia terus dilupakan.

Filem realiti pula bercerita, usai bercerita ia seolah-olah bertanya, ‘Ini kisah aku, kamu bagaimana pula?’. Filem realiti mengajak penonton merenung. Ia seolah-olah menginginkan penonton terlibat sama dalam babak-babak seterusnya.

Tambah beliau lagi, wacana tentang filem sangat kurang di Malaysia. Yang banyak hanyalah laporan dan ulasan. Sedangkan pada beliau kritikan filem adalah sangat perlu untuk melahirkan filem yang berkualiti. Menurutnya lagi, pujian dan kritikan adalah sama merdu untuk didengar.

Seminar Ke Arah Sejuta Penonton Filem Malaysia ; Menjana Masa Depan Industri Perfileman Malaysia
29 Mac 2008
Balai Seni Lukis Negara
Anjuran : Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, UiTM

Buku : Selangkah Ke Arah Memahami Sunnah

Mac 31, 2008

‘Ternyata, bahawa manusia yang paling berhak untuk menjadi firqah najiyah (golongan yang selamat) ialah ahli hadis dan sunnah, yang bagi mereka tidak taksub melainkan kepada Rasul Allah (selawat dan salam buat beliau, ahli keluarga dan sahabat). Mereka adalah kaum yang paling mengetahui perkataan dan ahl-ehwal baginda. Mereka dapat membezakan antara hadis yang sahih dan hadis yang cacat.’

‘Kami tidak maksudkan ahli hadis itu terbatas kepada mereka yang mendengar, menulis dan meiwayatkan hadis. Yang kami maksudkan ialah mereka yang benar-benar menghafal, mengetahui, memahami zahir dan batin, juga mengikutnya zahir dan batin. Demikian juga ahli al-Quran. Paling kurang sifat mereka mencintai al-Quran dan hadis. Beramal dengan kewajipan yang mereka ketahui daripadanya. Maka ahli fikah hadis lebih mengetahu tentang Rasul berbanding ahli fikah lain. Kaum sufi ahli hadislebih mengikut Rasul daripada sufi yang lain. Para pemerintah ahli hadis lebih berpegang kepada sistem politik nabi daripada selain mereka’

Ibn Taimiyyah, dalam Majmu al-Fatawa dipetik oleh Mufti Perlis Darul Sunnah dalam buku kecilnya :

Judul : Selangkah Ke Arah Memahami Sunnah
Penulis : Dr Mohd Asri B Zainul Abidin
Penerbit : Karya Bestari(2005)
Halaman : 87 mukasurat

Membaca tulisan Dr Maza tidak sama membaca tulisan penulis agama yang lain. Sebelum itu ingin dinyatakan tidak ramai ustaz dan orang yang bijak agama mampu menulis dengan baik dalam bahasa Melayu. Dari sebilangan kecil yang menulis itu pula, banyak hasil tulisan mereka mempunyai ‘indeks kabus’ (fos index) yang tinggi (meminjam istilah yang diguna Sifu Ainon).

Antara penulis agama yang diberikan untuk menulis di akhbar termasuk Dr Tawfiq Al-Attas, Dr Asyraf Wajdi Dusuki (mantan Presden PKPIM dan calon Parlimen Tumpat), Dr Juanda Yahya dan termasuk Dr Maza sendiri (kolum pena mufti Mingguan Malaysia).

Sebahagian dari mereka menulis dengan indeks kabus yang sangat tinggi. Sukar bagi pembaca umum seperti saya untuk mencerap maksud yang ingin disampaikan. Ada penulis pula sengaja memutar-mutar perkataan untuk menerangkan sesuatu yang sepatutnya mudah, menjadi lebih susah untuk difahami.

Namun hal ini tidak berlaku kepada tulisan-tulisan Dr Maza. Seberapa boleh Dr Maza cuba memudahkan perbicaraan. Hujah yang beliau kemukakan ialah dalil Qur’an, hadis, pendapat ulama dengan sedikit ulasan. Tulisan beliau penuh fakta dan nampak bertanggungjawab. Tidak keterlaluan jika saya katakan, metod penulisan beliau saintifik.

Justeru saya menyarankan buku ini dibaca terutama kepada mereka yang baru hendak berkenalan dengan Dr Maza.

Beberapa naskah lagi tulisan ringkas beliau saya akan bentang kemudian.

Leadership – What Matters in a Multinational

Mac 27, 2008

Memimpin tidak pandang jawatan. Pemimpin yang baik lahir dari mana-mana sudut organisasi. Stephen Covey menegaskan dalam bukunya 360 Degree Leadership, bahawa setiap individu dalam organisasi mampu menjadi pemimpin yang baik tanpa mengira kedudukan dan jawatan. Ini diperkukuhkan lagi dalam dua siri syarahan kepimpinan anjuran Universiti Malaya. Dua pemidato, Ms Karen M Albertson (CEO 3M) dalam sesi lepas dan Mr Vaidyanath Swamy (CEO P&G) menyokong kenyataan ini dari sudut pengalaman organisasi.

Bahkan yang lebih menarik lagi adalah, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau, ahli keluarga dan sahabat) pernah berkata :

’Setiap kamu adalah pemimpin. Setiap kamu bertanggungjawab atas pengikutnya’.

Inilah antara premis utama syarahan yang disampaikan oleh Mr Vaidyanath Swamy, Ketua Pegawai Eksekutif Procter & Gamble (P&G) dalam siri syarahan perdana Universiti Malaya siri kedua.

Menurut beliau, pemimpin tidak ditentukan sejak lahir. Sebaliknya pemimpin dilatih dari manusia biasa yang lahir. Memimpin dalam konteks syarikat perniagaan ialah membina organisasi dan membina perniagaan. Organisasi dan perniagaan menuruts Swamy adalah sama penting. Tanpa fungsi memimpin yang bagus, sesebuah perniagaan sukar untuk berkembang.

P&G menurut Swamy memberikan takfir pemimpin sebagai : Individu yang mampu mengenalpasti peluang, kemudian membentuk visi yang boleh dicapai dan mendorong organisasi untuk mencapai visi.

Kemudian Swamy menambah, ‘baik adalah musuh utama untuk menjadi bagus’ (good is the enemy of great) .

Model kepimpinan

1. Vision. Swamy paling lama menghurai tentang visi. Pada Swamy, pemimpin yang hebat berupaya menggambarkan matlamat yang ingin dicapai dengan jelas. Pemimpin melukis masa depan dan jadikan lukisan itu kenyataan.

2. Collaboration

3. Energizing

4. Capability

5. Execution

Akhir sekali, Swamy menyatakan beberapa perkara yang tidak boleh lakukan oleh pemimpin.

1. Pemimpin ekslusif. ‘Arrogant’ adalah ciri yang tidak perlu ada pada pemimpin. Swamy mengambil contoh Mahatma Gandhi sebagai pemimpin yang sangat berpengaruh. Tanpa jawatan, tanpa gelaran dan tanpa kekayaan, Gandhi mampu menjadi pemimpin lagenda. Gandhi seorang yang sangat merendah diri.

Dalam Islam Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau, ahli keluarga dan sahabat) dan sahabat-sahabat beliau menunjukkan contoh pemimpin yang sangat rendah diri. Baik dari pemakaian, rumah, tutur bicara hingga kepada cara hidup. Mereka mengutamakan rakyat lebih dari diri sendiri.

Keputusan beberapa pemimpin kerajaan negeri yang baru dibentuk untuk tidak berpindah ke kediaman rasmi kerajaan patut dipuji.

2. Gagal menjadi pengikut pada keadaan memerlukan. Pemimpin yang hebat tidak mengarah pada semua masa. Sekali sekala pemimpin perlu menerima arahan.

3. Gagal meletakkan keutamaan organisasi lebih dari kepentingan individu.

4. Mengutamakan gaya dari keputusan. Swamy mengambil Donald Trumph sebagai contoh. Menurut beliau, ada kalanya Trumph lebih mengutamakan gaya berbanding keputusan.

‘Leadership – What Matters in a Multinational’

Oleh : Mr. Vaidyanath Swamy

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Procter & Gamble (P&G)Malaysia and Singapore

Universiti of Malaya-American Malaysia Chamber of Commerce Leadership Lecture Series

25 Mac 2008

Auditorium IPS, Institute  of Postgraduate Studies

University of Malaya

Kata Suara 3

Mac 25, 2008

Kata orang, ‘Mahu kaya, berkawan dengan orang kaya, mahu bijak, berkawan dengan orang bijak’. Maka bagi peminat sastera dan budaya seperti saya, kesempatan mendampingi figur sastera dan budaya amat saya nanti-nantikan. Dan dalam Kata Suara 3, keinginan itu tercapai.

Kata Suara 3 membariskan Siti Zainon (Prof Dr), Zakaria Ali (Dr), Uwei Hj Shaari, Jiwarasa dan beberapa lagi (yang sebenarnya saya tidak kenal sebelum ini).

Siti Zainon (Prof Dr)
untitleddr-siti-zainon.jpg
Bacaan semasa kecil yang sangat berpengaruh. Antara pembuka kata Dr Siti Zainon, menceritakan betapa Hikayat Hang Tuah memberikan pengaruh yang besar terhadapnya selepas itu. Kerana ketika kanak-kanak itu ibarat secarik kanvas yang sangat putih, hatta setitik dakwat pun mampu meninggalkan kesan yang mendalam.

Sedari saya mula mendaftarkan memori, dua novel yang pertama saya baca ketika kanak-kanak ialah Si Puteh (tulisan Othman Salleh) dan Kumang bertelur. Ketika itu darjah lima. Minat membaca saya membuak-buak. Kemudian saya menyelongkar almari usang Pak Su saya yang memuat buku-buku teks lama zaman sekolahnya. Dari situ saya bertemu sebuah buku teks Tawarikh (sejarah dalam bahasa Melayu lama) Dunia.

Seterusnya Dr Siti Zainon bercerita tentang pengalamannya menuntut di Jogja, menjadi pelukis sketsa dan mengembara.

Zakaria Ali (Dr)

Dr Zakaria Ali

Seperti Dr Siti Zainon, nama Dr Zakaria Ali juga sering saya baca (namanya) dan dengar, namun belum ada satu naskahnya yang saya baca. Lebih-lebih lagi seni lukis dan juga puisi bukanlah genre yang saya gemar baca. Terlalu abstrak.

Dr Zakaria Ali membacakan beberapa puisi beliau dari keratan-keratan akhbar yang lama. Sangat lama hinggakan nama akhbar itu pun sudah tidak bisa didengar lagi apatahlagi dibaca.

Uwei Hj Shaari

Saya paling berdebar untuk melihat kelibat pengarah filem Perempuan, Isteri, dan,,, (yang menang FFM), Kaki Bakar, dan Jogho (filem beliau yang paling saya minat). Uwei kali ini membacakan draf storiboard sebuah drama yang akan dibikin untuk Astro. Bacaan beliau kali ini sangat unik, kerana skrip itu masih sangat mentah, dan dibentangkan untuk Kata Suara 3. Sangat ekskulisif.

Sesuatu yang menarik dari beliau tentang teknologi (memandangkan lap top beliau menghadapi masalah untuk ‘loading’).

“Ianya belum boleh dipanggil canggih, selagi mana fungsi komputer tidak semudah fungsi pen”.

Jiwarasa

Namanya Yasir Arafat. Kerana namanya terlalu komersial, maka Jiwarasa memilih untuk menggunakan nama lain sebagai nama pena. Itu luahan hati beliau ketika ditanya. Beliau seorang blogger yang banyak membuat ulasan tentang buku, dan sedikit-sedikit tentang isu semasa. Bacaan beliau luas. Menyasarkan 1000 buah buku sebelum mati,katanya.

Jiwarasa membacakan petikan dari Setitis Embun Semarak Api tulisan Shahnon Ahmad, yakni saya kira pengarang kegemaran beliau. Saya juga meminati Shahnon, bahkan sangat meminati novel dan cerpen beliau. Terutama cerpen Ungkapan dan Kelapa Nan Sebatang. Tunjukkan kepada saya siapa yang boleh menandingi Kelapa Nan Sebatang (kecuali Al-Qur’an). Hanya saja takah Shahnon selepas Shit, belum mampu saya baca.

Ada beberapa lagi tukang kata yang bersuara di Kata Suara. Namun ulasan saya terhad. Saya sempat berkenalan dengan Patrick Rasak (pelukis yang suatu hari nanti saya akan beli satu lukisan cantik beliau untuk digantung di dinding rumah), Tuan Adib (The Reader) dan Tuan Syakirin (kembarapencitanbuku.blogspot.com) .

Kata Suara diadakan setiap bulan pada hari Sabtu ketiga.

Astaka Minda : Penulis dan Blog ; Trend Masa Kini

Mac 23, 2008

Pengerusi : Encik Shamsuddin Osman
Panel 1 : Puan Nisah Harun annyss.blogspot.com
Panel 2 : Sdr. Jiwa Rasa jiwarasa.blogspot.com

Kata Tok Rimau, dalam satu pertemuan Malam Baca Puisi Sindiket Soljah, katanya ‘Tali yang baik ialah tali yang panjang. Ucapan yang baik ialah ucapan yang pendek’. Tok Rimau sebenarnya memetik pepatah. Tapi entah dari mana saya kurang cerap.

Jiwarasa 

Mem’blog’ adalah trend masa kini. Berdasarkan statistik yang dikemukakan oleh Jiwarasa, 13 juta rakyat Malaysia mempunyai akses internet pada tahun 2007. 13 juta adalah separuh dari jumlah penduduk Malaysia. Terlalu banyak maklumat yang ingin disumbat oleh Jiwarasa dalam pembentangan satu jam itu. Terasa padat. Ucapan Jiwarasa tersa panjang. Namun sangat informatif.

Sebelumya, saya sudah pun berkenalan dengan Jiwarasa dalam satu majlis berasingan. Suara Kata-3, Cuma saja saya belum sempat mencatat perkara-pekara yang berlaku. Namun dalam Astaka Minda, yang khalayaknya agak besar (cukup besar bagi sebuah program anjura DBP, dewan separuh penuh! Ajaib) tidak sempat saya bersapa mesra, lebih-lebih Jiwarasa adalah orang yang diraikan pada hari itu.

Jiwarasa bercerita tentang pengalaman ‘berbuku’, mengembara mendapatkan buku, berkongsi pendapa tentang sesebuah buku dan penulis, dan banyak cerita menarik terutama pengalaman ber’blog’.

Nisah Harun.

Seorang dari latar belakang undang-undang. Dan kini terjun sepenuh masa ke dalam dunia penulisan. Sikit-sikit perniagaan buku melalui ujanailmu.com. Nisah Harun lebih dikenali sebagai penulis konvensional yang professional berbanding blogger.

Pembentangan Nisah mengujakan saya. Mungkin pengalaman beliau sebagai penceramah radio dan latar belakang undang-undangnya banyak membantu. Pemilihan diksi beliau buat saya termangu. Mutakhir ini, agak sukar untuk saya menemui penceramah yang dapat mengawal perkataan denga baik. (Atau saya yang kurang mengikuti aktiviti sastera?). Kawalan perkataan yang sangat cemerlang. Lidahnya selancar mata penanya menari.

Mungkin lantaran itu, saya akan mula menyelak karya-karya Nisah yang sebelum ini saya abaikan. Antara pengarang besar yang paling banyak bukunya saya miliki ialah Arena Wati, dan tiada satu pun naskah Pak Arena saya selesai baca. Belum menerima petunjuk agaknya. Ia terjadi kepada banyak penulis yang lain juga. Contohnya, penulis agama terkenal, Ustaz Maszlee Malek. Setelah beberapa tahun menyelak majalah dan akhbar yang terpapar tulisan beliau, hanya beberapa minggu belakangan ini sahaja hati saya terbuka untuk membaca tulisan beliau. Yang rugi ialah saya yang tidak membaca.

Apapun kedua-dua penulis blog ; Jiwarasa dan Nisah Harun telah melaksanakan sebahagian dari tanggungjawab mereka untuk menyampaikan ilm pengetahuan mengikut kemampuan yang mereka miliki. Walau satu ayat, ianya mendapat jaminan ganjaran dari Allah. Syaratnya ikhlas dan patuh kepada petunjuk baginda nabi Muhammad (selawat dan salam buat Rasul Junjungan).

Seadanya…

Mac 11, 2008

Menerima manusia seadanya, senang diungkap, namun sukar ditangkap.

Sedapnya menghirup kopi kerana pahitnya. Secawan kecil espresso di kafe Dome ataupun Coffebean rasanya sungguh pahit dan kelat. Lagi pahit lagi sedap kata pengemar kopi. Kalau tidak pahit bukan kopi namanya. Maka terbukti tidak semua yang pahit itu tidak enak. Andai ada yang mengomel kopi tidak sedap, yang sebenarnya bukan kopi itu yang tidak sedap, sebaliknya seleranya berbeza. Kopi itu kopi itu juga. Hanya tanggapan dan selera itu saja tidak sama.

‘Kamu ingat Tuhan hendak menjaga tekak kamu sahaja?’, satu bait dialog dari drama bersiri Romeo n Juliet arahan Mohd Noor Kadir (Kuasatek Pitcures).

Ada orang tidak suka makan kambing kerana baunya. Jangan dipaksakan kambing itu berkubang setiap petang seperti kerbau atau badak air, kerana itu bukan sifatnya kambing. Ada orang suka makan kambing kerana baunya. Lagi ketara aroma ke’kambing’an itu menusuk hidung lagi sedap dan menyelerakan. (Amaran Kementerian Kesihatan : Memakan kambing membahayakan kesihatan penghidap darah tinggi!).

Itulah keadilan Tuhan Allah (yakni Tuhan yang sebenar untuk semua manusia dan semua makhluk di dunia ini). Meletakkan ‘sedap’ dan ‘enak’ itu bukan pada makanan, sebaliknya tekak. Tidak semua orang mampu memiliki makanan yang mahal-mahal (info : sekilo daging ostrich ialah RM 40.00, manakalan sekilo daging ayam hanya RM, 6.00) dan pelik-pelik (contoh : shark fin dan oyster). Tapi semua orang punya anak tekak masing-masing untuk merasa. Tidak semestinya makanan itu mahal, maka ianya sedap untuk semua orang. Ada orang hanya berlaukkan telur masin, seleranya (mak ai) dua pinggan tak cukup tambah. Ada orang lauk setalam penuh meja, namun yang dijamah hanya beberapa suap. Dan sesungguhnya Tuhan Allah itu Maha Adil.

Justru manusia itu terlebih sulit (lebih sulit dari fail sulit AF) dan kompleks sebanding kopi pahit yang panas, daging kambing, ataupun daging itik serati yang menyudu sisa makanan dilimbah.

Bahkan Tuhan Allah dengan serius dan jelas menyebut tentang manusia, bagaimana hidup dan urusannya di dalam manual hidup manusia itu sendiri (yakni Al-Qur’an). Memang pernah direkodkan dalam sejarah manusia berperang (dan bermusuh) kerana seekor kambing. Seekor kambing yang menceroboh kebun orang lain, dan digantungkan selipar di tengkoknya. Orang Arab sebelum datangnya Muhammad (selawat dan salam buat beliau dan ahli keluarganya) antara masyarakat yang gemar bermusuh. Hanya seekor unta sanggup berparang (istilah Melayunya, mungkin istilah Arabnya ‘berlembing’ ataupun ‘berpedang’) puluhan tahun. Itu sebelum lagi senjata menjadi bahan komoditi.

Namun intipati dari kisah kambing dan unta itu bukanlah ekor kambing dan bonggol unta itu sendiri. Yang menjadi pangkal isu ialah, bagaimana menanggapi. Unta dan kambing hanya menjadi simbolik. Ia berkait dengan hati.

Apabila kita berkenalan dengan seseorang, lebih-lebih lagi apabila kita berkenan dengan seseorang, maka lekas-lekas mencari kekurangan dan kelemahannya. Agar kita lekas marah dan lekas benci. Sementara ghairah itu masih ada agar mudah marah dan benci itu lekas luntur dan dimaafi. Dan yang lebih bermakna lagi ialah kekurangan dan kelemahan itu sedia diterima seadanya. Sementara kelemahan dan kekurangan itu diperbaiki, bukan (dan jangan) dibiarkan sahaja.

Perhubungan antara dua manusia menghendaki kita menerima yang satu lagi seadanya.

‘Bad thing can’t change overnight’, pepatah Inggeris yang pernah disebut mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad. Membaiki kenderaan tergantung rosaknya di mana. Sekadar mengepam tayar atau menukar minyak hitam, tidaklah memakan masa berjam. Namun jika yang mahu diperbaiki itu melibatkan ehwal enjin, gear ataupun klutch (lebih-lebih lagi kereta kancil, sebab perlu ‘turunkan’ enjin dahulu). Maka pembaikan itu menelan waktu dan tempoh.